Ular sawa telan kucing peniaga ditangkap
KOTA BHARU - Kehilangan seekor kucing milik seorang peniaga restoran akhirnya terjawab apabila seekor ular sawa batik sepanjang lima meter dan seberat 50 kilogram ditemui di dalam premis tersebut di Kampung Badak Mati, Bukit Marak dekat sini kelmarin.
Pemilik kedai makan tersebut, Khairul Azman Hasbullah, 33, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika dia mahu mengambil air untuk membasuh pinggan.
Reptilia itu ditemui dalam keadaan berlingkar dan tidak bergerak.
"Saya terus menghubungi pihak bomba kerana bimbang ular tersebut bertindak agresif dan mengancam saya ataupun para pelanggan.
"Sebelum ini, saya kehilangan kucing peliharaan sejak tiga hari yang lalu dan saya percaya kucing tersebut telah menjadi mangsa ular berkenaan," katanya ketika ditemui kelmarin.
Penoreh getah temui ajal disengat lebah
JASIN – Seorang penoreh getah maut apabila diserang sekumpulan lebah ganas ketika dia dalam perjalanan untuk menoreh getah di ladang getah milik ibunya di Kampung Baru, Tanah Pinggir Meriang, Nyalas di sini pada pukul 3.15 petang kelmarin.
Mangsa, Ameen Md. Tahir, 32, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Bekoh selepas terkena lebih 100 sengatan pada muka dan badannya.
Turut disengat lebah tersebut ialah anak saudara mangsa, Mohd. Azri Abdullah, 31, yang tiba di ladang tersebut kira-kira 10 minit selepas mangsa diserang serangga berkenaan.
Dia bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami bengkak pada belakang badan akibat puluhan sengatan lebah tersebut.
Mohd. Azri berkata, mangsa menuju ke ladang berkenaan menunggang motosikal bersendirian dari rumah ibunya di Kampung Abbey kira-kira enam kilometer dari ladang itu pada pukul 3 petang manakala dia hanya keluar 10 minit kemudian juga dengan menunggang motosikal.
“Ketika hampir tiba di ladang, tiba-tiba saya diserang sekumpulan lebah dan disengat pada muka serta badan. Saya terus memecut laju bagi melarikan diri namun lebah-lebah ini berterusan menyengat saya.
“Namun, kira-kira 200 meter, saya memberhentikan motosikal apabila melihat motosikal arwah terbalik di atas jalan manakala arwah sedang kelam-kabut menjirus badannya dengan air di tepi sebuah tong bagi mengelakkan sengatan lebah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, Ameen kemudian melompat ke dalam tong berisi air itu namun, lebah tersebut masih dapat menyengatnya kerana air di dalam tong berkenaan sedikit.
Mohd. Azri memberitahu, akibat tidak tahan sakit disengat, dia dan Ameen yang membonceng motosikalnya beredar dari situ namun, kumpulan lebah tersebut terus mengekori dan menyengat mereka sehingga kira-kira 300 meter lagi.
Kaji segera susu KR1M
KUALA LUMPUR – Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mendesak agar Kementerian Kesihatan menjalankan kajian segera terhadap susu segar yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).Pengarah Komunikasinya, Mohd. Yusof Abdul Rahman (gambar) berkata, ia bertujuan untuk membuktikan kesahihan dakwaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Pua yang mendakwa susu berkenaan telah dicemari bakteria E.Coli.
“Jika benar susu itu telah dicemari, kerajaan boleh menukarkannya dengan jenama yang lain bagi menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Beliau berkata demikian untuk mengulas dakwaaan Tony bahawa susu segar yang dijual di KR1M telah dicemari dengan bakteria E.Coli.
Dalam pada itu, Mohd. Yusof turut memberitahu banyak lagi kedai seluruh negara menggunakan bahan yang tidak menepati piawaian seperti yang telah ditetapkan dalam Akta Makanan 1983 dan Akta Peraturan-peraturan Makanan 1985 (Akta 281).
“Tindakan (melakukan kajian) itu bagus, tetapi harus diingatkan banyak lagi kedai di seluruh negara menggunakan bahan serupa kerana KR1M menggunakan barangan yang telah dibungkus semula.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja bermotifkan politik malah ia juga tidak boleh dipercayai.
Tiga maut kemalangan awal pagi
YAN - Tiga lelaki maut manakala dua wanita mengandung cedera parah apabila sebuah kereta dinaiki empat orang melanggar seorang pejalan kaki di Jalan Alor Setar- Sungai Petani, Batu 13, Bukit Besar di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, pemandu kereta dan seorang penumpang serta pejalan kaki maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Mereka yang maut ialah pemandu kereta jenis Proton Satria Neo, Eiew Eng Khoon, 29, penumpang tempat duduk hadapan, Ooi In Too, 47, dan pejalan kaki yang belum dikenal pasti identitinya.
Dua penumpang kereta warga Myanmar iaitu Lee Pa Mei, 30, dan Man Shut Kyi, 31, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dekat sini.
Pa Mei disahkan mengandung empat bulan manakala Shut Kyi mengandung lima bulan.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Supritendan Ismail Abu memberitahu, kejadian berlaku apabila sebuah kereta dari arah Alor Setar menghala ke Sungai Petani melanggar seorang pejalan kaki.
"Selepas merempuh pejalan kaki itu, pemandu hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang pokok menyebabkan pemandu dan penumpang hadapan tersepit di dalam kereta," katanya di sini semalam.
Menurut Ismail, pihaknya masih menyiasat punca kejadian dan sama ada pemandu di bawah pengaruh alkohol atau tidak.
Penduduk gempar jalan meletup
JOHOR BAHRU – Penduduk Kampung Wadihana di sini yang sedang bersarapan gempar apabila dikejutkan oleh satu bunyi letupan yang kuat di Jalan Mohamad Taib di sini semalam.
Kejadian letupan yang berlaku pada pukul 7.15 pagi itu dipercayai berpunca daripada saluran paip bawah tanah.
Letupan itu menyebabkan permukaan jalan tar merekah teruk dan sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan berdekatan kejadian turut mengalami kerosakan.
Seorang penduduk, Syed Najib Syed Yassin, 46, berkata, beliau dan keluarganya baru bersarapan apabila dikejutkan bunyi dentuman tersebut.
“Bunyi kuat macam bom, dentuman tersebut sekali saja, tiada gegaran atau sebagainya,” katanya.
“Saya rasa ia disebabkan tekanan yang kuat pada paip bawah tanah itu menyebabkan jalan ini pecah,” katanya.
Syed Najib menambah, bekalan air dari paip itu telah terputus sejak semalam kerana kerja-kerja penyelenggaraan saluran paip yang dilakukan berdekatan kawasan tersebut.
Sementara itu, pemilik kereta yang rosak, Ismail Abdullah, 55, berkata, menjadi kebiasaan dia meletakkan kenderaannya di bahu jalan itu.
No comments:
Post a Comment