Sunday, June 10, 2012

BILA MUSIBAH ALLAH TURUNKAN...ADAKAH PASUKAN KESELAMATAN BOLEH MENGHALANGNYA....MAKA JAUHILAH DARI DERHAKA KEPADA ALLAH SWT

Angin kuat, pelanggan lari bertempiaran
Wartawan Sinar Harian
11 Jun 2012
Angin kuat, pelanggan lari bertempiaran
Rosly dan Arianto (kiri) di hadapan kedai mereka berhampiran simpang masuk RAMD Bentong
BENTONG – Lebih kurang 10 rumah termasuk dua kedai makan dan dewan orang ramai terjejas akibat kejadian ribut yang melanda sekitar kawasan Kampung Chamang Baru dan Kampung Kuala Repas, dekat sini, malam semalam.

Pengusaha kedai makan, Rosly Ali, 55, berkata, semasa kejadian, terdapat lebih 100 pelanggan di kedainya kerana ada pertandingan karaoke.

Menurutnya, lebih kurang jam 12 tengah malam iaitu semasa kemuncak acara iaitu majlis penyampaian hadiah, secara tiba-tiba keseluruhan kedainya seakan bergegar akibat ribut.

“Saya menutup lampu kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku dan ketika itu kebanyakan pelanggan sudah bertempiaran lari.

“Kemudian datang lagi angin kuat menyebabkan bumbung kedainya terangkat dan kali ketiga angin kuat menerbangkan hampir keseluruhan bumbung kedai,” katanya.

Rosly berkata, akibat kejadian itu, dia bukan sahaja mengalami kerugian kerana pelanggan lari tanpa sempat membayar makanan tetapi juga tidak dapat meneruskan perniagaan disebabkan kedai rosak teruk.

Menurutnya, dia difahamkan terdapat juga pelanggannya yang cedera ringan akibat kejadian itu semasa cuba menyelamatkan diri.

Tidak boleh berniaga

SEMENTARA itu, seorang lagi peniaga, Arianto Ajib, 45, berkata, dia dimaklumkan kejadian ribut itu oleh Rosly tengah malam semalam.

Menurutnya, pada ketika itu, saya berada di rumah menyiapkan makanan yang bakal dijual pagi esok (hari ini).

“Selepas melihat sendiri apa yang berlaku, saya rasa sangat terkejut dan pada hari ini (semalam) tidak dapat meniaga kerana kebanyakan atap diterbangkan angin.

“Sepanjang 17 tahun berniaga di sini, ini merupakan kali pertama mereka berdepan situasi seperti itu dan berharap ada pihak sudi membantu untuk kembali memulakan perniagaan,” katanya.

Bunyi kuat luar rumah

SEMENTARA itu, penduduk di Kampung Kuala Repas, Mohd Basir Ibrahim, 75, berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang menonton televisyen di ruang tamu.

Menurutnya, mereka sekeluarga terdengar bunyi kuat di luar rumah disusuli bunyi benda jatuh dan selepas diperiksa mendapati terdapat kepingan atap yang diterbangkan angin.

Lega hujan tidak lebat

SEMENTARA itu, Zulkiflie Mohd Yusof, 54, berkata, ketika kejadian dia sudah tidur manakala isteri dan anak-anaknya sedang menonton televisyen.

Menurutnya, mereka sekeluarga bernasib baik kerana hujan tidak lebat memandangkan hampir 30 peratus atap rumah mereka berubah kedudukan akibat ribut.

“Semasa angin kuat itu, isteri dan anak-anak hanya duduk bertenang dan berdoa di dalam rumah kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.

“Alhamdulillah, kami bernasib baik kerana hujan tidak lebat kerana sekiranya hujan sudah pasti terpaksa berpindah ke tempat lain kerana atap sudah bocor,” katanya.

Segera lapor

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Bilut, Datuk Hoh Khai Mun berkata, setakat tengah hari semalam, pihaknya masih belum menerima laporan lengkap jumlah rumah yang terlibat dalam kejadian ribut itu.

Menurutnya, mereka yang menjadi mangsa diminta melaporkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan mangsa mendapat bantuan sewajarnya.

“Penduduk yang terlibat diminta melaporkan segera kejadian yang berlaku supaya tindakan susulan dapat diambil,” katanya kepada Sinar Harian.
Pokok hempap kedai, pelanggan lari lintang pukang
Wartawan Sinar Harian
9 Jun 2012
KEPALA BATAS - Sebatang pokok temak sebesar pemeluk meranapkan bahagian dapur sebuah kedai makan di Kampung Lenkuas, Derang, Kepala Batas, semalam.

Pengusaha kedai makan itu, Taib Mat, 48, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11 malam, dia bersama isteri dan tiga anaknya berada dalam kedai bersama pelanggan lain.

“Tiba-tiba terdengar tiupan angin kuat yang menggerunkan saya sebelum ranting-ranting pokok temak di atas bukit berhampiran kedai mula gugur atas bumbung. Beberapa saat kemudian, pokok itu sudah pun menghempap bahagian dapur kedai saya,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, isterinya, Hamidah Aziz, 42, berkata ketika pokok menghempap dia sedang mengemas peralatan masakan sebagai persediaan untuk pulang.

“Kejadian begitu pantas, saya terdengar sesuatu yang kuat dan apabila menoleh, bahagian dapur kedai sudah pun ranap. Pelanggan yang berada di kedai makan semua lari lintang- pukang kerana terkejut,” katanya.

Menurut ibu kepada lima anak ini, kejadian berkenaan adalah yang pertama sejak 10 tahu mengusahakan kedai makan itu.

“Walaupun sedih dengan kejadian ini tetapi bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku ke atas saya dan keluaga serta pelanggan kami,” katanya.
36 kepala paip dikebas pencuri
NOOR AZIANTY NORMAN
10 Jun 2012
36 kepala paip dikebas pencuri
Ramli menunjukkan kepala paip yang dicuri pihak tidak bertanggungjawab
KUANTAN – Selepas empat hari siap dibaik pulih, tempat wuduk di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Semambu, dekat sini kehilangan 36 kepala paip dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Kejadian itu dipercayai berlaku petang kelmarin, selepas solat Jumaat dan jemaah masjid hanya sempat menggunakan kemudahan itu untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Semambu, Ramli M Taib berkata, sebanyak 50 kepala paip dipasang ketika kerja-kerja membaik pulih tempat wuduk itu.

Menurutnya, dia menyedari kehilangan kepala paip itu ketika mahu menunaikan solat Asar.

“Kami tidak mengesyaki sesiapa tetapi tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan beberapa ‘jemaah’yang datang menunaikan solat Jumaat.

“Saya rasa, kecurian ini dilakukan secara berkumpulan, mungkin dalam dua hingga tiga individu kerana mampu membuka banyak kepala paip dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramli berkata, sebelum itu dia menghubungi kontraktor yang membaik pulih tempat wuduk itu bagi mendapatkan pengesahan sama ada mereka mencabut kepala paip itu untuk tujuan pembaikan semula.

“Bagaimanapun, setelah mendapatkan penjelasan kontraktor, saya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), kira-kira jam 10.30 malam,” katanya.

Menurutnya, dia terkilan kerana pihak kontraktor belum membuat majlis penyerahan, tetapi ada pihak yang lebih cekap mengambil peluang untuk kepentingan mereka.

Sinar Harian difahamkan kerugian mencecah RM1,000.

Sementara itu, setiausaha masjid, Abdul Manaf Sulaiman, 56, berkata, selepas ini pihaknya akan mengambil langkah keselamatan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Katanya, antara usaha yang difikirkan sesuai ialah mengunci tempat wuduk itu dan hanya akan membukanya 10 minit lebih awal sebelum masuk waktu solat.

“Bagaimanapun, semuanya masih dalam perancangan. Ini kerana masjid ini selalu menjadi tempat persinggahan
orang luar untuk menunaikan solat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bimbang berlaku kesulitan kepada jemaah yang mahu beribadah jika pintu tempat wuduk sentiasa berkunci.
Tiga restoran diarah tutup
TUAN NURSUHAILA RAJA MUHAMMAD
11 Jun 2012
Tiga restoran diarah tutup
Sebuah restoran yang menerima notis perintah tutup selepas gagal mematuhi piawaian ditetapkan.
BALAKONG – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)mengambil tindakan menutup sementara tiga restoran di sini, berikutan kegagalan premis tersebut mematuhi arahan pegawai kesihatan MPKj untuk mengendalikan premis restorandengan baik dan bersih.

Ahli Majlis MPKj, Ng Tien Chee berkata, pemilik premis menerima Notis Perintah Tutup di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 62, Pelesenan Establishmen Makanan (MPKj) 2007.

Menurutnya, pemilik salah sebuah restoran yang terletak berdekatan dengan sebuah kompleks membeli belah dekat sini, menerima Notis Perintah Tutup dan diarahkan untuk memberhentikan perniagaan selama 14 hari kerana melanggar peruntukan di bawah UUK 62 atau sekatan lesen.

“Penutupan diarahkan supaya kerja pembersihan dijalankan terutamanya di bahagian dapur dan lorong belakang restoran tersebut,” katanya.

Tien Chee berkata, semasa pemeriksaan dijalankan, didapat lebih empat pembantu restoran tersebut gagal membuktikan mereka menerima Suntikan Pelalian Dengan Kepialu (TY2).

“Suntikan ini bertujuan untuk mengelakkan jangkitan penyakit. Bagaimanapun, restoran tersebut dibenarkan dibuka semula keesokan harinya setelah rayuan dikemukakan.

“Malah pegawai kesihatan MPKj juga berpuas hati dengan sikap pemilik restoran yang mematuhi semua arahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut,” katanya.
Peniaga warga asing ditahan
HIDAYAH HAIROM
10 Jun 2012
Peniaga warga asing ditahan
Warga asing yang ditahan dalam operasi petang semalam, dikumpulkan sebelum
dibawa ke lokap tahanan Imigresen, Jalan Duta.
KUALA LUMPUR - Seramai 23 warga asing terdiri daripada majikan dan pekerja premis di kawasan Masjid India, di sini ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), petang semalam.

Ketua Unit Operasi dan Risikan Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Amdan Yahya berkata, operasi dijalankan ke atas 20 premis perniagaan di kawasan tersebut.

Menurutnya, seramai 113 diperiksa dalam tempoh dua jam operasi dilaksanakan.

“Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 23 orang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, Pakistan dan Indonesia berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun.

“Mereka didapati menyalahgunakan pas yang dimiliki iaitu menggunakan pas lawatan dan juga pas bekerja sebagai pembantu rumah yang boleh dikenakan tindakan kompaun RM200,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke lokap tahan Imigresen, Jalan Duta untuk tindakan lanjut.

Majikan yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 berikutan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah dan jika didapati menggaji lebih daripada lima pekerja, boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan enam kali sebatan.

Sementara itu, wakil DBKL, Saiful Mazli Ahmad berkata, sebayak 18 tindakan berhubung kesalahan di bawah undang-undang pelesenan dan perniagaan.

“Tujuh tindakan sita juga diambil terhadap peniaga tanpa lesen. Kita akan terus melaksanakan operasi ini dari masa ke semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Operasi yang berlangsung dari jam 5 hingga 7 petang itu juga dibantu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hotel terkenal kini terbiar
Wartawan Sinar Harian
11 Jun 2012
Hotel terkenal kini terbiar
Kukuh tersergam tanpa memberi sebarang manfaat.
Hotel terkenal kini terbiar
Rekaan yang menarik, namun dibiarkan usang tanpa sebarang penyelenggaraan.
Hotel terkenal kini terbiar
Bangunan yang terbiar menjejaskan pemandangan.
PORT DICKSON - Strukturnya terbina kukuh tidak menyembah bumi walaupun dihentam badai laut, namun manfaatnya tiada.

Deretan bangunan terbiar dan terbengkalai yang dapat dilihat di sepanjang Pantai Telok Kemang melakarkan pemandangan kurang cantik bagi setiap pengunjung ke bandar peranginanyang terkenal ini.

Malah ada yang memandang sinis kerana bentuk yang kurang sempurna itu masih dikekalkan tanpa sebarang usaha untuk dibangunkan bagi memajukan lagi industri pelancongan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Abd Wahab Shamsuddin berkata, bangunan terbengkalai atau bangunan tinggal di bawah penguasaan MPPD adalah tertakluk kepada Akta Bangunan dan Parit yang  mensyaratkan agar pemilik atau pengusaha bangunan tersebut memagar dan membersihkan kawasan itu, termasuk juga jaminan keselamatan.

“Rekod juga menunjukkan semua pemilik bangunan, terutama di sekitar Telok Kemang, yang tujuan asalnya bagi pembinaan hotel dan apartmen adalah ‘bersih’, di mana mereka mematuhi akta yang telah dikuatkuasakan, selain  membuat pembayaran cukai tanah dan cukai bangunan kosong.

“MPPD tiada kuasa mutlak untuk mengeluarkan arahan agar pemaju atau pemilik memajukan semula bangunan terbengkalai mereka dan sebagainya, selagi mereka patuh  kepada akta dan membayar cukai,”katanya.


Zaman gawat beri kesan

Sinar Harian difahamkan, bangunanberkenaan tergendala pembinaannya, dipercayai sewaktu zaman kegawatan ekonomi sekitar 1990-an. Malah terdapat juga sebuah hotel yang satu ketika dahulu menjadi hotel terkenal di daerah ini, tetapi ditutup dan terbiar sehingga kini.

Abd Wahab berkata, selain bangunan terbengkalai, ada juga bangunan yang siap, namun tidak dapat diurus dengan baik dan ada bangunan apartmen yang telah siap dan terjual setiap unitnya, namun terbengkalai berikutan tiada  Sijil Layak Menduduki (CF).

“Contohnya, ada sebuah apartmen, sewaktu rancak pembinaannya, pemaju mendapat CF sementara kerana ia dibangunkan mengikut fasa dan mendatangkan kepercayaan kepada pembeli untuk mereka memiliki unit di situ.

“Namun akibat kegagalan pemaju membina longkang utama, menafikan haknya untuk mendapat CF penuh dan sekarang ia tiada pihak pengurusan, malah banyak unit yang ditinggalkan pemilik dan ada dilelong bank. Sebahagian  besar pemilik unit apartmen juga dikesan gagal melangsaikan cukai taksiran,” katanya.


Nilai tunggakan unit apartmen cecah RM9 juta

Menurutnya , nilai tunggakan bagi kategori unit apartmen, termasuk juga di beberapa bangunan apartmen lain di daerah ini mencecah RM9 juta dan mereka yang gagal melangsaikan tunggakan tersebut akan dibawa ke mahkamah bagi tindakan undang-undang.

“Rekod juga menunjukkan terdapat tanah dan bangunan terbengkalai yang diambil oleh Kerajaan Negeri kerana pemiliknya gagal membayar cukai tanah,” katanya. Sementara itu, Abd Wahab berkata, sekurang-kurangnya tiga hotel baru sedang dalam perancangan dan pembinaan di Port Dickson yang akan terus merancakkan lagi sektor pelancongan Negeri Sembilan amnya.

“Pada hujung minggu atau cuti persekolahan, Port Dickson secara keseluruhannya setiap hari menerima kunjungan pelancong hampir 50,000 orang. “Kita mempunyai 66 hotel dan hampir 10,000 apartmen. Daripada jumlah ini, ia  nyata tidak mampu menampung kunjungan puluhan ribu pengunjung, lantas sebarang pembangunan yang mengekalkan ciri kehijauan alam semula jadi sangat digalakkan dan dialu-alukan.

“Malah pemilik bangunan terbengkalai atau bangunan tinggal disarankan supaya memikirkan cara untuk memajukan semula bangunan tersebut ,” katanya.

Seksa 3 anak

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Naimah Mohamed
am@hmetro.com.my

SUBANG JAYA: Perbuatan zalim seorang bapa mendera tiga anak kandungnya apabila sering memukul dan melakukan gangguan seksual kepada mereka terbongkar selepas seorang jiran melaporkan kes itu kepada polis, kelmarin.
Tiga mangsa terbabit iaitu dua perempuan dan seorang lelaki berusia tujuh hingga 17 tahun dikatakan mengalami kecederaan dan lebam di badan akibat selalu dipukul bapa mereka berusia 44 tahun yang mengalami tekanan emosi.

Difahamkan, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan selalu memukul tiga anaknya itu termasuk menggunakan paip getah hampir setiap hari walaupun hanya melakukan kesalahan kecil.

Menurut sumber, seorang jiran membuat aduan mengenai kejadian itu kepada Talian Nur sebelum tiga kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pergi ke pangsapuri dihuni mangsa di Puchong Hartamas, di sini, jam 10 pagi kelmarin.
Orang ramai digesa urus sendiri jenazah ahli keluarga
Wartawan Sinar Harian
11 Jun 2012
Orang ramai digesa urus sendiri jenazah ahli keluarga
Abul Hassan menunjukkan demonstrasi menguruskan jenazah kepada peserta di Masjid Iffah,
Selandar, baru-baru ini.
JASIN – Sikap orang ramai yang lebih suka menyerahkan pengurusanjenazah ahli keluarga mereka kepada orang lain perlu diubah dengan menetapkan tanggungjawab itu perlu dipikul dalam setiap keluarga jika berlaku kematian.

Setiausaha Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Abu Dolah Hitam berkata, bagi merealisasikan hasrat itu setiap keluarga perlu didedahkan dengan ilmu berkaitan pengurusan jenazah dan setidak- tidaknya seorang dalam setiap keluarga  mempunyai ilmu berkenaan.

Menurutnya, mentaliti itu tidak sepatutnya masih terdapat dalam kalangan orang Melayu dan masing-masing perlu mempunyai kesedaranuntuk menguruskan jenazah ahli keluarga mereka bermula daripada kematian sehingga ke tanah  perkuburan serta seterusnya.

"Setidak-tidaknya kesedaran ini secara tidak langsung mampu melahirkan pelapis dalam kalangan generasi muda menguruskan jenazah kerana majoriti hari ini hanya mereka yang berumur mengambil tanggungjawab itu. “Kita sedar  ramai yang ambil mudah dengan menyerahkan urusan jenazah kepada bilal atau pihak masjid sedangkan ia lebih baik jika ahli keluarga si mati yang dapat menguruskan jenazah keluarga mereka sendiri,” katanya selepas Majlis Penutup  Kursus Jenazah di Masjid Iffah di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, tenaga pengajar yang juga bekas penyelia Bina Insan Kemas, Abul Hassan Minal dan wakil Kemas Parlimen Alor Gajah, Normah Abd Jalil. Kursus itu dianjurkan Kemas Parlimen Alor Gajah dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selandar dan Lembaga Masjid Iffah Selandar.

Sementara itu, Abul Hassan turut mengakui masyarakat hari ini lebih gemar menyerahkan hal berkaitan pengurusan jenazah kepada pihak lain yang tiada kena mengena dengan ahli keluarga sendiri termasuk langkah lain yang perlu  dilakukan ketika ada kematian.

Menurutnya, kerana itu berlaku kes di mana jenazah lambat dikapan dan dikebumikan kerana tiada ahli keluarga yang tahu cara-cara untuk menguruskannya sehingga terpaksa menunggu serta mendapatkan bantuan pihak luar.

“Senario seperti ini amat menyedihkan sedangkan hal menguruskan jenazah adalah fardhu kifayah tetapi masih ramai yang memandang ringan dan lepas tangan. “Menguruskan jenazah secara tidak langsung dapat memberi keinsafan  kepada diri kita bahawa di dunia ini tiada yang kekal abadi,” katanya.

Lebih 50 peserta membabitkan pelbagai peringkat umur menyertai kursus itu yang bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Tumpang tidur di rumah usang
Wartawan Sinar Harian
10 Jun 2012
Tumpang tidur di rumah usang
Empat beradik yatim piatu akhirnya mendapat perhatian daripada pihak JKM (kanan).
JOHOL – Empat beradik yatim piatu hidup daif dengan hanya menumpang tidur di rumah usang bangunan Jabatan Pertanian selepas ayah mereka meninggal dunia dua tahun lalu akibat serangan strok manakala ibu mereka 13 tahun lalu akibat penyakit buah pinggang.

Tiada arah hendak dituju selepas kematian ayahnya,mereka mengambil keputusan tinggal di rumah Jabatan Pertanian yang kini didakwa bukan milik jabatan itu tetapi dipercayai milik tanah kerajaan selepas pihak pertanian sudah tamat kontrak.

Meskipun sehingga kini status tanah dan rumah itu bukan milik keluarga mereka, tetapi empat beradik itu tekad tinggal di situ berikutan kekangan kewangan.

Si abang, Mohd Hafize Adnan, 28, berkata, bukan dia tidak pernah membuat permohonan untuk memiliki tanah tersebut sejak 2010, namun sehingga kini dia masih lagi belum menerima apa-apa keputusan daripada Pejabat Daerah Kuala Pilah.

Mohd Hafize yang bekerja sebagai tukang masak di A’Famosa Resort terpaksa menyara tiga adiknya yang lain iaitu, Nor Aiza, 25, Mohd Haidi, 19 dan Mohd Haizat, 17, selepas kakak sulungnya Nor Arfah, 30, mendirikan rumah tangga.

Walaupun terpaksa berulang-alik setiap hari dari Johol ke Melaka , Hafize sudah biasa demi mencari rezeki buat mereka adik-beradik.

“Buat masa ini, saya seorang sahaja yang bekerja kerana Nor Aiza kini mengambil tanggungjawab melakukan kerja rumah.

"Mohd Haizat pula masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Abdul Manap (SMKDUAM) manakala Haidi membantu Nor Aiza di rumah," katanya.

Menurutnya, pendapatannya tidak seberapa dan dalam sebulan dia memerlukan sekurang-kurangnya RM800 untuk keperluan dapur serta adik-adik.

"Arwah ayah ada mendapat wang pencen tetapi ia hanya sekadar RM200," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hafize berkata, dia dan adiknya tinggal di rumah itu sejak kecil kerana arwah ayahnya menjaga rumah tersebut dari Jabatan Pertanian.

"Dahulu arwah ayah membersihkan kawasan ini dan kami pernah membayar duit sewa tetapi lama kelamaan tidak diteruskan kerana mereka memberitahu arwah ayah sudah membantu menjaga kawasan ini.

“Apabila pihak pertanian sudah tamat kontrak, kini mereka mendakwa tanah ini milik kerajaan. Saya sudah cuba mohon kepada pihak berkaitan untuk mengetahui status tanah tetapi masih belum ada jawapan,” katanya.

Bercerita soal bantuan, Hafize berkata, dia tidak pernah membuat permohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun Baitulmal.

“Saya memang tidak pernah mohon bantuan malah tidak tahu bagaimana prosedurnya. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun saya tidak terima walhal sudah mohon dua kali. Mungkin ada kesilapan teknikal.

"Berikutan itu, saya hanya berusaha sendiri dengan menternak ayam kampung di perkarangan rumah untuk mendapat pendapatan," katanya.

Kisah empat beradik yatim piatu ini mendapat perhatian pihak JKM dan wakil rakyat angkat, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senaling yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim.

Menurutnya, kunjungan itu bertujuan melihat keadaan keluarga tersebut dan ia ibarat kes terpencil.

"Saya juga sudah meminta bantuan kepada penghulu mukim untuk menyemak semula status tanah ini," katanya.

Ismail berkata, sekiranya ia milik kerajaan, kita akan cuba memohon membina sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) demi keselesaan mereka.

“Saya lihat rumah ini sudah usang malah hanya mempunyai sebuah bilik sahaja.

Pihak JKM juga saya minta mereka mempercepatkan permohonan bantuan elaun untuk Haizat yang masih bersekolah,” katanya.

Terbeli betik 'mengandung’
Wartawan Sinar Harian
11 Jun 2012
betik mengandung
Maizatul (dua, kanan) menunjukkan betik pelik seolah-olah mengandung yang dibelinya.
TAMPIN – Seorang peniaga kios di Tampin, di sini, terkejut apabila mendapati terdapat betik kecil dalam betik yang dibelahnya.

Maizatul Adni Abdul Rauf, 26, berkata, sepanjang tempoh dua tahun dia berniaga buah-buahan, dia belum pernah melihat betik yang seolah-olah 'mengandung' itu.

Menurutnya, semasa memotong buah berkenaan, dia hairan apabila bahagian tengah betik tersebut agak keras.

“Sebaik sahaja dibelah dua, buah betik di tengahnya turut terbelah dua, manakala sebelah lagi terdapat sebuah lagi buah betik kecil yang seakan-akan baru sahaja ingin tumbuh.

“Saya membeli buah ini di salah sebuah kedai buahbuahan di Bandar Tampin dan tidak menjualnya tetapi dimakan oleh kami sekeluarga,” katanya.
Padah bawa motosikal dalam keadaan mabuk
SHAHFUL BAKRI ABD RAZAK
10 Jun 2012
Padah bawa motosikal dalam keadaan mabuk
Anggota JPAM daerah Kota Setar memberi rawatan awal kepada mangsa yang terbabas
ketika menunggang motosikal.
KUALA KEDAH – Gara-gara mabuk, seorang lelaki warga emas hilang kawalan ketika menunggang motosikal sebelum terbabas di persimpangan Taman Sri Kota, Jalan Kuala Kedah, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam ketika mangsa yang berusia 55 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Kota.

Sebelum itu, dia dikatakan keluar bersama rakan untuk minum arak.

Seorang penduduk yang tinggal di taman perumahan sama dan juga saksi kejadian berkata, sejurus sebelum kemalangan, dia sedang menonton televisyen sambil berehat di ruang tamu.

Tiba-tiba dia terdengar bunyi sesuatu dan keluar untuk melihat.

“Saya terkejut apabila ternampak seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan dengan muka dan tangannya luka.

“Saya cuba sedarkan mangsa dengan menepuk bahunya. Barulah dia membuka mata dan bertanya kepada saya apa yang berlaku dan di mana dia berada ketika itu. Berkali-kali dia bertanyakan soalan sama kepada saya,” katanya.

Sementara itu, anggota paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kota Setar berkata, mangsa mungkin mabuk ketika menunggang motosikal kerana terbau minuman keras yang kuat daripada pernafasan mangsa.

Lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar (HSB) untuk mendapat rawatan lanjut.
Maut selamatkan rakan lemas
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
10 Jun 2012
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk dibedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk dibedah siasat.
LEMBAH BUJANG – Hasrat seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah untuk menyelamatkan rakannya yang dipercayai lemas di kawasan air terjun dekat Muzium Arkeologi Lembah Bujang akhirnya meragut nyawanya sendiri selepas dia ditemui lemas jam 5.50 petang kelmarin.

Mangsa, Mohammad Syafiq Omar, 22, bersama tiga rakannya dikatakan beriadah di tasik berkenaan.

Rakan baik mangsa, Muhammad Azri Zulkifli, 22, mengakui pernah ke lokasi kejadian untuk mandi bersama sebelum ini tetapi hairan kerana mangsa tidak memberitahu bahawa dia mahu ke kawasan air terjun bersama rakan lain pada hari kejadian.

“Dia tak beritahu saya pun nak ke sana dan sebelum bertolak hanya mengejutkan saya ketika itu sedang tidur tetapi tidak memaklumkan bahawa nak pergi mandi.

“Bagaimanapun, dalam keadaan separuh sedar saya kembali melelapkan mata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani malam kelmarin.

Menurutnya, dia kemudian menerima panggilan pada jam 5.50 petang dari seorang rakan bertanya mengenai tragedi berkenaan.

“Saya kemudian cuba menghubungi telefon bimbit mangsa dan ketika itu rakan yang berada di lokasi mengesahkan kejadian,” katanya semalam.

Azri berkata, mangsa yang merupakan pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Kewangan itu adalah seorang yang sentiasa ceria dan saling mengenali sejak berada di peringkat diploma lagi.
Seminggu hilang diri demi kekasih
Wartawan Sinar Harian
10 Jun 2012
hilang
Mangsa mengaku pergi ke rumah teman lelakinya.
KULIM - Demi cinta monyet, seorang remaja perempuan sanggup menghilangkan diri selama seminggu untuk menemani kekasihnya yang sakit.

Remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang itu akhirnya pulang ke rumah selepas keluarga kekasihnya mengambil keputusan menghantarnya pulang Keluarga mangsa yang bimbang kemudiannya membawa mangsa ke Balai polis untuk membatalkan laporan dibuat.

Remaja itu yang ditemui di Balai Polis Kulim ketika keluarganya membatalkan laporan polis yang dibuat keluarganya berkata, dia bosan duduk di rumah kerana tidak ada apa yang hendak dilakukan.

“Saya pergi rumah teman lelaki yang berada tidak jauh dari rumah saya,” katanya.

Ketua Balai Polis Kulim, Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak dan mengenali dengan siapa mereka berkawan. Dengan cara ini ibu bapa boleh menjejaki anak mereka sekiranya dilaporkan hilang.

“Sehingga hari ini lebih tujuh remaja terutama remaja perempuan dilaporkan hilang atau melarikan diri dari rumah. Antara punca utama permasalahan ini berlaku adalah kerana mangsa terlibat terlalu taksub dengan cinta monyet yang sedang mereka lalui.

“Selain itu, ibu bapa harus bersikap tegas dan memastikan anak-anak berada di rumah dan tidak berpelesiran”, katanya.

Setelah keterangan diambil, polis menasihatkannya supaya mangsa tidak melarikan diri dari rumah dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula November depan.

No comments:

Post a Comment