Monday, January 3, 2011

ENTAH BILA KES2 MENIPU NAK SELESAI...KES2 ZINA...PEMBUANGAN BAYI....MARILAH KITA BERBALIK KEPADA HUKUM ALLAH SWT....AGAR KITA DALAM REDA DAN KERAHMATAN ALLAH SWT...

Penipu anggun tipu RM15,000

Oleh Rosyahaida Abdullah

TERTIPU...Muhamad Ibrahim dan Rozaimah menunjukkan laporan polis yang dibuat.
TERTIPU...Muhamad Ibrahim dan Rozaimah menunjukkan laporan polis yang dibuat.
SHAH ALAM: Akibat terpedaya lakonan seorang wanita yang berpura-pura mahu menjadi pengedar produk kecantikan dan kesihatan, dua usahawan Bumiputera mengalami kerugian hampir RM15,000 apabila menerima bayaran melalui cek tendang.
Mangsa, Muhamad Ibrahim Abdul Halim, 30, dan Rozaimah Md Yusof, 32, didatangi suspek yang berperwatakan seakan-akan ‘Mak Datin’ dalam dua kes berasingan masing-masing di Seksyen 13, di sini, dan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Oktober lalu.

Dalam kes pertama, Muhamad Ibrahim yang juga pengarah syarikat produk berasaskan kecantikan dan kesihatan, Silver Capsicum Holdings Sdn Bhd, berkata dia hanya menyedari ditipu selepas pihak bank memaklumkan cek yang diterima cek tendang ekoran akaun cek itu sudah lama ditutup.
Dia yang tidak berpuas hati cuba menghubungi suspek beberapa kali untuk memintanya menjelaskan bayaran terbabit, namun suspek melengahkan pembayaran serta memberikan pelbagai alasan sebelum mematikan telefon bimbitnya.

“Pada 20 Oktober lalu, saya terima panggilan seorang wanita yang memperkenalkan dirinya Kak Nor dan dia beritahu saya dia nak jadi stokis kami. Saya suruh dia datang ke pejabat untuk berbincang.

“Seminggu kemudian, dia datang pada jam lebih kurang 11 pagi bersama seorang perempuan yang didakwa anaknya. Selepas saya beri penerangan, dia bersetuju menjadi pengedar bagi pakej kami yang paling mahal.

“Saya minta dia isi borang dan selepas saya menyerahkan produk kami, dia pun keluarkan cek dan tulis jumlah bayaran RM8,305 sebelum menyerahkannya pada saya,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, baru-baru ini.

Bagi kes kedua, Rozaimah menerima SMS daripada suspek pada 27 Oktober iaitu hari sama suspek memperdayakan Muhamad Ibrahim dan melarikan produknya.
Rozaimah berkata, dia menerima SMS terbabit di sebelah malam sebelum suspek datang ke pejabatnya dua hari selepas itu.

“Walaupun dia datang dalam keadaan tergesa-gesa, namun saya langsung tidak mengesyaki apa-apa, malah saya juga tidak meminta sebarang pengenalan diri daripadanya.

“Saya telefon dia setiap hari meminta bayaran seperti pengemis dan berkali-kali ke bank, tapi dia menipu,” katanya yang juga stokis Jamu Mak Dara.

Rozaimah berkata, suspek yang menyerahkan cek tendang bernilai RM5,130 itu mematikan telefon bimbitnya selepas sering dihubungi Rozaimah.

Kedua-dua mereka mengalami situasi sama dengan suspek menggunakan nama Fatahiah Che Ibrahim pada cek Ambank terbabit dan ketika kejadian, terdapat seorang wanita lain berusia awal 20-an menunggu di dalam kereta Proton Perdana warna perak yang bertindak sebagai pemandu.



Cedera disamun 10 lelaki



KUALA LUMPUR: Dua sahabat yang ingin merakamkan kenangan manis menyambut malam tahun baru di Bukit Bintang, di sini, berakhir tragedi apabila disamun 10 lelaki selepas kepala mereka dipukul menggunakan bekas tin semburan cecair buih, awal pagi kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Vincent, 18 dan Jeff, 20, merakamkan suasana sambutan menggunakan telefon bimbit di hadapan pintu masuk sebuah pusat beli-belah, di situ.

Sejurus merakamkan gambar tembakan bunga api, mereka didatangi sekumpulan lelaki yang berdiri rapat di sebelah mereka berdua.
Jeff berkata, seorang daripada kumpulan lelaki itu menolak badannya sebelum merampas telefon bimbitnya.

“Telefon Vincent juga dirampas sebelum kami cuba melawan.

“Kami cuba menarik tangan lelaki terbabit dalam kelompok orang ramai, namun tidak mampu kerana tiba-tiba beberapa rakan lelaki itu memukul kepala kami bertubi-tubi menggunakan tin penyembur cecair buih” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah yang berada di tempat kejadian berkata, mangsa cedera di kepala dan lebam di badan akibat dipukul
 
 
 

Calit minyak pada baju sebelum curi beg tangan



KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan kehadiran geng seluk saku dan curi didalangi warga asing, kini muncul pula ‘geng minyak hitam’ yang mencalit minyak pada pakaian bagi memperdaya mangsa sebelum beg tangan mangsa dilarikan.
Suspek dipercayai berkeliaran di pusat beli-belah terkemuka di ibu kota, dikesan sengaja mencalit minyak hitam itu bagi memaksa mangsa masuk ke dalam tandas membersihkan kesan kotoran itu.

Bagaimanapun, ketika mangsa hendak membersihkan kesan minyak itu, ahli geng terbabit melarikan beg tangan mangsa.
Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru kira-kira jam 4.30 petang 24 Disember lalu, seorang suri rumah berusia 41 tahun yang membeli-belah di pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang, di sini, menjadi mangsa.

Ketika kejadian, mangsa bersama tiga ahli keluarga masuk ke sebuah kedai menjual pakaian berjenama terkemuka sebelum mencuba pakaian dalam kedai itu.

“Bagaimanapun, seorang jurujual menegur mangsa dan memberitahu terdapat kesan calitan minyak pada belakang baju kedua-dua anak mangsa.

“Mangsa pergi ke tandas di tingkat dua pusat beli-belah berkenaan bagi membersihkan kesan kotoran itu.

“Mangsa meletakkan beg tangannya di singki di luar tandas berkenaan.
“Bagaimanapun, mangsa yang selesai membersihkan kesan kotoran itu terkejut apabila mendapati beg tangannya lesap,” katanya



Sumbat janin dalam tangki

SERIAN: Perasaan curiga seorang tukang cuci melihat tangki pam tandas wanita di Hospital Serian di sini dalam keadaan tidak tertutup rapat membawa kepada penemuan mayat janin yang disumbat ke dalam tangki itu, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, tukang cuci terbabit berasa curi apabila melihat tangki pam tandas yang dicucinya dalam keadaan terbuka, lalu cuba menutupnya. Namun, sebaik saja mengangkat penutup tangki pam itu, dia terkejut apabila melihat mayat janin dalam keadaan terperosok akibat disumbat ke dalam tangki itu.

Tukang cuci wanita berkenaan segera memaklumkan penemuan janin itu kepada kakitangan hospital sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Jamali Umi, ketika dihubungi semalam berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati janin seberat satu kilogram itu dipercayai dilahirkan dalam tandas terbabit sebelum disumbatkan ke dalam tangki pam berkenaan.

“Kami percaya ibu bayi terbabit cuba menyembunyikan kelahiran dengan menyumbat janinnya ke dalam tangki pam tandas bagi mengelak diketahui keluarga,” katanya.

Menurutnya, janin berkenaan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat dan polis sedang menjejaki individu bertanggungjawab.

“Polis turut menyemak senarai nama pesakit memasuki wad bersalin untuk mencari suspek perbuatan keji ini,” katanya



'Saya sangka kaki anak patung'



SRI AMAN: “Saya sangka ia kaki anak patung, tetapi apabila diperiksa hati saya jadi sayu dan marah apabila mendapati ia sebenarnya mayat bayi lelaki,” kata seorang penduduk Kampung Triso, Meludam, di sini, Khamis lalu.
Hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, dia mengakui amat geram dan marah terhadap pihak tidak bertanggungjawab membuang bayi berkenaan di situ selepas melihat bayi yang tidak bersalah itu dalam keadaan reput dan dihurung semut di tapak pelupusan sampah itu.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, dia ke tapak pelupusan yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk membuang sampah sebelum ternampak kaki mirip anak patung terkeluar dari satu bungkusan di timbunan sampah terbabit.
“Kerana curiga, saya memeriksa plastik sampah itu dan terkejut mendapati ia mengandungi mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat.

“Keadaan mayat bayi itu cukup menyedihkan kerana seluruh badannya lebam dan kehitaman akibat terkena kotor sampah selain dihurung semut,” katanya.

Terkejut dengan penemuan itu, Ahmad segera memanggil beberapa penduduk kampung ke tapak pelupusan berkenaan sebelum menghubungi Balai Polis Meludam.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Muhammad berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati bayi lelaki yang masih bertali pusat itu disahkan meninggal sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ditemui.

Katanya, berikutan penemuan terbabit pada 30 Disember lalu, polis melakukan siasatan untuk mencari individu yang bertanggungjawab dan menahan dua suspek di rumah masing-masing di kampung terbabit, petang Jumaat lalu.
“Suspek wanita berusia 21 tahun ditemui lemah selepas tidak sampai seminggu melahirkan bayi manakala seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan di rumahnya tidak jauh dari rumah suspek pertama.

“Suspek lelaki sudah berkahwin dan menjalinkan hubungan sulit dengan suspek perempuan sebelum kekasihnya itu melahirkan anak luar nikah seorang diri,” katanya.

Mat Jusoh berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bayi berkenaan masih hidup ketika dibuang di tapak pelupusan sampah, namun disebabkan kawasan berkenaan agak jauh dari kampung, tiada penduduk yang menemuinya lebih awal.

“Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sri Aman untuk bedah siasat,” katanya.

Manakala, dua suspek terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayatnya.




Tiada tindakan perundangan jika dikikis kasanova



KUALA LUMPUR: Menyerahkan wang secara suka rela demi ‘membiayai’ cinta biarpun akhirnya mendapati diri dikikis kasanova atau pisau cukur, tidak boleh dijadikan alasan seseorang itu menyaman menggunakan mana-mana akta dalam perundangan kerana tiada kesalahan jenayah dilakukan dalam situasi itu.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, apabila seseorang itu menyerahkan duit secara rela tanpa sebarang paksaan dengan alasan rasa kasih pada seseorang itu, ia tidak boleh menyaman pula orang terbabit selepas kecewa ditinggalkan atau putus cinta.

Beliau berkata, ini kerana tiada kesalahan undang-undang dilakukan ketika ia menyerahkan wang itu kepada pasangan kerana ia dilakukan secara rela, bukan dicuri, disamun, nafkah atau melanggar kontrak berikutan tiada ada apa-apa talian, selain pasangan kekasih.
“Oleh itu, jika wanita atau lelaki menyerahkan wang atas nama cinta, ia tidak boleh berpatah balik dan mengatakan ia tertipu kasanova hingga mengambil tindakan perundangan.

“Selalunya yang menjadi mangsa adalah mereka yang kesunyian termasuk wanita lanjut usia, tetapi masih belum berkahwin dan mereka mempunyai rupa paras kurang menarik serta jarang didekati,” katanya.

Beliau berkata, pasangan yang hanya bercinta tetapi tiada hitam putih bagi majlis pertunangan atau perkahwinan, tidak boleh membuat sebarang tuntutan sekiranya berpisah, walaupun ada dijanjikan pasangan mereka untuk ke jenjang pelamin.

Kamal Affendi turut menasihatkan golongan wanita supaya berpijak di bumi nyata dan tidak terus-terusan hanyut dengan angan-angan apabila dihampiri lelaki terutama yang bijak bermain kata-kata bagi mengelakkan mereka menyesal di kemudian hari.

Metro Ahad semalam melaporkan taktik licik seorang kasanova ‘cap ayam’ yang tidak mempunyai kelebihan daria segi paras rupa dan bentuk tubuh, tetapi bijak bersandiwara dan meraih simpati mencari mangsa.
Dia ‘mengayat’ wanita tidak mempunyai rupa paras menarik dan mengikis duit mereka sebelum menggunakan wang itu bagi memikat dan menaja gadis cantik.





'Pulangkan cucu saya'



DUNGUN: “Kalau benar dia diculik saya harap dia segera dipulangkan ke pangkuan kami,” rayuan Zafrin Tengah, 45, datuk kepada Duranni Arfah Masrol, 3, yang dikhuatiri lemas di Kampung Seberang Pintasan, di sini, Jumaat lalu.
Zafrin Tengah, 45, berkata dia tidak menolak kemungkinan cucu kesayangan itu dilarikan orang tetapi jika benar ada pihak mengambilnya dia merayu cucunya itu segera dikembalikan.

“Kepada mereka yang mengambilnya jangan takut sekiranya benar sila kembalikan cucu saya sama ada di rumah atau tinggalkan di mana-mana tempat awam,” katanya.
Menurutnya, hatinya risau selepas tiga hari gerakan mencari dan menyelamat dilakukan penduduk kampung dan pihak berkuasa menemui jalan buntu.

“Segala usaha sudah dilaksanakan termasuk lebih daripada 20 kali gerakan mencari di sepanjang longkang sejauh kira-kira dua kilometer masih gagal menemui mangsa,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Duranni Arfah dipercayai terjatuh ke longkang sebelum dihanyutkan air deras berhampiran rumahnya.

Mangsa disedari hilang apabila ibunya Afizah Abd Rashid, 28, mendapati mangsa tidak pulang jam 12.30 tengah hari sebelum penduduk kampung memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

Zafrin berkata, segala ikhtiar dilakukan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta penduduk kampung termasuk meredah semak dan hutan kecil sekitar kampung.
“Hari ini (semalam) kira-kira 20 anggota tentera menghulurkan bantuan mencari di semak dan belukar sekitar kampung ini, namun sehingga jam 5 petang belum ada perkembangan,” katanya.

Katanya, dia tidak putus berdoa termasuk mendapatkan khidmat bomoh namun belum berhasil.

Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Nor berkata, gerakan mencari masih diteruskan.




Kaki raba dalam tren

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan bank tidak menyangka menjadi mangsa seorang lelaki warga Bangladesh gila seks apabila diraba ketika dalam tren komuter, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Yani, 25, menaiki tren di Stesen Sentral Kuala Lumpur untuk pulang ke rumahnya di Shah Alam. Beliau berkata, pada mulanya, dia tidak mempedulikan kehadiran lelaki terbabit yang berhimpit berhampirannya kerana menyangka ia tidak sengaja, tambahan pula keadaan dalam tren agak sesak dengan orang ramai.

“Tiba-tiba saya berasa ada sesuatu merayap di punggung saya, tetapi keadaan tren yang bergoyang membuatkan saya berfikir mungkin lelaki di belakang saya itu tersentuh secara tidak sengaja,” katanya.
Bagaimanapun, dia mula pelik selepas lelaki itu masih memegang punggungnya, malah mula bertindak meraba dengan berlakon seolah-olah tidak sengaja menyentuhnya.

“Perbuatan lelaki itu tidak disedari orang ramai kerana kedudukan yang rapat sehingga sukar bergerak berikutan tren kebiasaannya penuh dengan penumpang pada waktu berkenaan.

“Selepas tidak tahan dengan perbuatan lelaki itu, saya cuba menepis tangannya dan beredar ke depan sedikit di hentian seterusnya selepas ada penumpang turun,” katanya.

Beliau berkata, sangkaannya lelaki itu tidak mengekorinya meleset selepas dia sekali lagi meraba punggungnya.

Yani yang geram dengan tindakan itu kemudian menampar tangan lelaki terbabit sehingga dia terkejut lantas beralih ke belakang seolah-olah tiada apa yang berlaku.
“Saya sempat melihat gelagat lelaki itu yang berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku. “Saya juga sempat merakam gambarnya melalui telefon bimbit saya.

“Tidak puas mengambil kesempatan ke atas saya, lelaki itu kemudian beralih pula kepada seorang lagi wanita yang berada berhampiran,” katanya.

Katanya, lelaki itu melakukan perbuatan sama kepada wanita terbabit tanpa menyedari diperhatikan.

“Saya yang geram melihat perbuatannya yang tidak serik lantas menghampiri mereka dan sekali lagi menampar tangan lelaki itu.

“Tindakan saya itu membuatkan lelaki itu terkejut sehingga wanita yang dirabanya turut terpinga-pinga melihat tindakan saya. “Pada mulanya wanita itu menyangkakan saya yang melakukannya, namun selepas diterangkan baru dia faham,” katanya.

Katanya, selepas kegiatannya terbongkar, lelaki itu terus melarikan diri sebaik tren berhenti di Hentian Seri Setia bagi mengelak ditahan



Ibu izin peluk Islam



SENTUL:“Selepas 10 tahun saya masih tidak berputus asa memujuk ibu, akhirnya dia mengizinkan saya memeluk agama Islam,” kata Jaime Jamilah Abdullah, 33, menceritakan pengalaman dia bertukar agama lapan tahun lalu.
Menurut ibu kepada dua anak itu, dia tertarik dengan Islam kerana sering bercampur dengan pelajar Melayu sejak pada zaman persekolahan dan rakan-rakannya juga tidak pernah meminggirkannya.

“Saya selalu ikut rakan mendengar ceramah agama dan berjumpa ustaz atau ustazah jika mereka ada kemusykilan dalam agama. Dari situlah saya mula mempelajari Islam dan terikut-ikut dengan amalan mereka seperti solat dan berpuasa,” katanya.
Menurut Jaime, ibu bapanya tidak pernah memusuhinya walaupun kini mereka berlainan agama, cuma tindakannya jarang berada di rumah atau makan bersama menyebabkan timbul sedikit salah faham.

“Bapa saya tak kisah asalkan saya tahu jaga diri tapi ibu mudah terasa hati dengan saya hingga menimbulkan pergaduhan kecil. Jadi saya membuat keputusan berpindah.

“Bukan saya tidak menghormati atau melupakan mereka, tapi saya perlu mematuhi tuntutan Islam, sekali gus tidak menderhaka kepada ibu bapa,” katanya.

Katanya, selepas mendirikan rumah tangga, dia sering menghubungi ibu bapanya untuk bertanya khabar dan kini hubungan mereka kembali mesra.

“Syukur mereka sudah dapat menerima saya dan selalu juga bertanyakan khabar cucu mereka. Kini, saya gembira dan tenang mendalami Islam,” katanya yang ditemui dalam Program Ceramah Perdana anjuran Madrasah Salaiyah, di sini, kelmarin.
Dalam program itu, seramai 45 penerima terdiri daripada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin menerima sumbangan berupa beras dan wang tunai.

Pengerusi Madrasah, Sheikh Abdul Rahman Sheikh Abdul Kadir berkata, program ceramah perdana itu adalah aktiviti tahunan madrasah itu yang didirikan sejak lebih 50 tahun lalu.

“Ini tanggungjawab kami untuk mengimarahkan madrasah ini dengan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kebaikan masyarakat sekeliling,” katanya.

No comments:

Post a Comment