DUNIA
Rusia siasat pesawat meletup
MOSCOW - Para penyiasat penerbangan di Rusia semalam menyiasat letupan sebuah pesawat penumpang Rusia yang membawa 124 orang semasa ia ditunda di sebuah landasan terbang bersalji di Surgut, Siberia, kata beberapa pegawai.
Mereka turut menyoal saksi-saksi dan penumpang dalam kes itu yang diklasifikasikan sebagai pelanggaran peraturan operasi penerbangan.
Dalam kejadian yang berlaku kelmarin itu, seramai tiga orang terbunuh manakala 43 lagi cedera termasuk enam mangsa yang melecur teruk.
Seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan, Vadim Grebennikov berkata, kebakaran bermula di salah sebuah enjin semasa pesawat itu ditunda untuk berlepas.
Dia berkata, kebakaran tersebut menyebabkan satu letupan kuat sehingga memusnahkan pesawat Tu-154 itu.
Selepas api dipadamkan hanya ekor pesawat dan sebuah sayap yang dapat diselamatkan manakala bahagian lain hangus terbakar.
Seorang penumpang, Vladimir Politvov berkata, beberapa penumpang berlari meredah api untuk menyelamatkan diri.
"Hanya sebuah pintu kecemasan yang berfungsi. Kami tidak dapat melihat pintu di bahagian tengah," kata seorang lagi penumpang, Olga Sytnik.
Menurutnya, penumpang yang keluar dari pintu kecemasan mendapati mereka berada dekat dengan sayap pesawat.
Orang ramai turun dari pesawat itu dengan menggunakan tangga manakala beberapa lagi melompat dari sayap pesawat dan berlari, tambahnya.
Semua tiga enjin pesawat itu terletak di bahagian belakang.
Pesawat itu dalam penerbangan dari bandar Surgut, Siberia ke Moscow.
Seorang mangsa yang terselamat, Sergei Grigoryev berkata, dia yang duduk di bahagian belakang pesawat melihat beberapa orang memijak kepala penumpang lain semasa mereka bergegas untuk menyelamatkan diri. - Agensi
DUNIA
Kos parti tahun baru Abramovich RM24 juta
|
|
GUSTAVIA - Pemilik kelab bola sepak Chelsea dalam liga perdana Inggeris, Roman Abramovich, 44, menganjurkan parti tahun baru dengan melibatkan kos kira-kira £5 juta (RM24 juta) dan menjemput ramai selebriti, lapor sebuah akhbar semalam.
Parti itu diadakan di kawasan hartanahnya yang bernilai £58 juta (RM279 juta) seluas 28.32 hektar di St. Barts, Kepulauan Caribbean.
Artis popular seperti Fergie dari kumpulan Black Eyed Peas, Salma Hayek dan Demi Moore hadir untuk memeriahkan majlis yang dihadiri 250 orang tetamu kelmarin.
Beberapa hari sebelum sambutan tersebut berlangsung, barisan selebriti seperti pengarah filem Star Wars, George Lucas, penyanyi rap, Sean 'P-Diddy' Combs, pengacara terkenal, Ellen DeGeneres, penyanyi Alicia Keys dan penerbit filem, Harvey Weinstein dibawa ke pulau itu dengan helikopter.
Sambutan itu turut meriah dengan persembahan bunga api. - Agensi
DUNIA
Jualan rokok elektronik semakin meningkat di pasaran dunia
|
|
PARIS - Pihak pengurusan syarikat pengeluar rokok elektronik, EdSylver menyatakan jualan rokok itu meningkat sejak 2007.
Rokok elektronik merupakan alternatif buat perokok kerana ia kelihatan seperti rokok biasa, diperbuat daripada bahan plastik, tidak mengeluarkan abu dan menghasilkan asap tiruan.
Rokok yang menggunakan kuasa bateri yang boleh dicaj itu boleh digunakan di kawasan larangan merokok.
"Sejak dilancarkan pada tahun 2007 jualannya menunjukkan peningkatan sebanyak 30 peratus setiap tahun," kata seorang jurucakap syarikat EdSylver.
Rokok elektronik itu mula dicipta di China pada 2004.
Terdapat set rokok elektronik itu yang dijual di pasaran di AS pada harga AS$59.93 (RM184.85).
Rokok itu boleh diisi dengan nikotin yang terdapat dalam rokok biasa.
"Saya berasa gembira dengan rokok ini. Saya mahu mengulangi perasaan merokok tanpa nikotin," kata salah seorang pengguna rokok tersebut.
Pengasas bersama syarikat Rokok Elektronik Premium di Virginia, Amerika Syarikat (AS), Vitali Servutas berkata, jumlah jualan rokok elektronik keluaran pihaknya meningkat tetapi dia enggan mendedahkan jumlahnya.
Bagaimanapun, pakar tembakau di seluruh dunia menegaskan bahawa rokok elektronik itu tidak menyumbang terhadap kebaikan kesihatan dan menjejaskan kempen antimerokok.
Rokok itu turut mempunyai perasa seperti rokok Virginia Slims, Marlboro, Benson Hedges, 555, lemon dan vanila. - Agensi
DUNIA
Cahaya ganjil dekat matahari
DORCHESTER, Britain - Seorang lelaki merakamkan gambar cahaya ganjil dekat West Milton, Dorset pada 28 Disember lalu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Lelaki tersebut, Jonathan Hudston meminta pandangan orang ramai bagi menentukan sama ada cahaya yang dirakamkannya itu merupakan objek terbang tidak dikenali (UFO) atau bulan.
Ada individu yang menghantar komen di akhbar dalam talian Real West Dorset bahawa cahaya itu bukannya bulan tetapi satu pantulan cahaya kerana ia dirakamkan semasa matahari terbenam.
Bagaimanapun, ada individu yang berpendapat bahawa cahaya itu memang merupakan UFO. - Agensi
DUNIA
Gelagat pelajar mabuk dikritik
LONDON - Sekumpulan pelajar perubatan Imperial College, London minum minuman keras sehingga muntah di sebuah bar di pusat pengajian tinggi berprestij itu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Beberapa baldi diletakkan untuk pelajar itu muntah pada malam Rabu lalu yang diiktiraf sebagai hari untuk pasukan yang bergiat dalam sukan.
Sejumlah pelajar yang aktif bersukan menghadiri majlis itu.
Sebahagian pelajar yang muntah kembali meminum minuman keras.
Namun, gelagat pelajar itu dikritik oleh akhbar Mail Online kerana ia menjejaskan imej pusat pengajian tersebut yang amat terkenal di dunia kerana kualiti pendidikannya.
Seorang jurucakap Imperial College menyatakan pelajar-pelajar yang muntah itu menunjukkan mereka mungkin tidak sihat.
"Pihak Imperial College tidak mengalakkan atau membenarkan (pelajar) meminum minuman keras secara berlebihan. Semua pelajar baru diberitahu mengenai bahaya minum minuman keras semasa mereka menyertai majlis itu," kata jurucakap tersebut. - Agensi
DUNIA
Kereta Ferrari Hugh Grant rosak
KENT - Kereta Ferrari yang berharga £140,000 (RM674,102) rosak semasa pelakon Hugh Grant dalam perjalanan untuk bermain golf, lapor sebuah akhbar semalam.
Grant, 50, terpaksa menerima pelawaan seorang pemilik sebuah pub yang mengajaknya menaiki van Volkswagen Kombi berusia 15 tahun untuk ke kelab gol tersebut.
Semasa kejadian, pelakon filem Notting Hill itu memandu di sebatang jalan raya dekat Sandwich di Kent.
Namun, kereta sportnya itu mengalami masalah enjin di laluan pandu laju menyebabkan dia cuba mengundurkan keretanya ke tepi jalan.
Beberapa buah kereta yang berada di belakang Ferrari itu terpaksa dipandu ke tepi jalan bagi memberi laluan kepada Grant mengundurkan kereta.
Pelakon itu terpaksa menumpang van pemilik pub tersebut kerana trak penunda mengambil masa selama beberapa jam untuk tiba di tempat kejadian selepas dia menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan.
Kereta sport itu tiba-tiba kehilangan kuasa menyebabkan ia tidak boleh bergerak ke depan.
Pemilik pub itu, Paul McMullan berkata: "Sejumlah pemandu kereta memperlahankan kereta untuk melihat kereta eksotik Grant. Mereka berasa terkejut melihat seorang pelakon berdiri di tepi jalan."
Grant membeli Ferrari itu pada Ogos lalu semasa sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-50. - Agensi
No comments:
Post a Comment