Gadis perdaya ibu bapa direman
KUALA LUMPUR – Seorang gadis yang berpakat dengan teman lelaki bagi merancang penculikan dirinya sendiri dan meminta wang tebusan RM50,000 daripada keluarganya direman selama empat hari mulai semalam.
Gadis tersebut, Ameerah Asha Azizan, 17, dan teman lelakinya yang dikenali sebagai Shamsul Bukhari, 19, kini ditahan di lokap Balai Polis USJ8, Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pihaknya mendapat perintah tahanan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pagi semalam.
Jelasnya, siasatan awal mendapati Ameerah Asha sanggup bersubahat dalam penculikan itu kerana dipercayai dipengaruhi kekasihnya.
“Mereka masih muda dan bertindak demikian (merancang penculikan) semata-mata kerana wang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Belanja mewah sambut Aidilfitri
Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
idayu@hmetro.com.my
Bagaimanapun, tindakan mereka gagal selepas bapa gadis itu membuat laporan polis sebaik menerima panggilan berhubung wang tebusan berkenaan sebelum membawa kepada penahanan kedua-dua mereka.
Sebelum itu, gadis yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, Ameerah Asha Azizan, 17, dipercayai menghilangkan diri dari rumah Jumaat lalu selepas keluar rumah kononnya untuk menghadiri kelas tambahan di sekolah.
Gadis itu dan teman lelakinya ditahan dalam kereta di Saujana Puchong, kelmarin selepas polis mendapat petunjuk ibu bapa mangsa menerima ugutan wang tebusan RM50,000 daripada teman lelaki anaknya itu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, mereka direman empat hari bagi menyelesaikan siasatan terhadap rancangan penculikan diri sendiri.
“Motif sebenar mereka untuk mendapatkan wang, lebih-lebih lagi dah dekat nak raya ni,” katanya di sini, semalam.
Harian Metro semalam, melaporkan seorang remaja yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu merancang penculikan sendiri bersama teman lelakinya dan berpakat menuntut wang tebusan RM50,000 daripada ibu bapanya. Sementara itu, bapa mangsa, Azizan Hassan, 40-an berharap sinar Ramadan memberi keinsafan kepada anak sulungnya daripada dua beradik itu dengan tidak melakukan perkara demikian.
“Saya berharap ia menjadi iktibar kepada ibu bapa lain memantau pergerakan anak gadis mereka,” katanya.
Tidak sabar beraya
KUALA LUMPUR – Dua beradik yang menjadi mangsa simbah asid, Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi, 13, dan Shafiq Aiman, 10, tidak sabar untuk pulang ke kampung mereka di Felda Jengka 9, Maran, Pahang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, dua beradik tersebut yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hampir sebulan lalu mengakui mereka agak malu kepada rakan-rakan di kampung kerana wajah mereka cacat selepas kejadian disimbah asid.
Namun hasrat Shafiq Haikal untuk memakai baju baharu di pagi hari raya dan berjumpa rakan-rakan sambil mengutip duit raya di sekitar kampungnya tetap membara.
“Memang saya tidak sabar hendak balik kampung tetapi saya masih tidak tahu lagi sama ada doktor bagi balik beraya di kampung atau sebaliknya, saya sangat rindu kepada kawan-kawan dan tidak sabar pakai baju raya,” jelasnya ketika ditemui di HKL di sini semalam.
Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Datuk Abdullah Abu Bakar menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada dua beradik itu bagi meringankan beban keluarga mereka sepanjang menerima rawatan di HKL.
Dalam kejadian 19 Julai lalu, kedua-dua beradik itu cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk muka akibat disimbah asid oleh seorang lelaki ketika melalui rumah mereka.
Pada 26 Julai pula, penyimbah asid itu yang juga seorang buruh ladang dihukum penjara lapan tahun dan empat kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh setelah mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap dua beradik dengan menyimbah cuka getah terhadap kanak-kanak tersebut di Maran.
Jejak suspek habis-habisan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata polis berusaha habis-habisan untuk menahan penjenayah terbabit dan menyelesaikan kes itu secepat mungkin.
Polis Kuala Lumpur sudah mengedarkan imej komposit seorang daripada suspek kepada media semalam.
Mohd Bakri, bagaimanapun menolak spekulasi serangan terbaru itu mempunyai kaitan dengan penyimbah asid bersiri yang mencederakan beberapa mangsa sejak Mac tahun ini.
“Kami ada alasan kukuh untuk mempercayai jenayah ini tidak mempunyai kaitan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Putus cinta simbah asid
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, mangsa yang dikenali sebagai Ng meletakkan kereta Toyota Camry milik isterinya di hadapan rumahnya dalam keadaan baik dan berkunci.
Bagaimanapun, kira-kira jam 7.20 pagi, dia terkejut apabila melihat keretanya yang rosak teruk secara keseluruhan akibat disimbah asid.
“Saya percaya kejadian ini dilakukan bekas kekasih yang bengang kerana saya memutuskan hubungan kami minggu lalu. Dua hari sebelum kejadian, dia datang ke rumah dan membuat kecoh kerana tidak berpuas hati dengan saya,” katanya.
Menurutnya, angkara tindakan itu, dia bertengkar dengan isteri sebelum dikejutkan dengan kejadian simbah asid itu.
Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Pandan untuk tindakan lanjut kerana risau kejadian lebih buruk menimpa keluarganya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.
Pusat pemulihan dadah terbakar
JITRA – Seramai 23 penghuni pusat pemulihan dadah yang baru selesai solat tarawih di surau Pusat Pemulihan Cahaya Petunjuk di Kampung Kota Mengkuang di sini bertempiaran lari apabila sebuah rumah yang terletak bersebelahan terbakar malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, rumah dua tingkat dengan binaan separuh batu separuh papan yang dijadikan pejabat, asrama dan dapur pusat pemulihan tersebut hangus sama sekali.
Pengurus pusat pemulihan itu, Mohd. Muzni Mohd. Noor, 53, memberitahu, ketika kejadian beliau dan 22 lagi pelatih baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih.
“Ketika hendak memulakan zikir, seorang bilal yang hendak ke tandas ternampak api lalu menjerit menyebabkan kami semua bertempiaran lari keluar dari surau.
“Kami nampak rumah sebelah terbakar dan kami sempat memadamkan api serta menutup semua punca elektrik bagi mengelakkan api merebak ke surau,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini semalam.
Beliau percaya kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.
Kata Mohd. Muzni lagi, pelbagai barangan dan dokumen penting di dalam pejabat serta kelengkapan asrama musnah.
Kurang pegangan agama
Pakar Motivasi dan Kaunseling, RKH Motivasi and Services, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata selain faktor itu, kekurangan pusat khidmat kaunseling, tindakan dan kurang pegangan agama turut menggalakkan wanita seperti itu berbuat demikian.
“Bagi isteri, masalah rumah tangga amat sukar untuk diluahkan atau dikongsi kepada sesiapa. Seboleh-bolehnya mereka akan menyembunyikan masalah itu daripada diketahui ramai.
“Tindakan ini menyebabkan mereka berjumpa bomoh yang mendakwa boleh menyembuhkan atau menghilangkan masalah mereka kerana tahu rahsia tidak akan terdedah,” katanya.
Dr Robiah berkata, kesempatan itu pula diambil bomoh terbabit untuk mengaut keuntungan dan wanita seperti itu mengalami kerugian.
“Mereka tidak tahu dengan siapa harus bercakap untuk menyelesaikan masalah kerana pusat khidmat kaunseling tidak banyak, lebih-lebih lagi bagi golongan sederhana. Ketiadaan pakar kaunseling yang mudah dihubungi dan didatangi pada bila-bila masa selain menawarkan bayaran berpatutan turut menyukarkan keadaan.
“Selain itu, mereka ini mudah terpedaya kerana pujukan rakan atau pelanggan yang berjaya selepas menggunakan khidmat bomoh itu,” katanya. Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam, mengenai lebih 10 pelanggan wanita seorang bomoh diberi pilihan sama ada menyerahkan tubuh atau barang kemas untuk membuang sial dan memulihkan hubungan suami isteri.
Seorang lagi mati
Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
Yuhana Yasin, 30, meninggal dunia di Hospital Melaka (HM), jam 1.20 pagi semalam berikutan kecederaan di bahagian dada.
Bakal tunang mangsa dikenali sebagai Mohd Faizal, 30, berkata, Yuhana ada menghubunginya beberapa jam sebelum memaklumkan dia perlu mengiringi seorang pesakit ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Arwah tidak pernah berkata demikian dan panggilan video terakhir itu dengan menyatakan hasrat meminta izin rupa-rupa mahu memberitahu dia juga akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HM, di sini, semalam.
Sementara itu, pesakit yang ingin dihantar ke HKL, Maryam Baba, 73, meninggal dunia, jam 9.10 pagi, kelmarin selepas bertarung nyawa hampir 39 jam akibat tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HM sejurus selepas kemalangan berkenaan.
Mohd Faizal berkata, dalam perbuatan telefon beberapa jam sebelum kejadian, bakal isterinya yang juga jururawat HM itu turut memberitahu ingin pulang ke kampung kerana mengadu tidak sihat.
Menurutnya, kali terakhir dia menemui Yuhana sehari sebelum Ramadan. Bakal tunangnya itu meminta mengambil gambar bersama lengkap berpakaian kerja.
“Gambar itu dirakamkan di sebuah studio di bandar ini dan saya masih menyimpan gambar yang sudah dibingkai. Arwah beriya-iya mahu bergambar bersama sebagai kenangan. “Ia menjadi kenangan buat selama-selamanya apabila dia ditakdirkan pergi dulu. Kami merancang bertunang selepas hari raya Aidilfitri ini dan bakal bernikah pada penghujung tahun ini, namun tiada jodoh buat kami berdua,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, Selasa lalu, ambulans dinaiki lima orang termasuk pesakit wanita warga emas yang kritikal akibat pendarahan kepala, terbalik di tengah jalan sejurus dirempuh teksi.
‘Kami dah bercerai’
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohdridzuan@hmetro.com.my
mohdridzuan@hmetro.com.my
“Ya, kami bercerai Januari lalu selepas sekian lama saya bersabar. Selepas berbincang dengan Abang (Rahmat) secara baik, kami bersetuju mengakhiri perkahwinan kami,” kata Ainina, 40, ketika ditemui pada majlis pelancaran program hari raya TV3 dan TV9 di sini, semalam.
Ainina berkata, keputusan berpisah itu diambil bukanlah kerana mereka bergaduh atau tidak sehaluan pendapat, sebaliknya terpaksa diambil demi menjaga hati pihak tertentu. Ainina berkata, pada awalnya sukar Rahmat melepaskan dia, tetapi bekas suaminya akur selepas melihat dia tidak mampu lagi bersabar dengan tekanan daripada pihak terbabit.
“Walaupun masih ada perasaan cinta terhadap Abang, saya sanggup berkorban melawan perasaan itu. Apabila keputusan ini dibuat, saya hanya mampu menangis kerana terpaksa melepaskan orang yang masih saya sayangi. “Bagaimanapun pada masa sama, saya rasa terlepas beban selepas bercerai. Saya juga enggan rujuk semula dan anggap hubungan kami sebagai kawan.
“Memang keputusan ini sesuatu yang berat dan sukar tapi saya lakukannya selepas difikir masak-masak. Awalnya, saya beritahu ibu mengenai hasrat bercerai dan meminta dia jangan menangis. Selepas itu saya beritahu Abang sedia berpisah. “Sepanjang perkahwinan hingga sekarang, Abang seorang yang baik. Dia adil dan tidak abaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dalam rumah tangga. Tapi mungkin jodoh kami hanya sampai di situ.
“Sekarang saya kembali sibuk berlakon dan Abang sanggup sediakan pembantu rumah bagi menjaga anak kami. Anak pun faham keadaan kami sekarang,” katanya yang kembali berlakon selepas 10 tahun berehat. Ainina berkata, dia dan Rahmat tiada masalah duduk berbincang membesarkan dua anak mereka, Nur Ariana Rahmat, 9, dan Nur Ara Elisha, 2, hasil perkahwinan dibina 11 tahun.
“Kami tidak mahu anak kehilangan dan ambil keputusan keluar bersama-sama sekiranya ada kelapangan,” katanya.
Ainina turut menafikan perceraiannya menjadi faktor dia berlakon semula. Katanya, tawaran berlakon datang ketika dia melalui proses bercerai. Dia mula berlakon drama bersiri Beret Hijau terbitan Global Network dan terbaru, Sekering Jiwa Ente terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd yang akan ditayangkan menerusi TV9 pada hari raya ketiga.
Sementara itu Rahmat ketika dihubungi berkata, keputusan ini elok dan baik untuk semua orang kerana mereka ada anak yang perlu diberi perhatian. Walaupun sedih keputusan itu terpaksa diambil selepas memikirkan untuk jangka panjang.
“Kami masih sama-sama berada dalam industri seni, jadi kami berjumpa dan berkawan. Keputusan berpisah diambil kerana inilah satu-satunya pilihan yang ada. Apabila bertukar perasaan sebagai kawan, kami takkan berasa apa-apa lagi. Niat kami untuk kebaikan semua selain anak takkan diabaikan,” kata penyanyi lagu Takdir Dan Waktu ini.
Lelaki, kekasih dibelasah
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berusia 28 tahun dan teman wanitanya berusia 25 tahun menaiki sebuah kereta untuk ke Kepong dari Sungai Buloh.
Difahamkan, kemudian berlaku perlanggaran kecil antara kenderaan dipandu mangsa dan kenderaan dinaiki seorang lelaki berusia 30-an berdekatan stesen minyak di lokasi kejadian.
Menurut sumber, mangsa kemudian memberhentikan keretanya di tepi jalan untuk menyelesaikan perkara berkenaan secara baik, namun ketidakpuasan hati lelaki terbabit mencetuskan pertengkaran antara mereka.
“Lelaki itu kemudian bertindak menghubungi beberapa rakannya sebelum tiba-tiba muncul kira-kira 20 lelaki bersenjatakan kayu dan topi keledar terus menyerang mangsa dan turut menarik teman wanitanya yang berada di dalam kereta.
Dua sepupu lemas dalam kolam takungan
Mangsa, Amir Fariz Mohd Fozli, enam tahun, dan Nor Shafiza Batrisya Ahmad Syukri, empat tahun, bermain di tepi kolam takungan itu ketika bersiar-siar bersama abang Nor Shafiza Batrisya iaitu Mohd Fikri Ahmad Syukri, enam tahun. Difahamkan, mereka bertiga keluar rumah kira-kira jam 3 petang menuju kandang kambing milik keluarga mereka dan ke kolam itu kira-kira 500 meter dari kandang kambing berkenaan. Ibu saudara mangsa, Maznah Mat Noor, 39, berkata Mohd Fikri yang bersama dua mangsa terbabit ke tempat berkenaan pulang berseorangan ke rumah dengan keadaan kaki dan seluar comot dengan tanah. “Mohd Fikri memberitahu ibunya, Faridah Mat Noor, 38, yang adiknya Nor Shafiza Batrisya dan sepupunya lemas di dalam kolam. “Terkejut dengan berita itu, ibunya meminta pertolongan jiran ke tempat berkenaan dan setibanya di kolam takungan itu, mereka menemui kedua-dua mangsa terbabit terapung di permukaan air,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang.
Belasah kerana sebatang rokok
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun dan bekerja di sebuah restoran di Bukit Bintang berjalan ke asramanya bersendirian sebelum dihalang lima lelaki tidak dikenali.
Terkejut dengan kehadiran mereka, mangsa meminta laluan kerana ingin pulang segera ke asrama selepas penat bekerja.
Bagaimanapun, seorang suspek meminta mangsa memberi sebatang rokok, jika ingin melalui kawasan itu.
Menurut sumber, lelaki itu memberitahu dia tidak ada rokok dan meminta mereka jangan mengganggunya.
“Kumpulan terbabit tidak dapat menerima alasan lelaki itu kerana sebelum ini mereka melihat mangsa merokok dan meminta memberikannya jika tidak mahu dicederakan.
“Mangsa memberi alasan rokok itu sudah habis menyebabkan mereka berang dan terus menolaknya,” katanya.
Sumber berkata, sebaik mangsa terjatuh, lima lelaki terbabit terus memukulnya bertubi-tubi, malah seorang daripada mereka mengambil sebatang besi dan memukul kepalanya.
“Mangsa dibelasah kira-kira lima minit, sebelum ditinggalkan dalam kesakitan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Lelaki parah dipukul samseng rugi RM3,000
Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan mangsa berusia 35 tahun mengalami pendarahan serius di kepala dan cedera di badan.
Difahamkan, tiga lelaki berusia 30-an itu tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan mengganggu kawasan mereka walaupun mangsa sebenarnya sudah 10 tahun tinggal di kawasan itu.
Menurut sumber polis, mangsa berada di pusat siber dipanggil seorang lelaki yang tidak berpuas hati dengannya kerana berada di kawasan itu sebelum datang dua lagi rakannya yang terus memukulnya.
“Mangsa cuba merayu agar tidak dibelasah kerana tidak tahu apa kesalahannya namun lelaki itu tidak menghiraukannya.
“Mangsa jatuh dan tidak berdaya kerana parah di kepala dan badan,” katanya di sini, semalam.
Lelaki itu merampas beg mangsa menyebabkannya kehilangan wang ringgit dan barangan berharga termasuk telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM3,000.
Mangsa mendapatkan rawatan di hospital berdekatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Puchong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.
Sos ada DNA babi
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my
am@hmetro.com.my
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd Yusoff, yang dihubungi wartawan Harian Metro berkata, pihaknya sudah menghantar notis peringatan memaklumkan kepada pengamal industri makanan yang menggunakan sos jenama berkenaan baru-baru ini.
Bagaimanapun, katanya, aspek penguat kuasaan belum dijalankan berikutan pihaknya sedang melakukan beberapa siasatan terakhir sebelum menguatkuasakan larangan penggunaan dua jenis sos jenama terkenal itu.
“Kami belum memuktamadkan penguat kuasaan larangan itu, namun surat makluman mengenai penemuan DNA babi itu sudah diedar kepada pihak terbabit termasuk rangkaian hotel dan restoran makanan segera.
“Kami sedang menunggu arahan pihak atasan Jakim mengenai tindakan selanjutnya bakal diambil terutama dalam menguat kuasakan larangan itu,” katanya. Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media khas sebaik segala siasatan berhubung larangan penggunaan sos jenama berkenaan selesai kelak.
Difahamkan, Jakim sudah mengambil sampel produk berkenaan untuk dihantar sebanyak dua kali ke Jabatan Kimia Malaysia sebelum ia disahkan terdapat DNA babi di dalamnya.
Persoalan timbul apabila pemilik jenama HP Sauce and Tabasco, HJ Heinz and Mclhenny Company, menyangkal dakwaan kedua-dua jenama itu tidak disahkan halal.
Dalam kenyataannya, syarikat itu berkata, kedua-dua jenama itu mematuhi sepenuhnya garis panduan kawal selia oleh badan pensijilan masing-masing.
HP Sauce disahkan halal oleh HAC (Halal Audit Company), iaitu pihak berkuasa pensijilan Islam di Belanda, di mana terletaknya kilang itu.
Manakala, Tabasco disahkan halal oleh INFANCA (Majlis Nutrisi dan Makanan Islam Amerika) yang juga pihak berkuasa Islam di Amerika Syarikat dan mendapat akreditasi Jakim bagi mengesahkan produk itu bagi pihaknya.
Isteri ditembak mati semasa berjalan
|
BOONTON, Amerika Syarikat (AS) – Polis mengesyaki sepasang suami isteri beragama Islam yang berketurunan Pakistan ditembak semasa sedang menolak kereta sorong anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun di sini merupakan sasaran serangan terancang.
Serangan itu berlaku ketika umat Islam menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Dalam kejadian tersebut pada Selasa lalu, si isteri, Nasish Noorani, 27, terbunuh manakala suaminya, Kashif Pervaiz, 26, cedera ditembak sebanyak empat kali.
Kashif menjalani pembedahan di sebuah hospital kelmarin.
Namun anak mereka tidak ditembak Kashif merupakan pelajar doktor falsafah (Ph-D) di Universiti Harvard dalam bidang kejuruteraan dan seni bina.
“Kes ini masih dalam siasatan dan pendedahan maklumat pada peringkat ini akan menjejaskan siasatan,” kata pendakwa raya Daerah Morris, Robert Bianchi dalam satu kenyataan.
“Berpandukan maklumat yang telah kami peroleh, sasaran tembakan ini telah dirancang dan kejadian ini bukan kes tembakan rambang yang membahayakan nyawa orang ramai,” tambahnya.
Pasangan suami isteri itu berada di rumah saudara perempuan Nooraini di sini untuk berbuka.
Mereka ditembak ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai berbuka puasa.
Laman berita NJ.com melaporkan bahawa lima das tembakan dilepaskan sekitar pukul 11.30 malam waktu tempatan. Noorani ditembak dekat dengan jantungnya manakala suaminya pula ditembak di pergelangan kaki dan bahu.
Polis masih memburu tiga suspek yang terbabit dalam serangan kejam itu. – Agensi
No comments:
Post a Comment