Monday, November 14, 2011

NGERI TAK NGERI KE...O SUNGGUH NGERI...TAPI BILA BERADA DIJALANRAYA...LUPA SEGALA2NYA...BERHATI2...SABARLAH...BERTAKWALAH DAN SENTIASA BERTAUBAT...

Shah Bunga jual isteri dipenjara 70 bulan

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang lebih dikenali dengan panggilan Shah Bunga kerana mampu memiliki lebih 21 isteri dijatuhi hukuman penjara 70 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan semalam atas dakwaan memperdagang dan mengeskploitasi salah seorang isterinya sebagai pelayan di sebuah pusat hiburan di Bahau pada awal bulan ini.
Tertuduh, Suhaimi Saad, 32, dari Alor Setar, Kedah dikenakan hukuman tersebut selepas dia mengaku salah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Hukuman penjara tersebut diperintahkan berkuat kuasa mulai tarikh dia ditangkap pada 2 November lalu di hadapan sebuah pusat hiburan di Bahau.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shukri Hussain mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Imigran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun atau denda jika disabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Suhaimi didakwa memperdagangkan serta mengeksploitasi isterinya, Mashmidar Mansor, 19, dengan memaksa mangsa bekerja sebagai pelayan kelab malam sebelum merampas gaji wanita itu sebanyak RM20 sehari sebaik mangsa selesai bekerja.
Mangsa dipaksa bekerja di Kelab Happy Mansion Karaoke 7 Lounge di premis No. 34 Taman Sornam, Bahau, Jempol.
Rentetan tangkapan terhadap tertuduh, polis berjaya menyelamatkan Mashmidar yang hampir tujuh bulan dikurung di sebuah rumah sewa di Bahau di sini sejak April lalu.


Tiga sahabat temui ajal serentak


KEADAAN kereta Proton Wira yang mengorbankan tiga sahabat di Kampung Wakaf Lichong di Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH - Tiga sahabat maut apabila kereta Proton Wira yang mereka naiki terbabas dan bertembung dengan sebuah treler di Kampung Wakaf Lichong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, mereka yang terbunuh ialah Mohd. Adli Ariffin, 21, Mohd. Shahrol Syazuan Mohd. Rosli, 23, dan pemandu kereta itu, Mohd. Shahrolazuan Mohd. Hazli, 21.
Kesemua mangsa itu berasal dari Taman Madani dan Taman Indah, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Terengganu.
Menurut beliau, ketika kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, kereta tersebut yang dalam perjalanan dari Jerteh ke Kota Bharu bertembung dengan treler yang datang dari arah bertentangan.
"Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa dipandu laju di kawasan selekoh sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler," kata beliau.
Pemandu treler berkenaan, Ahmad Yunus, 56, tidak cedera.
Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Kaharuddin Yahya berkata, pihaknya mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kereta dengan memotong bumbung dan pintu kereta yang remuk itu.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.



Lelaki maut ditembak di meja sarapan


ANGGOTA polis memeriksa mayat Shoo Toong di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas mati ditembak sebaik dia selesai bersarapan pagi di sebuah restoran di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 9.10 pagi itu, Lee Shoo Toong, 60, yang ditemani isterinya ketika bersarapan di restoran terbabit mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan di bahagian kiri dada.
Sebelum kejadian itu, mangsa yang tinggal di sebuah pangsapuri Taman Skudai Baru dekat sini baru selesai makan sebelum seorang lelaki menaiki motosikal tiba-tiba berhenti di depan restoran tersebut.
Suspek kemudian dengan pantas melepaskan satu das tembakan dari arah belakang dan tembakan itu mengenai tepat pada bahagian dada kiri mangsa.
Lelaki itu bertindak melarikan diri dengan motosikal.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan berkata, isteri mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Ketika kejadian, mangsa yang duduk di meja paling hadapan iaitu di kaki lima restoran baru selesai makan dan sedang membaca akhbar.
"Kejadian berlaku terlalu pantas sehingga isteri mangsa juga tidak sempat mengecam suspek," katanya kepada pemberita di sini semalam.


Elak lintah masuk kemaluan


HUSSAIN (tiga dari kiri) bersama pegawainya melawat pelajar SMK Penambang, Nor Fazira Ahmad Suhaimi yang menjalani peperiksaan SPM di HPRZ II akibat dijangkiti demam kepialu di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Pelajar perempuan di negeri ini dinasihatkan supaya tidak 'ghairah' bermain dan mandi air banjir bagi mengelakkan berulangnya kes lintah memasuki alat sulit seperti yang dilaporkan tahun lalu.
Pengarah Pelajaran Negeri Hussain Awang berkata, pada musim banjir tahun lalu, seramai 13 orang pelajar perempuan di negeri ini yang bermain dan mandi air banjir telah dimasuki lintah dalam alat sulit mangsa.
“Jadi saya ingin menasihatkan pelajar perempuan supaya tidak bermain banjir bagi mengelak kejadian serupa berulang kerana ia boleh mengancam nyawa mereka akibat pendarahan dalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.
Terdahulu beliau bersama pegawainya serta pegawai perhubungan awam HPRZ II, Zaid Ahmad meluangkan masa melawat tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpakasa mengambil peperiksaan di hospital akibat masalah kesihatan.


Dua sepupu maut nahas motosikal


ORANG RAMAI melihat mayat Nik Muhamad Azmir selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Merang, Setiu kelmarin.


SETIU - Dua sepupu maut manakala rakan mereka cedera parah apabila motosikal masing-masing bertembung antara satu sama lain ketika hujan lebat di Kampung Merang di sini kelmarin.
Nik Muhamad Azmir Nik Ismail, 15, dari Kampung Gong Tengah, Merang di sini maut di tempat kejadian manakala sepupunya, Mohamad Tarmimi Mahasan, 17, juga dari kampung yang sama meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Batu Rakit, Kuala Terengganu.
Rakan mereka, Muhamad Anis Zaireni, 14, dari Kampung Lembah Bidong dekat sini pula cedera parah di kaki dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan.
Kejadian berlaku pada pukul 9 malam ketika Nik Muhamad Azmir yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang dari Lembah Bidong ke rumahnya selepas membeli makanan.
Tiba di tempat kejadian, motosikal Nik Muhamad Azmir dikatakan telah bertembung dan melanggar motosikal Mohamad Tarmimi yang dinaiki bersama Muhamad Anis secara melawan arus.
Bapa saudara Muhamad Tarmimi yang hanya mahu dikenali sebagai Mahusin, 47, ketika ditemui berkata, akibat perlanggaran itu, Nik Muhamad Azmir tercampak sejauh enam meter dan cedera parah di kepala.


Pemandu teksi saman polis RM214,000


LEONG KANG menunjukkan kesan tembakan pada betisnya di Mahkamah Sesyen Jalan Duta, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi menuntut ganti rugi sebanyak RM214,000 daripada seorang pegawai polis dan kerajaan Malaysia ekoran kecuaian pegawai polis terbabit yang tertembak kakinya pada 23 September tahun lalu.
Mangsa, Yeow Leong Kang, 42, berkata, ekoran kecederaan yang dialami, dia kini hilang punca pendapatan dan mengalami masalah untuk berjalan kerana sakit.
“Saya memfailkan saman untuk membuat tuntutan ganti rugi sebanyak RM214,000 termasuk ganti rugi khas RM14,000, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan masing-masing sebanyak RM100,000,” katanya pada sidang akhbar di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini Rabu lepas.
Cerita Leong Kang, ketika kejadian, dia sedang berehat di dalam teksinya di tepi perhentian bas berdekatan Pejabat Pos, Jalan Pudu di sini.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi tembakan ke arah teksi saya dan pada masa sama, kaki saya terasa amat sakit. Rupa-rupanya peluru yang dilepaskan telah menembusi betis kanan dan tapak kaki kiri saya.
“Lima minit kemudian, seorang pegawai polis berpakaian biasa datang dan memberitahu ambulans telah dipanggil dan saya dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapat rawatan selama tiga hari,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment