Tuesday, March 9, 2010

BACA DAN NILAI SENDIRI

DALAM NEGERI

Suami rayu isteri pulang, anak-anak rindu


Maulana Shife Khatib bersama anaknya, (dari kiri) Muhammad Aidip Danish, Muhammad Haziq Dainial (sedang menyusu) dan Puteri Nabila Nasuha di Bercham, Ipoh, semalam. - UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz


IPOH 9 Mac - Demi mengejar kemewahan hidup, seorang isteri, Zuraidah Samsudin, 27, sanggup meninggalkan suami dan lima anaknya di sini untuk bekerja di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu.

Tindakan itu bukan sahaja menyusahkan suaminya, Maulana Shife Khatib, 37, kerana terpaksa menjaga anak-anak mereka yang masih kecil malah terpaksa berhenti kerja.

Keadaan tersebut menyebabkan kehidupan keluarga itu menjadi sukar sehinggalah mereka kehabisan wang simpanan.

Malah Muhammad Aiman, 9, Muhammad Aizam, 7, Muhammad Aidip Danish, 6, Puteri Nabila Nasuha, 3, dan Muhammad Haziq Dainial, 1, pernah diberi minum air gula untuk mengalas perut.

Menurut Maulana, isterinya menghilangkan diri selepas pergi ke rumah rakannya di Kampar pada bulan lalu tetapi dia hanya melaporkan kehilangan wanita itu di Balai Polis Bercham, semalam.

Katanya, Zuraidah dipercayai mengikut rakan-rakannya bekerja di Kuala Lumpur kerana isterinya pernah menyatakan hasrat itu.

"Walau apa pun yang berlaku, saya rayu Zuraidah pulang kerana anak-anak sangat merinduinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bercham di sini hari ini.

Disebabkan kesempitan hidup, Maulana terpaksa kembali bekerja sebagai pemandu lori sambilan dan meninggalkan anak-anaknya itu.

"Saya masih bernasib baik kerana adik ipar saya sudi menjaga anak-anak buat sementara waktu," katanya.

Maulana yang pernah berusaha mencari Zuraidah memberitahu, isterinya itu tidak dapat dihubungi sehinggalah pagi tadi dia menjawab panggilan telefonnya.

Katanya, isterinya itu dipercayai terpengaruh dengan gaya hidup bekas rakan-rakan sekolahnya yang hidup mewah selepas bekerja di Kuala Lumpur.

"Perubahan pada diri Zuraidah yang sering keluar rumah berpunca selepas dia berjumpa semula dengan kawan-kawannya itu Januari lalu," ujarnya.

Sejak itu kata Maulana, isterinya juga sudah mula berpakaian menjolok mata dan tidak lagi mengenakan tudung apabila keluar rumah.

"Saya tidak suka dia berkawan dengan kawan-kawan lamanya kerana mereka berpakaian menjolok mata dan Zuraidah juga ada beritahu seorang kawannya hidup mewah kerana 'dibela' seseorang bergelar Datuk," katanya.

Sementara itu, Norhasimah, 23, yang juga adik Zuraidah memberitahu, dia ada berjumpa dengan kakaknya semasa melawat rakannya di Kuala Lumpur pada minggu lepas.

"Saya tidak bertanya dia kerja apa kerana tidak tahu dia lari dari rumah pada masa itu," katanya.

No comments:

Post a Comment