Sunday, November 13, 2011

BILA MANUSIA DAH TAK PANDAI MENGENANG BUDI....ALLAH TAHU BAGAIMANA NAK MENGHUKUM DAN MEMMBALAS ORANG YANG BEGINI...TUNGGU SAJA...

Ibu tua dihalau anak tunggal

Oleh Kasdi Ali
am@hmetro.com.my

TAIPING: Seorang wanita warga emas kini hidup menumpang ehsan rumah kebajikan penjagaan warga emas milik sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berikutan dihalau keluar dari rumah oleh anak tunggal perempuannya, selepas puas mendera mental serta fizikal warga emas itu.
Nasib malang warga emas berusia 65 tahun itu mencapai kemuncaknya awal Oktober lalu selepas dihalau dari rumah dalam keadaan sehelai sepinggang oleh anaknya itu.

Tangisan air mata dan rayuan wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Mariam ini bukan saja tidak dipedulikan, malah dia diseret keluar dari pintu pagar tanpa belas kasihan.
Lebih menyedihkan, wanita itu mendakwa anaknya turut mencelanya bersikap pengotor kerana tidak tahu menguruskan diri dan lebih sesuai tinggal di jalanan.

“Hanya Tuhan tahu perasaan saya dilayan seperti sampah oleh anak kandung yang saya jaga seperti ‘menatang minyak yang penuh’ dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang sejak kecil hingga dewasa.

“Biarpun sudah uzur, saya masih mampu menguruskan diri sendiri untuk ke tandas. Saya hanya tidak larat untuk makan dan memakai pakaian sendiri kerana tidak boleh berdiri tegak serta duduk lama,” katanya berlinangan air mata.

Mariam yang ditemui wartawan Harian Metro di sebuah rumah kebajikan penjagaan warga emas milik sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di sini, semalam, berkata dia terlalu sedih dengan apa yang berlaku apatah lagi ketika keadaan kian uzur.

“Banyak memori suka duka kami terutama detik menyambut kelahiran anak perempuan tunggal. Kami mencurahkan sepenuh kasih sayang serta memberikan pendidikan terbaik kepadanya sehingga berjaya ke peringkat menara gading,” katanya.
Mariam mendakwa, kasihkan anak dan tidak mahu hidup kesunyian sejak arwah suaminya yang juga bekas pesara kerajaan meninggal dunia lapan tahun lalu, dia mempelawa anaknya tinggal bersama sejak lima tahun lalu.

Katanya, anak perempuannya yang sudah berumahtangga dan mempunyai tiga orang anak, bersetuju berpindah bersama keluarganya tapi kehidupan bahagia diimpikan bertukar menjadi neraka dunia buat ibu malang ini.

“Pada tahun pertama kehidupan saya bersama anak, menantu dan cucu memang bahagia. Tetapi segalanya berubah memasuki tahun kedua apabila anak saya menjadi panas baran dan pantang saya melakukan kesilapan walau kecil, pasti akan dimaki hamun.

“Ketiga-tiga cucu dengan dua daripadanya masih bersekolah menengah manakala seorang lagi sudah menamatkan persekolahan, turut melayan saya seperti orang gaji dan apa menyedihkan, anak saya langsung tidak kisahkan sikap mereka,” katanya.


Ninja rompak emas di teksi

Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my

MIRI: Empat perompak, tiga daripadanya bertopeng ala ninja mengambil masa hanya dua minit untuk melarikan tiga beg berisi barang kemas bernilai RM2 juta daripada tiga penumpang teksi dalam rompakan berhampiran lampu isyarat ke Lapangan Terbang Miri, semalam.
Sebelum kejadian, ketiga-tiga mangsa lelaki berusia antara 39 hingga 59 tahun dari Kuala Lumpur, meninggalkan hotel penginapan dan menaiki teksi ke lapangan terbang sambil membawa contoh barang kemas ditempah dan dijual kepada peniaga di sekitar bandar raya ini, jam 3 petang.

Sumber berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dua kilometer dari lapangan terbang berkenaan, teksi dinaiki mangsa dipintas perompak bersenjatakan kayu dan pisau yang memecahkan cermin kenderaan itu.
Menurutnya, seorang daripada penjenayah terbabit nekad merampas kunci teksi itu, membuka but kereta dan mengambil beg berisi barang kemas sebelum melarikan diri menggunakan Proton Wira berwarna perak.

“Difahamkan, ketiga-tiga mangsa sering berulang- alik dari Kuala Lumpur ke bandar raya ini bagi menjalankan urusan menjual barang kemas kepada peniaga di sini,” katanya.

Pemandu teksi yang mahu dikenali Kong Tsung, 40-an, berkata, kejadian berlaku begitu pantas sehingga dia tidak sempat mengecam kenderaan digunakan perompak terbabit.

Menurutnya, dia tidak menyedari perompak terbabit mengekori teksinya ketika mengambil tiga penumpang berkenaan di sebuah hotel di bandar raya ini.

“Saya terkejut apabila teksi saya tiba-tiba dipintas berhampiran lampu isyarat oleh tiga lelaki bersenjata pisau. Seorang daripada mereka kemudian mengugut mencederakan saya jika tidak mahu menyerahkan kunci kenderaan.
“Saya melihat seorang daripada lelaki berada di dalam kenderaan, manakala tiga lagi rakan mereka yang memakai topeng ala ninja nekad memecahkan cermin teksi saya sebelum mengambil beg dipercayai milik tiga penumpang terbabit di dalam but,” katanya.

Kong Tsung berkata, kejadian itu yang pertama dialaminya sepanjang lebih 10 tahun menyara keluarga dengan memandu teksi di sekitar bandar raya itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.


Telefon petunjuk

Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

SIASAT...anggota Unit Forensik Polis memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian.
SIASAT...anggota Unit Forensik Polis memeriksa mayat mangsa di tempat kejadian.
SUNGAI BULOH: Penemuan satu telefon bimbit milik seorang lelaki yang dibunuh dengan keadaan leher hampir putus manakala perut terburai di jirat Cina Sungai Buloh, dekat sini, malam kelmarin dipercayai boleh menjadi petunjuk bagi mencari suspek perbuatan kejam itu.
Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mayat lelaki berusia 20-an dipercayai warga Indonesia ditemui orang ramai yang melalui kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim, berkata motif pembunuhan masih dalam siasatan namun tidak menolak ia bermotifkan dendam.
Menurutnya, tiada dokumen ditemui pada mangsa yang berkemeja-T hitam dan seluar jean pendek.

“Mangsa berkemungkinan pekerja di kawasan berhampiran dan kami percaya ia dibunuh di tempat lain antara jam 8 dan 9 malam sebelum mayatnya dibuang di kawasan berkenaan kerana tiada kesan pergelutan ditemui.

“Senjata pembunuhan juga belum ditemui dan kemungkinan mangsa dibunuh lebih daripada seorang,” katanya.

Abdul Rahim berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka yang kehilangan ahli keluarga turut diminta datang membuat pengecaman mayat itu,” katanya.

Difahamkan, kawasan pembunuhan itu sering menjadi pilihan pasangan kekasih untuk bermadu asmara.



Puting beliung singgah rumah



KANGAR: Seorang warga emas hanya mampu terkedu apabila bumbung rumahnya diterbangkan ketika dia berehat dalam kejadian puting beliung di Taman Datok Wan Ahmad, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, angin puting beliung berkenan turut menerbangkan sebahagian bumbung di dua buah rumah lain berhampiran.

Penduduk Azrul Hisyam Jahaya, 36, berkata, ketika kejadian dia baru tiba di rumah ibunya, Sum Sanapi, 76, selepas mencuci kereta di kedai berhampiran.
Katanya, sebaik tiba di depan rumah, dia ternampak kepulan awan rendah sebelum membentuk puting beliung.

“Ketika itu, cuaca panas dan cerah menyebabkan saya tidak menyangka puting beliung akan berlaku kerana kebiasaannya berlaku dalam ribut dan hujan lebat.

“Sebaik sahaja puting beliung terbentuk, ia terus mengenai bumbung di sebelah rumah ibu saya sebelum bergerak ke rumah kami dan menerbangkan beberapa keping bumbungnya “Ibu (Sum) hanya terkedu ketika melihat bumbung rumah diterbangkan,” katanya.

Katanya, beberapa bumbung berkenaan turut diterbangkan ke bahagian belakang serta depan rumah, malah ada yang terjatuh ke dalam rumah yang didiami ibunya.

Katanya, kejadian puting beliung itu berlaku tiga minit sebelum ia hilang, tetapi penghuni ketiga-tiga buah rumah amat bernasib baik kerana mereka sempat keluar untuk menyelamatkan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan berlaku.



MPSJ pecah rumah urut



SUBANG JAYA: Bukan saja beroperasi tanpa lesen, pusat urut ini juga mengupah pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.
Ini antara penemuan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) selepas memecah masuk sebuah pusat kecantikan di Sungai Besi Indah, di sini, baru-baru ini.

Operasi diketuai Penolong Pengarah Penguat Kuasa MPSJ, Mazrul Zahar Mohd bersama tujuh anggota penguat kuasa MPSJ itu menemui empat wanita warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut di situ.
Tindakan dilakukan hasil aduan awam yang dijalankan atas arahan Pengarah Penguatkuasa MPSJ, Ahmad Hasan, apabila pemilik premis ingkar selepas dikenakan notis kompaun pada setiap bulan sejak Januari lalu.

Menurut Ahmad, premis terbabit berada di bawah jagaan seorang lelaki tempatan dan dipercayai memulakan operasi setahun lalu.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua wanita warga Thailand terbabit bekerja sebagai tukang urut, manakala lelaki itu penjaga premis,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya menemui dua tilam, dua bantal, losyen dan minyak urut ketika pemeriksaan di rumah urut itu.

Menurutnya, barangan terbabit yang dijadikan bukti disita mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan (UUKPK) MPSJ 2007.


Pengaruh otak bertindak ganas



KUALA LUMPUR: Bermain permainan video sama ada komputer atau konsol terutama berbentuk pembunuhan secara keterlaluan boleh mempengaruhi otak bawah sedar untuk bertindak ganas.
Penasihat Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abdul Malek, berkata ketika ini hampir kebanyakan permainan video mempromosikan keganasan dengan pemain perlu membunuh untuk meneruskan misi ke tahap selanjutnya.

“Apabila berlaku ketagihan, ia boleh mempengaruhi otak bertindak ganas, malah saya mengendalikan satu kes, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun menyerang ibunya dengan pisau kerana wanita itu menghalang dia bermain permainan video di kafe siber.
“Permainan video boleh membuatkan seseorang teruja dan ketagih. Tanpa kawalan ia boleh mempengaruhi tingkah laku sehingga melakukan perbuatan melampau ke atas anggota keluarga,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang bukan saja memaki-hamun nenek, malah cuba menetak bapa saudaranya dengan parang kerana warga emas itu secara tidak sengaja menutup suis ketika dia asyik bermain permainan komputer.

Dalam kejadian di Batu 4, Jalan Gombak, Setapak di sini, neneknya yang berusia 70-an itu mahu menutup alat pendingin hawa, tetapi tidak menyedari suis itu bersambung dengan komputer milik cucunya yang leka bermain permainan komputer.

Kesilapan nenek itu menimbulkan kemarahan cucunya kerana permainannya tergendala lalu mengamuk dan menghamburkan kata-kata kesat sebelum warga emas itu memanggil bapa saudara namun gagal memujuk sebaliknya hampir ditetak dengan parang.

Hanafi berkata, sesetengah permainan video bukan sekadar berbentuk keganasan, malah dipercayai mempunyai agenda tersembunyi.

No comments:

Post a Comment