Thursday, November 10, 2011

BILA MANUSIA TIDAK BERFIKIR SECARA MANUSIA YANG NORMAL...NI KESAN AJARAN AGAMA DIABAIKAN...ADAB2 MANUSIA DITINGGALKAN...MEREKA LUPA HUKUM ALLAH...MEREKA NI TAK BOLEH LARI DARI HUKUMANNYA...

Memalukan saya - Chef Wan

CHEF Wan (tengah) bersama Chef Riz dan seorang lagi anaknya, Serina.


KUALA LUMPUR - Chef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail menganggap isu memperincikan butiran profil kelayakan secara berlebihan anaknya, Chef Mohd. Nadzri atau Chef Riz sebagai satu perkara yang memalukan bukan sahaja kepada anaknya tetapi diri beliau dan seluruh ahli keluarga.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chef Wan melahirkan rasa kecewa dan sedih dengan tindakan anak lelakinya itu melalui kenyataan terbuka di laman sosial Facebook miliknya semalam.
Beliau turut meminta Chef Riz, 29, memohon maaf kepada orang ramai dan menerima apa sahaja kesan terhadap apa yang dilakukannya itu.
Katanya, Chef Riz mungkin tidak faham bahawa apabila menjadi terkenal dan berbakat, maka akan ada pihak yang tidak senang dan timbul perasaan hasad serta dengki.
"Populariti dan berbakat akan membuatkan ramai orang tidak senang duduk dan cuba mencari kesalahan kita.
"Padanlah muka dia," kata Chef Wan yang memberitahu isu itu secara tidak langsung menjejaskan reputasi Chef Riz.
Chef Riz sebelum ini didakwa memberikan profil mengenai dirinya secara kurang tepat di laman MasterChef Malaysia dengan menyatakan pernah bekerja di dua buah restoran terkenal di Amerika Syarikat iaitu sebagai 'Chef de Cruisine' di Babbo dan 'Sous Chef' di Le Bernardin.
Beliau merupakan salah seorang daripada lima juri dalam program MasterChef Malaysia yang bersiaran setiap Sabtu hingga Rabu di Astro Ria.
Antara juri lain yang terlibat ialah Chef Zubir (Zubir Mohd. Zain), 45; Chef Priya (Priya Menon), 53; Chef Jo (Mohd. Johari Edrus), 55; dan Chef Yahya (Yahya Hassan), 49.


Suspek masih berada di Malang


PELAJAR Universiti Brawijaya di Malang, Jawa Timur, Indonesia yang juga rakan Adrian berkumpul di hospital ketika proses bedah siasat kelmarin.


KUALA LUMPUR - Polis Indonesia tidak menolak kemungkinan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan pelajar Malaysia, Adrian Jay Pereira masih berada di sekitar bandar Malang, Indonesia.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Malang, Adjutan Pesuruhjaya Besar Polis (KBP) Teddy Minahasa ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
"Kita telah menubuhkan tiga pasukan khas untuk menyiasat secara menyeluruh kes itu iaitu di Malang, Jawa Timur dan Polis Pusat Indonesia di Jakarta," katanya.
Tambahnya, pihaknya masih meneliti rekod jenayah lampau kedua-dua suspek tersebut yang merupakan penjenayah berpengalaman dalam mencuri motosikal.
Semalam, Kosmo! melaporkan polis Indonesia mendedahkan bahawa dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal kapcai dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Perkara itu diperoleh hasil penemuan bukti dan siasatan polis forensik di Tempat Kejadian Perkara (TKP) yang dilakukan bersama Pasukan Identifikasi Polis Jawa Timur yang mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang mempunyai maklumat.
Adrian, 23, penuntut Fakulti Perubatan, Universiti Brawijaya, Malang, dilaporkan ditetak dengan senjata tajam ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumah sewanya di bandar Malang, Jawa Timur pada malam Selasa lalu.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Malang, Noorul Redzuan Mahboob Ali berkata, sebilangan besar pelajar Malaysia di situ kini bimbang dengan keselamatan mereka ekoran provokasi negatif di Internet berhubung pembunuhan tersebut.
Katanya, ada pihak mengugut mahu membunuh lebih ramai pelajar Malaysia di Malang.


Sampel gigi manusia ditemui di lokasi bunuh


PATHMANABHAN (berkaca mata) bersama dua tertuduh lain diiring keluar dari Mahklamah Tinggi Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang pegawai pergigian forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Norhayati Jaffar mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa tujuh sampel yang diperoleh daripada Sungai Panchau, Banting, dekat sini pada September 2010 adalah gigi manusia.
Saksi pendakwaan ke-69 dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang lain memutuskan perkara itu selepas membuat ujian morfologi, anatomi, saiz dan imej sinar-X yang diperoleh daripada sampel tersebut.
Menurut Norhayati, 38, dia membuat pengesahan berdasarkan akar gigi yang terdapat pada sampel tersebut. Ada juga sampel yang mempunyai tisu gigi.
"Jika dibandingkan dengan haiwan, persamaan yang paling dekat adalah dengan mawas, tetapi saiznya akan lebih besar," katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff di Mahkamah Tinggi di sini.
Sampel itu diperiksa pada 17 September 2010 di bilik mayat HKL atas permintaan Pakar Perubatan Forensik, Dr. Nurliza Abdullah, 46, yang menemui spesimen dipercayai gigi semasa menjalankan pemeriksaan kepada semua 2,040 spesimen yang dikumpulkan dalam siasatan kes itu.
Nurliza yang merupakan saksi pendakwaan ke-63 kemudian membuat kesimpulan bahawa 2,030 spesimen adalah berkemungkinan besar tulang manusia.
Pada prosiding semalam, Norhayati semasa soal balas oleh peguam Manjeet Singh bagaimanapun bersetuju terdapat percanggahan dalam laporan yang disediakan olehnya dan Nurliza.


Perut terburai, leher hampir putus


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang lelaki yang ditemui mati dengan perut terburai dan lehernya hampir putus di Sungai Buloh, Selangor semalam.


SUNGAI BULOH - Mayat seorang lelaki dipercayai warga Indonesia ditemui dalam keadaan yang mengerikan dengan perutnya terburai manakala lehernya hampir putus di tepi jalan berhampiran tanah perkuburan Cina, Padang Tembak di sini kelmarin.
Mayat mangsa berusia lingkungan 20 dan 30-an tersebut ditemui pukul 9.40 malam oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.
Difahamkan, mangsa baru sahaja dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di situ berdasarkan darah yang masih mengalir pada tubuhnya ketika ditemui.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, pemeriksaan mendapati mangsa telah ditetak di leher dan belakang badan hingga perutnya terburai dan lehernya hampir putus.


Enam bersaudara dakwa dipukau


ROHANI (dua dari kiri) bersama enam saudaranya menyerahkan laporan polis kepada Mahadevan di Melaka semalam.


MELAKA - Kegembiraan enam bersaudara selepas ditawarkan bekerja sebagai pembantu kantin bertukar duka apabila wang tunai, barang kemas dan pelbagai jenis telefon bimbit milik mereka yang dianggarkan kira-kira RM34,000 didakwa dilarikan dua wanita kelmarin.
Salah seorang mangsa, Rohani Putih, 30, dari Bachang di sini mendakwa, dia menerima tawaran pekerjaan untuk menyara keluarga kerugian kira-kira RM4,000 apabila wang tunai dan barang kemas lesap dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu.
Suri rumah itu mendakwa, lima saudara Rohani yang tinggal berhampiran itu pula kehilangan wang tunai, pelbagai jenis telefon bimbit dan barangan kemas dengan anggaran lebih RM30,000.
Menurut Rohani, dua wanita terbabit yang berusia lingkungan 20-an disyaki menggunakan ilmu pukau sewaktu menawarkan pekerjaan pembantu kantin dengan pendapatan sebanyak RM950 sebulan.
Ketika itu, katanya, dia dan anggota keluarganya yang lain berusia antara 18 hingga 52 tahun sedang berkumpul di hadapan rumah sebelum dihampiri oleh dua wanita berkenaan dengan menaiki sebuah van berwarna hijau.
"Ketika itu, saya amat memerlukan pekerjaan kerana suami tidak bekerja kerana sakit jantung dan apabila wanita terbabit menawarkan peluang itu, saya terus merebut peluang itu kerana menyangka ia mampu membantu kehidupan kami sekeluarga," ceritanya lagi.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas membuat aduan kepada Pembantu Khas Hal Ehwal Awam dan Kebajikan Pejabat Ketua Menteri, Datuk M. Mahadevan di sini semalam.


Hidung bernanah selepas disuntik


MICHAEL (kiri) menunjukkan hidung Puan Kuo yang bernanah didakwa akibat suntikan kosmetik di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Gara-gara hendak cantik dan mempunyai hidung yang kecil, seorang wanita terpaksa menanggung derita kehilangan hidungnya ekoran suntikan kosmetik yang dilakukan kira-kira dua bulan lalu.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Puan Kuo, 48, berkata, dia mendaftar untuk pakej pembedahan kosmetik bernilai RM20,000 bagi perkhidmatan melangsingkan badan, pencerahan kulit, rawatan muka serta suntikan mencantikkan hidung di sebuah pusat kecantikan di sini.
“Pada 14 September lalu, juruterapi kecantikan memberi suntikan pertama ke dalam hidung saya dan pada masa itu ia masih dalam keadaan baik.
“Malangnya selepas suntikan kedua pada 1 Oktober lalu, kulit hidung saya mengelupas dan menjadi hitam dalam tempoh dua minggu,” katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.
Puan Kuo yang berasal dari Singapura berkata, keadaan hidungnya semakin teruk sehingga bernanah.


Guru berasmara dengan 11 pelajar


CINDY CLIFTON


COVINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang guru wanita berusia 41 tahun dituduh mengadakan hubungan seks dengan 11 orang pelajarnya, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Pihak pendakwa raya AS percaya guru berkenaan, Cindy Clifton akan dikenakan lebih banyak dakwaan berhubung jenayah terhadap pelajar bawah umur berbanding guru-guru lain di AS sejak sedekad lalu.
Dia kini berdepan 53 tuduhan yang membawa hukuman penjara lebih 60 tahun.
Polis berkata, Clifton menggunakan minuman keras untuk mengumpan remaja-remaja terbabit sebelum dia melakukan hubungan seks dengan mereka di kediamannya di sini, negeri Tennessee.
Clifton didakwa berasmara dengan 11 pelajar berlainan antara bulan April dan Julai tahun ini.
Menurut polis, kebanyakan pelajar terbabit merupakan rakan-rakan anak perempuannya.
Semua mangsa Clifton berusia antara 14 hingga 17 tahun dengan sebahagian mereka ialah pelajar di sekolah Crestview tempat guru berkenaan mengajar.
Polis di sini melancarkan satu siasatan pada Ogos lalu selepas pengetua sekolah berkenaan membuat aduan berhubung perilaku tidak bermoral membabitkan Clifton.
Selepas tiga bulan siasatan dilakukan, pihak berkuasa mengenakan 53 pertuduhan terhadap Clifton.
Peguamnya bagaimanapun menafikan semua tuduhan tersebut. Beliau menyatakan Clifton ialah seorang isteri yang setia, guru yang berdedikasi dan kerap menghadiri upacara keagamaan di gereja.
Clifton menangis apabila gambarnya dirakam semasa dalam tahanan polis.
Dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$40,000 (RM126,100) tetapi diperintahkan supaya hadir di mahkamah semalam untuk berdepan 53 dakwaan terhadapnya termasuk jenayah rogol dan memberikan alkohol kepada remaja bawah umur.
Pada minggu lalu, seorang guru wanita berusia 33 tahun di negeri Ohio, Stacy Schuler dipenjara selama empat tahun selepas dia didapati bersalah melakukan hubungan seks dengan lima pelajarnya.
Dia didapati bersalah atas 16 tuduhan jenayah seks selepas seorang juri di Cincinnati menolak alasan tertuduh bahawa dia kurang siuman. - Agensi

Lima maut dalam gempa bumi di Ankara

PASUKAN penyelamat mencari mangsa yang terselamat di sebalik runtuhan bangunan di Van, Turki semalam.


ANKARA – Gempa bumi berukuran 5.6 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang di timur Turki semalam, kurang tiga minggu selepas gempa bumi kuat mengorbankan lebih 600 orang di kawasan yang sama, jelas kenyataan rasmi kerajaan.
“Dua puluh orang ditemui masih hidup dan lima mati,” kata Timbalan Perdana Menteri Turki, Besir Atalay selepas melawat tempat kejadian.
Lebih ramai mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan dan angkanya masih belum dapat dikenal pasti.
Gempa bumi itu berlaku pada waktu petang dengan berpusat di daerah Edremit, kira-kira 15 kilometer dari wilayah Van.
Sebanyak 25 bangunan termasuk dua hotel dan 22 bangunan kosong runtuh, kata Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu.
Ini termasuklah sebuah hotel enam tingkat yang dihuni oleh wartawan dan anggota pasukan Bulan Sabit Merah Turki. Jumlah penghuni hotel bagaimanapun tidak diketahui.
Gempa itu nyata memberikan kesan panik terutama kepada penduduk baharu. Dua minggu lalu, Turki digegarkan dengan gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud, sehingga mengorbankan lebih 600 orang dan 4,150 lagi cedera.
Dalam kejadian itu, Turki menerima bantuan daripada banyak negara termasuk Israel dan Armenia walaupun kedua-dua negara itu mempunyai hubungan dingin.
Turki kerap mengalami gegaran berikutan kedudukannya di beberapa garisan bahaya.
Pada 1999, dua gempa kuat berlaku di kawasan yang berpadatan tinggi dan kawasan perindustrian di barat laut Turki yang mengorbankan 20,000 orang.- AFP

No comments:

Post a Comment