Saturday, November 12, 2011

KEADAAN YANG TAK SELESA...JENAYAH KIAN MENINGKAT..NI BALA DARI ALLAH KERANA MENGABAIKAN HUKUM2 ALLAH SW

Mayat ditemui tepi jalan, dipercayai dibunuh

11/11/2011 7:08pm

IPOH - Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan di badan dan kepala, dipercayai dibunuh, di tepi jalan Batu 3 Jalan Kota Bharu-Gopeng dekat Kampar hari ini.
Mayat P. Someswaran, 38, ditemui pada pukul 7 pagi oleh orang awam yang melalui kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, lelaki yang berasal dari Rumah Murah, Jelapang di sini, dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak di tepi jalan itu.
"Mangsa cedera parah di kepala dan badan akibat dipukul dengan objek tajam dan berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian berpunca daripada hutang.
"Bagaimanapun, kami masih menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar di talian 05-4652222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama


Juru x-ray didakwa cabul penuntut kolej

11/11/2011 7:03pm

KUALA LUMPUR - Seorang juru x-ray mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang penuntut kolej swasta, tiga bulan lepas.
Amri Hamzah, 30, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan gadis berumur 18 tahun itu di dalam bilik x-ray Hospital Selayang, Gombak di sini 4.45 petang, pada 14 Ogos.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Hamzah menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohd Fitri memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.
Majistret Mohd Isa Md Nor membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Disember depan untuk sebutan semula kes. - Bernama


Wanita ditipu lebih RM700,000 sejak 10 tahun

11/11/2011 6:52pm

KUALA LUMPUR - Polis hari ini diminta segera menyiasat kes seorang wanita yang ditipu sehingga RM738,000 sejak 10 tahun lepas serta diugut oleh bekas teman lelakinya supaya tidak kembali ke rumahnya di Kulim Kedah.
Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan (PGRM), Wilson Lau Hoi Keong berkata, wanita yang berusia 45 tahun itu mengadu bahawa bekas teman lelakinya yang berumur 52, dan bekerja sebagai bookie haram mendakwa mempunyai ramai kenalan dari kalangan anggota kongsi gelap.
Katanya, wanita itu juga mengadu bahawa bekas teman lelakinya itu telah mengugut serta memaksanya meninggalkan rumah di Kulim dan menyerahkan hak milik rumah itu.
"Oleh kerana takut nyawanya terancam, wanita itu terpaksa bersembunyi di ibu kota sejak dua minggu lepas dan tidak berani kembali ke rumahnya di Kulim kerana mendapati rumahnya itu sentiasa diawasi oleh seseorang,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Wilson berkata, wanita itu telah membuat tiga laporan polis mengenai ugutan itu di Balai Polis Kulim dan di balai polis Pandan Indah dan Kota Damansara, Selangor. - Bernama

No comments:

Post a Comment