Friday, March 12, 2010

Al-Quran tenangkan jiwa...BUKAN INI SAHAJA TAPI IA MENJADI SUMBER HUKUM

Al-Quran tenangkan jiwa


Oleh - Hashim Ahmad


Sesungguhnya al-Quran adalah kitab suci Allah yang diturunkan kepada setiap insan yang mengaku dirinya beragama Islam. al Quran mengandungi syariat-syariat dan garis-garis perundangan yang harus dipatuhi – diikuti dan ditinggalkan oleh setiap orang Islam. Mempercayai kitab Allah – al-Quran, termasuk daripada salah satu Rukun Iman.

Al-Quran yang mengandungi 6,666 ayat itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT melalui malaikat Jibrail. Tempat tumpuan al-Quran ialah pada hati baginda.

Al-Quran yang dibawa dari langit oleh malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad dituju kepada hati baginda. Kini Nabi Muhammad SAW sudah wafat.

Apabila kita mendengar seseorang membaca al-Quran atau pun kita sendiri membacanya, pada zahirnya ia masuk ke dalam telinga ke dalam tubuh orang yang mendengarnya. Pada hakikatnya ia masuk ke dalam hati. Tetapi apakah ia betul-betul sampai ke dalam hati.

Sekiranya ia sampai ke dalam hati, maka nyatalah ia benar-benar sampai kepada kita. Tetapi jika sebaliknya, maka nyata bahawa al-Quran masih belum sampai kepada kita.

Untuk mengetahui sama ada al-Quran sampai kepada hati maka lihatlah gerak geri dan peri laku seseorang. Hati adalah raja bagi tubuh badan. Segala anggota yang lain adalah bala tenteranya. Bala tentera akan bertindak laku mengikut apa yang diarah oleh ketua atau rajanya. Inilah yang lumrah terjadi dalam mana-mana angkatan perang.

Apabila hati telah diresapi oleh al-Quran maka segala tubuh badan pun akan bergerak laku sesuai dengan ajaran dan suruhan Al-Quran. Ia bercakap mengikut kehendak al-Quran, melihat mengikut kehendak al-Quran, berjalan, makan, minum dan segala-gala perlakuannya adalah mengikut kehendak al-Quran.

Apabila terjadi keadaan yang demikian – bergerak laku mengikut kehendak al-Quran maka jelaslah bahawa al- Quran telah menyerap masuk ke dalam hatinya. Sekiranya seseorang itu telah belajar hingga ke Makkah dan membawa balik serban dan jubah penuh beg, namun gerak lakunya masih tidak mengikut al-Quran maka al-Quran hanya sampai ke telinganya sahaja.

Al-Quran tidak sampai ke hati orang berkenaan kerana hatinya masih melakukan sesuatu yang bercanggah dengan al-Quran.

Dalam kehidupan kita seharian, keadaan ini dapat diumpamakan seperti kita pergi ke kedai kerana hendak membeli sesuatu barang. Mengapakah kita melewati beberapa buah kedai dan berhenti di kedai yang di hujung sekali sedangkan barang yang kita hendak beli itu terdapat juga di kedai yang pertama yang mula-mula kita tempuhi tadi.

Jawapannya ialah kerana hati dan jiwa kita adalah sesuai dengan penjualnya.

Dalam Islam, bukan membaca al-Quran saja yang menjadi ibadat dan amal yang mendapat pahala dan rahmat, malah mendengarnya pun mendapat balasan. Malah, sebahagian ulama mengatakan bahawa, mendengar orang membaca al-Quran, pahalanya sama dengan orang yang membacanya.

Pahala orang mendengar bacaan al-Quran dengan jelas disebut Allah dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan apabila dibacakan al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.”(Surah al-A’raaf, ayat 204).

Mendengar bacaan al-Quran dengan baik, dapat menghibur perasaan sedih, menenangkan jiwa yang gelisah dan melunakkan hati yang keras serta mendatangkan petunjuk. Itulah yang dimaksudkan dengan rahmat Allah, yang diberikan kepada orang mendengar bacaan al-Quran dengan baik.

Demikian besar mukjizat al-Quran sebagai wahyu Ilahi, yang tidak bosan-bosan orang membaca dan mendengarnya. Malah, semakin sering orang membaca dan mendengarnya, semakin terpikat hatinya kepada al- Quran. Apabila al- Quran itu dibaca dengan lidah yang fasih, dengan suara baik dan merdu, ia akan memberi pengaruh kepada jiwa orang yang mendengarnya.

Keadaan orang mukmin tatkala mendengar bacaan al-Quran digambarkan oleh Firman Allah sebagai berikut: “Sesungguhnya, orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementar hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayatNya, bertambahlah iman mereka keranaNya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal.” (Surah al-Anfaal, ayat 2). Diriwayatkan bahawa suatu malam, Nabi Muhammad SAW mendengar Abu Musa Al Asy’ari membaca al-Quran sampai jauh malam. Sepulang ke rumah, baginda ditanya oleh isterinya, Aisyah: “Apa sebabnya pulang sampai jauh malam ? Rasulullah menjawab bahawa: “Baginda terpikat oleh kemerduan suara Abu Musa Al Asy’ari membaca al-Quran, seperti merdunya suara Nabi Daud.”

Dalam riwayat, banyak diceritakan, betapa kuatnya kesan bacaan al-Quran terhadap hati orang kafir. Selepas mereka mendengar bacaan al-Quran, tidak sedikit hati yang pada mulanya keras dan marah kepada Nabi Muhammad serta pengikutnya, berbalik menjadi lembut dan mahu mengikuti ajaran Islam.

Rasulullah sendiri sangat gemar mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain. Dalam sebuah hadis, yang diriwayatkan oleh Bukhari, disebutkan bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud menceritakan sebagai berikut: “Rasulullah berkata kepadaku: “Hai Ibnu Mas’ud, bacakanlah al-Quran untukku !” Lalu aku menjawab: “Apakah aku pula yang membacakan al-Quran untukmu, ya Rasulullah, padahal al-Quran itu diturunkan Tuhan kepadamu?”

Rasulullah menjawab “Aku senang mendengar bacaan al-Quran itu daripada orang lain.”

Kemudian Ibnu Mas’ud membacakan beberapa ayat dari surat an-Nisaa. Rasulullah sangat terharu tatkala bacaan Ibnu Mas’ud itu sampai kepada ayat ke-41 yang berbunyi: “Maka bagaimanakah halnya orang kafir nanti, apabila kami mendatangkan seorang saksi (rasul dan nabi) dari tiap-tiap umat dan Kami mendatangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi atas mereka itu (umatmu).” Rasulullah lalu berkata: “Cukuplah, sekian saja, ya Ibnu Mas’ud!” Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah menitiskan air matanya serta menundukkan kepalanya.

No comments:

Post a Comment