Kereta Skoda lebih laju berbanding Porsche 911
|
BONNEVILLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pemandu lagak ngeri, Richard 'Dickie' Meaden menjadi pemandu pertama yang memecah paras kelajuan 321.86 kilometer sejam dengan memandu kereta Skoda, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, kereta buatan Republik Czech itu kerap menjadi bahan ketawa kerana ia dianggap tidak setanding dengan jenama-jenama kereta utama di Eropah.
Namun, pihak Skoda mengambil masa selama enam bulan untuk melakukan pengubahsuaian pada kereta Skoda Octavia untuk cabaran tersebut.
Meaden memandu kereta itu dengan kelajuan 325.32 kilometer sejam dalam sesi pemanduan pada Minggu Kelajuan Bonneville di sini, negeri Utah pada Sabtu lepas.
Enjin kereta berkapasiti dua liter itu dilengkapi pengecas turbo gergasi untuk meningkatkan kuasa kenderaan itu daripada 200 kuasa kuda (bhp) kepada lebih 500bhp sekali gus lebih berkuasa daripada kereta sport Porsche 911. - Agensi
25,000 saman iPhone
|
|
SEOUL, Korea - Seorang peguam menyatakan sekumpulan pengguna yang mengandungi lebih 25,000 warga Korea Selatan kini menyaman firma Apple Inc. kerana melanggar hak persendirian mereka.
Menurutnya, pelanggaran hak persendirian itu berkaitan dengan pengumpulan maklumat lokasi pengguna telefon pintar keluaran Apple, iPhone.
Peguam itu, Kim Hyeong-seok semalam menyatakan, saman tersebut melibatkan 27,612 orang dengan setiap seorang menuntut ganti rugi sebanyak AS$932 (RM2,772).
Hyeong-seok berkata, saman itu ditujukan ke atas Apple Inc dan anak syarikatnya di Korea Selatan.
Dia mengemukakan saman serupa pada awal tahun ini dan diberikan ganti rugi AS$932.
Apple berdepan aduan dan kritikan sejak pendedahan di Amerika Syarikat bahawa iPhone menyimpan senarai lokasi menara telekom berdekatan dan pusat WiFi berhampiran lokasi ia digunakan.
Data tersebut boleh digunakan untuk mencipta peta yang merekodkan pergerakan pemilik iPhone. - AP
Tentera Gaddafi guna peluru berpandu Scud
|
|
BRUSSELS, Belgium - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengesahkan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan peluru berpandu Scud untuk kali pertama dalam perang saudara di negara berkenaan.
NATO memberitahu, peluru berpandu itu yang dilancarkan pada Ahad lalu tidak menyebabkan sebarang kerosakan.
Ia dilancarkan dari dekat Sirte, bandar kelahiran Gaddafi 500 kilometer (km) ke timur Tripoli dan mengenai kawasan 5km ke timur bandar Brega yang dikuasai pemberontak.
"Peluru berpandu Scud itu tidak mendatangkan ancaman baru," kata jurucakap tentera NATO, Kolonel Roland Lavoie dalam satu taklimat media di sini.
Scud merupakan peluru berpandu yang dimajukan oleh bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) dan digunakan oleh beberapa negara Asia Barat termasuk Iraq.
NATO melancarkan hampir 20,000 serangan udara ke atas Libya sejak penghujung Mac lalu untuk menguatkuasakan zon larangan terbang bagi mengelakkan tentera Gaddafi menganiayai rakyat biasa.
- Agensi
Remaja 15 tahun hamil anak luar nikah
|
|
THORNABY, Britain - Seorang remaja perempuan, Soya Keaveney (gambar) menggembirakan ibunya selepas dia hamil luar nikah ketika berusia 15 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Ketika usianya baru menjangkau 12 tahun, Soya Keaveney pernah beraksi untuk sesi fotografi dengan cuma memakai pakaian dalam kerana dia bercita-cita untuk menjadi seorang model.
"Saya terkejut pada mulanya tetapi kini saya sungguh teruja," kata Soya yang kini hamil 16 minggu.
"Saya merupakan wanita yang pertama akan melahirkan anak dalam kalangan rakan-rakan saya, tetapi saya tidak fikir saya dewasa dengan terlalu cepat," tambahnya.
Ibunya yang menganggur, Janis, 48, turut gembira kerana kehamilan Soya membolehkan mereka memohon rumah kerajaan yang lebih besar untuk keluarga itu termasuk anak-anaknya yang lain iaitu Coco, Ritzy, Tarot dan Jake di bawah skim kebajikan Britain.
Soya mengandungkan anak luar nikah teman lelakinya, Jake Gray, 17, hasil hubungan intim mereka pada Mei lalu.
Janis yang membenarkan Jake tinggal di rumah mereka menyatakan, anak perempuannya benci pengguguran bayi.
"Saya yakin dia akan menjadi seorang ibu yang baik dan akan mendidik anaknya dengan penuh disiplin seperti yang saya lakukan," kata wanita itu.
- Agensi
Rakam gambar kapal angkasa dari belakang rumah
|
|
EMDEN, Jerman - Seorang jurutera berusia 49 tahun dari Perancis, Thierry Legault berjaya merakamkan gambar kapal angkasa Atlantis milik Amerika Syarikat (AS) melintasi matahari dari belakang rumahnya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia merakamkan gambar itu pada 21 Julai lalu 20 minit sebelum kapal angkasa tersebut memasuki atmosfera Bumi selepas berlepas dari Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa.
|
|
Jurutera itu merakamkan gambar tersebut dengan menggunakan sebuah kamera yang diletakkan pada sebuah teleskop yang mengandungi penapis solar bagi menghalang cahaya matahari merosakkan peralatannya itu di belakang rumahnya dekat Emden, Jerman.
Dia berjaya merakamkan gambar itu tanpa menggunakan peralatan kamera dan teleskop yang bernilai berjuta-juta dolar semasa kapal angkasa tersebut bergerak selaju 7.8 kilometer satu saat. - Agensi
No comments:
Post a Comment