Friday, March 12, 2010

Ciri keluarga sakinah

Ciri keluarga sakinah

TULISAN-tulisan Prof. Datuk Dr. Sidek Baba menjadi tatapan dan rujukan di dada-dada akhbar sebelum ini. Tentu sahaja kerana beliau seorang penulis yang prolifik termasuk 14 buah buku yang telah beliau hasilkan.

Dalam pelbagai topik terutamanya motivasi, pendidikan, iaitu sesuai dengan ketokohan beliau selama ini sehingga beliau lebih mesra dipanggil dengan panggilan "Cikgu Sidek".

Malah beliau juga berani menulis mengenai kaumnya sendiri, iaitu seperti yang beliau luahkan dalam buku Melayu Perkasa - Berjuang sudah pasti, Menyerah tidak sekali! (Alaf 21, 2009)

Semua rencana tulisan Sidek yang disiarkan di akhbar, tidak boleh habis begitu sahaja. Walaupun akhbar itu bersifat sementara tetapi khazanah yang terkandung di dalamnya perlu diselamatkan.

Inilah yang menghasilkan buku Keluarga Sakinah, iaitu pengumpulan rencana-rencana beliau mengenai aspek perkahwinan dan kekeluargaan yang pernah tersiar sebelum ini.

Melihat pada tajuk buku ini iaitu Keluarga Sakinah tentu ia amat berkaitan dengan konsep 'Rumahku Syurgaku', yang menjadi tuntutan dalam Islam.

Keluarga yang tidak sakinah, tidak tenang, tidak bahagia jauh sekali mampu bersifat syurga. Justeru, Islam melalui al-Quran dan hadis Rasulullah telah memberi pelbagai panduan kepada seluruh umat manusia bagaimana 'rumah' keluarga sakinah itu dapat dibina.

Ciri-ciri itu digarap dalam bahasa seorang yang berpengalaman dalam dunia pendidikan dan menerusi pengalaman-pengalamannya selama ini.

Cuma buku ini memerlukan sentuhan susunan atau persembahan reka bentuk grafik yang lebih menarik dan terkini. Ia untuk menarik lebih ramai pembaca memiliki buku ini.

Ini kerana tidak dapat dinafikan hakikat pembaca kini, mempunyai cita rasa mereka yang tersendiri.

Terdapat hampir 40 bab pelbagai topik perkahwinan, kekeluargaan dan bimbingan anak-anak terkandung dalam buku ini.

Ia termasuklah manusia dijadikan berpasang-pasangan mengikut perspektif Islam dan Barat, pentingnya berkeluarga, persiapan menjadi ibu dan ayah, membina rumahtangga, anak-anak sebagai zuriat dan masa depan, membentuk watak anak dan berkomunikasi dalam keluarga

Kesemua topik adalah lengkap sedari Sidek membebaskan sesetengah pemikiran yang sebenarnya sempit lagi dilaknat apabila hidup berpasangan itu termasuk juga antara lelaki dengan lelaki (gay) dan perempuan dengan perempuan (lesbian) iaitu atas persamaan dan hak atau gender.

Pasangan-pasangan itu mendakwa mereka juga berhak hidup bersama malah diikat atas nama tali perkahwinan tetapi apabila bercakap soal pembentukan keluarga dan melahirkan zuriat, mereka benar-benar memporak perandakan institusi masyarakat dengan tingkah yang sungguh memualkan.

Sebagaimana ditegaskan oleh Sidek, institusi kekeluargaan bermula dengan ibu bapa yang merupakan sekolah pertama bagi zuriat yang dilahirkan. Ibu bapa adalah sumber tauladan dan ikutan anak-anak.

Antara tanggungjawab atau amanah penting ibu bapa kepada anak-anak mereka ialah mengajar cara kita bersyukur kepada Allah atas segala nikmat terutama dilahirkan sebagai Muslim.

Ia agar anak-anak tidak kufur terhadap segala nikmat Allah. Buku ini mesti dibaca bagi setiap pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga.

Ini supaya matlamat mereka hidup bersama lelaki dan perempuan melalui ikatan perkahwinan itu menjadi jelas dan memudahkan mereka apabila berhadapan dengan apa juga konflik.

No comments:

Post a Comment