Wednesday, August 17, 2011

ARTIS BUKAN SEMUA BOLEH BUAT CONTOH...MALAH ADA YANG MENCEMAR NAMA ISLAM DAN MASYARAKAT....ASID NI.....SIMBAH BALAS SIMBAH...ITU HUKUM YANG SETIMPAL DAN ADIL....MEREKA AKAN DAPAT RASA DAN DAPAT KECACATAN KEKAL MACAM ORANG YANG DISIMBAHNYA...

Mentega DNA babi masih tidak diasing



MENTEGA yang mengandungi DNA babi (paling kanan) masih bercampur dengan mentega halal yang lain di salah sebuah pasar raya di Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Walaupun pihak berkuasa meminta agar pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi ke seksyen tidak halal, namun masih ada yang tidak peduli.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pasar raya mendapati mentega jenama Pure Creamery Butter-Golden Churn yang disahkan tidak halal oleh Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Isnin lalu masih diletakkan bersama produk halal lain di pasar raya.
Sebuah pasar raya di Jalan Cheras di sini didapati seolah-olah tidak peka dengan arahan terbabit kerana mempamerkan produk itu bersama mentega halal lain.
Selain hanya mengasingkan produk itu beberapa sentimeter dari produk halal, tiada sebarang notis tidak halal ditampal pada bahagian mentega DNA babi terbabit.
Bagaimanapun, tinjauan di empat lagi pasar raya terkemuka di Ampang, Taman Midah, Jalan Peel dan Jalan Loke Yew di sini tidak menemui produk mentega babi yang dijual pada harga RM7.99 itu.
Kosmo! semalam melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta semua pengusaha pasar raya dan peruncit mengasingkan segera mentega terbabit ke dalam rak seksyen tidak halal.

Syabu: Pelakon didenda RM5,000

Gambar kiri, Benjy ketika ditahan pada Mac 2010 manakala kanan ialah gambar Benjy semalam.


KUALA LUMPUR – Pelakon Benjy, anak dramatis Azean Irdawaty boleh menarik nafas lega apabila hanya didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas disabitkan bersalah atas satu tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram di kediamannya pada Mac tahun lalu.
Majistret Hafizza Sauni memutuskan demikian terhadap Benjy, 33, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Artis lelaki tersebut disabit bersalah atas tuduhan memiliki 0.24 gram dadah jenis syabu di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.
Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim yang ditemani adik perempuannya, Elza Irdalynna membayar denda tersebut.
Pelakon yang semakin berisi itu sempat berkata sesuatu kepada wartawan selepas membayar denda: “Saya lega, telah bebas dan semua berakhir, terima kasih kepada rakan-rakan atas sokongan, saya kembali.”
Pada 8 Julai lalu, Benjy dilepas dan dibebas daripada satu tuduhan memiliki 0.14 gram dadah syabu di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pukul 3 petang hari yang sama.

Gadis hilang ditahan peras ugut keluarga


KERATAN Kosmo! 16 Ogos 2011.


PUCHONG – Tembelang Ameerah Asha Azizan, 17, yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu terbongkar selepas dia ditahan polis bersama teman lelakinya kerana disyaki menipu ibu bapanya dengan merancang penculikan diri sendiri dan meminta wang tebusan berjumlah RM50,000.
Sebelum dilaporkan hilang, Ameerah Asha, pelajar tingkatan lima dikatakan tidak pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tambahan di Sekolah Menengah Puchong Utama 1 dekat sini pada 12 Ogos lalu.
Bagaimanapun, rancangan penculikan itu terbongkar apabila Ameerah Asha dan teman lelakinya seorang penganggur berusia 19 tahun ditahan ketika pasangan tersebut menaiki sebuah kereta di kawasan Saujana Puchong dekat sini pada pukul 9 pagi semalam.
Pada 27 Julai lalu, modus operandi sama digunakan oleh seorang pelajar wanita sebuah kolej swasta dekat Subang Jaya.
Gadis itu bersubahat dengan kekasihnya seorang lelaki Nigeria sebelum mereka meminta wang tebusan sebanyak RM1.5 juta daripada keluarga si gadis yang berada di Kuching, Sarawak.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, penahanan pasangan remaja itu dibuat susulan daripada panggilan ugutan seorang lelaki tidak dikenali diterima oleh bapa Ameerah Asha yang meminta wang tebusan.
“Panggilan ugutan tersebut merupakan petunjuk penting polis menyelesaikan kes kehilangan Ameerah Asha.
“Gadis itu tidak hilang sebaliknya mengikut teman lelakinya sebelum merancang penculikan untuk mendapatkan wang,” kata beliau kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini semalam.

Hukum penyimbah asid setimpal


MUHAMMAD KHAIRUN (kiri) bertanya sesuatu kepada Mohd. Rafi di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Undang-undang sedia ada untuk menghukum penjenayah simbahan asid perlu dikemas kini supaya hukuman setimpal dengan kecacatan kekal yang dialami mangsa dapat dikenakan terhadap penjenayah terbabit.
Pengerusi Biro Aduan Komuniti UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, berdasarkan kes-kes lepas, pihak polis mengkategorikan kesalahan simbah asid di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan dengan hukuman maksimum tiga tahun penjara dan denda RM1,000 terhadap pesalah.
Tegas beliau, hukuman tersebut jelas tidak setimpal jika dibandingkan dengan kecederaan teruk dan trauma yang dialami mangsa.
“Secara peribadi, saya melihat hukuman yang dikenakan ketika ini tidak cukup tegas bagi mengekang jenayah simbahan asid yang sedang berleluasa di negara kita.
“Orang yang tidak bertanggungjawab akan terus-menerus menjadikan asid sebagai senjata mudah untuk melepaskan dendam mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa simbahan asid, Mohd. Rafi Abdul Latiff, 28, di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Besar Kuala Lumpur semalam.
Mangsa dikatakan disimbah dengan asid ketika sedang menunggu rakannya di dalam kereta di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raya Laut selepas membeli-belah persiapan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira pukul 1.10 pagi pada 8 Ogos lepas.
Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu melecur teruk di muka, kedua-dua belah tangan dan mata kanannya kabur kesan simbahan asid tersebut.
Sementara itu, Muhammad Khairun turut menggesa setiap pembelian asid oleh orang ramai didaftarkan supaya ia dapat direkodkan bagi memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.
“Saya yakin melalui tindakan itu, ia akan dapat memberi persekitaran yang lebih selamat kepada komuniti,” ujarnya.
Sementara itu, abang mangsa, Pegawai Staf 2 di Dasar Latihan Peperangan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Mohd. Jeffry Abdul Latiff, meminta kerajaan memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) terutamanya di kawasan awam.
“Rakaman melalui CCTV ini akan dapat membantu pihak berkuasa mengesan penjenayah,” katanya.

Pemain bola T-Team putus jari


Zuhairi menunjukkan tangan kanannya yang berbalut selepas lima jarinya tersepit mesin tebu ketika menerima rawatan di HSNZ, Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Niat murni seorang pemain bola sepak Piala Presiden T-Team untuk mencari duit raya dengan berniaga air tebu di bazar Ramadan Marang di sini berkecai apabila kesemua lima jari tangan kanannya putus akibat digilis mesin tebu dalam kejadian pada 7 Ogos lalu.
Kejadian pada pukul 5.30 petang itu berlaku ketika Zuhairi Ahmad, 21, sedang sibuk memasukkan batang tebu ke dalam mesin sebelum tangan kanannya tiba-tiba tersangkut dan digilis.
Panik dengan keadaan itu, Zuhairi yang bermain di posisi pertahanan dalam pasukan Piala Presiden T-Team terus mematikan suis utama mesin itu sebelum menarik keluar tangannya yang berlumuran darah.
“Ketika itu saya masih tidak perasan yang lima jari saya telah putus, sehingga saya tarik keluar tangan kanan saya dari mesin itu,” katanya ketika ditemui di wad pesakit Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Menceritakan kejadian itu, Zuhairi dari Kampung Rhu Muda, Marang memberitahu, dia berniaga air tebu di bazar Ramadan untuk menambahkan pendapatan keluarganya.
“Memandangkan musim pertandingan Piala Presiden sudah berakhir, jadi saya ambil keputusan berniaga air tebu dengan dua lagi rakan.
“Ini adalah tahun pertama saya berniaga tetapi tak sangka pula perkara ini akan berlaku. Apa yang saya risau adalah masa depan saya dalam bola sepak kerana amat sukar bermain dalam keadaan seperti ini,” ujarnya.

Risiko hotel bajet Kuala Perlis

KUALA PERLIS - Tiga daripada empat hotel bajet di sini yang menjadi tempat persinggahan bagi pelancong terutama yang mahu ke Pulau Langkawi didapati beroperasi tanpa sebarang lesen.
Pengerusi Portfolio Kacau dan Halangan Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Chan Poo Pee berkata, senario itu menyebabkan pelancong yang bermalam di hotel berkenaan terdedah kepada risiko keselamatan.
"Empat daripada tiga pengusaha hotel bajet di sini didapati menjalankan aktiviti perniagaan mereka tanpa memohon lesen daripada MPK.
"Tindakan pengusaha tersebut boleh mendatangkan bahaya dari segi keselamatan premis yang dibuat tidak mengikut spesifikasi bagi menjalankan perniagaan tempat penginapan," katanya selepas mengetuai Ops Ramadan dengan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas hotel-hotel di sekitar Kangar dan Kuala Perlis di sini pagi semalam.
Dalam operasi tersebut, sebanyak lima kompaun berjumlah RM250 dikeluarkan kepada pengusaha hotel bajet yang didapati beroperasi tanpa lesen dan tidak mempamerkan lesen mereka.
Poo Pee memberitahu, hotel bajet yang didapati tidak berlesen dalam operasi yang sama dikenakan kompaun dan arahan bagi memohon lesen perniagaan tersebut dalam kadar segera dengan MPK.
"Sejak Julai lalu, MPK telah mempercepatkan permohonan lesen perniagaan dengan kelulusan diberikan dalam tempoh sehari sahaja.
Jelasnya, tindakan pengusaha hotel bajet yang beroperasi tanpa lesen dibimbangi melakukan penambahan ruang yang tidak mengikut spesifikasi termasuk keselamatan kebakaran yang tidak disediakan di dalam premis mereka.
"Sekiranya berlaku kebakaran atau penambahan struktur yang tidak kuat boleh mengancam nyawa pelanggan di hotel bajet itu," ujarnya.

Melecur selepas kutip mercun


MOHD. Syafiq yang melecur dan hampir putus tiga jari kanannya dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Hari Raya Aidilfitri tahun ini menjadi pengajaran kepada seorang pelajar tingkatan satu di sini apabila tiga jarinya hampir putus manakala leher dan dadanya melecur selepas mercun bola yang dicucuh meletup di Kampung Seberang Takir dekat sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 9 malam itu berlaku ketika Mohd. Syafiq Zuhairi Zainuddin sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya sebelum pergi ke surau untuk solat tarawih.
Mohd. Syafiq berkata, kejadian malang itu berpunca daripada kesilapannya sendiri kerana terlalu berani mengutip mercun bola yang telah dicucuh.
"Pada mulanya saya baling mercun bola itu tetapi tidak meletup. Selepas itu saya pergi kutip (mercun) semula, tiba-tiba ia meletup," kata ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini semalam.
Ekoran letupan itu, tiga jari kanan Mohd. Syafiq cedera teruk dan hampir putus manakala leher dan dadanya pula melecur.
Sementara itu, ibu mangsa Norayati Ismail, 34, memberitahu, sebelum kejadian, anak sulung daripada tiga beradik itu meminta kebenarannya untuk menunaikan tarawih di surau yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
"Tidak sampai sejam kemudian, seorang kawan Mohd. Syafiq menghubungi saya dan memaklumkan anak saya cedera terkena mercun," katanya.
Wanita yang bekerja sebagai tukang jahit itu berkata, anaknya kini dilaporkan stabil dan akan menjalani pembedahan kecil dalam masa terdekat bagi mengetahui sama ada jari tengah Mohd. Syafiq perlu dipotong ataupun tidak.

Warga emas OKU nyaris rentung


DUA orang penduduk melihat keadaan rumah Peck Hiang (gambar kecil) yang hangus terbakar di Kampung Tanjung Che Mas, Tumpat semalam.


TUMPAT – Seorang wanita warga emas kelainan upaya yang menghidap kanser tulang nyaris rentung dalam satu kebakaran di Kampung Tanjung Che Mas di sini pagi semalam gara-gara enggan keluar dari rumah kerana sayangkan ubat, dokumen kesihatan dan peribadinya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Teo Peck Hiang, 59, yang lumpuh sebelah kiri badan, pekak dan bisu hanya duduk terpaku di kerusi di ruang tamu sambil menangis teresak-esak sebelum anak dan anak saudaranya datang menyelamatkannya.
Anaknya, Chu Ai Reen, 31, berkata, pada masa itu dia tiada di rumah kerana membeli sayur di pasar berhampiran namun segera pulang apabila diberitahu oleh anak saudaranya Hong Ee Chen, 13, yang tinggal bersama warga emas itu pada masa kejadian.
“Saya bergegas pulang dan sebaik tiba, saya lihat ibu saya hanya duduk di kerusi dan menangis manakala api telah merebak menghampiri ruang tamu. Kalau saya lambat, mungkin ibu saya tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurut Ai Reen, sebelum dia tiba, Ee Chen telah cuba mengajak Peck Hiang keluar tetapi wanita itu tidak mahu berbuat demikian sehinggalah Ai Reen datang.
“Melalui bahasa isyarat, dia risaukan ubat serta dokumen kesihatannya tapi setuju untuk keluar setelah saya mengatakan akan mengambil semua ubatnya kemudian,” katanya.
Menurut Ai Reen, rumah itu didiami oleh lima orang iaitu ibu bapanya, ibu Ee Chen, Ong Kim Kee, 47, bersama dua anaknya. Namun, pada masa kejadian hanya ada Peck Hiang dan Ee Chen sahaja berada di rumah.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Yaacob Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.45 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
“Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat tiba dengan bantuan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor namun semasa tiba, 90 peratus rumah telah terbakar,” katanya.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dalam masa 10 minit dengan dibantu punca air dari sungai di depan rumah mangsa.
“Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment