Wednesday, January 5, 2011

MANUSIA SEKARANG RAMAI DAH TAK MENGIRA HALAL HARAM DALAM SEGI TINDAK TANDUK....SEOLAH2 MEREKA DAH TAK PERCAYA SYURGA DAN NERAKA...

Pinjam 'koperasi along'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

SERIUS...Md Yusof dan Nadzim mendengar aduan mangsa sindiket terbabit.
SERIUS...Md Yusof dan Nadzim mendengar aduan mangsa sindiket terbabit.
KUALA LUMPUR: Ceti haram atau along dikesan menggunakan taktik baru menipu kakitangan awam dengan mengumpan mereka mendapatkan pinjaman mudah daripada koperasi tertentu sebelum melaburkan wang dipinjam itu dalam skim pemasaran berperingkat (MLM) yang membabitkan pelaburan terkumpul berjumlah hampir RM1 bilion, sejak tiga tahun lalu.
Kakitangan awam yang terpedaya janji manis along terbabit hanya perlu menyediakan dokumen tertentu untuk mendapatkan pinjaman mudah dan menyedari mereka tertipu selepas menyemak dengan koperasi mengenai jumlah sebenar pinjaman, malah terkejut dengan kadar faedah pinjaman tidak masuk akal yang dikenakan.
Sindiket terbabit menggunakan orang tengah untuk memujuk kakitangan kerajaan supaya membuat pinjaman daripada koperasi kononnya bagi melabur dalam skim MLM yang menjanjikan pulangan berlipat ganda, sedangkan hakikatnya skim berkenaan disenaraihitamkan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, semua urusan permohonan pinjaman seperti borang koperasi dan dokumen lain diuruskan dalang terbabit yang hanya menghubungi peminjam untuk mengeluarkan wang menerusi draf bank yang dipindahkan ke akaun milik sebuah syarikat.


Kegiatan itu dikesan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) selepas menerima aduan orang ramai yang tertipu dengan sindiket terbabit menerusi tawaran pinjaman dan diluluskan tidak sampai 24 jam.

Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md Yusof Samsudin, berkata sindiket itu dipercayai menggunakan cap jari dan tandatangan palsu mangsa untuk memohon pinjaman selain menawarkan satu skim pelaburan kononnya pemohon akan mendapat keuntungan berlipat ganda dalam masa singkat.

Katanya, kumpulan terbabit turut menjadikan kecanggihan teknologi maklumat untuk mendapatkan maklumat peribadi orang ramai yang diperoleh menerusi laman sosial Facebook dengan menjadikan penjawat awam di Lembah Klang sebagai mangsa.

Menurutnya, mangsa akan diperdaya dengan dakwaan kononnya pinjaman itu mendapat kelulusan kerajaan dan menunjukkan bukti koperasi sebagai badan yang dipertanggungjawabkan menguruskan kewangan itu sehingga diluluskan.

“Ramai di kalangan mereka (dalang) terbabit bergelar jutawan hasil daripada kadar caj pinjaman dan imbuhan tinggi yang dikenakan kepada pemohon. Mereka mengaku menjadi ejen koperasi, tetapi ramai yang tidak tahu, SKM sudah mengeluarkan arahan untuk melarang penggunaan ejen oleh mana-mana koperasi di negara ini.

“Berdasarkan aduan, ada peminjam yang dikenakan caj 12 peratus iaitu kadar yang terlalu tinggi jika dibandingkan caj biasa yang diterima koperasi sebanyak satu peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau menerima kunjungan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mengadakan pertemuan dengannya untuk menyelesaikan satu kes terbaru membabitkan penipuan pinjaman bernilai RM111,000.

Menurut Md Yusof, pemantauan pihaknya juga mendapati rata-rata peminjam yang menjadi mangsa adalah penjawat awam yang baru bekerja dan tidak tahu membezakan antara skim yang dibenarkan atau didalangi pihak tertentu yang mahu mengaut keuntungan semata-mata.

“Kami percaya sindiket menggunakan koperasi tertentu ini didalangi along yang turut menawarkan skim cepat kaya untuk menipu orang ramai yang terpedaya helah licik mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menjalankan siasatan lanjut bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan orang ramai terutama penjawat awam yang terpedaya dengan tawaran sindiket terbabit yang mengakibatkan mereka terpaksa menanggung bebanan hutang pinjaman yang tinggi.

Md Yusof berkata, mana-mana koperasi yang terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 64 dan 66 Akta Koperasi dan jika sabit kesalahan, tindakan menggantung, membubar atau memecat ahli lembaga koperasi berkenaan akan diambil.

“Kami juga mengambil tindakan membekukan kod Biro Pemotongan Angkasa (BPA) yang diberikan kepada koperasi terbabit bagi menghalang mereka daripada menjalankan kegiatan baru dan hanya boleh menjalankan urusan sedia ada seperti pungutan hutang.

“Kebanyakan ejen ini agresif, mereka akan buat apa saja untuk menarik peminjam kerana imbuhan yang menanti adalah tinggi. Justeru, kami menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat pinjaman, sebaliknya merujuk kepada SKM terlebih dulu bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai status koperasi,” katanya.



Tinggal bayi bawah pokok

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Shamsul Munir Safini

DI SINI...Norabiatul menunjukkan lokasi bayi malang berkenaan dibuang.
DI SINI...Norabiatul menunjukkan lokasi bayi malang berkenaan dibuang.
KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki dipercayai berusia enam hari ditemui masih bernyawa dalam sebuah beg galas berwarna hitam ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sebuah sekolah rendah di Persiaran Titiwangsa di sini, semalam.
Difahamkan, bayi malang itu ditinggalkan di kawasan berkenaan lebih sejam sebelum ditemui orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, bayi lelaki terbabit terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) disebabkan hampir lemas kerana ditinggalkan dalam beg galas yang tertutup, namun keadaannya kini dilaporkan stabil.

Saksi kejadian, Norabiatul Adawiyah Yunus, 23, berkata ketika kejadian, dia dan rakannya, Nizul Ahmad, 21, baru pulang dari tempat kerja apabila ternampak sebuah beg galas ditinggalkan di bawah pokok di luar pagar sekolah berkenaan.


“Curiga dengan keadaan beg itu, saya kemudian meminta Nizul melakukan pemeriksaan. Sebaik membuka beg galas itu, kami mendapati kandungannya adalah tuala putih sebelum segera meletakkannya semula.

“Sebaik meletakkan beg itu, kami terdengar suara bayi menangis membuatkan kami terkejut dan berpandangan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini semalam.

Katanya, dia dan Nizul kemudian membuka semula beg galas itu sebelum terkejut apabila mendapati seorang lelaki bayi cukup sifat berada dalam beg berkenaan.

“Keadaan bayi itu agak lemah menyebabkan kami segera menahan beberapa kenderaan yang lalu lalang di kawasan itu untuk mendapatkan bantuan tetapi gagal.

“Kami bernasib baik apabila sebuah kenderaan polis kebetulan melalui kawasan itu.

“Sebaik menahan kenderaan itu, kami segera memaklumkan penemuan berkenaan dan anggota polis terbabit segera menghubungi pihak berkaitan,” katanya.

Sebuah ambulans tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian sebelum bayi lelaki itu dihantar ke HKL untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan penemuan bayi berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

“Saya berbangga dengan keberanian dan keprihatinan kedua-dua saksi kejadian yang bertindak pantas memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

“Tindakan mereka berjaya menyelamatkan satu nyawa. Saya berharap tindakan mereka akan menjadi contoh kepada orang ramai,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan menggunakan pendekatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

Oleh itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui atau ada maklumat mengenai kejadian berkenaan agar menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.



2 siswa dihempap pokok

Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali

PARAH...Salman dikejarkan ke HPSF untuk menerima rawatan selanjutnya.
PARAH...Salman dikejarkan ke HPSF untuk menerima rawatan selanjutnya.
HAFIZUDIN...kejadian berlaku sekelip mata.
HAFIZUDIN...kejadian berlaku sekelip mata.
LEDANG: Perkelahan 14 pelajar Universiti Teknikal Melaka (UTeM) di kawasan peranginan Gunung Ledang berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka dihempap sebatang pokok.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Salman Al Farisi Ahmad Sabri serta rakannya, Muhammad Hafizudin Abdullah, masing-masing berusia 21 tahun, ditimpa pokok ketika berkelah di Kolam Puteri, Gunung Ledang.
Menceritakan semula tragedi itu, Hafizudin berkata, kejadian berlaku sekelip mata ketika dia dan rakan berehat selepas penat mandi-manda.

“Angin kencang tiba-tiba bertiup di kawasan kami berkelah dan dikejutkan dengan bunyi kayu patah, namun tiada apa-apa yang berlaku.

“Beberapa saat kemudian barulah saya sedar sebatang pokok tua tumbang ke arah saya dan Salman, tetapi kami tidak sempat mengelak,” katanya ketika di temui di Hospital Tangkak, petang semalam.

Menurutnya, separuh anggota badannya dihempap pokok menyebabkan dia terkedu dan terpinga-pinga selepas kejadian itu sebelum diselamatkan rakannya.

Hafizudin berkata, Salman yang turut dihempap pokok berkenaan mampu berdiri serta berjalan sebelum rebah secara tiba-tiba.

“Panik dengan keadaan Salman itu rakan yang lain meminta bantuan orang ramai di sekitar Gunung Ledang berikutan darahnya tidak berhenti mengalir dari lukanya,” katanya lagi.

Dua pelajar terbabit dikejarkan untuk rawatan kecemasan di Hospital Tangkak, sebelum Salman yang berasal dari Felda Hutan Perca, Alor Gajah, Melaka dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Sementara itu, jurucakap hospital ketika ditemui berkata, Hafizudin yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan dirawat sebagai pesakit luar memandangkan kecederaan ringan dialaminya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata pasukan Bomba dan Penyelamat Tangkak dengan bantuan renjer Gunung Ledang Resort (GLR) bergegas ke tempat kejadian membantu membawa mangsa turun sebelum dihantar mendapat rawatan kecemasan di Hospital Tangkak.



 NEGARA

Nenek rancang bunuh 3 beranak

CHENNAI - Seorang nenek berumur 67 tahun dipercayai bertanggungjawab merancang pembunuhan kejam seorang wanita warga Malaysia dan dua anak kecilnya di Madurai, India pada November lalu.
Menurut pegawai polis di Vadipatti, Inspektor P. R Lakshmanan, nenek itu yang kini ditahan polis di Madurai merupakan nenek kepada suspek utama kes bunuh tiga beranak itu yang dipercayai telah melarikan diri ke Malaysia dengan empat suspek lain.
"Kami mendapati nenek itu merupakan perancang pembunuhan itu, dia yang sebenarnya menyuruh mereka (semua suspek) membalas dendam terhadap si mati.
"Semua tujuh tertuduh dalam tahanan kami sekarang juga mendedahkan yang nenek itu terbabit dalam jenayah itu," kata Lakshmanan.
Mayat tiga beranak itu pada mulanya ditanam di ladang kelapa wanita nenek itu sebelum mayat-mayat itu kemudian dipindahkan ke tempat lain.
Warga Malaysia, Adhila, 24, dua anaknya, Ajira Banu, 5, dan Mohd Aslan, 7, didapati hilang dari rumah mereka di daerah Ramananthapura pada 8 November.
Tiga hari kemudian polis menemui mayat tiga beranak itu dalam keadaan sudah reput di sebuah saliran di Vadipatti di Madurai, Tamil Nadu, kira-kira 150 kilometer dari tempat mereka diculik.



Kanak-kanak mati terjerut langsir

05/01/2011 3:04pm

ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki, Tan Yin Sheng, 5, mati terjerut kain pengikat langsir di rumahnya di Taman Timah, Jalan Putra di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian berlaku pukul 9.30 malam ketika kanak-kanak itu bermain seorang diri di ruang tamu rumah berkenaan.
"Kita menerima panggilan telefon daripada jirannya kira-kira pukul 10.40 malam mengatakan anak jirannya mati terjerut kain pengikat langsir,"katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa dipercayai seorang kanak-kanak hiperaktif dan didakwa telah memanjat sofa berhampiran dengan langsir sebelum dia terjerut pada kain pengikat langsir itu. - Bernama




NEGARA


Keputusan inkues Beng Hock diketahui hari ini

KUALA LUMPUR - Keputusan yang ditunggu-tunggu mengenai inkues kematian pembantu politik kepada seorang anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock dijangka diketahui pada petang ini.
Koroner Azmil Muntapha akan menyampaikan keputusan itu di Mahkamah Majistret Shah Alam pada pukul 2.30 petang.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa berkata, setakat ini tidak ada tanda-tanda sebarang penangguhan mengenai keputusan itu yang diterima daripada pegawai mahkamah berkenaan.
Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009 selepas dia memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.
Ekoran kejadian itu, pejabat Peguam Negara mengarahkan inkues dilakukan ekoran berbangkit beberapa persoalan sama ada Beng Hock membunuh diri atau dibunuh dan paling penting, bagaimana, bila dan cara mangsa itu menemui ajalnya.



NEGARA


Keluarga tolak lamaran Sanah sebab Ahmad uzur


AHMAD terbaring sambil ditemani dua anaknya, Hamiah (kanan) dan Fatimah di Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Hasrat Sanah Ahmad, 82, untuk mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Md. Isa yang berusia 110 tahun berkemungkinan besar tidak kesampaian.
Ini kerana keluarga Ahmad semalam berubah fikiran apabila menolak sebarang perbincangan mengenai perkahwinan warga emas itu.
Anaknya, Fatimah berkata, keputusan itu adalah hasil perbincangan semua ahli keluarga dan ia adalah muktamad.
“Saya minta maaf kepada keluarga Sanah kerana terpaksa tolak hasrat mereka. Jadi, saya rasa mereka perlu batalkan rancangan ke rumah kami Sabtu ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Mengkudu di sini.
Menurut Fatimah, keputusan itu diambil atas dasar kesihatan ayah mereka yang kerap sakit seperti batuk, lelah dan muntah berkahak selain terpaksa membuang air kecil di dalam bekas kerana sudah tidak berdaya untuk berjalan ke bilik air.
Katanya, anak Sanah, Sabaha ada menghubungi suaminya Sabtu lepas memaklumkan kedatangan mereka.
“Mereka tetap mahu datang sebab hendak melihat sendiri keadaan ayah dan kami mungkin tidak benarkan ayah bersua muka dengan Sanah takut dia bersungguh-sungguh hendak berkahwin,” jelasnya.



NEGARA


Maut tak sempat diami rumah baru


BEBERAPA anggota polis memeriksa mayat Che Esah yang maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Impian seorang wanita untuk mendiami sebuah rumah baru bersama keluarganya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Sultan Yahya Petra dekat sini semalam.
Mangsa, Che Esah Che Noh, 31, meninggal dunia kira-kira pukul 9.40 pagi ketika dalam perjalanan ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang bagi membuat pembayaran bagi rumah yang dibelinya di Pasir Tumboh di sini.
Dalam kejadian itu, motosikal yang dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan lain sehingga dia tercampak di atas jalan raya.




NEGARA


Karam Singh buat penjelasan




KUALA LUMPUR - Wartawan penyiaran Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3), Karam Singh Walia (gambar) menafikan dia mabuk semasa didakwa mengeluarkan kenyataan berbau perkauman di sebuah restoran di Klang baru-baru ini.
Katanya, dia masih waras dan sedar apa yang diperkatakan ketika kejadian itu.
Menceritakan semula insiden itu, Karam berkata, dia pada mulanya menegur sikap sekumpulan remaja yang meletakkan motosikal dengan sesuka hati di hadapan sebuah restoran India Muslim.
"Saya marah mereka dan mengatakan 'letak motosikal tidak pakai otak, bodoh punya orang'. Saya ulangi perkataan yang sama selepas duduk di dalam restoran sambil memesan makanan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Karam berkata, tidak lama kemudian salah seorang penunggang motosikal terbabit telah menuduhnya menghina orang Melayu menyebabkan kira-kira 20 orang lelaki lain mengepungnya.
Apabila merasakan keselamatannya terancam, dia lantas meminta maaf kerana tidak mahu meneruskan perbalahan dan cuba meredakan keadaan.
"Ketika itu saya malu dan tertekan kerana bersama saya ialah anak saudara yang baru pulang dari England dan saya bimbang dia dicederakan. Sebab itu saya memohon maaf kepada kumpulan itu," jelasnya
 
 
 
 

NEGARA


Makmal halal pertama di dunia

NILAI - Makmal Institut Halal Malaysia pertama negara yang bernilai RM27.3 juta yang berperanan sebagai pusat halal antarabangsa akan dibina di Bandar Enstek di sini tidak lama lagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, makmal berkenaan akan dijadikan pusat untuk menguruskan semua produk halal termasuk produk antarabangsa yang memerlukan sijil halal.
Menurutnya, makmal ini dijangka dapat meningkatkan kredibiliti dan keupayaan perkhidmatan pensijilan halal selaras untuk menjadikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai rujukan utama dalam pensijilan dunia yang diperakui oleh 23 negara lain.
"Makmal halal ini merupakan makmal yang pertama kerana sebelum ini kita menggunakan makmal di Univeriti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.
"Diharapkan dengan kewujudan makmal ini, segala urusan berkaitan dengan produk halal dapat dilaksana dengan lebih efisien," katanya selepas mempengerusikan taklimat pelaksanaan projek berkenaan di pejabat TH Properties di Bandar Enstek, Nilai di sini semalam.
Menurut Jamil Khir, skop analisis yang dilakukan di makmal itu kelak mampu menganalisis produk makanan dan produk gunaan sebelum sijil dikeluarkan kepada pemohon.
"Pembangunan kaedah analisis halal pula akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan pihak universiti dan badan-badan kerajaan yang lain," katanya.

No comments:

Post a Comment