Wednesday, June 13, 2012

AMBIK PEGUAM MAMPU...TAK KAN BELI TUDUNG TANGGUH LAGI...

AirAsia diperintah bayar RM646


ZOOLIHSAN menunjukkan pas daftar masuk penerbangan AirAsia selepas membuat tuntutan di Mahkamah TTPM di Putrajaya semalam.



PUTRAJAYA - Gara-gara menunda penerbangan sebanyak dua kali, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia semalam diperintahkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) agar memulangkan bayaran tiket seorang penumpang sebanyak RM646.
Penumpang itu yang merupakan Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Zoolihsan Ahmad, 37, menempah tiket penerbangan sehala ke Medan, Indonesia pada 20 Mei lalu atas urusan rasmi.
Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada pukul 12.20 tengah hari, Zoolihsan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada AirAsia berhubung penundaan penerbangan QZ 8055.
"Sepatutnya penerbangan saya ke Medan berlepas pukul 1.40 petang tetapi ditunda sehingga 8.40 malam. Jadi, saya mengambil keputusan untuk patah balik ke rumah kerana waktu yang ditunda terlalu lama.
"Sekitar pukul 7 malam saya kembali ke LCCT tapi sebaik sahaja sampai di kaunter AirAsia, saya dimaklumkan bahawa penerbangan itu sekali lagi ditunda kepada pukul 10.45 malam," katanya ketika ditemui di luar kamar TTPM di sini semalam.
Ekoran penundaan hampir sembilan jam itu, Zoolihsan terpaksa menghubungi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kepastian sama ada wajar atau tidak beliau berlepas ke Medan.

Neelofa tuntut Anzalna beri penjelasan



NEELOFA menunjukkan keratan akhbar yang didakwa berbaur fitnah terhadapnya di Petaling Jaya semalam.



PETALING JAYA - Pelakon Noor Neelofa Mohd. Noor memberi tempoh seminggu kepada Nur Anzalna Md. Nasir untuk memberikan penjelasan berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dilemparkan terhadapnya menerusi laporan sebuah akhbar pada Ahad lalu.
Neelofa, 23, menyatakan, Anzalna, 24, dalam laporan akhbar itu telah menuduhnya memburuk-burukkan pelakon drama bersiri Indera Joned itu sewaktu mereka sama-sama bersaing dalam pertandingan Dewi Remaja 2010/2011 dua tahun lalu.
Dalam laporan itu, Anzalna antara lain mendakwa, Neelofa telah menghina keluarganya dengan perkataan tidak elok melalui laman sosial Facebook.
"Ingin saya tegaskan bahawa segala kenyataan dan tuduhan yang telah dilemparkan oleh Anzalna dalam akhbar itu 100 peratus tidak benar dan sudah tentu ia boleh menjejaskan kredibiliti saya sebagai seorang pelakon.
"Jadi saya telah melantik dua orang peguam, Ahmad Hidayat Md. Noor dan Mohd. Irwan Mohd. Mubarak untuk mengendalikan kes ini dan satu notis tuntutan telah dihantar kepadanya," kata Neelofa yang dikenali menerusi filem Azura 2012 pada sidang akhbar di sini semalam.

Tiga beranak rentung berpelukan



TAHIR melihat ruang tamu rumahnya yang hangus akibat kebakaran hingga mengorbankan isteri dan dua cucunya di Samarahan, Sarawak semalam.



SAMARAHAN – Seorang tauke kedai runcit yang leka menyelamatkan harta benda menyesal tak sudah apabila terpaksa menerima hakikat yang dia kini hidup bersendirian selepas isteri dan dua cucunya yang disangka telah terselamat ditemui rentung berpelukan semalam.
Kejadian memilukan di Kampung Rembus di sini itu berlaku pukul 2 petang apabila Uka Jenal, 54, dan dua cucunya, Kristino Ronaldo Reagan, 6, dan Roni Austin, 4, gagal menyelamatkan diri sebelum ditemui rentung di dalam sebuah bilik di aras atas rumah dua tingkat tersebut.
Difahamkan, suami Uka, Tahir Sabar, 57, yang sedang berniaga di tingkat bawah bergegas keluar.
Sebaik tiba, dia terus menyambut seorang lagi cucunya, Bryan Ferdinand Freedick, satu tahun, yang sempat dibawa Uka sebelum wanita itu masuk semula ke dalam rumah untuk menyelamatkan Kristino Ronaldo dan Roni.
Bagaimanapun, niat Uka tidak kesampaian apabila dia dan dua cucunya itu dipercayai terperangkap dalam api marak sebelum mati terbakar.
Difahamkan, ketika kejadian ibu bapa dua beradik yang turut tinggal di rumah itu keluar bekerja.

Pengasuh didakwa bunuh bayi



SIEW BEE yang patah kaki dituduh semalam ketika dia masih dirawat di Hospital Batu Pahat, Johor kerana patah kaki.



BATU PAHAT - Seorang pengasuh didakwa semalam atas tuduhan membunuh seorang bayi perempuan di bawah jagaannya di rumah sewa di Taman Bandar di sini pada hujung bulan lepas.
Prosiding pendakwaan terhadap Tan Siew Bee, 42, yang merupakan ibu tunggal dijalankan di Wad 4, Hospital Batu Pahat kerana dia masih menerima rawatan akibat patah kaki kiri.
Wanita berkenaan didakwa membunuh Lim Xiu Yao, empat bulan, di sebuah rumah di Jalan Panti, Taman Bandar antara 29 hingga 31 Mei lepas.
Siew Bee dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika disabit kesalahan.
Tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin namun tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Terkandas 19 tahun di Kerala



MUHD. KHAIRUN (duduk, dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada Fatimah yang diketemukan semula dengan lima cucunya selepas 19 tahun terpisah di Kuala Lumpur semalam. Turut kelihatan Mohd. Yusof (duduk terbaring), Nadeera (berdiri, tiga dari kiri), Abdul Manaf (empat dari kanan), Mohd. Yunus (tiga dari kanan), Nabish Bismeera (dua dari kanan) dan Nabish Rahimeera (duduk di kanan).



KUALA LUMPUR - Gara-gara ditinggal suami sejak 19 tahun lalu, enam beranak terpaksa hidup merempat di sebuah rumah yang diperbuat daripada tanah liat serta tidak mendapat pendidikan sewajarnya di Kerala, India.
Bagaimanapun nasib enam beranak itu mendapat perhatian daripada bantuan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO apabila mereka akhirnya berjaya dibawa pulang ke tanah air semalam.
Mereka ialah Nadeera Mohamedali, 52, Mohd. Yusof Al Safeer Maniam Abdullah, 25, Nabish Bismeera Al Jafree, 23, Mohd. Yunus Al Safeer, 22, Nabish Rahimeera Al Safeer, 21, dan Abdul Manaf, 19.
Nadeera merupakan warga India manakala anak-anaknya, Mohd. Yusof, Nabish Bismeera, Mohd. Yunus dan Nabish Rahimeera lahir di Malaysia kecuali Abdul Manaf yang lahir di Kerala.
Menurut seorang ahli keluarga mereka, Rukkiya I.K. Ibrahim, masalah bermula apabila ketua keluarga, Mohd. Ali Maniam Abdullah, 52, yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan menghilangkan diri pada 1993.
Menurut beliau, sebelum itu, mereka sekeluarga datang ke Kerala untuk melancong selain melawat keluarga Nadeera.
Katanya, kira-kira setahun di Kerala, Mohd. Ali Maniam meninggalkan anak-anak dan isteri di sana untuk pulang ke Malaysia dan bekerja sebagai penebar roti canai.
"Pada mulanya dia ada menghantar wang untuk keperluan keluarga itu di sana tetapi selepas itu tiada khabar berita.
"Saya pula selepas bertahun-tahun tidak mendengar berita daripada mereka sekeluarga, dua tahun lalu saya pergi sendiri ke sana untuk melawat keluarga berkenaan.
"Saya terkejut melihat kehidupan mereka dan saya berasa bertanggungjawab untuk membawa mereka keluar daripada penderitaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Bilik judi 'rahsia' kena serbu



PENJAGA premis dan sebahagian pelanggan yang ditahan kerana disyaki berjudi di sebuah pusat kafe siber di Bandar Baru Klang, Klang kelmarin.



KLANG – Taktik licik pengusaha sebuah pusat kafe siber menjalankan kegiatan perjudian dalam bilik rahsia terbongkar apabila polis menyerbu premis itu di Bandar Baru Klang di sini malam kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 8 malam itu, polis merampas 25 mesin slot perjudian dan 11 unit komputer yang digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian dianggarkan bernilai RM100,000.
Taktik tersebut hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota bahagian Risikan dan Operasi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Pegawai Risikan dan Operasi NKRA Selangor, Asisten Superintendan Emmi Shah Fadhil yang mengetuai operasi itu berkata, siasatan mendapati hanya ‘kaki judi’ yang merupakan pelanggan tetap dibenarkan masuk ke dalam bilik tersebut.
“Pelanggan tetap perlu menggunakan pintu besi yang ditutup dengan langsir sebelum dapat memasuki bilik rahsia ini yang menempatkan mesin slot perjudian dan komputer.
“Pintu besi ini hanya boleh dibuka dari luar dan jika pelanggan mahu keluar, mereka perlu memanggil penjaga premis,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu malam kelmarin.

Osman Kering masih koma



OSMAN KERING (tengah) tidak ketinggalan menyertai Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! di Kuala Lumpur pada tahun lalu.



KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak veteran, Osman Kassim ataupun lebih dikenali dengan nama Osman Kering, 59, kini masih koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini.
Dia yang bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat untuk meneruskan hidup dimasukkan ke hospital itu sejak Isnin lalu akibat batuk kering dan jangkitan kuman di paru-paru.
Menurut isterinya, Che Norhayati Che Omar, 48, jantung Osman telah terhenti beberapa minit ketika mula-mula dimasukkan ke HUKM.
"Alhamdulillah, doktor telah berusaha sedaya upaya memberi rawatan yang terbaik kepada suami saya dan kesihatan dia mula bertambah baik.
"Walaupun masih belum sedarkan diri, dia kini tidak lagi bergantung kepada ubat-ubatan seperti sebelum ini," katanya kepada Kosmo! di HUKM di sini semalam.

Bayi enam minggu ditemui dalam bot pelarian Rohingya


SEKUMPULAN etnik Rohingya Islam duduk di dalam sebuah bot selepas mereka dipintas tentera pihak berkuasa Bangladesh semasa melintasi Sungai Naf di sempadan Bangladesh semalam.



PULAU SHAHPURI, Bangladesh - Seorang bayi perempuan yang dibawa melintasi sebatang sungai di sempadan pada waktu malam bagi melarikan diri daripada keganasan di Myanmar ditemui bersendirian di dalam sebuah bot semalam.
Bayi berkenaan ditemui oleh beberapa pengawal keselamatan Bangladesh yang mengusir beratus-ratus pelarian Islam etnik Rohingya dari Myanmar.
Anak kecil berusia enam bulan itu kemudian diserahkan kepada sebuah keluarga Bangladesh.
Keluarga berkenaan memberitahu, bayi itu kurang sihat tetapi mereka akan berusaha menjaganya.
"Pasukan peronda sungai kami memintas sebuah bot pada pukul 2 pagi (waktu Bangladesh)," kata Mejar Shafiqur Rahman.
Beliau mengetuai operasi untuk menghantar pulang pelarian Rohingya yang cuba memasuki Bangladesh melalui bot di Sungai Naf bagi melarikan diri daripada keganasan agama di Myanmar.
"Mereka menggeledah bot berkenaan dan menemui seorang bayi perempuan Rohingya berusia dalam lingkungan satu setengah bulan," kata Rahman kepada agensi berita AFP dalam satu wawancara telefon.
"Bot berkenaan kosong. Ini satu keajaiban tetapi bayi tersebut kelihatan pucat," tambahnya.
Sejak kelmarin, pasukan peronda sungai Bangladesh telah mengusir 16 buah bot yang membawa lebih 660 pelarian Rohingya dengan kebanyakan mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Sementara itu, beberapa pegawai Myanmar memberitahu, keganasan yang melanda negeri Rakhine di barat Myanmar telah meragut nyawa sekitar 25 orang setakat ini.
Kekacauan di Myanmar tercetus selepas sekumpulan penduduk beragama Buddha memukul sehingga mati 10 orang etnik Rohingya yang beragama Islam pada 3 Jun lepas kerana tersilap menyangka mereka membunuh dan merogol seorang gadis tempatan pada bulan lalu.
Tindakan tersebut mencetuskan serangan balas etnik Myanmar dengan banyak kediaman penduduk beragama Buddha dibakar sehingga memaksa campur tangan tentera. - AFP

No comments:

Post a Comment