Jimmy dan isteri buntu selesai kes anak
|
SHAH ALAM - Perbincangan hak penjagaan anak kepada pengacara, Jimmy Shanley dan isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak tidak bersetuju dengan syarat dan tawaran yang diberikan antara satu sama lain.
Perkembangan terbaharu itu akhirnya membuatkan Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 28 Ogos depan bagi perbicaraan tuntutan hadanah (hak penjagaan anak) terhadap anak tunggal pasangan suami isteri itu, Zahrah Shanley, 11 bulan yang dituntut oleh Nursuhaila.
Pada prosiding semalam, peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus yang mewakili Jimmy berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan tawaran plaintif (Nursuhaila) pada Jumaat lepas apabila mencadangkan Jimmy hanya boleh melawat anak perempuan mereka tetapi tidak boleh bermalam.
Malah, Jimmy katanya tidak bersetuju dengan cadangan agar lawatan itu pula hanya boleh dilakukan di rumah Nursuhaila dan anak mereka tidak boleh dibawa keluar dari kawasan rumah tersebut.
"Pada prosiding yang lepas bersetuju untuk menjaga anak secara bersama bergilir setiap minggu tetapi apabila kami tunggu surat, dia kata mahu bincang dengan ahli keluarga lain.
"Namun selepas puas menunggu, 22 Mei lalu kita hantar surat memberi cadangan supaya seminggu itu pecah kepada dua iaitu Isnin Selasa, Rabu atau Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad tetapi baru menerima cadangan baharu tadi pada Jumaat lepas," katanya di hadapan Hakim Syarie, Mawardi Che Man di sini semalam.
Nikah Raisuddin, Fatimah sah
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam diberitahu bahawa perkahwinan penyanyi yang popular sekitar tahun 1980-an, Raisuddin Hamzah dan isteri keduanya, Siti Fatimah Suberi di Songkhla, Thailand pada 2 Januari 2007 adalah sah mengikut undang-undang syariah.
Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk daerah Gombak Timur, Mohd. Hidayat Mohd. Suhaimi dalam keterangannya berkata, pengesahan itu dibuat setelah dia meneliti dokumen pernikahan pasangan tersebut pada 15 Oktober 2008 di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur.
Mohd. Hidayat yang ditanya peguam syarie, Norazmi Mohd. Arif yang mewakili Raisuddin juga mengakui turut meneliti maklumat tambahan iaitu dari segi hukum nikah dan status jurunikah di Thailand.
"Saya menjalankan siasatan terhadap empat dokumen iaitu pengesahan perkahwinan di Selatan Thailand oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, surat daripada Islamic Community of Songkhla kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
"Selain itu, saya turut meneliti catatan keterangan nikah serta surat akuan sah perkahwinan daripada Islamic Community of Songkhla serta meneliti dokumen yang menjelaskan Abdul Halim Latif Salleh adalah jurunikah dan selaku wali yang disahkan oleh Jabatan Agama Islam Songkhla," katanya ketika dipanggil memberi keterangan di hadapan Hakim Syarie Zainur Rasyid Hassin.
Umpan kad prabayar rogol gadis
AMPANG JAYA - Taktik seorang kerani penghantar surat dan ejen insurans mengumpan kad prabayar tambah nilai untuk mendapatkan imbuhan seks daripada dua gadis bawah umur memakan diri apabila masing-masing dihukum penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.Hakim Roszianayati Ahmad menyabitkan tertuduh Aidil Rashid, 38, dan Lee Kwong Mun, 36, atas dua tuduhan rogol setiap seorang selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Beliau mengarahkan hukuman mereka berjalan serentak mulai semalam.
Aidil didakwa merogol gadis pertama berusia 14 tahun antara Mei dan Jun 2010 di sebuah rumah pangsapuri di Lembah Jaya di sini pada pukul 3 dan 3.30 petang dan mengulangi perbuatan serupa terhadap mangsa kedua berusia 13 tahun antara April dan Jun 2010 di tempat sama.
Kwong Mun juga didakwa merogol kedua-dua gadis yang sama di pangsapuri tersebut antara Ogos 2009 dan Jun 2010 dan pada Mei 2010 pukul 9 dan 9.30 malam.
Kedua-dua tertuduh tinggal berjiran di kawasan itu.
Hospital tidak terlibat jual organ
KUALA LUMPUR – Pihak polis menyangkal dakwaan penglibatan hospital di negara ini dalam aktiviti pemindahan organ manusia secara haram seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati, tiada sebarang bukti yang dapat mengesahkan dakwaan bahawa ada aktiviti jualan organ yang dilakukan di hospital di negara ini.
“Siasatan polis dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Polis Antarabangsa mendapati, tidak wujud mana-mana hospital di Malaysia yang terlibat dengan pemindahan dan penjualan organ.
“Kita minta sekiranya orang awam mempunyai berita atau maklumat sila laporkan kepada polis untuk kita siasat,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman di Bukit Aman di sini semalam.
Menurut beliau, siasatan dibuat berdasarkan laporan daripada Kementerian Kesihatan mengenai aktiviti itu yang melibatkan dua lelaki warga Bangladesh seperti yang dilaporkan media Mac lalu.
Proses ganja dalam pondok
SERI MANJUNG – Kegiatan licik seorang lelaki yang menjadikan sebuah pondok untuk memproses ganja sebelum diseludup melalui laluan air terbongkar apabila dia ditahan dalam serbuan di Batu 51, Jalan Kampung Sungai Batu, Pantai Remis kelmarin.Serbuan pukul 4.30 petang itu berjaya merampas 10 ketulan mampat ganja seberat 8.3 kilogram bernilai RM21,000 dan dua bekas silinder cecair yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, pihaknya percaya dapat melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah terbesar di sini dengan penahanan lelaki tersebut.
“Suspek berusia 30-an itu sedang leka membungkus ganja yang siap diproses ketika diserbu.
“Siasatan mendapati bapa kepada tiga anak itu mengedar ganja melalui laluan air di Sungai Batu Pantai Remis di sini sejak beberapa bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Jatuh tersungkur selepas samun
ALOR SETAR - Seorang penyangak yang menyamun seorang tukang urut menerima 'pembalasan' awal apabila dia bukan sahaja dapat ditangkap malah, jatuh tersungkur ketika dihambat penduduk dalam kejadian di Flat Seri Gemilang, Mergong di sini kelmarin.Kejadian pukul 8 malam di tingkat satu itu berlaku apabila suspek yang bersenjatakan sebilah pisau menceroboh rumah Fatimah Md. Salleh, 89, ketika warga emas tersebut hendak mengurut seorang wanita yang dipercayai isteri lelaki terbabit.
Mangsa yang menyangka suspek bergurau ketika mengacu pisau akhirnya cemas apabila lelaki berusia lingkungan 30-an itu menyentap gelang tangannya yang bernilai RM3,000 sebelum melarikan diri.
"Beberapa minit sebelum itu, saya didatangi isteri suspek dan memberitahu dia ingin berurut. Selepas mempersilakan dia masuk, saya suruh dia tutup pintu tetapi dia enggan dengan alasan angin dapat masuk.
"Tidak lama kemudian, lelaki itu muncul dan mengacukan pisau ke dada saya sambil meminta gelang. Saya ingat dia bergurau sebelum dia berkeras dan terus menarik kuat gelang emas saya," ceritanya yang memberitahu gelang itu dibeli ketika dia muda.
Ibu Suzana rayu bantuan
KUALA LUMPUR - Ibu seorang wanita yang diperdaya menjadi keldai dadah, Suzana Azmi, 30, merayu masyarakat negara ini tampil membantunya bagi mengesan anak sulungnya itu yang kini berada di Peru.Norlianah Maarof, 52, berkata, walaupun dia pernah berjumpa beberapa pihak untuk meminta bantuan namun semuanya itu telah ditolak kerana mereka mendapati kes tersebut amat sukar untuk diselesaikan.
"Kini saya hanya boleh berharap agar ada pihak yang benar-benar mahu membantu kami sekeluarga mengesan Suzana dan bawanya pulang ke pangkuan keluarga.
"Tanpa bantuan berkenaan, mustahil bagi saya sekeluarga untuk membawanya pulang ke negara ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan mengenai Suzana yang telah dipenjarakan di Peru pada tahun 2007 akibat diperdaya oleh satu sindiket dadah dan dibebaskan pada 2009.
Bagaimanapun wanita malang itu masih gagal untuk pulang ke tanah air dan ibunya percaya bahawa anaknya itu berada dalam cengkaman sindiket dadah berkenaan.
Norlianah berkata, dia pernah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada beberapa pihak dan individu yang mengaku mahu membantunya.
Derita empat tahun di Lombok
KUALA TERENGGANU – Dek kerana cinta terhadap seorang gadis Lombok, Mohd. Faizul Rosli, 33, sanggup merantau ke Indonesia demi mencari kekasihnya kira-kira empat tahun lalu.
Hubungan cintanya dengan wanita dari negara jiran, Nopi Susanti, 27, bermula kira-kira lapan tahun lalu semasa mereka bekerja di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, mereka terpisah selepas wanita itu pulang ke negara asalnya.
Selepas dua tahun, Mohd. Faizul masih teringatkan Nopi sehingga nekad menjejakinya di Lombok dan berjaya menemuinya lalu mereka berkahwin.
Malangnya, Mohd. Faizul terlupa pas lawatan ke negara itu telah luput tarikh menyebabkan dia tinggal secara haram di negara itu selama lebih empat tahun.
Dalam tempoh tersebut, dia bekerja sebagai pemandu bas dan gajinya tidak mampu menyara isteri serta dua cahaya mata, Nur Syabila, 2, dan Naifah Syafiqah, 4.
Ekoran tidak sanggup menderita di negara orang, keluarga Mohd. Faizul di Telemong, Hulu Terengganu meminta bantuan Biro Aduan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu kira-kira setahun lalu.
Hasilnya, penderitaan lelaki itu berakhir apabila dia berjaya dibawa pulang kelmarin oleh biro tersebut yang diketuai oleh Badrul Hisham Zaki dengan kerjasama ahli perniagaan Malaysia, Datuk Abdul Raof Awang.
Ratusan Muslim Myanmar lari ke Bangladesh
TEKNAF, Bangladesh - Sebanyak lapan buah bot yang membawa lebih 300 orang etnik Rohingya beragama Islam diarah berpatah balik ke Myanmar semalam.
Mereka melarikan diri daripada keganasan aga-ma yang berlaku di negara tersebut.
"Lebih 300 etnik Rohingya beragama Islam berada di atas bot tersebut yang datang dari bandar Akyab.
"Bot-bot itu membawa ramai wanita dan kanak-kanak, kebanyakannya menangis dan kelihatan amat bimbang.
"Kesemua lapan bot itu telah diarah berpatah balik ke Myanmar," kata seorang pegawai Pengawal Sempadan Bangladesh, Shafiqur Rahman kepada agensi berita AFP.
Keganasan antara etnik Rakhine yang beragama Buddha dan Rohingya berlaku pada Jumaat lalu di negeri Rakhine.
Ia kemudian merebak ke Sittwe.
Keganasan itu berlaku disebabkan dakwaan seorang gadis Buddha dirogol tiga penduduk Islam. - Agensi
No comments:
Post a Comment