Selimut mayat selepas bunuh
KUANTAN – Seorang pekerja hotel bajet dekat Jalan Mahkota di sini terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki yang mati dibunuh dengan beberapa kesan tikaman pada dada di dalam sebuah bilik penginapan tersebut semalam.
Mayat Cheng Tien Weng, 37, yang merupakan pekerja di sebuah syarikat pengiklanan dari Taman Bukit Ubi Jaya di sini ditemui pada pukul 9.30 pagi oleh pekerja yang datang ke bilik tersebut untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Difahamkan, mayat tersebut ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas katil yang ditutup dengan selimut. Mangsa hanya memakai seluar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, pihaknya percaya pembunuhan itu berlaku di antara pukul 11 malam dan 5 pagi.
Katanya, semakan di hotel tersebut mendapati mangsa bersama seorang rakan lelakinya, dekat sini mendaftar masuk ke hotel tersebut sejak Rabu lalu.
Empat maut pada tarikh 11.11.11
|
SLIM RIVER – Tarikh 11.11.11 yang ditunggu ramai orang bagi melaksanakan sesuatu perkara penting dalam hidup memberi makna sebaliknya kepada empat mangsa yang terbunuh di Kilometer 382, Lebuh Raya Utara-Selatan yang terletak 100 meter dari hentian sebelah Behrang dekat sini semalam.
Tragedi pukul 4.30 pagi itu amat tragis kerana tiga daripada mangsa yang terbunuh merupakan penumpang bas membawa rombongan 36 pelajar dan tiga guru bercuti di Genting Highlands, Pahang. Mereka sebelum itu terselamat selepas bas terbalik.
Namun kira-kira 10 minit selepas semua peserta rombongan itu keluar dari bas yang terbalik, sebuah treler membawa guni pasir pula melanggar bahagian belakang bas tersebut yang berada di lorong paling kiri sebelum treler itu menyondol kumpulan rombongan yang berada di luar bas.
Akibat rempuhan itu, dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Merah, Kulim, Kedah, Khairul Anwar Azhan, 15, serta Maysarra Zaidi, 15, dan guru pengiring, Siti Hajar Mohamad, 33, terbunuh.
Seorang lagi yang maut ialah Ketua Wanita UMNO Cawangan Alor Teja, Basarah Saad, 45.
Basarah bukan peserta rombongan pelajar sekolah itu tetapi dia menyertai rombongan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar yang menaiki sebuah bas lain yang berhenti kira-kira 10 meter dari bas yang terbalik semata-mata untuk memberi bantuan kepada mangsa bas terbalik itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Supritendan Md. Tahir Kasim berkata, Khairul Anwar, Maysarra dan Basarah maut di tempat kejadian manakala Siti Hajar mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River (HSR).
Menurut beliau, tujuh penumpang bas rombongan pelajar itu cedera parah. Mereka yang cedera parah dihantar ke HSR dan Hospital Teluk Intan.
'Rakan maut depan saya'
SLIM RIVER - Seorang mangsa kemalangan tidak dapat melupakan detik melihat sahabat baiknya terbunuh selepas terpelanting akibat disondol sebuah treler membawa muatan guni pasir ketika rakan itu hendak membantu menyelamatkan dirinya.
Nur Husna Ahmad, 15, berkata, dia tidak menyangka tindakan rakan sebayanya itu, Khairul Anwar Azhan rupa-rupanya pertolongan terakhir yang akan diingati sampai bila-bila.
Mengimbau semula kejadian itu, cerita Nur Husna, sebaik bas yang dinaiki terbabas dan terbalik, Khairul Anwar telah selamat dan berada agak jauh dari bas tersebut tetapi rakannya itu berpatah semula ke kawasan berhampiran bas itu demi membantu menyelamatkannya.
"Saya amat sedih apabila mengingati tindakan Khairul Anwar kerana dia sepatutnya tidak terkorban.
"Sebelum itu arwah sudah berjalan jauh ke tepi jalan, dia sudah selamat tetapi dia patah balik untuk tarik saya keluar dari bas terbalik. Dia suruh saya ke tepi tetapi apa yang berlaku, dia pula yang menjadi korban," katanya.
Nur Husna berkata, semua peserta rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Merah, Kulim berjaya keluar dari bas yang terbalik melalui cermin depan yang dipecahkan.
"Seorang demi seorang merangkak keluar dan saya antara terakhir kerana mengalami kecederaan kaki," kata gadis itu yang menggambarkan suasana semasa itu kecoh dan cemas kerana mereka ketakutan.
Lelaki dera, tanam anak kekasih
SEREMBAN - Seorang ibu hanya mampu menangis apabila melihat anak perempuannya yang berusia dua tahun mati akibat didera oleh teman lelakinya sendiri sebelum mayat kanak-kanak itu ditanam di belakang rumah sewa mereka di Taman Kwang Tong di sini pada Julai lalu.
Lebih menyayat hati, mayat kanak-kanak malang itu hanya ditemui pada Sabtu lalu kira-kira empat bulan selepas ditanam.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, ibu mangsa tidak mampu menghalang perlakuan kejam teman lelakinya itu kerana diugut dan dikurung di dalam rumah berkenaan.
"Bagaimanapun, kejadian itu terbongkar selepas wanita itu berjaya melarikan diri pada Jumaat lalu dan terus membuat laporan polis.
"Bertindak daripada laporan berkenaan, kita menyerbu rumah terbabit dan menemui mayat kanak-kanak itu yang ditanam dalam sebuah lubang sedalam kira-kira 0.6 meter di belakang rumah," katanya pada sidang media di sini semalam.
Namun ujar Osman, ketika serbuan dilakukan, teman lelaki wanita itu yang berusia 30 tahun sudah melarikan diri.
Menurutnya, wanita itu mendakwa anaknya meninggal dunia pada 3 Julai lalu.
"Akibat panik, lelaki terbabit terus menanam mayat kanak-kanak itu pada malam hari yang sama," jelasnya.
Samun ketika pemilik ke tandas
KUANTAN – Seorang pencuri mengambil kesempatan memecah masuk sebuah kedai emas ketika pemiliknya keluar membuang air kecil sebelum melarikan wang tunai dan barang kemas bernilai RM4,000 di Taman Tas di sini kelmarin.Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, dalam kejadian pukul 4.40 petang itu, suspek lelaki berusia 20-an itu dipercayai datang ke kedai emas tersebut dengan menaiki sebuah kereta.
“Apabila mendapati pemiliknya, seorang wanita berusia 40-an pergi ke tandas, suspek terus memecahkan cermin tingkap kedai emas itu dipercayai menggunakan satu objek keras.
“Dia sempat mengambil wang tunai dan barang kemas di dalam kedai itu sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi semalam.
No comments:
Post a Comment