Monday, August 15, 2011

ADA KERJA MEMBAHAYAKAN ORANG LAIN DAN BAHAYA UNTUK DIRI SENDIRI...BERUNTUNG ISTERI2 YANG DAPAT SUAMI YANG TIDAK TERLALU GANAS...ADA JUGA TIMBANG RASA....PATUT KITA PATUT BERSYUKUR...INGATLAH DOA ORANG DIZALIMI MAKBUL...

Along kena bunuh

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

PETALING JAYA: Padah menimpa seorang ceti haram (along) yang mahu menuntut hutang apabila dia dipercayai dibunuh pemilik sebuah pusat karaoke berhampiran Petaling Jaya Commercial Centre (PJCC), PJS5/30, di sini.
Difahamkan, mangsa pergi ke premis tiga tingkat milik suspek yang menjalankan perniagaan kopitiam dan pusat karaoke itu petang semalam untuk menuntut hutang daripada lelaki terbabit.

Malangnya mangsa dikenali Phua Wei Loon, 25, dipercayai dibunuh suspek dalam tandas pusat karaoke yang beroperasi di tingkat satu premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, mangsa ditemui tertiarap dan berlumuran darah oleh seorang rakannya yang datang untuk mencari mangsa selepas dia gagal dihubungi.

"Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, rakan mangsa yang berusia 24 tahun itu naik ke tingkat atas premis dan menemui mangsa dengan keadaan berlumuran darah dalam tandas.

"Rakannya bertindak menghubungi polis sebelum sepasukan penyiasat tiba ke tempat kejadian dan melakukan pemeriksaan pada mayat mangsa," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Banting dekat sini, dipercayai maut akibat kesan tetakan dan kecederaan parah di badan serta kepalanya.

"Hasil siasatan awal kita dimaklumkan rakan mangsa terbabit, mangsa datang ke premis berkenaan untuk berjumpa dengan pemiliknya bagi tujuan menuntut hutang.
"Malah, pemeriksaan polis turut mendapati ada kesan pergelutan namun, tiada senjata ditemui di tempat kejadian," katanya.

Arjunaidi berkata, pihaknya percaya mangsa dibunuh pemilik premis itu yang juga rakyat tempatan dan usaha memburu suspek sedang dijalankan.

Selain itu, premis berkenaan baru beroperasi dan belum mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, ketika kejadian premis terbabit dipercayai tidak beroperasi dan tiada pekerja namun tidak menolak kemungkinan suspek lebih daripada seorang.

"Premis ini dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) namun tidak menghala ke arah tempat mangsa dipercayai dibunuh. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan waktu kejadian.

"Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat. Keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh.

Amaran tutup, denda RM50,000

KUALA LUMPUR - Pengendali laman web yang didapati menyebarkan maklumat palsu di internet boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Berdasarkan Seksyen 211 akta tersebut, pengendali laman web dilarang membenarkan penyiaran sebarang bentuk kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mencaci, mengugut atau mengganggu mana-mana pihak.
Selain denda, pihak berkuasa juga boleh menutup laman web tersebut bagi membendung gejala penyebaran maklumat palsu itu daripada berleluasa.
Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mohd. Mustaffa Fazil Mohd. Abdan berkata, pelayar internet sepatutnya membuat siasatan sendiri terlebih dahulu dan jangan mempercayai bulat-bulat maklumat yang terkandung di dalam mana-mana laman web.
"Cari dahulu sumber sahih yang boleh memberikan penjelasan, contohnya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) jika menyentuh isu halal atau tidak sesuatu produk.
"Mungkin produk yang dikatakan haram itu menggunakan bahan terlarang dan menjadikan ia haram di luar negara, tetapi untuk pasaran negara ini ia telah diubah suai untuk kegunaan umat Islam,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Klip video Asyraf ditonton 3 juta orang


SEORANG pengunjung laman web YouTube melihat klip video yang menayangkan serangan ke atas Asyraf Haziq di London baru-baru ini.



LONDON - Klip video YouTube mengenai serangan kejam dan kejadian samun ke atas seorang pelajar Malaysia, Mohd. Asyraf Haziq Rossli (gambar kecil) di Barking, East London, telah ditonton hampir tiga juta orang, menurut sumber-sumber pemantauan British.
Ini adalah klip video single mengenai rusuhan dan rampasan di London dan di bandar raya lain di Britain.
"Cakap-cakap mengenai serangan kejam terhadap pelajar Malaysia itu telah tersebar luas yang hampir semua yang saya tahu, mahu melihat klip itu di YouTube. Orang ramai bersimpati dengan nasib pelajar itu dan ketabahannya," kata Percy Higgins, ahli kimia di London dalam temu bual melalui telefon dengan Bernama.
Asyraf, 20, pelajar tahun pertama jurusan perakaunan tajaan Mara di Kaplan College, yang telah keluar dari Royal London Hospital selepas pembedahan berkata kepada wartawan bahawa beliau tidak ada perasaan dendam atau sakit hati dengan rakyat Britain.
Katanya, beliau akan meneruskan pengajiannya di London kerana itulah tujuannya datang ke Britain, walaupun ibu bapa Asyraf menggesa anaknya itu untuk pulang ke Malaysia dan meneruskan pelajarannya di sana.
Perdana Menteri Britain, David Cameron, yang telah menonton filem itu, mengutuk serangan tersebut dan menyifatkan ia perlakuan yang memalukan.

Suami berang seret isteri dalam keadaan bogel



GOMBAK: Akibat menolak ajakan berbuka puasa dengan suami, seorang wanita dibelasah suaminya selain diseret dalam keadaan bogel hingga cedera di badan dalam kejadian di Kampung Nakhoda Kanan, di sini, kelmarin.
Difahamkan, sebelum ini, pasangan terbabit sering bertengkar dan mangsa yang juga suri rumah berusia 30 tahun menjadi tempat melepas geram suaminya itu.

Sumber polis berkata, pada hari kejadian, lelaki berusia 30 tahun itu mengajak isterinya berbuka puasa, tetapi mangsa menolak pelawaannya kerana mahu berbuka di rumah kakaknya menyebabkan suaminya naik angin.

Akibatnya, mangsa dibelasah sebelum diseret dari tingkat satu rumah mereka ke tingkat bawah dalam keadaan bogel.


“Mangsa menangis dan merayu suaminya tidak bertindak demikian, tetapi lelaki itu tidak mengendahkannya,” katanya di sini, semalam.

Bunuh atau RM15,000

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing bukan sahaja diculik tujuh lelaki warga senegaranya, malah turut diugut bunuh sekiranya rakan mangsa tidak membayar wang tebusan RM15,000 dalam kejadian di KL Sentral, pada 26 Ogos lalu.
Bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan malam kelmarin sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu, awal pagi semalam.

Difahamkan, pada 12 Ogos lalu, mangsa berusia 26 tahun baru sahaja hendak keluar dari pintu utama KL Sentral dan dikepung tujuh lelaki terbabit sebelum dilarikan dengan teksi.

Sumber berkata, mangsa yang cuba melawan ditumbuk di muka yang menyebabkannya pengsan dan apabila tersedar, dia berada di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.


“Ketika berada di rumah itu, mangsa diminta menghubungi rakannya yang dikenali sebagai Mat untuk meminta wang tebusan RM15,000 dan sekiranya gagal, mangsa diugut bunuh,” katanya.

Jakim sahkan mentega haram


MENTEGA Pure Creamery Butter-Golden Churn ini dibalut dengan bungkusan mengandungi tanda halal.


KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam mengesahkan mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang dipasarkan di Malaysia adalah tidak halal.
Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha (gambar kecil) berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati produk tersebut datang dari kilang yang sama dengan yang diedarkan di Sarawak walaupun pengimportnya berbeza dan untuk pasaran berlainan.
"Perkara ini disahkan sendiri oleh wakil syarikat Ballantyne Food dari New Zealand yang mengeluarkan produk itu.
"Sehubungan itu umat Islam seluruh negara diminta untuk tidak menggunakan produk tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Sehubungan itu, Othman meminta pemegang dan permohonan baharu Sijil Pengesahan Halal dari Jakim atau jabatan agama Islam negeri yang telah menggunakan produk tersebut agar menukarnya kepada bahan yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf serta mengemukakan resit pembelian bahan ramuan baharu.
Menurut beliau, mereka juga perlu melakukan proses samak dengan disaksikan jabatan agama Islam negeri serta mengemukakan bukti akuan samak.
Othman berkata, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada syarikat pengimport dan mereka bersetuju menarik balik produk terbabit dari pasaran.
Pada 19 Julai lalu, Jabatan Agama Islam Sarawak mengisytiharkan produk itu yang digunakan segelintir pengusaha kek lapis sebagai tidak halal kerana dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi, menyebabkan industri makanan itu terjejas. - Bernama

No comments:

Post a Comment