Friday, August 19, 2011

SEPATUT PERISTIWA2 BEGINI MENJADI IKTIBAR....BAGI ORANG ISLAM...ANAK2 UMUR 7 TAHUN SURUH SOLAT DAN PUKUL SEBAGAI PENGAJARAN BILA UMUR 10 TAHUN JIKA ENGGAN SOLAT...JANGAN SURUH AJE...TAPI TAK AJAR SOLAT...MALANGLAH YANG MENYURUH PUN TAK SOLAT....BEGITU BAB AURAT...BAB PUASA JUGA PERGAULAN....AGAR KITA TAK MENYESAL KEMUDIAN HARI.....JANGAN SEBUT TERPENCIL...KITA ANAK..ISTERI DAN KELUARGA....BAGAIMANA KALAU KELUARGA KITA KENA....

3 kali serbu

Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 146,065 peket mercun dan bunga api buatan China bernilai RM804,646 dalam tiga operasi berasingan di Rawang, Ampang dan Kajang, Selangor.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan), Datuk Zainul Abidin Taib berkata, operasi berkenaan dilakukan hasil risikan pegawainya di lokasi berkenaan, masing-masing pada 19 Julai serta 17 dan 18 Ogos lalu.

Menurutnya, berdasarkan risikan, pihaknya percaya mercun dan bunga api berkenaan diseludup dari negara jiran melalui jalan laut dan darat. “Nilai duti import semua mercun dan bunga api yang dirampas mencecah hingga RM402,323 manakala cukai jualannya RM120,696,” katanya pada sidang media rampasan mercun dan bunga api, di sini, semalam. Zainul berkata, ketiga-tiga operasi itu membawa kepada penahanan lima lelaki dipercayai penyeludup.
“Dalam operasi di Bandar Tasik Puteri, Rawang dua lelaki berusia 30-an ditahan untuk siasatan lanjut bersama kenderaan jenis lori selepas tiga premis berasingan di lokasi itu diserbu pegawai JKDM.

“Antara jenama mercun yang dirampas ialah Colour Flower, Dragon Eggs, Conic Fountain, Sputer Fireworks, Pili Crackers dan Camalia Flowers,” katanya. Menurutnya, operasi kedua di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang menahan dua lagi lelaki berusia 40-an selepas pegawai JKDM menyerbu van dan lori di tempat berkenaan. “Modus operandi dalam kes ini ialah mercun dan bunga api disimpan dalam kenderaan yang dijadikan stor bergerak dan akan dipindahkan ke lokasi berbeza. “Pengedar terbabit datang sendiri mengambil stok mercun dan bunga api yang disimpan dalam kenderaan itu,” katanya.

Bagi kes ketiga katanya, serbuan dilakukan di sebuah premis di Bandar Sungai Long, Kajang dengan seorang lelaki berusia 31 tahun berjaya ditahan untuk disiasat lanjut. “Kelima-lima lelaki terbabit bersalah mengimport mercun dan bunga api yang dilarang bawah Butiran 34, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2008 kecuali permit import dikeluarkan Polis Diraja Malaysia,” katanya. Menurut Zainul, permit import hanya dikeluarkan untuk dua jenis mercun dan bunga api jenis ‘Pop Pop’ dan ‘Happy Boom’ kerana ia tidak mendatangkan risiko bahaya kepada orang ramai dan tidak menyebabkan kecederaan.

Katanya, mereka yang melakukan kesalahan pertama bawah peraturan itu boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda dari nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali ganda dari nilai barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. “Bagi kesalahan kedua dan seterusnya akan dikenakan denda tidak kurang daripada 20 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 40 kali ganda nilai barang atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

Terpaksa minta sedekah selepas suami hilang



KUALA LUMPUR: “Saya terpaksa meminta sedekah kerana sudah dua bulan suami tidak menghantar duit untuk perbelanjaan makan kami dua beranak,” kata ibu muda warga Myanmar dikenali sebagai Mumtaz, 15, yang ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan (JKMWP), semalam.
Mumtaz dan anak lelakinya berusia dua bulan serta adiknya ditahan ketika meminta sedekah di pintu utama Masjid Sri Petaling di sini, sebelum solat Jumaat.

Katanya, sebelum ini dia bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di gerai makan dan dibayar upah RM20 sehari, namun diberhentikan kerja seminggu lalu.
“Sudah dua bulan suami tidak menghantar duit selepas ke Terengganu untuk bekerja. Sejak itu, saya tidak mendengar khabar berita daripadanya.

“Saya terpaksa melakukan kerja ini kerana perlu menyara anak berusia dua bulan serta adik. Ini kali pertama saya minta sedekah kerana melihat ramai warga Myanmar berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Warga Tua dan Keluarga JKM, Mujah Hamat berkata, dalam operasi tiga jam membabitkan 18 anggota itu, JKM turut menahan seorang wanita tempatan dan 20 warga asing termasuk kanak-kanak.

Menurutnya, operasi dilakukan di dua lokasi utama iaitu sekitar Masjid Sri Petaling dan Masjid Permaisuri, di sini.

2 juta pekerja asing berdaftar



KUALA LUMPUR: Lebih 2,088,358 pekerja sah dan pendatang mendaftar menerusi Program 6P yang dilaksanakan kerajaan sejak 1 Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 1,135,499 adalah pendatang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim berkata, walaupun angka itu menggalakkan, namun pihaknya berjaya mengesan masih terdapat sebilangan besar pendatang belum mendaftar.
“Di Cameron Highlands, dianggarkan 20,000 pendatang yang bekerja di ladang teh dan kebun sayur-sayuran, namun setakat ini kira-kira 11,000 saja yang tampil mendaftar.

“Saya menyeru semua majikan dan pendatang asing bertindak proaktif untuk mendaftar bagi mengelakkan tindakan undang-undang sekiranya tempoh yang diberikan tamat,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke Agensi Pekerjaan Mepro Sdn Bhd, di sini, semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, warga Indonesia mencatatkan bilangan pendaftar tertinggi diikuti Bangladesh, Myanmar dan Nepal.

“Tiada alasan untuk mereka tampil mendaftar kerana selain daripada berurusan di 37 pejabat, Imigresen, kami turut menyediakan 1,400 lokasi yang diurus syarikat pengurusan dilantik KDN di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, pendatang asing yang sudah mendaftar akan menjalani proses pemutihan yang dijangka akan bermula pertengahan September ini.
“Tarikh tepat akan diumumkan sebaik saja semua data dan maklumat yang diperoleh melalui proses pendaftaran selesai diproses dan disusun,” katanya.

Katanya, sebaik program pemutihan dijalankan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerusi Kementerian Sumber Manusia akan membuka ruang kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan sektor pekerjaan yang ditinggalkan pendatang asing.

“Keutamaan akan diberikan kepada warga tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan terbabit dan mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi iklan di akhbar,” katanya.

Masuk jerat sendiri

Oleh Muhamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

AMPANG: Seorang pelajar sebuah sekolah sanggup membuat laporan polis palsu kononnya menjadi mangsa belasahan 10 lelaki ketika ingin pulang ke rumah di Pandan Mewah, di sini selepas tamat sesi persekolahan, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 12. 30 tengah hari itu, pelajar berusia 17 tahun itu mendakwa dibelasah kumpulan lelaki terbabit hingga pengsan sebelum dibawa bapanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Malah, dia membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, kononnya kumpulan terbabit mengganggunya sebelum terus membelasahnya hingga pengsan.
Bagaimanapun, tembelang remaja itu pecah apabila polis yang menjalankan siasatan mendapati terdapat keraguan dalam laporannya dan hasil siasatan mendapati punca sebenar dia bergaduh dengan rakannya sendiri.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis yang menerima laporan remaja terbabit kemudian menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca akibat pergaduhan dengan rakannya sendiri dan bukan seperti didakwa pelajar terbabit.

“Polis mengambil serius perkara ini kerana laporan palsu yang dibuat boleh menjejaskan siasatan kami.

“Remaja terbabit berkemungkinan akan dituduh minggu depan kerana kenyataan diberikan dalam laporannya tidak benar,” katanya.
Beliau berkata, dalam laporan itu, pelajar itu memberitahu didatangi 10 lelaki ketika menunggu bas untuk pulang ke rumah sebelum dibelasah,” katanya.

Dalam pergaduhan itu, pelajar terbabit cedera di mata, muka dan telinga akibat dipukul rakannya kerana masing-masing dikatakan mengejek sesama mereka.

Beberapa minit kemudian dia jatuh pengsan sebelum dihantar rakan lain ke rumahnya dan hanya sedar daripada pengsan kira-kira jam 10.30 malam selepas bapanya pulang.

Bagaimanapun, bapa mangsa yang terkejut melihat anaknya cedera terus membawanya ke hospital untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.

Kejadian simbah asid kes terpencil



PETALING JAYA: Kes membabitkan kejadian simbah asid sudah lama berlaku dan boleh dikatakan sebagai kes terpencil, namun sejak akhir ini ia menjadi tumpuan apabila terdapat individu tidak bertanggungjawab melakukan beberapa kejadian simbah asid terhadap mangsa, terutama wanita tanpa diketahui motif sebenar tindakan itu.
Bagaimanapun sejak akhir bulan lalu terdapat beberapa kes simbah asid di sekitar Lembah Klang yang dipercayai bermotifkan samun dan polis turut mengesahkan ia tiada kaitan dengan lebih 20 kes simbah asid bermula awal tahun ini yang menggemparkan masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, tidak menafikan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan asid bagi tujuan melakukan jenayah, terutamanya menyamun.
Menurutnya, mustahil pihak berkuasa boleh mengharamkan penggunaan cecair berkenaan kerana ia bahan yang digunakan setiap hari oleh pelbagai pihak.

“Asid digunakan untuk kegunaan harian dan mustahil kita hendak mengharamkannya. Bahan ini sama seperti bahan lain yang jika disalah guna boleh memudaratkan seperti gam dan serbuk lada.

“Tetapi bagi cecair atau asid yang benar-benar bahaya memang ada peruntukan undang-undang untuk mengawal pengedaran dan penggunaannya, cuma asid yang digunakan seharian ini agak mustahil untuk diharamkan,” katanya selepas merasmikan Kempen Balik Kampung Rumah Selamat anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), di Sunway Pyramid, semalam.

Khalid berkata, sebelum ini terdapat penjenayah yang menggunakan serbuk lada sebagai senjata untuk menyamun.

“Polis memang memberi perhatian serius terhadap kes ini dan kami sedang melakukan tindakan sebaik mungkin untuk menjejaki suspek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh meminta peniaga yang menjalankan perniagaan asid tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan kes simbah asid seorang mangsa dalam kejadian 8 Ogos lalu berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan seorang lelaki dianggarkan berusia di antara 25 hingga 30 tahun.

Cuai tetap faktor utama kecelakaan

Oleh Sufian Thauri Muhammed

SETIAP kali musim perayaan, kita tidak akan terlepas daripada dihidangkan berita tragedi kemalangan yang menyayatkan hati.
Meskipun pelbagai kempen keselamatan dan operasi dibuat, jumlah kemalangan tetap tinggi.

Sempena Aidilfitri tahun ini, polis akan melancarkan Ops Sikap 24 yang tujuannya untuk mengurangkan kadar kemalangan sepanjang musim perayaan terbabit.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata pendekatan digunakan pada Ops 24 kali ini akan membabitkan perubahan daripada segi strategi dan ia akan diumumkan apabila dilancarkan Isnin ini. “Perubahan dilakukan itu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut di samping memastikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutama menjelang musim perayaan,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Berbuka Puasa dan Makan Malam Mesra 1Malaysia, minggu lalu.

Bagaimanapun, sukar untuk menafikan keberkesanan sebarang strategi untuk menurunkan kadar kemalangan maut tetap bergantung kepada sikap pengguna jalan raya itu sendiri.

Ketika Ops Sikap 22 digerakkan pada Aidilfitri tahun lalu, 248 kematian membabitkan 218 kemalangan maut dicatatkan.

Dalam tempoh dua minggu operasi itu, jumlah keseluruhan kemalangan yang direkodkan pula 16,817 kes dengan pengguna motosikal menjadi penyumbang kemalangan maut tertinggi iaitu 65 peratus manakala sebanyak 144,576 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Mengulas mengenai angka terbabit, Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof dilaporkan berkata, kadar penurunan yang lebih tinggi boleh dicapai jika pengguna mengikut peraturan jalan raya yang ditetapkan.
“Penurunan yang lebih tinggi boleh dicapai jika pengguna jalan raya mematuhi had laju ditetapkan dan menjadi pengguna bijak dengan mengelak terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Abd Aziz juga memaklumkan terdapat kira-kira sembilan juta kenderaan berada di jalan raya di seluruh negara pada musim perayaan itu berbanding tiga juta pada hari biasa.

Justeru, angka belasan ribu kemalangan yang dicatatkan itu bukan mengejutkan kerana dengan sembilan juta kenderaan berada di jalan raya, kebarangkalian untuk kemalangan berlaku sentiasa tinggi terutama dengan mentaliti sebilangan pengguna yang boleh dikatakan lupa diri apabila memegang stereng.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Muhammad Ramli Nuh ketika diminta mengulas mengenai jumlah kemalangan yang tinggi ketika musim perayaan Aidilfitri berkata, isu itu boleh diatasi jika pengguna berpegang sepenuhnya kepada ajaran agama apabila di jalan raya.

Menurutnya, Islam sentiasa mengingatkan penganutnya supaya menjaga disiplin diri dalam apa jua keadaan.

“Saya percaya jika seseorang itu berpegang kepada ajaran agama, tidak timbul soal bertindak melulu sehingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

“Perbuatan tidak sabar hingga menyusahkan orang lain adalah berdosa.

“Ingatlah pada Ramadan ini, mereka yang berbuat baik akan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda,” katanya.

Menurutnya, tindakan sebilangan pengguna yang sengaja menyakiti hati dan menyusahkan pengguna lain seperti memandu laju, cuai, mengekori rapat kenderaan lain, meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa mengira perasaan orang lain, berlumba dan sifat negatif lain di jalan raya adalah berdosa.

“Jika seseorang itu menganggap puasa hanya sekadar berkaitan lapar, dahaga dan letih, kemampuannya untuk bersabar akan hilang serta digantikan dengan rasa marah hingga sanggup menyusahkan orang lain,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya membuang perasaan riak, takbur, menunjuk-nunjuk, tidak bertimbang rasa, pemarah dan tidak sabar ketika di jalan raya demi keselamatan semua pihak termasuk diri pengguna itu sendiri.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengambil langkah bijak apabila mengumumkan pihaknya tidak akan mengadakan sekatan jalan raya bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Namun, itu tidak bermakna pengguna akan bebas melakukan kesalahan trafik kerana JPJ menempatkan pegawainya yang berpakaian preman di lokasi tertentu untuk merakam gambar pesalah trafik.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan turut menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam untuk pulang ke kampung kerana kajian mendapati ia lebih selamat selain mengurangkan kesesakan lalu lintas menerusi penggunaan kenderaan persendirian yang lebih rendah.

Menurutnya, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia menunjukkan menggunakan kenderaan awam berbanding kenderaan persendirian adalah antara tujuh hingga sembilan kali lebih selamat selain 48 kali lebih selamat berbanding menunggang motosikal.

Bagaimanapun, JPJ terlebih dahulu perlu meyakinkan orang ramai penggunaan kenderaan awam benar-benar selamat kerana kebiasaannya kemalangan membabitkan kenderaan berkenaan terutama bas membabitkan jumlah mangsa yang ramai.

Perkara ini diakui Solah yang berkata, pihaknya akan melakukan aktiviti penguatkuasaan lebih ketat untuk memastikan bas berkenaan selamat digunakan manakala pemandunya benar-benar cekap dan berkelayakan.

“JPJ akan menempatkan pegawai kami yang menyamar sebagai penumpang untuk memastikan pemandu bas tidak melanggar peraturan trafik seperti menggunakan telefon bimbit, memandu laju dan berbahaya,” katanya yang turut memberitahu pihaknya akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk menjalankan pemeriksaan rambang air kencing terhadap pemandu bas awam.

Tidak dinafikan keadaan kenderaan dan jalan raya turut menjadi punca kemalangan, tetapi kesilapan terbesar disebabkan kecuaian pengguna sendiri.

Sejak kecil kita diajar dengan nilai murni seperti sabar, bekerjasama, berhati-hati, menghormati perasaan orang lain dan saling membantu.

Nilai murni itu jika diamalkan di jalan raya pasti mampu mengurangkan kadar kemalangan meskipun perlu diakui memang sukar untuk mencapai tahap kemalangan sifar.

Penulis Ketua Biro Harian Metro Terengganu

Remaja cabul jiran jalani pemulihan akhlak



KLANG: Seorang remaja 16 tahun diperintah menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah mencabul anak jirannya, seorang kanak-kanak berumur lapan tahun, tahun lalu.
Majistret Afifah Yusof memerintahkan remaja lelaki tidak bersekolah itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Melaka sehingga umur 21 tahun.

Terdahulu, pesalah muda itu didapati bersalah menggunakan kekerasan dengan cara mencium kepala dan dahi serta membuka pakaian kanak-kanak terbabit, yang juga jirannya.
Dia melakukan kesalahan itu di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Ubudiah, Jalan Perajurit, Telok Gong, Pandamaran di sini, antara jam 6.49 petang dan 7.10 malam, 25 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon, Nizi Shahril Ithnin dan Puteri Iskandariah Md Tahir mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Peguam mewakili tertuduh, Nur Shakimah Harun meminta mahkamah memberikan remaja itu peluang kedua supaya dapat menjaga kedua ibu bapa dan berubah menjadi individu yang berkelakuan baik. Bagaimanapun, panel penasihat juvana, Masdar Mohd Husni dan Saliyah Ahmad menyarankan tertuduh dihantar ke Henry Gurney untuk pemulihan.

“Dia melakukan kesalahan jenayah terhadap seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Ia kesalahan serius yang boleh membawa kepada kematian jika mangsa lambat ditemui.
“Walaupun (tertuduh) tiada rekod lampau, saya syorkan dia dihantar ke sekolah pemulihan,” katanya. Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tuah Sajali yang menyerahkan laporan akhlak turut menyarankan remaja itu menjalani pemulihan di institusi.

‘Bapa hilang di bukit’

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my

KUALA NERANG: “Pada mulanya, saya perhatikan bapa dari jauh kerana dia marah kalau ditegur, tetapi dia langsung tidak menyahut dan menoleh ke belakang sebaliknya terus berjalan menuju ke bukit itu walaupun dipanggil berulang kali,”.
Begitu kata Mohd Firdaus, 29, anak Azmi Sidek, 59, yang menghilangkan diri selepas dilihat berjalan seorang diri ke kawasan Bukit Perik di Kampung Baru Lembah Permai, di sini dan gagal dikesan sejak Rabu lalu.

Mohd Firdaus berkata, bapanya yang juga bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bakti, di sini, keluar rumah dengan memakai baju kemeja lengan panjang berputih, kain pelekat serta berkopiah putih, jam 2 petang.
“Bapa pernah mengalami tekanan perasaan sejak menjadi guru lagi kerana rekod kesihatan menunjukkan dia pernah mendapatkan rawatan doktor pakar beberapa tahun lalu.

“Mungkin masalah itu terbawa-bawa sehingga dia pencen selain bapa sering bercakap seorang diri sejak setahun lalu tanpa mahu menyambung kerja kerana tertekan dengan tugasnya.

“Sebelum ini, dia pernah keluar rumah tetapi beberapa jam selepas itu pulang ke rumah, tetapi kali ini bapa terus menghilangkan diri menuju ke Bukit Perik yang terletak berhadapan dengan rumah kami,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, kelmarin.

Mohd Firdaus berkata, bapanya juga kadang-kadang mengalami penyakit nyanyuk tetapi akan baik semula selepas makan ubat mengikut arahan doktor.

“Sejak pencen, bapa sering mengalami kemurungan dan bercakap seorang diri tanpa sebab, tetapi kadang-kadang sihat dan waras seperti orang lain. Kali terakhir bapa mendapatkan rawatan doktor pakar pada Jun lalu.
“Kami perasan macam ada sesuatu yang membelenggu bapa sehingga dia sering menyebut yang bukan-bukan. Sudah puas berubat tetapi penyakit misteri ini sering mengganggu dirinya,” katanya.

Abangnya, Mohd Ridhwan, 33, berkata, sepanjang tempoh itu tiada berlaku sebarang perselisihan faham antara keluarga.

“Kami bimbang keselamatan dirinya berikutan bapa tidak begitu mahir selok-belok kawasan ini kerana kami baru berpindah ke sini sejak dua bulan lalu.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya melancarkan gerakan mencari mangsa dengan bantuan Rela, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta Rukun Tetangga (RT) Kampung Baru Lembah Pantai.

“Operasi masih diteruskan, tetapi tiada sebarang petunjuk menemui mangsa,” katanya.

Mereka yang mengetahui di mana Azmi berada boleh menghubungi di talian 019-5225578 atau 019-5183458.

Jemaah lapor polis terganggu ceramah Azmil



PETALING JAYA: Seorang bilal bersama beberapa jemaah Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, dekat sini, tampil membuat laporan polis berhubung ceramah berunsur politik dan menghasut yang disampaikan pelakon zaman 80-an yang popular melalui filem Ali Setan, Azmil Mustapha.
Laporan dibuat semalam, di Balai Polis Kampung Baru Subang, ekoran tindakan pelakon itu yang menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 300 jemaah sebelum solat Tarawih.

Bilal 1 masjid berkenaan, Mohd Sani Nasib, berkata ceramah berunsur politik di dalam masjid tidak wajar kerana mengganggu amal ibadat orang lain.
Katanya, disebabkan ceramah itu, kira-kira 20 jemaah tidak sempat melakukan solat Tarawih dan pulang ke rumah ekoran tidak mahu dihasut.

“Dalam ceramahnya, dia menuduh kerajaan tidak mengamalkan ajaran Islam kerana sekolah mengikut acuan kafir dan tidak wujud sekolah Islam.

“Azmil turut mempertikaikan perlembagaan sekarang yang perlu ditukar kepada keluhuran al-Quran selain tidak perlu mengagungkan Sultan dan Yang Dipertuan Agong serta yang perlu diagungkan adalah Tuhan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan laporan polis, semalam. Menurutnya, pelakon itu berulang kali mengeluarkan perkataan Melayu bodoh.

“Azmil turut mempertikai pertemuan antara Perdana Menteri dengan paderi Kristian dan menyatakan mempunyai niat tersembunyi di sebalik pertemuan itu. Selain itu, turut mempertikaikan Dasar Ekonomi Baru dan perlu ditukar kepada Dasar Ekonomi Bodoh,” katanya.

Sementara itu, Azmil berkata, dia tidak berniatmemberi ceramah politik kerana tidak pernah terbabit parti politik.
“Saya tidak pernah mendaftarkan diri sebagai pemilih dan hanya berniat untuk memberi ilmu agama,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

11 lelaki asing ditahan



SHAH ALAM: Polis Selangor menemui petunjuk baru berhubung kes penemuan mayat seorang wanita dan kanak-kanak yang dikerat dan dibuang dalam mangkuk tandas di Taman Kosas, Ampang, awal bulan lalu dengan penangkapan 11 lelaki warga asing, baru-baru ini.
Semua suspek itu ialah 10 lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia yang mengaku suami mangsa. Semua suspek direman sehingga Isnin depan dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis turut menemui dua pisau, dua pasu bunga dan dua batang mop yang dipercayai bahan bukti bagi membantu menyelesaikan kes pembunuhan kejam itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah (gambar), berkata pihaknya kini menunggu pengesahan daripada hospital bagi melengkapkan laporan siasatan kes.

“Namun, sehingga kini polis belum dapat mengesahkan motif kejadian dan persoalan lain seperti sama ada kanak-kanak lelaki itu anak mangsa, lelaki Indonesia itu suaminya dan lain-lain.

“Selepas laporan hospital dan pihak Jabatan Kimia diserahkan baru segala persoalan itu dapat dijawab dan kami akan beritahu media.

“Saya ingin membetulkan fakta lelaki yang mengaku suami mangsa bukan warga tempatan atau orang Sabah, tetapi warga Indonesia,’’ katanya.

Menurut Mohd Adnan, semua lelaki Bangladesh yang ditahan menetap di pangsapuri tempat mayat mangsa ditemui sementara butir mengenai lelaki Indonesia itu belum boleh didedahkan.
Pada 3 Ogos lalu, beberapa keratan tubuh dan organ manusia termasuk usus ditemui dalam beberapa beg plastik di dalam mangkuk tandas di sebuah unit di tingkat lima Pangsapuri Astaria, Taman Kosas.

Selepas siasatan awal, polis mengesahkan semua beg plastik itu mengandungi keratan mayat seorang wanita warga asing berumur 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki.

Dalam kes berasingan, polis menahan tiga suspek termasuk seorang warga Bangladesh yang disyaki terbabit kes seorang pemberi hutang atau along yang ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di bilik air sebuah premis kopitiam di kawasan Petaling Jaya Commercial City (PJCC) di Petaling Jaya pada Isnin lalu akibat ditetak.

Lembik dalam hutan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my

SAKIT...Nanthakumaran yang cedera dirawat di Hospital Selayang.
SAKIT...Nanthakumaran yang cedera dirawat di Hospital Selayang.
GOMBAK: Seorang lelaki ditahan hampir lima jam di kawasan hutan menghala Genting Highlands sebelum dibelasah hingga ‘lembik’ oleh lapan lelaki gara-gara dituduh mencuri barang kemas bernilai RM100,000, kelmarin.
Malah, mangsa, Nanthakumaran, 31, turut tidak diberi makan dan minum ketika ditahan selain diseksa, malah mereka juga mengugut akan membunuh anak dan merogol isterinya jika tidak mengaku mencuri barangan milik sepupunya.

Rayuan mangsa yang berulang kali minta dibebas dan menafikan mencuri barangan kemas seperti didakwa lelaki itu tidak dilayan, malah mereka berulang kali memukulnya menggunakan batu-bata dan topi keledar.
Akibat kejadian itu, mangsa menerima beberapa jahitan di kepala, cedera di mata dan seluruh badan dan kini terlantar di Hospital Selayang.

Nanthakumaran berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anak menziarahi kakaknya di Bandar Baru Selayang, kira-kira jam 3.30 petang.

Bagaimanapun, selang beberapa minit kemudian datang lapan lelaki yang mendakwa rakan sepupunya membuat bising dan merosakkan pintu pagar rumah.

“Tidak cukup dengan itu mereka menceroboh masuk dalam rumah dan memukul isteri saya dengan topi keledar berulang kali.

“Selepas itu mereka datang ke arah saya dan memukul dengan batu-bata dan topi keledar di kepala hingga berdarah,” katanya ketika ditemui selepas menjalani pembedahan, semalam.
Beliau berkata, lelaki itu memberitahu diupah sepupunya kerana tidak berpuas hati barang kemasnya dicuri.

“Saya yang tidak tahu-menahu kejadian terbabit menafikan mengambil barang kemas itu menyebabkan mereka bertambah marah dan menarik saya keluar dan membawa ke Genting Highlands sebelum berhenti di dalam hutan.

“Ketika itu mereka memukul saya berulang kali dengan batu-bata dan topi keledar hingga baju saya berlumuran darah,” katanya.

Katanya, dia juga memberitahu jika benar dia mencuri mereka sepatutnya membuat laporan polis, namun kesal apabila tidak dilayan, malah mereka membelasahnya hingga pengsan.

“Saya tersedar apabila isteri dan polis membantu menghantar saya ke Hospital Selayang selepas mereka meninggalkan saya di Balai Polis Bukit Idaman,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Janes Linda Muthusamy, berkata ketika mendapat berita suaminya sudah dijumpai, dia bergegas ke balai polis berkenaan dan terkejut apabila melihat keadaan wajah suami yang teruk dan bengkak akibat dihentak dengan topi keledar dan batu-bata.

“Saya tidak mampu berkata-kata apa-apa dan sedih melihat keadaan suami kerana mereka sanggup bertindak kejam membelasahnya tanpa usul periksa.

“Sepatutnya mereka menyerahkan kes ini kepada polis jika benar suami saya mencuri dan bukan bertindak sendiri,” katanya.

Dia membuat laporan di Balai Polis Selayang selepas suaminya dibawa lari kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan beliau berkata suspek adalah saudara mangsa.

Menurutnya, saudara mangsa juga sudah ditahan polis bagi membantu siasatan manakala lelaki yang diupah memukul masih diburu.

No comments:

Post a Comment