Wednesday, August 8, 2012

KADANG2 FITNAH ITU KITA TIMBULKAN SENDIRI...TINDAK TANDUK KITA MENJADIKAN FITNAH

‘Jangan masuk’

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my

CARI...Rosol (dua dari kanan) mencari barangan berharga yang terselamat  dalam  kebakaran rumahnya, malam kelmarin.
CARI...Rosol (dua dari kanan) mencari barangan berharga yang terselamat dalam kebakaran rumahnya, malam kelmarin.
PADAM...anggota bomba  memadamkan sisa api kebakaran.
PADAM...anggota bomba memadamkan sisa api kebakaran.
KUALA BERANG: “Jangan masuk (rumah), selamatkan diri.” Itu arahan Datuk Rosol Wahid, 48, kepada Toh Puan Halipah Ahmad, 49, ketika isterinya itu menghubunginya memaklumkan rumah mereka di Kampung Batu 23, di sini, terbakar, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil itu berkata, ketika kejadian jam 10 malam, dia dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
Menurutnya, sebaik tiba di pekan Wakaf Tapai, Marang, dia mendapat panggilan telefon daripada isteri memberitahu rumah didiami mereka sejak 11 tahun lalu, terbakar.

“Walaupun terkejut saya melarangnya (isteri) masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan barangan, tapi mengarahkannya keluar dari kawasan itu bagi mengelak kejadian buruk.

“Saya tiba kira-kira 15 minit kemudian dan ketika itu api sedang marak membakar hampir 60 peratus rumah kami.

“Ketika kejadian isteri dan semua anak tiada di rumah kerana berbuka puasa bersama mentua di Kampung Gaung, Kuala Berang,” katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM300,000.

Uji kaji 10 botol bawa maut

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

TUTUP...anggota penyelamat menutup jenazah mangsa. Gambar kecil, Muhammad Hafiz.
TUTUP...anggota penyelamat menutup jenazah mangsa. Gambar kecil, Muhammad Hafiz.
KOTA BHARU: Eksperimen seorang remaja memasukkan 10 botol minuman plastik 500 mililiter ke dalam seluar untuk dijadikan pelampung mengundang tragedi apabila dia mati lemas selepas botol digunakannya itu terkeluar dari seluarnya dalam kejadian di Sungai Banggol, Kubang Tuman, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 4.15 petang itu, Muhammad Hafiz Fakri Mohamed, 13, pada mulanya mandi bersama empat rakannya di kawasan cetek di tepi sungai, tetapi tiba-tiba menuju tengah sungai dengan memasukkan botol plastik ke dalam seluarnya.
Pada mulanya dia gembira kerana badannya terapung, tetapi tidak lama kemudian, terkapai-kapai dan tenggelam timbul sambil meminta tolong.

Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan apabila dihanyutkan arus deras dan mayatnya ditemui setengah jam kemudian oleh penduduk kampung beberapa meter dari tempat dia tenggelam.

Mayat pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2 itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Penyamun pusat beli-belah kecundang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

ROSAK...kereta yang dinaiki penjenayah berjaya ditahan pengawal keselamatan.
ROSAK...kereta yang dinaiki penjenayah berjaya ditahan pengawal keselamatan.
BERKAS...penjenayah digari sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
BERKAS...penjenayah digari sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
PETALING JAYA: Cubaan empat anggota geng samun mencari sasaran terbaru di sebuah pusat beli-belah, di sini mengundang padah apabila mereka yang memandu kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan berjaya diberkas pengawal keselamatan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pengawal keselamatan bertugas yang melihat suspek dalam keadaan mencurigakan cuba menahan kenderaan terbabit namun gagal apabila mereka terus memecut laju di dalam kawasan tempat letak kereta.

Malah, dalam usaha mereka meloloskan diri, suspek sanggup menggunakan laluan bertentangan sehingga menyebabkan kereta dipandu merempuh beberapa buah kenderaan awam sebelum terbabas dan berjaya dikepung pengawal keselamatan yang kemudian menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berusia antara 20 hingga 30-an itu datang ke pusat beli belah terbabit dipercayai untuk menyamun namun gagal selepas tindakan mereka itu disedari pengawal keselamatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang digunakan adalah kereta yang dicuri pada jam 9 pagi hari yang sama di sebuah kondominium bersabit laporan kehilangan kereta di Balai Polis Sungai Buloh.

“Hasil semakan rekod, kesemua suspek amat dikehendaki polis berkaitan kes samun dan tiga antara mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Saksi kejadian Mohd Haikal Abdul Rashid berkata, 27, berkata, dia yang ingin pulang ketika itu pada mulanya terdengar bunyi kereta memecut laju disusuli dentuman kuat seperti berlaku perlanggaran.

Menurutnya, sebaik menghampiri kawasan kejadian, dia mendapati sebuah kereta Proton Wira terbabas dan dikepung lebih kurang 10 pengawal keselamatan yang bercota memecahkan kenderaan terbabit.

“Malah ketika itu keadaan sesak kerana kereta tidak dapat bergerak menyebabkan saya keluar untuk melihat apa yang berlaku. Saya kemudian mendapati beberapa kereta rosak teruk akibat dirempuh kenderaan terbabit.

“Selepas keadaan sedikit reda kami kemudian diarahkan menggunakan laluan lain dan pada mulanya saya sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku sebenarnya,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Lelaki maut tersepit 30 minit

Oleh Norasikin Daineh
norasikin@hmetro.com.my

TENOM: Seorang lelaki maut selepas tersepit hampir setengah jam dalam kereta dipandunya yang bertembung dengan sebuah lori 10 tan dalam kemalangan di Jalan Chienta Mata, Kilometer 4, Tenom-Kemabong, dekat sini, kelmarin.
Kejadian jam 5.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Jhonli Thomas, 33, yang memandu Proton Satria dalam perjalanan dari Tenom menuju ke kampungnya di Kampung Baru Jumpa Kemabong, dekat sini.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah lori 10 tan yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba merempuh kereta mangsa menyebabkannya tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Mazlan Lazim berkata, pemandu lori berkenaan dikatakan hilang kawalan ketika melalui selekoh di tempat kejadian.
“Lori yang hilang kawalan itu memasuki lorong bertentangan lalu merempuh Proton Satria terbabit. Akibat rempuhan itu, mangsa tersepit dalam kenderaannya yang remuk,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, mangsa gagal diselamatkan akibat pendarahan yang banyak di seluruh badan termasuk kepala.

“Bagaimanapun, pemandu lori itu terselamat dan ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke kampung, namun siasatan lanjut masih dijalankan.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai berhati-hati ketika memandu terutama pada musim perayaan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Runzee Abd Thani berkata, pihaknya menerima panggilan kemalangan itu pada jam 6.07 petang membabitkan dua kenderaan.

“Sembilan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan sebaik tiba, mangsa tersepit dalam kenderaannya dan kami mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang didapati sudah tidak bernyawa,” katanya.

‘Sultan’ dicari bantu siasatan kes bunuh

SHAH ALAM: Polis memburu seorang lelaki warga Myanmar bernama Sultan dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki di Ampang, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, lelaki terbabit berusia lewat 20-an yang juga rakan sekerja mangsa di bengkel kereta di Ampang menghilangkan diri sejurus kejadian.

Mohd Adnan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lehernya dikelar di bengkel berkenaan pada jam 6.10 petang.
Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menemui sebilah pisau dan sebatang kayu dipercayai diguna suspek untuk membunuh mangsa.

“Beberapa jam kemudian, polis menahan enam lelaki berusia 23 hingga 37 tahun yang juga rakan sekerja mangsa di sekitar kawasan kejadian.

“Semua mereka kini direman hingga 13 Ogos ini untuk polis mengumpul maklumat yang berkaitan dengan kejadian berkenaan,” katanya sewaktu ditemui semalam. Polis juga masih belum mengenal pasti motif sebenar kejadian dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mengenali lelaki terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Arshad di nombor 017-5902878 atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk menyalurkan maklumat.

‘Suka bersama duka ditinggal’



KUALA LUMPUR: “Jika isteri yang keluar dari rumah tanpa keizinan suami sudah dianggap nusyuz inikan pula melarikan diri, bila isteri hendak tuntut fasakh atau perceraian memang akan timbul kesulitan,” kata penceramah bebas, Zawiyah Hassan.
Beliau yang juga bekas Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, sebaik-baiknya jika inginkan perceraian, lakukanlah dengan cara yang baik bukan dengan meninggalkan suami begitu saja apatah lagi dengan keadaannya yang ditimpa penyakit atau kesusahan.

“Perkahwinan bukan hanya untuk merasai keseronokan sepanjang masa, tapi apabila ditimpa kesusahan pasangan melarikan diri. Sepatutnya, suka dan duka dihadapi bersama bukan apabila pasangan ditimpa kesusahan, kita tidak mahu hadapinya bersama.
“Ingatlah, setiap ujian Allah berikan dalam rumah tangga ada hikmahnya dan jangan sesekali menzalimi orang lain kerana Allah tentu akan membalas setiap perbuatan kita,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai nasib malang menimpa seorang suami Mahmud Hamid, 63, yang ditinggalkan isterinya sejak sembilan bulan lalu selepas pasangan hidupnya itu lumpuh dan tidak dapat bercakap akibat serangan angin ahmar, malah tergamak menuntut cerai.

Wang ATM lesap

Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

KUCHING: Tanda tanya menyelubungi siasatan pihak berkuasa apabila wang tunai RM100,000 dikatakan lesap ketika dalam proses pemindahan di satu mesin juruwang automatik (ATM) oleh seorang pengurus syarikat keselamatan di Sebuyau, dekat sini, kelmarin.
Kehilangan wang itu hanya disedari pegawai terbabit jam 12.30 tengah hari apabila mendapati peti mengandungi not RM50 berjumlah RM100,000 didapati ringan dan apabila diperiksa ia kosong.

Menurut sumber, pegawai berusia 42 tahun itu bersama seorang pengawal bersenjata dan seorang pemandu bertolak dari pejabat syarikat kawalan keselamatan di Batu Kawa, di sini, jam 10 pagi untuk menghantar wang berkenaan ke mesin ATM sebuah bank di Sebuyau.
Difahamkan, sebelum bertolak, pegawai berkenaan membuat pemeriksaan terhadap beg mengandungi tiga peti wang berjumlah RM220,000 dan semuanya dalam keadaan baik serta berkunci.

Katanya, pegawai berkenaan memaklumkan kepada pengurus besar syarikat keselamatan dan mengisytiharkan membawa tiga peti dalam beg besar iaitu dua peti masing-masing mengandungi not RM50 berjumlah RM100,000 dan satu peti wang RM10 berjumlah RM20,000.

“Perjalanan dua setengah jam dari Batu Kawa ke bank di Sebuyau itu tidak menghadapi sebarang masalah, namun ketika membuat proses menukar peti besi di mesin ATM berkenaan, pegawai terbabit mencurigai sesuatu.
“Dia memasukkan satu peti wang RM50 yang berjumlah RM100,000, kemudian satu lagi peti dengan jumlah sama ke dalam mesin, namun pelik apabila peti itu terlalu ringan, namun tidak mengendahkannya dan meneruskan kerja dengan memasukkan peti terakhir wang RM10 sebanyak RM20,000,” katanya .

Menurutnya, disebabkan tidak puas hati, pegawai berkenaan mengeluarkan semula peti berkenaan daripada mesin dan meminta dua pengawal keselamatan dan seorang pegawai bank sebagai saksi membuka peti berkenaan.
Katanya, sebaik dibuka, pegawai syarikat keselamatan berkenaan mendapati peti berkenaan kosong dan wang yang hilang berjumlah RM100,000 sebelum segera menghubungi pejabatnya dan diarahkan membawa pulang ketiga-tiga peti itu semula.

Sehubungan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Kota Samarahan sebelum dirujuk ke Balai Polis Simpang Tiga untuk siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Pauzi Bujang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan keterangan daripada pengadu serta pengawal pengiring diambil.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan beberapa saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan merangkumi pelbagai aspek.

‘Usah sebar fitnah, baik selesai masalah’



KUALA LUMPUR: “Saya harap mereka yang dengar kenyataan berkaitan saya boleh rujuk kepada keputusan mahkamah dan dapatkan butiran terperinci,” kata Ketua Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail, di sini, semalam.
Beliau mengulas tindakan kerajaan Selangor sebelum ini yang memfitnahnya berhubung bayaran gaji diterimanya daripada Syabas.

Mengulas lanjut, beliau meminta semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan fitnah, sebaliknya menumpukan kepada usaha membantu rakyat, khususnya mengatasi masalah air.
“Di bulan Ramadan ini, saya rasa tak payahlah kita keluarkan kenyataan fitnah dan lebih baik tumpukan usaha bantu rakyat atasi masalah terutama krisis yang sudah bermula di Selangor.

“Pada yang berminat nak tengok boleh ikut Syabas dan Puncak Niaga dan hulur bantuan kepada mereka yang menderita hadapi masalah air daripada kita cari alasan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak yatim anjuran Majlis Perunding Ekonomi Melayu Malaysia (Mapem) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Selangor (DPMMS).
Empat rumah anak yatim terpilih menerima sumbangan ialah Rumah Penyayang Hembusan Kasturi, Jalan Kapar, Klang; Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang, Klang; Pusat Jagaan Mesra Limpahan Kasih, Sabak Bernam dan Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Anak Yatim dan Miskin, Puchong. Setiap rumah kebajikan menerima RM5,000.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan secara peribadi terhadap tuduhan itu, Rozali dalam nada berseloroh berkata: “Itu nanti dulu.” Mengulas mengenai krisis air di Lembah Klang, beliau berkata, krisis air sudah bermula dan beliau dimaklumkan beberapa kawasan mula mengalami gangguan bekalan.
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri dan Persekutuan yang prihatin dan mencari jalan.

“Misalnya kerajaan negeri panggil pegawai Syabas tiap-tiap pagi dan ambil tindakan mengatasi masalah ini, begitu juga kerajaan Persekutuan yang menubuhkan jawatankuasa khas bagai tangani masalah air,” katanya.

Sementara itu, dalam situasi berasingan, Rozali yang juga Presiden Mapem merangkap Yang Dipertua DPMMS berkata, Mapem dan DPMMS bersedia menawarkan barisan kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu sebagai calon boleh menang dalam Pilihanraya Umum ke-13. “Mapem dan DPMMS bersedia menawarkan barisan kepimpinan NGO ekonomi Melayu ini sebagai pelapis untuk meneruskan dasar kerajaan sedia ada.

“Saya percaya di kalangan pemimpin NGO ini, terdapat beberapa tokoh yang boleh disifatkan sebagai ‘calon boleh menang’ dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Lari demi maruah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Demi mempertahankan maruahnya, seorang wanita berusia awal 20-an terpaksa berlari kira-kira lebih 50 meter dalam keadaan separuh bogel dari rumah sewanya sambil mengendong anak lelakinya berusia setahun bagi menyelamatkan diri daripada dinodai pemilik rumah berkenaan, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi di Metro Prima Kepong, mangsa yang berjaya meloloskan diri selepas bergelut dengan pemilik rumah berkenaan berlari mendapatkan bantuan suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kira-kira 50 meter dari rumah sewa mereka.

Dengan bantuan tiga rakannya, suami mangsa berusia lingkungan 20-an berjaya memberkas pemilik rumah sewanya sebelum menghubungi polis. Pada masa sama dia turut membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Kepong.
Sumber polis berkata, ketika kejadian, mangsa sedang tidur di rumah bersama anak lelakinya berusia setahun.

“Mangsa terjaga daripada tidur apabila mendengar pintu biliknya diketuk dengan kuat. Sebaik membuka pintu, dia melihat pemilik rumahnya berdiri di hadapan pintu.

“Belum sempat mempersoalkan tindakan lelaki itu menceroboh rumah sewanya, lelaki terbabit terus menolak mangsa hingga terjatuh sebelum mengunci pintu rumah,” katanya.
Sumber berkata, lelaki itu kemudian menanggalkan pakaian mangsa menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka lebih 20 minit.

“Lelaki itu berulang-kali memujuk mangsa supaya melayaninya, namun wanita terbabit enggan berbuat demikian dan terus melawan sambil merayu dikasihani,” katanya.
Katanya, lelaki berkenaan menjadi lebih rakus dan cuba menanggalkan seluar dipakai mangsa, namun wanita itu terus melawan.

“Tanpa mempedulikan keadaannya yang tidak berbaju dan dalam keadaan separuh bogel itu, mangsa berlari mendapatkan suaminya yang bekerja kira-kira 50 meter dari rumah sewanya itu,” katanya.

Sumber berkata, suami mangsa yang dibantu tiga rakannya kemudian menahan lelaki terbabit di sekitar kawasan berkenaan sebelum menghubungi polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi, mengesahkan penahanan suspek dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.


Budak dikisar

Oleh Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my

BALING: “Anak bongsu, Mohd Hafiz langsung tidak menangis apabila pergelangan tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar tebu selama 30 minit, tetapi kakaknya jatuh pengsan kerana terkejut melihat banyak darah.”
Begitu kata Siti Aishah Mohamad Sidek, 33, apabila pergelangan tangan kanan anak bongsunya, Mohd Hafiz Haikal Shaharudin, 5, tersepit dalam mesin pengisar ketika mahu membeli air tebu di tepi Jalan Sungai Limau-Parit Panjang, dekat sini, pada 31 Julai lalu.

Akibat kejadian itu, pergelangan tangan kanan mangsa hancur dan putus serta terpaksa dipotong menyebabkan mangsa menerima rawatan seminggu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, dekat sini, sebelum dibenarkan pulang, kelmarin.
Siti Aishah dari Kampung Banggol Asam Jawa, Pulai, di sini berkata, sebelum kejadian jam 4 petang itu, anak bongsunya tiba-tiba meronta-ronta dalam kereta kerana mahu minum air tebu sebelum dia berhenti di tepi jalan untuk membelinya.

“Saya tidak menyangka dia beriya-iya sangat dan meronta-ronta dalam kereta hendak minum air tebu seolah-olah menyedari kejadian malang bakal menimpa menyebabkan saya berasa terkilan dan sedih.

“Ketika tiba di gerai air tebu, saya singgah membeli seorang diri manakala Mohd Hafiz dan kakaknya (Nurul Intan Safira, 9) berada dalam kereta.
“Ketika membayar, saya tidak menyedari dia (Mohd Hafiz) turun dan pergi ke mesin pengisar tebu itu lalu memasukkan tangan kanannya ke dalam mesin berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Siti Aishah berkata, dia kesal ketika kejadian itu peniaga berkenaan sepatutnya menutup suis terlebih dulu, tetapi tidak berbuat demikian sebaliknya berlari pulang ke rumah untuk mengambil spanar menyebabkan mesin itu terus berfungsi menyebabkan tangan anaknya hancur teruk.

No comments:

Post a Comment