Thursday, March 11, 2010

REHDA LAH...ITU SEBAGAI PENYEBAB...HATI2 BILA MANDI DI SUNGAI2...

Mati kerana lintah

Oleh Kamal Majid
am@hmetro.com.my
2010/03/11

JELI: Sukar dipercayai, namun, itu hakikatnya apabila seekor lintah memasuki dubur seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mandi di sungai berdekatan rumahnya dipercayai menjadi punca dia meninggal dunia di hospital, semalam.

REDA...Abdul Kadir menunjukkan gambar Siti Nazirah.
REDA...Abdul Kadir menunjukkan gambar Siti Nazirah.
Mangsa, Siti Nazirah Abd Kadir, 10, awalnya hanya mengalami sakit perut sebelum membuang air besar di tandas rumahnya untuk meredakan kesakitan.


Bagaimanapun, kesakitan kian memuncak di dubur murid Sekolah Kebangsaan Gemang (SKG) itu sebelum dibantu ibunya, Mariam Yakob, 34, untuk melihat keadaan sebenar.


Mariam yang melihat bahagian sulit terbabit terkejut mendapati seekor lintah sudah mati muncul di seluar anak perempuannya dengan berlumuran darah.


Ekoran kejadian itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Jeli petang kelmarin sebelum keadaannya yang kritikal menyebabkan dia dirujuk ke Hospital Tanah Merah dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk rawatan lanjut.


Bagaimanapun, selepas hampir 16 jam dirawat sebaik dikejarkan ke hospital kira-kira jam 5 petang kelmarin, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam.

Menceritakan kejadian menimpa arwah, Abd Kadir Safei, 44, berkata tragedi terbabit berlaku selepas anaknya itu mandi di sungai berdekatan rumahnya di Kampung Gemang di sini, kelmarin.


Kejadian berlaku ketika arwah anak bersama seorang sepupu, Hayati Idris, 11, mandi di sungai sebaik pulang dari mengikuti latihan sukan di sekolah kira-kira jam 4 petang, kelmarin.


“Sebaik tiba di rumah, arwah terus keluar bersama sepupunya menuju ke sungai tidak jauh dari rumahnya dan pulang kira-kira jam 5 petang, kelmarin.


“Selepas kejadian, mangsa pergi ke tandas membuang air besar dan mengadu sakit di bahagian dubur. Ibunya menanggalkan seluar mangsa sebelum ternampak seekor lintah mati serta disaluti darah dalam seluar anaknya,” katanya.


Katanya, ibunya terperanjat melihat lintah terbabit dan mengesyaki ia memasuki bahagian dubur Siti Nazirah selepas berlaku pendarahan bahagian itu.


Abd Kadir berkata, selepas mengesyaki dubur anaknya dimasuki lintah, isterinya bertindak menghubunginya ketika sedang menyiapkan rumah baru milik adik iparnya yang terletak tidak jauh dari situ.


“Arwah dibawa ke hospital Jeli jam 5 petang sebelum dirujuk ke Hospital Tanah Merah dan seterusnya dihantar ke HRPZII. Anak saya disahkan meninggal dunia jam 9 pagi semalam,” katanya.


“Saya reda apa yang berlaku dan kami sekeluarga memohon rohnya ditempatkan di kalangan orang soleh. Jenazah arwah dibawa pulang dari HRPZ II pada jam 12.21 tengah hari,” katanya.


Menurutnya, jenazah anaknya yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Gemang (SKG) dikebumikan di perkuburan Islam Kampung Gemang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohamed Hanifah Ab Malek ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

No comments:

Post a Comment