Hempas anak atas kaki lima
GEORGE TOWN - Tidak tergambar kesakitan yang ditanggung oleh seorang budak lelaki berusia lapan tahun apabila dia cedera parah selepas ditumbuk, disepak dan dihempas ke lantai oleh bapanya yang naik angin dalam kejadian di Rumah Pangsa Desa Intan dekat Farlim di sini semalam.Kejadian pukul 11.30 pagi itu berlaku apabila lelaki berusia 34 tahun yang merupakan seorang tabib Cina mendera anaknya di kaki lima rumah hingga meraih rasa simpati jiran-jiran.
Bukan itu sahaja, nenek mangsa yang merupakan ibu suspek turut cedera di kepala selepas dihentak dengan topi keledar oleh suspek ketika warga emas berusia lingkungan 60-an itu cuba menghalang perlakuan ganas anaknya.
Difahamkan, mangsa yang tinggal di rumah itu bersama neneknya sering dimarahi dan dipukul bapanya jika membuat kesalahan kecil termasuk jika lewat menyiapkan kerja sekolah.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, suspek yang hilang pertimbangan terus memukul anaknya walaupun cuba dihalang oleh beberapa jiran.
"Sebelum itu, kepala nenek mangsa turut dihentak dengan topi keledar ketika dia cuba menghalang kejadian itu. Suspek hanya berhenti selepas dia diberkas oleh pihak berkuasa di tempat kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
"Lelaki yang merupakan seorang tabib Cina itu kini ditahan bagi membantu siasatan," ujarnya yang memberitahu suspek baharu sahaja berpisah dengan isterinya beberapa minggu lalu.
Istana Negara kini di Jalan Duta
|
KUALA LUMPUR – Upacara pemindahan Istana Negara dari istana yang lama di Bukit Petaling ke istana yang baharu di Jalan Duta di sini dilakukan secara penuh istiadat di sini semalam.
Ia bermula dengan upacara menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di istana lama yang berusia 83 tahun di tepi Bukit Petaling kira-kira pukul 9 pagi.
Upacara yang dilakukan oleh sekumpulan 10 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) itu menandakan penutupan rasmi bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu.
Bendera itu kemudiannya diarak keluar dari kawasan istana pada pukul 9.15 pagi dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil di hadapan pagar masuk istana dan dibawa ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta.
Tengku Farok Hussin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri mengunci pintu masuk utama istana lama menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara yang baharu di Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.
Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda melibatkan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.
Selepas itu, Istiadat Menaikkan Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baharu bernilai kira-kira RM800 juta itu menandakan pemindahan rasmi tersebut.
Istiadat itu dimulakan dengan perbarisan oleh 52 anggota RAMD serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda
Pensyarah ditahan proses syabu
KUALA LUMPUR – Seorang bekas pensyarah warga Iran yang tidak habis menuntut di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) rupa-rupanya memiliki rahsia besar apabila dia didapati menggunakan sebuah kondominium sebagai makmal untuk memproses syabu di negara ini.Tembelang lelaki berusia 38 tahun tersebut terbongkar apabila dia dicekup sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama bahan mentah dan peralatan memproses syabu bernilai RM700,000 di sebuah kondominium di Jalan Putra di sini pada pukul 8.30 malam, 2 November lalu. Kondominium itu disewa pada harga RM2,000 sebulan.
Difahamkan, suspek memiliki ijazah sarjana dan pernah menjadi pensyarah di sebuah universiti di Teheran, Iran sebelum datang ke sini untuk menyambung PhD di sebuah universiti tempatan dalam bidang Pengajian Kerajaan dan Politik pada 2006.
Bagaimanapun, suspek tidak habis menuntut apabila dia yang sepatutnya menamatkan pengajiannya dalam tempoh lima tahun telah berhenti daripada menyambung PhD pada 2008.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, siasatan awal mendapati suspek begitu mahir memproses dadah tersebut apabila mampu menjadikannya daripada bentuk cecair kepada serbuk tanpa disedari penghuni lain.
Katanya, selain suspek dan 2.3 kilogram syabu, pihaknya turut merampas peralatan memproses bahan khayal itu seperti penapis, dulang dan botol plastik.
“Kita masih menyiasat sejak bila suspek yang masih bujang itu mula melibatkan diri. Ketika serbuan, hanya terdapat suspek seorang di dalam rumah,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Budak 11 tahun maut dilanggar kenderaan
KUANTAN – Mohd. Amirul Hakim Khairuddin, 11, yang meninggal dunia di hospital akibat cedera parah selepas dilanggar lari sebuah kenderaan di Simpang Bunga Cengkih di sini kelmarin tidak pernah menunggang basikal seorang diri keluar dari kawasan rumahnya.
Namun, menurut bapa kanak-kanak itu, Khairuddin Sabtu, 44, tengah hari kelmarin anaknya menunggang basikal seorang diri untuk ke rumah rakannya yang tinggal di Bukit Istana kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
“Sebelum ini arwah tidak pernah pergi jauh dan hanya bermain di kawasan kuarters Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota, tempat saya bekerja.
“Selalunya, saya hantar dia ke rumah kawannya di Bukit Istana tetapi semalam (kelmarin) dia sendiri mengayuh basikal ke rumah rakannya tanpa pengetahuan saya,” ceritanya sedih ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, apabila pulang ke kuarters selepas habis kerja kelmarin, dia dapati Amirul tiada di rumah menyebabkan dia keluar mencari mangsa di Bukit Istana.
Semasa itu, isterinya, Rohaida Ishak, 36, berada di Temerloh kerana ada kerja.
“Sampai di rumah rakan Amirul, rakan arwah beritahu Amirul telah pulang pukul 4.30 petang pada hari kejadian,” ceritanya.
Bimbang dengan keselamatan Amirul, Khairuddin kemudian mencari anaknya sebelum menemui mangsa pada pukul 8 malam yang sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas ditemui di tepi jalan.
Maklumat bocor, peniaga lari
KUALA TERENGGANU - Tingkat satu Hentian Bas Majlis Daerah Kuala Terengganu (MBKT) yang menempatkan kedai jualan pakaian tiba-tiba lengang apabila 20 premis ditutup awal semalam.
Ia dipercayai ekoran kebocoran maklumat serbuan oleh pihak Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri selepas mendapat aduan aktiviti menjual pakaian berjenama Adidas tiruan.
Timbalan Pengarahnya, Ab. Ghani Harun berkata, serbuan itu dilakukan ekoran aduan daripada pihak Adidas tentang penjualan pakaian tiruan jenama itu secara berleluasa di lima buah premis perniagaan di hentian itu.
Namun begitu, katanya, 15 premis menjual pakaian berjenama tiruan lain turut menutup perniagaan mereka kerana bimbang diserbu.
"Aduan kita terima daripada pihak Adidas yang menjalankan pemantauan sebelum ini dan lengkap dengan nama kedai dan alamat.
"Ia membolehkan kita terus menyerbu premis yang disasarkan namun mereka menutup pula kedai hari ini (semalam)," katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun katanya, kelima-lima premis berkenaan tetap diserbu dan pihaknya melaksanakan prosedur standard operasi (SOP) mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi membolehkan premis berkenaan dipecah masuk.
'Dia bukan suami saya'
KUALA LUMPUR - Seorang wanita memohon pihak berkuasa berbuat sesuatu terhadap empat ah long yang kini memaksanya membayar hutang seorang lelaki yang menyewa rumahnya dan mendakwa dia adalah isterinya.
"Saya cuma menyewakan rumah kedai saya di Seri Kembangan, Selangor kepada lelaki itu yang dikenali sebagai Mei Keng Chong, 39, sejak tiga bulan lalu dan tidak pernah mengenalinya sebelum ini.
"Dia cuma membayar sewa satu kali sahaja dan terus menghilang sehingga hari ini. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan ah long yang mengatakan 'suami' saya itu telah membuat pinjaman dan minta saya bayar segera," kata wanita itu yang mahu dikenali sebagai Ho.
Menurut Ho, akibat perbuatan Keng Cheong, rumahnya pernah beberapa kali disimbah cat merah selain edaran poster yang memintanya menjelaskan hutang lelaki itu.
"Saya dan suami saya kini hidup dalam ketakutan kerana kumpulan ah long itu sering menghubungi kami tanpa mengira waktu.
"Berapa banyak yang dia berhutang saya pun tidak tahu dan tidak mahu tahu kerana saya bukan isterinya malah tidak pernah kenal siapa dia," katanya pada sidang media di pejabat Pengerusi Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Michael Chong di Jalan Ampang di sini baru-baru ini.
Payah nak cari makan
KUALA LUMPUR - Sebahagian besar daripada kira-kira 600 peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan harian di Up Town Danau Kota di sini mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula arahan menutup premis mereka selama dua hari setiap minggu.
Rata-rata peniaga membantah arahan penutupan setiap hari Isnin dan Selasa sejak 1 November lalu kerana ia menyebabkan pendapatan mereka terjejas.
Salah seorang peniaga, Shaari Yusof, 46, berkata, tindakan DBKL itu menyekat periuk nasi mereka.
Menurutnya, sekiranya peniaga diminta supaya bercuti ia hanya akan memberi tekanan kerana peniaga terpaksa menanggung beban hutang.
Bagi rakannya, Mohd. Ibrahim Marican, 52, dia hairan dengan tindakan DBKL itu.
"Kami sudah berniaga sejak enam tahun yang lalu dan mengapa baru sekarang buat arahan," soalnya.
Seorang lagi peniaga, Hashim Yunus, 46, pula berkata, arahan DBKL itu dilihat tidak adil.
"Peniaga ada yang membuat pinjaman daripada pihak bank. Sekiranya cuti dua hari, ia beri kesan negatif," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia, Mohd. Ridzuan Abdullah pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan DBKL berhubung perkara itu.
No comments:
Post a Comment