Tuesday, August 16, 2011

NUZUL QURAN


 

NUZUL QURAN...

Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran.

Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang sering-kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadhan).

malam nuzul quran
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)



Takrif Asbabun Nuzul
Dan orang-orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.

Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis segala yang mereka katakan itu). (Al-Furqan, 32-33)

Asbabun nuzul dalam bahasa Melayu bermaksud sebab-sebab sesuatu ayat itu diturunkan. Al-Quran ini telah Allah turunkan ke Luh Mahfuz secara sekali gus, tetapi diturunkan kepada Nabi Muhammad secara beransur2. Sebahagian ayat-ayat Al-Quran merupakan refleksi kepada sesuatu peristiwa. Peristiwa itu merupakan sebab ayat itu diturunkan, dan ini akan memberi kefahaman yg lebih jelas tentang risalah Allah yg disampaikan oleh Rasulullah. Perlu diingatkan bahawa peristiwa-peristiwa yg berlaku itu telah tersurat dalam takdir Allah akan berlaku dengan kekuasaanNya, selari dengan ayat Al-Quran yg diturunkan beransur2 kepada Nabi S.A.W ...wallahu 'alam...dari saya yg terhad ilmu pengetahuan ini...jika ada kesalahan minta diperbetulkan

Di atas IzinNya dan RahmatNya..Alhamdulillah syukur kita dengan segala petunjuk dan hidayahNya..

Al Quran tidak diturunkan sekaligus kpd Baginda Mulia RasulAllah saw, Al Quran diturunkan secara beransur-ansur dlm masa 23 tahun ( atau tepatnya 22 tahun 2 bulan dan 22 hari ), 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Secara kauniah ( fakta ) isi dan kandungan Al Quran telah di rasakan dan di alami terlebih dahulu oleh jiwa Baginda Mulia RasulAllah saw dan begitu juga pernah di alami terlebih dahulu oleh kaum sebelumnya ( sejarah purbakala ), baru kemudian ayatnya di turunkan..Itulah yg di sebutkan asbabun nuzul ( sebab-sebab turunnya wahyu ), yang sifatnya sentiasa membenarkan ataupun meluruskan pengalaman yg terjadi...wallahu’alam.

Malam al-Qadr anugerah Ilahi
Oleh Zahazan Mohamed

Tarikh tepat Nuzul al-Quran 24 Ramadan berdasarkan surah al-Qadr, ad-Dukhan

PERISTIWA agung dalam sejarah umat Islam yang berlaku pada Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.

Perkara itu dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud: "Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Firman-Nya dalam ayat pertama surah al-Qadar yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab)." (Surah al-Dukhan, ayat 3)

Nuzul adalah perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada satu tempat ke tempat yang lain, manakala al-Quran bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca manusia.

Al-Quran juga dikatakan himpunan kerana dalam kitab suci itu terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Al-Syeikh Ab Rahman al-Sa'adiy menjelaskan dalam tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, 'malam yang berkat' yang dinyatakan Allah dalam surah al-Dukhan adalah malam yang penuh kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya daripada amalan seribu bulan. Maka, Allah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW berlaku pada hari mulia iaitu malam al-Qadr.

Al-Syeikh Manna' Qattan dalam Mabahith Fi Ulum al-Quran, firman Allah itu secara dasarnya menunjukkan penurunan berlaku pada Ramadan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr, suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam pada Ramadan.

Walaupun umat Islam di Malaysia secara tradisinya menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadan, namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat mengenai turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi.

Pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramadan adalah berpandu pada ayat 41, surah al-Anfal memfokuskan kepada peristiwa perang Badar bukannya al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: "... jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (di perang Badar, antara muslimin dan kafirin)..." (Surah al-Anfal, ayat 41)

Menurut riwayat yang dikemukakan Ibn Kathir dalam tafsirnya daripada Ibn Abbas, ayat itu adalah penjelasan mengenai hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat) iaitu firman Allah yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul-Nya, kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)...

Justeru tarikh lebih tepat mengenai Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadan kerana ia berdasarkan ayat pertama, surah al-Qadr dan ayat 1 hingga 4, surah ad-Dukhan.

Riwayat Ibn Abbas dan pandangan ini disokong majoriti mufassirin, al-Quran yang diturunkan pada malam 'Lailatul Qadar' seperti disebut itu adalah al-Quran yang turun sekali gus ke 'Baitul Izzah' di langit ke dunia.

Sedangkan al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasulullah SAW sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama 23 tahun. Menurut riwayat daripada al-Hakim, al-Baihaqiy dan al-Nasaei daripada Ibn Abbas, beliau menjelaskan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun."

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah). Ayat dan surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.

Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif berikut:



Supaya lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan jika suruhan dan larangan itu diturunkan sekali gus dalam kadar yang banyak.

Hal itu disebut oleh Bukhari daripada riwayat 'Aisyah: "Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ia tidak dapat dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
Memudahkan hafalan. Orang musyrik menanyakan mengapa al-Quran tidak diturunkan sekali gus, seperti disebut dalam firman Allah yang bermaksud: "Orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu..." (Surah Al Furqaan, ayat 32)
Antara ayat itu adalah jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, seperti dikatakan oleh Ibnu 'Abba, "Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.
Penurunan al-Quran ini pula berlaku dalam berbagai bentuk. Menurut Safiyurrahman al-Mubarakfuriyy dalam al-Rahiq al-makhtum, Nabi Muhammad SAW diwahyukan mengikut pendekatan berikut :

– Menerusi mimpi yang benar ( al-Rukya al-Sadiqah ). Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya Baginda berasa bahawa itu sudah berada di dadanya.

Contohnya, Nabi SAW pernah bersabda mengatakan: "Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang ditetapkan Allah."

– Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya dan peristiwa seperti ini sering disaksikan sahabat.

– Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, walaupun turunnya wahyu itu pada musim dingin. Ada ketikanya, unta baginda terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat.

Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: "Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Aku lihat Rasulullah SAW ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian selepas selesai turunnya wahyu, barulah Baginda kembali seperti biasa."

– Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang sebenar seperi dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha." (Surah an- Najm, ayat 13 dan 14)

– Malaikat mewahyukan kepada Nabi dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.

– Sesetengah ulama berpendapat Baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa. Perkara itu adalah suatu khilaf di kalangan ulama.


Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting antaranya ialah sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW. Al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekali gus menjadi bukti ia firman Allah bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri.

Rasulullah SAW menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang kafir Quraisy. Kita dapati mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa yang indah dalam ucapan serta sajak mereka.

Al-Quran adalah sumber hukum dan aturan hidup. Ayat al-Quran mengandungi peraturan mengenai hukum siasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi permasalahan hidup yang dihadapinya.

Sememangnya penyelesaian diberikan syariat Islam adalah penyelesaian sebenar kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia. Kemampuan syariat Islam menyelesaikan pelbagai permasalahan menjadikan al-Quran mukjizat abadi paling menonjol di muka bumi.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20070929001642/Article/index_html


NUZUL AL-QURAN

Sejarah al-Quran: Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.

Erti Nuzul al-Quran: ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.1

Nama-Nama Lain:

Selain disebut al-Quran, ia juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain. Proses Penurunan al-Quran: Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun.13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Kehebatan al-Quran:

1. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)

2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.

3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.

4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).

5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi saw.

6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.

7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)2

8. Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

Tuntutan al-Quran: Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya.

Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.

Peringatan:

Al-Quran untuk dibaca buka dijadikan perhiasan.
Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
Pesan Nabi saw: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).

Semoga Ramadan kali ini membawa rahmat buat kita semua. Amin.


Dr. Abdul Rahman Abdullah
Atase Pendidikan,
MSD Washington DC.



BILA DAN BAGAIMANA AL-QURAN DITURUNKAN


Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.

Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.

Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.

Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: "…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…" (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.

Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). " Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…" (TTQ 8 : 41).

Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.

Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di "Baitul Izzah" di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-'Alaq.

Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.


FUNGSI AL-QURAN


Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:

Pertama: Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad saw.

Al-Quran inilah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad saw, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, dan bukan ucapan atau ciptaan nabi Muhammad saw sendiri. Rasullulah saw telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Dan kita dapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran tingkat tertinggi fashahah dan balaghahnya.

Hal ini tidak lain adalah kerana Al-Quran sememangnya adalah suatu mukjizat (yang mustahil dapat ditandingi). Jika kita meneliti ayat-ayat cabaran yang Allah SWT wahyukan di dalam Al-Quran daripada sudut dan konteksnya sebagai suatu mukjizat, maka kita akan dapati bahawa Rasullulah saw telah mencabar orang-orang Arab agar mereka menandingi kehebatan Al-Quran di dalam tiga peringkat (rujuk Manna' Khalil Al Qatthan, Studi Ilmu-ilmu Qu'ran, hal 372):

Cabaran peringkat pertama. Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya. "Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain." (TTQ 17 : 88)
Cabaran kedua. Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya: Bahkan mereka mengatakan "Muhammad telah membuat-buat Al-Quran." Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah" (TTQ 11 : 13-14)
Cabaran ketiga. Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya: "Atau (patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya" (TTQ 10 : 38) Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya: "Dan jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…" (TTQ 2 : 23 )

Kedua: Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.

Ayat-ayat Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum politik negara (Al-Hukm), sosial (Ijtima'i), pendidikan (Siyasah Ta'limiyah), pidana (Hudud), pengadilan (Uqubat), akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya. Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya sesuai dan memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Dan keberkesanan dan kemampuan syariat Islam dalam menangani segala aspek permasalahan manusia ini sememangnya tidak dapat dinafikan kecemerlangannya.

Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi. Inilah yang akan terjadi di masa hadapan, insyaallah! Sebab, kesejahteraan hidup yang dikecapi umat manusia dan keadilan yang mereka rasakan lantaran diterapkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah melalui Al-Quran dan Sunnah di bawah kepimpinan khalifah, (Khilafah 'ala minhajin Nubuwwah) menjadi daya penarik yang paling dominan terhadap umat-umat dan bangsa-bangsa non-muslim untuk meninggalkan sistem hidup dan perundangan mereka yang rapuh dan usang, serta kezaliman para penguasa mereka yang hanya mementingkan kelompok dan partinya sahaja.

Bangsa-bangsa non muslim itu akan secara beramai-ramai masuk Islam setelah mendengar dan melihat sendiri kesejahteraan hidup dibawah naungan syariat Islam (TTQ An-Nashr). Sudah semestinya hal ini tidak seperti yang telah digambarkan di dalam propaganda palsu para pembenci Islam. Juga setelah adanya jihad yang dilancarkan para mujahidin ke negeri-negeri (orang-orang kafir) untuk melepaskan belenggu-belenggu yang selama ini memasung kehidupan mereka. Bahkan mereka yang kufur akan dapat menyaksikan sendiri keindahan dan kemanisan kehidupan di bawah penerapan sistem Islam di dalam masyarakat yang hidup di bawah naungan khilafah, dengan mengunjungi negeri tersebut.




KANDUNGAN (ISI) AL-QURAN


Sudah dimaklumi oleh kaum muslimin bahawa Al-Quran terdiri daripada 114 surah (86 surah Makkiyah, 28 surah Madaniyah), dengan jumlah ayat seluruhnya adalah 6236 ayat (4613 ayat Makkiyah dan 1623 ayat Madaniyah).

Isi ajaran yang tercantum pada Al-Quran sesungguhnya meliputi tiga fasa iaitu:

Merupakan cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya),
Peraturan masa kini (tatkala Al-Quran diturunkan) dan
Peraturan untuk masa hadapan (sejak masa Rasullullah saw, masa kini dan seterusnya hari kiamat).

Secara keseluruhannya, Al-Quran berisikan peraturan hukum berkaitan dengan masalah aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, hukum-hukum dan sebagainya.

AL-QURAN DAN PERUBAHAN DALAM KEHIDUPAN


Sebelum turunnya Al-Quran manusia (khususnya di Benua Arab) secara amnya hidup di dalam kepelbagaian ragam kepercayaan, kebudayaan dan etika. Dan kemudian Al-Quran diturunkan dengan membawa rahmat perubahan.

Antaranya ialah:

1. Bidang Akidah: Melalui pernyataan yang dibawa oleh Al-Quran tentang tuhan itu Esa dan Tunggal, maka kepercayaan bertuhan banyak (politheisme) menjadi gugur (tidak diakui oleh Islam). Sebab tidak ada tuhan selain Allah SWT, dan Dialah Yang Maha Pencipta alam semesta ini. Kepercayaan seperti ini dinamakan tauhid.

2. Bidang Ibadah: Al-Quran datang dengan petunjuk bahawa yang berhak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Dia Yang Tunggal, pencipta manusia dan alam semesta. Al-Quran dengan petunjuk yang demikian, melarang keras beribadah kepada patung, berhala, matahari, bulan atau selain Allah SWT. Sebab, tidak ada sekutu bagiNya.

3. Bidang Akhlak: Al-Quran memberi petunjuk dan garis pemisah tentang kriteria antara akhlak yang baik dan terpuji dengan akhlak yang buruk dan tercela. Masalah-masalah pembunuhan, perzinaan, perjudian, pencurian dan merampas harta orang lain, tidaklah masuk dalam wawasan akhlak, justeru masalah-masalah tersebut termasuk kedalam tindakan jenayah dan pembuatnya wajib dijatuhkan hukuman.

4. Bidang Siyasah (Politik): Al-Quran dan sunnah Rasul (Al Hadits) tidak mengakui kedaulatan umat atau penguasa. Kedaulatan menurut kedua sumber tersebut dan sumber lain yang diakui kaum muslimin adalah milik Allah dan RasulNya. Hanya 'kekuasaan pemerintahan' sajalah yang dimiliki umat. Dan di dalam Islam tidak diakui (tidak ada) 'Sistem Kerajaan' atau Aristokrasi. Pemerintahan Islam adalah 'Negara Kesatuan', bukan 'Negara Bahagian'. Inilah salah satu contoh yang pernah terjadi dahulu semasa kekhilafahan masih berlaku, dan ia bukan sekadar perbandingan teoritis tetapi merupakan sebuah peraturan yang terbukti di dalam kenyataan kehidupan.

5. Bidang Ekonomi: Al-Quran (dan Sunnah Rasul) telah memberikan batasan pemilikan bagi individu, masyarakat dan negara. Telah ditentukan apa yang boleh dimiliki oleh individu dan apa yang tidak. Juga telah ditentukan tentang pemilikan sesuatu (benda) yang bersifat umum, tidak boleh dimiliki oleh per individu, seperti laut, sungai dan lain-lain.

Peraturan yang terdapat pada Al-Quran (dan Sunnah Rasul) memberikan petunjuk pelaksanaan tentang jaminan pemenuhan keperluan asas setiap individu menurut kadar dan dalam keadaan seadil-adilnya.

FADHILAT AL-QURAN


Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya".

Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah. Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa "Apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya.

Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu. Bila selesai dikebumikan, orang ramai akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata : "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!" Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: "Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat" . "

Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi" Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat - malaikat dari syurga".

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi.

Cuba kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan - amalan kita sewaktu di dunia.

Allah telah menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar. Dekatilah Al-Quran dan jadikalah ia teman di dunia dan pemberi syafaat di Akhirat.

Semoga Allah swt memberikan kita restu dan hidayahnya.....AMIN

CARA-CARA AL-QURAN DIWAHYUKAN


Nabi Muhammad s.a.w. mengalami bermacam-macam cara dan keadaan semasa menerima wahyu. Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:

Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dala, kalbunya. Mengenai hal ini, Nabi mengatakan: "Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku". ( As-Syura: 51)
Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal benar mengenai kata-kata itu.
Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi s.a.w. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim dingin yang sangat. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat. Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: " Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa".
Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. dalam rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 : "Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha".



HIKMAH DITURUNKAN AL-QURAN SECARA BERANSUR-ANSUR


Al Quran diturunkan secara beransur - ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Hikmah Al Quran diturunkan secara beransur - ansur adalah:

Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh Bukhari dari riwayat 'Aisyah r.a.
Di antara ayat - ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa - peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
Memudahkan penghafalan. Orang - orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah (25) Al Furqaan ayat (32) iaitu: "……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?" Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri: "….Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..".
Di antara ayat - ayat yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, sebagai dikatakan oleh Ibnu 'Abbas r.a. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau Al Quran diturunkan sekaligus.


AYAT-AYAT MAKKIYYAH DAN AYAT-AYAT MADANIYYAH

Berdasarkan kepada tempoh waktu turunnya Al-Quran, ayat-ayat Al-Quran dibahagikan kepada 2 jenis:

Ayat-ayat Makkiyah : Ayat-ayat yang diturunkan di Mekah atau sebelum Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah
Ayat-ayat Madaniyyah : Ayat-ayat yang diturunkan di Madinah atau sesudah Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah.

Perbezaan ayat - ayat Makaniyyah dengan ayat - ayat Madaniyyah ialah:

Ayat - ayat Makaniyyah pada umumnya pendek-pendek sedangkan ayat-ayat Madaniyyah panjang - panjang, surah Madaniyyah yang merupakan 11/30 dari isi Al Quran ayat-ayatnya berjumlah 1456, sedangkan surah Makaniyyah yang merupakan 19/30 dari isi Al Quran jumlah ayat - ayatnya ialah 4780 ayat. Juz 28 keseluruhannya merupakan ayat Madaniyyah kecuali surah (60) Mumtahinah, ayat - ayatnya berjumlah 137, manakala juz 29 ialah ayat Makaniyyah kecuali surah (76) Ad-Dahr ayat - ayatnya berjumlah 431. Surah Al-Anfaal dan surah Al-Syu'araa masing - masing merupakan setengah juz tetapi yang pertama ayat Madaniyyah dengan bilangan ayat sebanyak 75, sedangkan yang kedua ayat Makaniyyah dengan ayatnya berjumlah 227.

Dalam surah - surah Madaniyyah terdapat perkataan "ya ayyuhalladzina aamanu" dan hanya sedikit sekali terdapat perkataan "yaa ayyuhannaas", sedangkan dalam surah Makiyyah pula adalah sebaliknya.

Ayat - ayat Makaniyyah pada umumnya mengandungi hal - hal yang berhubung dengan keimanan, ancaman dan pahala, kisah - kisah umat yang terdahulu yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti, manakala ayat - ayat Madaniyyah pula mengandungi hukum - hukum, baik yang berhubungan dengan hukum adat atau hukum - hukum duniawi, seperti hukum kemasyarakatan, hukum ketatanegaraan, hukum perang, hukum internasional, hukum antara agama dan lain-lain.


ADAB-ADAB MEMBACA AL-QURAN

Di antara adab membaca Al-Quran adalah:

Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhuk dan dalam keadaan bersih kerana yang di baca adalah ayat-ayat Allah. Tangan kanan hendaklah digunakan untuk mengambil kitab ini, manakala menggunakan kedua-dua belah tangan semasa memegang Al-Quran.

Disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, surau, musollah dan tempat lain yang dianggap bersih. Tempat yang paling utama adalah di dalam masjid.

Disunatkan menghadap ke arah Qiblat ketika membacanya. Bacaan hendaklah khusyu' dan tenang.

Mulut hendaklah bersih, tidak berisi makanan. Sebaiknya sebelum membaca Al-Quran, mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu.

Sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca ta'awwudz, iaitu meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan yang direjam. Doa bagi menerangkan hati juga boleh dibaca sebelum atau selepas membaca ta'awwudz.

Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.

Bagi yang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pengertian tentang ayat-ayat yang di baca.

Disunatkan membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan bagus bagi menambah keindahan bacaan tersebut.

Seelok-eloknya, ketika membaca Al-Quran, pembacaan hendaklah sehingga tamat tanpa ada diputuskan kerana ingin berbual-bual, ketawa dan bermain-main.Kesucian Al-Quran hendaklah di jaga.


NAMA-NAMA AL-QURAN


Allah memberi nama kitab-Nya iaitu Al Quran yang bererti "bacaan". Erti ini dapat kita lihat dalam surah (75) Al Qiyaamah, ayat 17 dan 18. Nama ini dikuatkan oleh ayat - ayat yang terdapat dalam surah (17) Al -Israa' ayat (88), surah (2) Al-Baqarah ayat (85), surah (15) Al-Hijr ayat (87), surah (20) Thaaha ayat (2), surah (27) An Naml ayat (6), surah (46) Ahqaaf ayat (29), surah (56) Al-Waaqi'ah ayat (77), surah (59) Al-Hasyr ayat (21) dan surah (76) Addahr ayat (23).
Menurut pengertian ayat-ayat di atas, Al-Quran itu dipakai sebagai nama bagi Kalam Allah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Selain Al Quran, Allah juga memberi beberapa nama lain bagi kitab-Nya, seperti:

Al Kitaab atau Kitaabullah merupakan sinonim dari perkataan Al Quran, sebagaimana tersebut dalam surah (2) Al Baqarah ayat (2) yang ertinya berbunyi: "Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya….". Lihat pula surah (6)Al An'aam ayat (114).

Al Furqaan ertinya "Pembeza" iaitu yang membezakan di antara yang benar dengan yang batil, sebagaimana terdapat dalam surah (25) Al Furqaan ayat (1) yang ertinya: "Maha Agung (Allah) yang telah menurunkan Al Furqaan kepada hamba-Nya, agar ia menjadi peringatan kepada seluruh alam".

Adz-Dzikir ertinya "Peringatan", sebagaimana yang tersebut dalam surah (15) Al Hijr ayat (9) yang ertinya "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan"Adz-Dzikir" dan sesungguhnya Kamilah penjaganya". Lihat pula surah (16) An Nahl ayat (44).

Selain dari nama - nama di atas, terdapat beberapa lagi nama bagi Al Quran. Imam As Suyuthy dalam kitabnya Al Itqan menyebutkan nama - nama Al Quran, di antaranya adalah Al Mubin, Al Kariim, Al Kalam dan An Nuur.


Analisis Dalil Nuzul Quran
by admin


Tanggal 17 Ramadhan tiba lagi dan setiap kalinya masyarakat kita akan menyambut nuzul al-Quran, di mana pada tarikh ini dikatakan tarikh diturunkan al-Quran buat pertama kalinya kepada junjungan kita nabi Muhammad s.a.w.

Persoalan yang timbul ialah adakah benar 17 Ramadhan ini merupakan tarikh yang tepat bagi Nuzul al-Quran seperti yang diketahui umum?

Dalam menulis artikel ini saya juga mengambil manfaat dari kertas kerja yang ringkas dan padat, ditulis oleh Al-Fadhil Dr Ahmad Najib bin Abdullah dari KIAS Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk “Penetapan 17 ramadhan sebagai hari nuzul al-Quran” dibentangkan di dalam mesyuarat fatwa kerajaan negeri Perlis.

Peringkat penurunan Al-Quran

Para ulamak membahagikan penurunan Al-Quran al-Karim kepada dua peringkat. Peringkat pertama: Diturunkan dari Lauh al-Mahfuz di langit yang ketujuh ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada malam al-Qadr iaitu malam yang penuh barakah di dalam bulan Ramadhan. Inilah yang difahami dari firman Allah s.w.t.


إنا أنزلناه في ليلة مباركة

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati. (surah al-Dukhan: 3)


Firman Allah s.w.t. lagi


إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)


Firman Allah s.w.t lagi


شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)


Peringkat kedua: Diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah s.a.w. selama 23 tahun mengikut keadaan dan peristiwa.

Pendapat ini dipilih oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani katanya: pendapat yang sahih dan muktamad. (fath al-Bari jilid 8 hlm. 620). Al-Imam Al-Qurtubi menyatakan tiada perselisihan antara para ulamak tentang pendapat ini. (Tafsir al-Qurtubi, jilid 2 hlm.297).


Bilakah tarikh permulaan turunnya Al-Quran?

kita mengetahui bahawa tiada perselisihan di kalangan para ulamak bahawa permulaan turunnya al-Quran itu ialah di dalam bulan ramadhan. Tetapi mereka berselisih pendapat di dalam penentuan tarikh permulaannya.

Bukanlah suatu perkara yang penting untuk kita mengetahui tarikh ini, ianya tidak lebih hanya untuk membuka minda kita untuk berfikir kerana saban tahun minda kita ditanam untuk mempercayai bahawa 17 ramadhan adalah hari nuzul al-Quran, bahkan pada hari tersebut merupakan hari cuti untuk kita sama-sama meraikannya.

Berbagai-bagai pendapat diutarakan oleh para ulamak seperti yang disebut oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri antaranya 7 ramadhan, 17 ramadhan dan 18 ramadhan. Setelah beliau mengkaji tentang perkara ini, maka beliau memilih tarikh 21 ramadhan sebagai tarikh permulaan nuzul al-Quran. Ini disebabkan beberapa faktor

1. Semua ulamak dan ahli sejarah atau kebanyakkan dari mereka bersetuju bahawa nabi s.a.w. diutuskan menjadi seorang rasul ialah pada hari Isnin seperti yang diriwayatkan oleh para ulamak hadis daripada Abu Qatadah r.h. bahawasanya Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Nabi bersabda: Pada hari itu aku dilahirkan dan diutuskan atau diturunkan (al-Quran) ke atasku. Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Al-Baihaqi dan al-Hakim.


2. Pada tahun Nabi s.a.w. diutuskan, hari Isnin yang berada di dalam bulan ramadhan ialah jatuh pada 7, 14, 21 dan 28. Terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sahih yang menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir dalam bulan ramadhan.


3. Setelah diteliti dan dibuat perbandingan antara firman Allah di dalam surah Al-Qadr dan riwayat Abu Qatadah serta kajian perhitungan taqwim, maka kesimpulannya Nabi s.a.w. diutuskan sebagai rasul pada 21 ramadhan sekaligus menjadi tarikh nuzul Al-Quran. (rujuk Al-Rahiq al-Makhtum, hlm.75)


Tarikh 17 ramadhan


Tarikh 17 ramadhan ini pula dipilih oleh sebahagian para ulamak, termasuk yang memilih pendapat ini ialah Ibn Ishaq. Merujuk kepada kertas kerja yang ditulis oleh Dr Ahmad Najib, beliau menyatakan:

Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 ramadhan sebagai tanggal nuzul al-Quran. Setelah saya (Dr Najib) meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Quran” (bermulanya nuzul al-Quran), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut:

Ibn Ishaq berkata: bermulanya penurunan al-Quran kepada rasulullah s.a.w. pada bulan ramadhan. Allah berfirman:


شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya: Bulan ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil) (surah al-Baqarah: 185)


Dan Allah berfirman:


إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya: Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. (surah al-Qadr: 1)


Dan Allah berfirman:

إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان

Maksudnya: Jika kamu semua beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada hamba kami pada hari al-Furqan, hari bertemunya dua kumpulan. (al-Anfal: 41)


Dan pada hari itu pertembungan antara rasulullah s.a.w. dengan orang-orang musyrikun di Badar.

Ibn Ishaq berkata lagi: Abu Ja’afar Muhammad bin Ali bin Hussain telah menceritakan kepadaku bahawasanya rasulullah s.a.w. bertemu dengan musyrikun di Badar pada hari Jumaat, pagi 17 ramadhan. (Sirah Ibn Hisyam 1/239-240 –merujuk kepada kertas kerja Dr Ahmad Najib)

Kata Dr Ahmad Najib: “Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘Al-Furqan’ yang terdapat dalam al-Quran dengan ‘Hari al-Furqan’ yang membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada peperangan Badar yang berlaku pada 17 ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Quran”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul al-Quran juga berlaku pada tarikh yang sama”.


Di dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam Ibn Kathir membawakan satu riwayat dari Al-Waqidi daripada Abu Ja’afar al-Baqir dia berkata: bermulanya wahyu kepada rasulullah s.a.w. pada hari Isnin 17 ramadhan dan dikatakan juga 24 ramadhan. (Al-Bidayah wa al-Nihayah).

Kesimpulannya, inilah sumber kepada pendapat yang mengatakan nuzul al-Quran jatuh pada 17 ramadhan. Pendapat ini tidak boleh menjadi hujah dalam penetapan nuzul al-Quran disebabkan ianya bersandar kepada riwayat al-Waqidi. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Umar bin Waqid al-Aslami, beliau merupakan seorang perawi yang lemah dan tidak diterima periwayatannya menurut ulamak al-Jarh wa al-Ta’dil.


24 ramadhan sebagai tarikh nuzul al-Quran

Sebahagian ulamak memilih 24 ramadhan sebagai tarikh nuzul al-Quran berdasarkan hadis berikut:

عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأَسْقَعِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالإِنْجِيلُ لِثَلاَثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ.

Daripada Wathilah bin al-Asqa’ bahawa rasulullahs.a.w. bersabda: Diturunkan suhuf Ibrahim a.s. pada malam pertama bulan ramadhan, dan diturunkan Taurat pada 6 ramadhan, dan Injil pada 13 ramadhan, dan diturunkan al-Furqan (al-Quran) pada 24 ramadhan.


Hadith ini dihukumkan hasan oleh Syeikh Al-Albani, manakala Syeikh Ahmad Syakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan hadis ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah: 185 dan Al-Qadr: 1. Kata beliau: berkemungkinan Lailatu al-Qadr berlaku pada tahun diutuskan nabi s.a.w. pada malam 24 ramadhan di mana al-Quran diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 ramadhan) wahyu pertama diturunkan iaitu Iqra’. (Fath al-Bari, jilid 8 hlm. 621)

Al-Imam al-Tobari ada menyebutkan satu riwayat menerusi Sa’id bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a. katanya: Al-Quran diturunkan sekali gus dari Lauh al-Mahfuz pada malam 24 ramadhan, kemudiannya ditempatkan di Baitul Izzah. (Jami’ al-Bayan, jilid 3, hlm. 445)

Imam al-Qurtubi menyebut hadith Wathilah merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hassan al-Basri yang menegaskan Lailatul al-Qadr berlaku pada malam 24 ramadhan. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jilid 2, hlm 198)

Al-Hafiz Ibn Kathir juga membawakan hadith ini dalam menafsirkan maksud ayat 185 surah al-Baqarah. Turut menyebut hadith ini syeikh Al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini bagi menjelaskan nuzul al-Quran berlaku pada tanggal 24 ramadhan.

Kesimpulan

Dalam memilih pendapat yang kuat dan rajah maka saya mengambil apa yang dinyatakan oleh Dr Ahmad Najib bahawa nuzul al-Quran jatuh pada 24 ramadhan berdasarkan kepada perkara-perkara yang berikut:


1. Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Quran dan Hadith. Dalam hal ini hadith Wathilah bin Al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya nuzul al-Quran.

2. Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Quran diturunkan pada 24 ramadhan.

3. Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulamak Muktabar dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 ramadhan sebagai tarikh tepat bagi nuzul al-Quran. Rujuk kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar, Imam Al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.

Wallahu a’lam



Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar

Oleh; Dr. Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)
Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.
Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.
Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).


No comments:

Post a Comment