Saturday, March 13, 2010

KESIAN CERITA BALU INI....PEMIMPIN DAN BERTANGGUNG JAWAB AKAN DITANYA OLEH ALLAH SWT....ESOK DI PDG MAHSYAR KELAK

Luahan hati balu pesara pegawai kerajaan

Cinta Pesara

Ini adalah luahan hati dan perasaan saya, seorang insan kerdil lagi teraniaya. Saya seorang balu yang baru kematian suami. Suami saya seorang pesara pegawai kerajaan telah meninggal dunia dalam persaraan. Kini saya masih dalam edah.

Saya tidak mempunyai pekerjaan selain dari seorang surirumah sepenuh masa. Pendapatan saya selama ini untuk menyara hidup hanya bergantung pada pencen arwah suami semata-mata semasa hayat suami saya masih ada. Sebahagian besar wang pencen habis digunakan untuk membeli ubat semasa hayatnya dan semasa sakit dan juga semasa sakit tenat dan terlantar, saya seorang diri menjaganya tanpa bantuan sesiapa. Arwah suami saya tidak mempunyai harta, tidak mempunyai wang simpanan, rumah bersewa selama-lamanya ini. Segala urusan kematiannya hingga menguruskan batu nisan, saya selesaikan seorang diri walaupun itu tugasan orang lelaki.

Pencen yang tak seberapa nilainya dihentikan setelah suami saya meninggal dunia beberapa bulan yang lalu. Saya tidak mampu bekerja atas sebab kesihatan.

Masalah timbul setelah suami pergi buat selama-lamanya, saya kehilangan tempat bergantung dan hilang pendapatan. Kini bagaimana harus saya teruskan hidup ini? Saya hanya seorang surirumah sepenuh masa dan tambahan pula mempunyai anak yang masih belajar di IPTA. Kesusahan dan penderitaan ini ditanggung sendiri. Masalah seperti saya ini mungkin juga dialami oleh ramai balu di luar sana.

Persoalannya:

Pencen arwah suami saya yang tak seberapa itu adalah satu-satunya sumber kewangan saya dan keluarga untuk teruskan hidup selama ini dan dengan pencen itu jugalah yang menampung perbelanjaan bulanan bagi pengajian anak saya di IPTA, sewa rumah, bil-bil sara hidup, ubat-ubatan arwah suami dan lebih membebankan lagi saya terpaksa melunaskan hutang-hutang arwah suami juga melalui wang pencen. Hutang wajib dibayar oleh waris yang masih hidup mengikut syarak - saya harus bayar dengan apa?

Saya amat memerlukan wang pencen arwah suami saya itu. Lebih mendukacitakan apabila rayuan demi rayuan telah saya buat kepada pelbagai pihak namun tidak mendapat sebarang maklum balas dan jawapan yang positif dan tidak dilayan. Adakah surat-surat saya tidak diterima oleh penerima yang sebenar atau tidak dibaca langsung oleh penerima yang saya tujukan atau adakah surat dan rayuan saya itu tidak memberi kesan kepada mereka kerana saya bukan dari golongan ternama, kroni atau bangsawan bagi mereka. Tuhan saja yang tahu perkara ini.

Menyedari keadaan ini menyebabkan saya rasa amat kecewa, menderita dan hilang tempat mengadu. Rasanya saya lebih rela dihukum mati daripada menanggung penderitaan ini. Kesempitan hidup yang saya lalui ini turut dirasai anak saya di IPTA yang mula meluahkan hasrat untuk berhenti dari belajar dan mencari kerja untuk teruskan hidup. Walaupun dia terpaksa 'survive and struggle' untuk berjaya mendapatkan tempat di IPTA.

Surat dari JPA yang menyatakan dukacita tidak dapat dipertimbangkan permohonan dan rayuan saya itu sungguh membuatkan saya rasa teramat gerun dan teramat kecewa dan menderita. Alasannya mudah; akta yang digunapakai tidak membenarkannya.

Saya bukanlah cendekiawan ulung, namun bagi saya akta hanyalah ciptaan dan ditulis oleh manusia sahaja dan kandungannya boleh digubal dan akta juga bukanlah isi kandungan al-Quran yang sememangnya tidak boleh diubah oleh sesiapa pun di dunia ini termasuk Rasulullah saw sendiri. Disebabkan akta, saya percaya ramai orang boleh menderita seperti saya dan disebabkan akta jugalah manusia boleh jadi gila. Jika nak diikutkan akta, apabila suami saya mati, si isteri juga mesti mati. Kejadian ini saling tak tumpah seperti zaman purbakala di India.

Bagi pendapat saya segala ciptaan dan tulisan manusia boleh diubah demi kebaikan manusia sejagat, dan satu-satunya perkara yang tidak boleh diubah adalah isi kandungan al-Quran sahaja kerana itulah ciptaan Allah buat hambaNya.

Kini, timbul sedikit penyesalan bagi saya kerana berkahwin dengan golongan pesara yang mana saya tidak ketahui mengenai kewujudan akta ciptaan manusia itu. Malang lagi nasib saya kerana banyak yang telah saya korbankan; habis masa muda saya dan penuh dengan rasa kasihan demi seorang pesara, pengorbanan saya membuat saya terkorban. Kini, walau saya menangis air mata darah sekalipun, masa tetap tidak akan berpatah balik lagi.

Melalui kesusahan dan penderitaan yang saya alami ini saya dapat merasakan roh arwah suami saya tidak tenteram kerana air mata penderitaan saya sentiasa mengalir tanpa hentinya hingga hari ini.

Tidak terfikirkah kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat untuk mengubah aktanya bagi golongan balu malang seperti saya ini yang bergantung hanya kepada pencen tanpa sumber pendapatan yang lain? kini saya telah kalah teruk dalam permainan ini atau dalam bahasa lainnya 'game over'(G.O).

Justeru itu, saya memohon kepada JPA untuk mengkaji semula atas segala rayuan saya untuk mendapat pencen arwah suami saya itu. Cubalah fikir sebaik-baiknya jika sekiranya penulis arahan dan pencipta akta itu di tempat saya, apakah perasaan mereka? Mereka juga akan berperasaan seperti saya dan tentunya akan bertindak mungkin juga jauh lebih agresif dari saya. Pencen arwah suami saya dihentikan selaras dengan akta tulisan dan ciptaan manusia. Bagaimana pula kehidupan saya dan anak seterusnya? Mengikut hukum syarak, berdosa besar bagi mana-mana pemimpin yang membiarkan kami menderita sedangkan kami ada hak untuk menuntut pencen itu.

Persoalannya, bagaimana pula tentang pengobanan suami saya semasa hayatnya? Pencen adalah sumbangan kerajaan kepada pesara dan apabila meninggalnya si pesara itu, maka warisnya yang susah berhak mewarisi pencen tersebut. Jasa arwah sepatutnya dikenang sepertimana kata-kata Allahyarham Tunku Abdul Rahman, mantan Perdana Menteri Malaysia yang pertama dalam satu ucapannya yang dipetik dari sebuah buku yang bertajuk '50 Tahun Meniti Puncak' yang bunyinya seakan-akan begini, "seseorang yang pernah berjasa kepada negara patut dikenang jasanya lebih-lebih lagi perkhidmatannya semasa dan sebelum perang dunia". Butir-butir ucapannya mungkin bukanlah terlalu sama seperti itutetapi membawa maksud yang serupa. Tapi, apa daya saya, seorang insan kerdil lagi teraniaya, keadaan saya amat mendukacitakan yang mana pencen dihentikan tika dan saat saya amat memerlukan.

Sekali lagi timbul persoalan pada saya kenapa saya mengalami masalah ini di saat kerajaan menguar-uarkan slogan yang menarik perhatian rakyat yakni "1MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN" dan mengatakan bahawa tiada seorang rakyat pun yang akan terpinggir. Tetapi, nampaknya sayalah orang pertama yang sudahpun terpinggir di bumi sendiri kerana tiada pembelaan, tidak dapat membela diri dan tiada rasa belas kasihan oleh pihak berwajib mengenai masalah dan tuntutan saya. Dan sekali lagi saya tertanya-tanya, rakyat macam manakah yang 'didahulukan'?

Kini saya terasa bagaikan ditambat, diikat tangan dan kaki dan disebat dengan cemeti-oh, betapa sakitnya! Mengharungi pelbagai liku, ranjau dan duri membuatkan saya terasa amat gerun sekali memandangkan sewa rumah tertunggak, begitu juga dengan bil-bil. Anak yang masih belajar juga tidak dapat saya beri wang saku lagi. Andai kata saya terpaksa pindah rumah sekalipun, hal itu juga memerlukan duit dan apa yang menyedihkan adalah jika saya ditakdirkan berpindah, rumah yang bakal didiami juga adalah rumah sewa juga. Bagaimana pula dengan bantuan perubatan? Selama ini kami hanya bergantung kepada status arwah sebagai pesara untuk mendapatkan rawatan.

Saya bukannya hendak menongkat langit dengan wang pencen tersebut, saya rela sekiranya diberi pencen bersyarat andaikata anak saya dah bekerja selepas tamat pengajian nanti. Pada masa itu, pihak JPA berhak mengambil semula pencen itu. Saya tidak rela anak saya untuk berhenti belajar hanya disebabkan akta ciptaan manusia itu manakala jika itu adalah akta al-Quran, maka saya reda dan terima hakikatnya. Kerajaan boleh menarik banyak lagi sumber lain tetapi bukan pencen suami saya.

Setakat ini belum ada pihak yang tampil bertanya khabar, memberi perhatian mahupun pertolongan jauh sekali membantu diri ini.

Kini, setiap saat berlalu saya rasa bagaikan mati, setiap ruang di hati ini tidak ada lagi ketenangan dan betapa menderitanya saya tika dan saat ini.

Pemergian suami saya buat selama-lamanya amat memberi kesan dan tamparan hebat buat saya, tidak terhingga penderitaan yang saya tanggung ini, tambahan pula saya terpaksa harunginya seorang diri kerana saya tiada sesiapa lagi, ibubapa saya telah lama kembali ke rahmatullah.

Akhir sekali, saya menyeru kepada golongan wanita yang mengalami nasib seperti saya, tampillah tidak kira berapa ramai sekalipun walaupun ianya tetap tidak memberi kesan kepada golongan tertentu. Dan ambillah langkah pengajaran dan iktibar dari mimpi ngeri yang saya alami ini. Bukan mudah jadi balu, lebih-lebih lagi ada anak yang masih dalam jagaan.

Dan ingatlah, harta yang banyak dan pangkat yang tinggi tidak bererti jika tidak diberkati Allah.




lagi cerita yang diabaikan



Keadaan kesihatan Orang Asli menyedihkan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, SM Mohamed Idris berkata, perangkaan kesihatan mendedahkan bahawa keadaan kesihatan Orang Asli menyedihkan serta kekurangan zat makanan bagi ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak komuniti itu perlu ditangani dengan segera.

Katanya, pendedahan yang dibuat oleh Dr. Selva Vathany Pillai baru-baru ini berhubung penyelewengan dan penggelapan sumber oleh pihak berkuasa hospital di Hospital Gombak, mendedahkan kenyataan sebenar status sosial dan kesihatan komuniti itu.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, hari ini.

Berikut adalah lanjutan daripada kenyataan beliau itu.

Orang Asli merupakan komuniti paling terpinggir di negara ini terus mengalami kehilangan tanah mereka melalui penempatan semula, pembalakan, perlombongan, pembinaan empangan, pembangunan padang golf, skim peladangan, pengumpulan semula dan asimilasi ke dalam masyarakat arus perdana.

Hak Orang Asli ke atas tanah warisan tidak diiktiraf oleh negeri; oleh itu mereka semakin kehilangan tanah dan mengalami kemusnahan asas kewujudan mereka. Dasar kerajaan ialah mengumpul dan menempatkannya semula mereka untuk menanam tanaman kontan dan makanan. Tekanan terhadap tanah dan kekurangan bantuan daripada kerajaan negeri serta sokongan telah membawa kepada meningkatkan kesukaran hidup mereka.

Hari ini kira-kira 80 peratus daripada Orang Asli hidup di bawah garis kemiskinan rasmi.

Lihatlah petunjuk kesihatan berikut:

  • Pada 1980-an jangka hayat ketika lahir dalam kalangan Orang Asli Semai ialah 35 tahun. (Untuk Malaysia Barat 68-72 tahun).
  • Orang Asli mempunyai insiden tuberculosis dua kali daripada purata kebangsaan antara 1951 hingga 1971. Menjelang 1995 kadar bagi kanak-kanak Orang Asli ialah tiga kali purata di negeri Perak.
  • Pada 1991 dan 1992, Orang Asli merupakan purata 48% daripada semua jangkitan malaria yang direkodkan di Malaysia Barat (kurang 1% daripada penduduk). Dalam beberapa tahun yang lalu mereka mempunyai purata lebih 70% daripada kes itu.

Kematian bagi Orang Asli ialah 1% setahun bagi tempoh 1984-87, dua kali lebih tinggi daripada purata Malaysia Barat (0.5%) .

  • Kadar kematian bayi ialah 5.2%, lebih daripada tiga kali ganda purata Malaysia Barat (1.6%).

Dalam kalangan wanita Malaysia yang bersalin di rumah pada 1994, 42 meninggal; 60% daripadanya (25) merupakan Orang Asli.

  • Kajian 1995 menunjukkan wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat di Malaysia Barat, dengan 35% daripada mereka mengalami kekurangan protein dan tenaga.
  • Anemia meluas dalam kalangan wanita Orang Asli. Dalam satu kajian, wanita Orang

Asli Temuan mempunyai purata paras haemoglobin 9.9 g/dl (gm/100ml) jauh lebih rendah daripada paras yang diterima iaitu 12-15 g/dl.

  • Kajian lepas mendapati 23% hingga 68% daripada kanak-kanak Orang Asli mengalami kekurangan berat badan, manakala 41% hingga 80% terencat dalam pertumbuhan mereka.
  • Ujian serological juga mendedahkan bahawa 82% daripada Orang Asli menunjukkan pendedahan terhadap penyakit yang berkait dengan virus dan denggi.
  • Pada 1994, penyakit kusta adalah 23 kali ganda menjadi wabak dalam kalangan Orang Asli berbanding penduduk umum.
  • Pada 1990, hanya 67 daripada 774 kampung Orang Asli (9%) mempunyai klinik perubatan.

Di sebalik penemuan yang mengejutkan ini, komuniti Orang Asli gagal untuk menerima perhatian yang mereka perlukan.

Hari ini, Orang Asli menjadi komuniti yang paling tidak sihat di Malaysia, satu gambaran status peminggiran mereka dalam masyarakat. Kekurangan zat makanan merupakan masalah serius dalam kalangan orang Asli, dan wanita Orang Asli merupakan kumpulan orang dewasa yang paling kekurangan zat makanan di Malaysia Barat. Ini adalah diakibatkan oleh kehilangan tanah pertanian dan tempat mencari makan, meningkatnya pencemaran sungai, diet yang tidak mencukupi; paras dan kekerapan mengalami jangkitan penyakit, jangkitan usus dan diskriminasi.

Wanita Orang Asli mempunyai paras kekurangan folate dan zat besi yang tinggi, dibebani dengan masalah cacing dan malaria. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kemerosotan khasiat pemakanan dalam kalangan kumpulan yang paling terjejas iaitu wanita yang mempunyai anak kecil dan kanak-kanak.

Orang Asli selalu mencari makan dengan pelbagai sumber makanan malah apabila mereka menjadi ‘petani’ dan mereka menikmati kualiti makanan yang tinggi dengan pelbagai jenis yang menarik jika jarang-jarang dalam kuantiti yang banyak.

Memandangkan sumber makanan ini semakin merosot mereka dipaksa untuk membeli makanan moden seperti gula, tepung, susu pekat manis, makanan dalam tin, dan minyak masak yang semuanya mengakibatkan pemakanan yang tidak sihat, tidak seimbang dan sukar untuk diperolehi.

Kajian mendedahkan anemia merupakan penyebab ketara penyakit dalam kalangan wanita Orang Asli; dan ibu-ibu mengandung serta goiter (keadaan bengkak pada kelenjar tiroid) dalam kalangan kanak-kanak tidak melihat sebarang perubahan antara 1951 dan 1995.

Kesihatan ibu-ibu mengandung merupakan perkara utama dalam kelangsungan hidup ibu-ibu mengandung dan bayi dan kesihatan yang amat penting kepada komuniti Orang Asli. Status pemakanan kanak-kanak Orang Asli dijelaskan sebagai buruk oleh pelbagai kajian.

Pada 1987, didapati 54 peratus mengalami kekurangan berat badan dan 66 peratus terencat. Kajian lain mengesahkan bahawa kekurangan zat makanan yang meluas wujud dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli; dan kekerapan terencat adalah daripada 44 peratus dalam kalangan bayi hingga 80 peratus dalam kalangan kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun.

Penyelidik telah merumuskan bahawa “status pemakanan kanak-kanak Orang Asli amat sangat berbahaya”. Disebabkan oleh kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang amat serius ditambah dengan cacing usus dan masalah lain, kanak-kanak Orang Asli berdepan kecacatan yang teruk terhadap perkembangan fizikal, intelektual dan sosial mereka.

Perangkaan kesihatan yang menyedihkan ini mendedahkan bahawa keadaan kesihatan yang menyedihkan serta kekurangan zat makanan bagi ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak Orang Asli dalam kalangan komuniti Orang Asli perlu ditangani dengan segera.

Malah Hospital Orang Asli di Gombak hanya melihat sedikit perubahan. Struktur bangunan kayu ‘sementara’ di Hospital Gombak yang dibina pada 1959 oleh pekerja Orang Asli masih menempatkan pesakit. Kakitangan hospital masih kekurangan kepakaran dalam pelbagai disiplin perubatan.

Pendidikan kesihatan yang sempurna tidak ditangani oleh birokrasi perubatan pada masa ini untuk Orang Asli. Menurut Ketua Hospital Gombak, kesihatan Orang Asli tidak mendapat layanan yang baik oleh ‘sikap kakitangan’ di kemudahan perubatan itu.

Di bawah undang-undang, semua aspek kehidupan mereka ‘diuruskan’ oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pendek kata mereka dinafikan hak dengan mempunyai sedikit ruang untuk menyuarakan hal ehwal dan kehidupan mereka sendiri.

Komuniti Orang Asli mestilah terlibat dalam memutuskan keutamaan dan keperluan mereka memandangkan hanya mereka yang mengetahui masalah mereka dengan baik. Berhubung perkara ini, mobilisasi sokongan yang aktif dan penglibatan komuniti adalah menjadi asas kepada penambahbaikan kesihatan mereka.


No comments:

Post a Comment