Friday, June 15, 2012

MURKA ALLAH...TIADA SEMPAT BERTAUBAT MAKA NERAKALAH TEMPATNYA...TAK KIRA APA KEDUDUKANNYA DIDUNIA.....

Pilu anak terbiar di New Zealand

HANAFI menunjukkan gambar anaknya pada sidang akhbar di pejabat Kelab Putera 1Malaysia di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Titisan air mata seorang bapa, Hanafi Salleh, 30, membuktikan betapa hatinya cukup merindui panggilan ‘daddy’ yang diungkapkan oleh kedua-dua anaknya yang didakwa dilarikan oleh isterinya ke New Zealand sejak tujuh tahun lalu.
Suara gelak ketawa kedua-dua anaknya, Muhammad Syayden Ingham Hanafi, 12, dan Muhammad Jamey Alano Ingham, 9, yang sentiasa terngiang-ngiang seolah-olah mereka baru berpisah semalam.
Keadaan tersebut mendorong bapa tersebut untuk mencari dan membawa semula kedua-dua anaknya itu yang merupakan warganegara Malaysia pulang ke tanah air.
Menceritakan detik duka itu, Hanafi memberitahu, wanita yang dikahwininya pada tahun 1999, Nurul Junaidah Joanne Abdullah, 27, yang merupakan warganegara New Zealand bertindak melarikan diri bersama dua anak mereka itu pada 2004.
“Kami sekeluarga tinggal di Muar, Johor sebelum dia (Nurul Junaidah Joanne) lari bersama dua anak kami ke New Zealand pada 2004 tanpa apa-apa sebab kerana kami tiada sebarang perselisihan faham.
“Ketika itu pula saya dalam pelayaran di Eropah kerana bekerja sebagai pengurus pentadbiran dengan sebuah syarikat perkapalan,” katanya ketika ditemui di pejabat Kelab Putera 1Malaysia di sini semalam.

Sultan Johor murka terhadap Mohammad Nizar


SULTAN IBRAHIM bertitah merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor Ke-12 di Kota Iskandar, Nusajaya semalam.


NUSAJAYA – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar melahirkan rasa murka terhadap bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mengkritik tindakan baginda membida nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 menerusi laman Twitter baru-baru ini.
Tanpa menamakan Mohammad Nizar, Sultan Ibrahim bertitah, tindakan itu merupakan satu penghinaan kepada rakyat dan kedaulatan negeri Johor dan baginda berharap Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Perak itu sedar mengenai kesilapannya.
“Baru-baru ini, ada pemimpin politik yang secara terang-terangan mengkritik tindakan saya membida nombor pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Adakah dia lupa tentang adab Melayu atau sememangnya dia seorang yang jahil dan cetek akalnya?
“Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara yang sebenar.
“Bukankah berdiam diri itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik? Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya, janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati,” titah baginda.

GRO warga China ugut terjun bangunan


GRO warga China diselamatkan anggota bomba selepas cuba terjun bagi mengelak ditangkap dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Rasah Jaya, Seremban malam kelmarin.


SEREMBAN - Seorang pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga China yang takut dicekup anggota Imigresen bertindak nekad berdiri di atas kompresor alat pendingin udara di tingkat dua sebuah pusat hiburan di Rasah Jaya di sini malam kelmarin.
Wanita berusia 30-an tersebut turut mengancam untuk terjun walaupun dipujuk oleh anggota Imigresen.
Kejadian cemas yang berlarutan selama sejam itu bermula apabila sepasukan anggota Imigresen menyerbu pusat hiburan berkenaan pada pukul 11 malam.
Ketika serbuan, seramai 30 GRO yang lain bertindak menyembunyikan diri di bahagian bumbung premis setinggi dua tingkat itu.
Bagaimanapun, drama tersebut berakhir selepas pihak Imigresen meminta bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Rahang di sini untuk membawa turun wanita itu.

Perompak nekad larikan ATM


ANGGOTA polis menjalankan siasatan di tempat sebuah ATM mengandungi wang RM47,900 dilarikan empat perompak di Puchong, Selangor semalam.


PUCHONG – Sekumpulan empat lelaki yang terdesak untuk mendapatkan wang segera telah bertindak nekad melarikan sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mengandungi wang RM47,900 di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Subang Jaya dekat sini semalam.
Aksi kesemua perompak yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun tersebut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis itu pada pukul 3.55 pagi.
Difahamkan, kumpulan perompak bertopi itu menggunakan sebuah kenderaan berat untuk melarikan ATM itu dalam tempoh kurang tiga minit.
Suspek-suspek didapati menyarung ATM tersebut sebelum mengikatnya dengan kabel untuk ditarik.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, suspek dianggap profesional kerana berjaya melarikan ATM dalam tempoh singkat tanpa membuatkan alat penggera berbunyi.

Datuk terkilan tidak sempat selamatkan isteri, cucu


MENTERI Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah melihat kesan melecur pada leher Tahir ketika melawatnya di Kampung Rembus,Samarahan, Sarawak semalam.


SAMARAHAN - Hati seorang tauke kedai runcit di sini remuk sebaik menemui mayat isterinya yang rentung bersama dua cucu dalam keadaan memeluk kanak-kanak tersebut seolah-olah ingin melindungi mereka daripada menderita terkena api.
Bukan itu sahaja, Tahir Saban, 57, memberitahu, dia juga terkilan kerana tidak mendengar jeritan tiga beranak itu kerana leka menyelamatkan barangan berharga selain menyangka mereka telah terselamat.
Katanya, dia melihat sendiri keadaan mayat tiga beranak itu yang ditemui di tingkat dua rumahnya selepas dimaklumkan oleh anggota bomba.
"Saya memang tidak dengar langsung jeritan isteri dan cucu saya itu kerana percaya mereka sudah keluar dan selamat daripada kebakaran tersebut.
"Sebaik melihat mayat mereka, hati saya jadi remuk dan kedua-dua belah kaki saya lemah. Saya hampir pengsan," ceritanya ketika ditemui semalam.

Pengurus HSBC mati ditikam perompak


ANGGOTA polis mengusung mayat Wong yang mati ditikam di rumahnya di Ulu Sungai Merah di Sibu, Sarawak semalam.


SIBU - Pengurus cawangan sebuah bank asing di sini ditemui mati dipercayai dibunuh dalam satu cubaan merompak di rumahnya di Ulu Sungai Merah di sini kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.
Mangsa, Stephen Wong, 31, yang merupakan pengurus Bank HSBC cawangan Sibu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di badan yang dipercayai ditikam dengan objek tajam.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryll Sani Abdullah Sani berkata, sebelum kejadian, mangsa yang tinggal bersama isteri dan anaknya sedang tidur di bilik tingkat atas.
Menurutnya, tiba-tiba datang seorang suspek yang masih belum dikenal pasti identitinya memakai baju lengan panjang dan bertopi memecah masuk kediaman terbabit.
"Pengurus bank itu dipercayai bergelut dengan lelaki berkenaan di dalam bilik tidur menyebabkan isteri mangsa tersedar lalu bangun.
"Melihat isteri mangsa bangun, suspek terus melarikan diri ke bahagian belakang rumah dengan memanjat tembok," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Askar jadi bomoh dijel rogol gadis


NORAZANNI di Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang bomoh muda dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah didapati bersalah merogol gadis yang dirawat di rumah mangsa pada Mac tahun lalu.
Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Norazanni Nordin, 31, yang semasa kejadian merupakan seorang askar selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.
Norazanni didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik di sebuah rumah di hadapan sebuah sekolah di Machang pada pukul 9.30 malam, 18 Mac tahun lalu.
Tertuduh dari Sungai Petani, Kedah didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.
Semasa kejadian, Norazanni dijemput keluarga mangsa ke rumah mereka bagi merawat mangsa yang mengalami kemurungan dan meracau-racau.

Kilang kostum perang di India


RAI yang memegang pedang berdiri di depan meja yang mengandungi pelbagai bentuk topi perang di kilangnya
di Sahibabad pada 2 Jun lalu.


SAHIBABAD - Seorang ahli perniagaan tempatan, Ashok Rai di Sahibabad di India memperoleh pendapatan sebanyak AS$3 juta (RM9.5 juta) pada tahun lalu selepas kilangnya menghasilkan kostum dan pelbagai jenis peralatan perang pada zaman pertengahan Eropah dan Perang Dunia Kedua.
Dia menceburi bidang tersebut semasa berusia 17 tahun apabila mendengar sebuah syarikat pembuat champangne dari Perancis memerlukan 1,000 pedang untuk dijadikan cenderamata.
Rai kemudian pergi ke bandar Amritsar untuk mencari pembuat pedang yang boleh membuat replika senjata tersebut.
Dia yang kini berusia 37 tahun itu kemudian menukarkan bengkel bapanya yang membuat barang kraf tangan menjadi pengeluar pelbagai jenis peralatan perang.
"Saya meminati sejarah sejak dari kecil lagi. Saya akan menonton setiap filem perang yang ditayangkan di bandar kelahiran saya. Saya juga membaca semua kisah peperangan utama yang dalam sejarah.
"Justeru, mudah bagi saya untuk menerangkan kepada tukang besi tentang kerja-kerja yang perlu mereka lakukan," katanya yang tidak menamatkan pengajiannya di sebuah kolej untuk menceburi perniagaan tersebut.
Selain pedang, bengkelnya menghasilkan baju besi, pelbagai jenis topi perang, lembing, replika bom tangan Perang Dunia Kedua dan perisai.
Menurutnya, kebanyakan senjata tersebut dibuat di kilang miliknya di sini yang memiliki sekitar 500 pekerja.
Rai pernah membekalkan kostum dan senjata untuk beberapa filem epik Hollywood termasuk The Last Samurai, Robin Hood dan Kingdom of Heaven yang menampilkan bintang Hollywood seperti Tom Cruise, Russel Crowe serta Orlando Bloom. - Agensi

Lagi kematian di Syria

GAMBAR menunjukkan kawah dan sebuah kenderaan hangus dalam letupan bom di pinggir Damsyik semalam.


DAMSYIK - Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dalam keganasan di seluruh Syria termasuk 10 orang di wilayah Homs, tengah negara berkenaan semalam.
Mangsa yang lain pula maut dalam beberapa serangan bom kereta di sini dan di bandar Idlib, barat daya Syria.
Beberapa saksi berkata, seorang pengebom berani mati meletupkan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan di pinggir bandar raya ini dengan menyebabkan 14 orang cedera dan sebuah makam suci pengikut Syiah mengalami kerosakan.
Agensi berita rasmi SANA melaporkan, kenderaan itu meletup di dalam sebuah garaj pada jarak 50 meter dari makam Saidatina Zainab.
Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Syria menyatakan, sebuah bom kereta yang meletup di bandar Idlib disasarkan ke atas sebuah pos kawalan tentera menyebabkan sejumlah askar terbunuh dan cedera.
Menurut pertubuhan berkenaan, seramai lapan orang termasuk tiga pejuang pemberontak maut dalam beberapa pertempuran dengan tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad di bandar Homs.
Perkembangan itu berlaku ketika Setiausaha Luar Britain, William Hague menggesa Rusia dan Iran menggunakan pengaruh masing-masing di Syria bagi membantu menamatkan pemberontakan di negara itu.
Pemberontakan itu berlaku sejak 15 bulan lalu bagi menentang kepimpinan Bashar.
Hague membuat gesaan tersebut dalam satu pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Rusia dan Iran di Kabul, Afghanistan semalam.
Russia yang merupakan sekutu kuat Syria, enggan berhenti membekalkan senjata kepada rejim Bashar yang terbabit dalam pertempuran berdarah dengan para pemberontak sejak kebangkitan rakyat Syria bermula pada Mac 2011.
Setakat ini beberapa pemerhati menyatakan, lebih 14,000 orang terbunuh dalam konflik di negara Asia Barat itu. - Agensi

No comments:

Post a Comment