Monday, January 30, 2012

CERDIK BUKAN BERERTI TINDAK TANDUKNYA SENTIASA BETUL...TAKWA SAJA MEYELAMATKAN KITA DARI API NERAKA

Pelajar farmasi parah jatuh tingkat empat

NURUL LISDA ditemani kakaknya, Noor Hezline di HospitalSungai Buloh.


SUNGAI BULOH – Kegembiraan seorang pelajar perempuan yang baru selesai menonton Anugerah Juara Lagu 2011 (AJL 2011) berakhir dengan tragedi apabila dia cedera parah selepas terjatuh dari tingkat empat blok asramanya di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) di sini semalam.
Ketika kejadian pada pukul 12 malam itu, mangsa, Nurul Lisda Baharudin, 20, terjatuh dari tangga sehingga menyebabkan dia merempuh cermin tingkap yang terletak berhadapan dengan tangga tersebut lalu terjatuh ke tanah.
Akibat kejadian itu, kedua-dua belah tangan pelajar terbabit patah dengan tangan kanannya terkoyak manakala tulang pinggulnya retak akibat hentakan kuat ketika jatuh ke tanah selain mengalami kecederaan pada bibir.
Menceritakan kembali kejadian tersebut, Nurul Lisda berkata, kakinya tiba-tiba tersadung ketika dia menuruni anak tangga untuk pulang ke biliknya yang terletak di tingkat tiga selepas menonton AJL 2011 terbitan TV3 menerusi Internet di bilik rakannya yang terletak di tingkat lima blok berkenaan.
Pelajar jurusan farmasi di kolej berkenaan mendakwa, ketika kejadian dia terjatuh kerana penglihatannya terbatas ekoran keadaan di kawasan tangga itu agak gelap.
“Lampu yang digunakan di kawasan tangga itu agak malap menyebabkan saya tidak dapat melihat dengan baik.
“Akibat momentum yang terlalu kuat, badan saya terhempas ke cermin tingkap lalu terjatuh ke tanah,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Ekoran kejadian itu, mangsa yang cedera parah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan ditempatkan di Wad Ortopedik hospital berkenaan.

Bertubuh kecil kerana berhenti makan ubat hormon


MOHD. FAIRUS menunjukkan kad OKU miliknya tetapi dia tidak mendapat bantuan daripada JKM.


KANGAR - Tindakan seorang remaja berusia 18 tahun yang berhenti memakan ubat hormon pembesaran selepas kematian ibunya sejak 10 tahun lalu telah memberi impak besar dalam kehidupannya apabila saiz tubuhnya kini tidak ubah seperti seorang kanak-kanak berusia lapan tahun.
Akibatnya, Mohd. Fairus Firdaus Zainol kini hanya mempunyai ketinggian kira-kira 115 sentimeter manakala berat badannya hanya 15 kilogram.
Remaja itu mendakwa, pertumbuhan tubuhnya terbantut dan menjadi seperti kanak-kanak gara-gara dia tidak mengambil ubat hormon pembesaran setelah kematian ibu.
"Sebelum ini ibu yang memberi ubat tersebut yang dibekalkan khas oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.
"Selepas ibu meninggal dunia sejak 10 tahun lalu, tiada sesiapa pun yang boleh mengambil ubat tersebut dan tubuh saya kekal seperti dahulu," katanya ketika ditemui di Kampung Kuala Sanglang di sini semalam.
Keadaan fizikal yang dialami Mohd. Fairus berbeza seperti orang kerdil lain yang mengalami pertumbuhan anggota tidak seimbang sebaliknya keadaannya adalah normal namun tulangnya kecil.
"Bapa telah meninggal awal daripada ibu manakala saudara-mara lain pula tidak mampu ke PPUKM untuk mengambil ubat khas itu pada setiap bulan," ujarnya lagi.
Sejak itu, jelasnya, pertumbuhan tubuhnya tidak menampakkan perubahan dan dia begitu terkilan kerana keadaan fizikalnya yang kecil menyebabkan pergerakannya terhad tidak seperti remaja seusianya yang aktif dan kuat.

Mahkamah penjarakan bekas profesor

PUTRAJAYA - Bekas dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Dr. Md. Saberi Md. Salleh dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara setahun selepas rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan mengesahkan invois palsu ditolak.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Sulaiman Daud memutuskan bekas profesor itu mempunyai niat untuk mengelirukan sedangkan dia tahu peralatan sukan itu tidak dibekalkan kepada universiti berkenaan.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohtaruddin Baki menolak rayuan Md. Saberi, 62, bagi mengetepikan sabitan terhadapnya. Md. Saberi ialah bekas profesor di UiTM.
Bagaimanapun, panel itu membenarkan rayuan tertuduh berhubung hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengurangkannya kepada setahun.
Dalam penghakimannya, Hakim Sulaiman berkata, hukuman penjara tiga tahun terlalu berat memandangkan ini adalah kesalahan pertama Md. Saberi.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan yang dijatuhkan terhadap tertuduh yang membayar denda itu.
Sementara itu, panel tersebut melepas serta membebaskan seorang ahli perniagaan wanita, Zaleha Abd. Rahman, 52, setelah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM10,000 kerana bersubahat dengan Md. Saberi.
Hakim Sulaiman memutuskan pendakwaan gagal membuktikan Zaleha, pemilik syarikat pembekal barangan sukan, mempunyai niat dan pengetahuan bahawa Md. Saberi hendak mengelirukan universiti itu.

Pencuri lapar minta hidang nasi

BESUT – Seorang pencuri lapar sempat mengarahkan mangsanya untuk menghidangkan nasi sebelum dia melarikan diri bersama seutas gelang yang dirampas daripada seorang pelajar dalam kejadian di Kampung Bukit Payung dekat sini kelmarin.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi suspek bersenjatakan parang berusia 29 tahun itu apabila dia dapat ditahan kira-kira 12 jam selepas melakukan jenayah itu pada pukul 8.30 pagi.
Mengimbau semula kejadian itu, pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Siti Nur Aien Mohamad Nazeri, 21, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersendirian di rumah manakala ahli keluarganya keluar bekerja.
Katanya, tanpa disedari, penagih dadah itu menyelinap ke dalam rumah ketika dia sedang menjemur pakaian.
“Sebaik saya masuk semula, dia terus merampas gelang emas saya sebelum mengacukan parang ke leher saya.
“Sedang saya fikir untuk menyelamatkan diri, dia pula meminta saya menghidangkan nasi tetapi saya suruh dia ambil sendiri di dapur,” ceritanya ketika ditemui.
Tambahnya, kesempatan itu digunakannya untuk meminta bantuan jiran namun suspek terlebih dahulu melarikan diri bersama seorang lagi rakannya yang menunggu di dalam sebuah kereta.

Pelayan mati selepas bertengkar


ANGGOTA polis mengangkat mayat Soo Ping (gambar kecil) yang ditemui mati di Taman Bakap Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.


NIBONG TEBAL - Tindakan seorang pelayan restoran yang menendang pintu kaca bilik rumah sewanya ketika bertengkar dengan kekasihnya berakhir dengan tragedi apabila wanita itu ditemui mati akibat kehilangan banyak darah dalam kejadian di Taman Bakap Indah di sini semalam.
Kejadian pukul 10.30 pagi itu menyebabkan Tan Soo Ping, 38, dari Kampung Jawi, Sungai Bakap mati di tempat kejadian dengan kesan luka di pergelangan kaki dan tangan kanan. Ketika kejadian, pasangan kekasih itu dikatakan sedang khayal dadah.
Difahamkan, pasangan itu sering berbalah hingga didengari jiran sejak sebulan lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat berkata, siasatan awal mendapati pasangan itu telah bertengkar selama beberapa jam sebelum disusuli bunyi kaca pecah pada pukul 7 pagi.
Katanya, polis kemudian bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa di dalam rumah itu kira-kira tiga jam kemudian.
"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di atas lantai sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.
"Ketika sampai, polis dapati teman lelaki mangsa tiada dan dia hanya muncul tidak lama kemudian untuk memaklumkan yang dia keluar untuk meminta bantuan rakan-rakan selepas melihat kekasihnya cedera parah dan berlumuran darah," katanya.

Dihukum khidmat masyarakat 240 jam

MELAKA – Akibat mencuri wang hasil jualan restoran, seorang remaja diarah menjalani hukuman khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Majistret Muhamad Hazri Hanafi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Shaezwan Kadir (gambar), 19, selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya termasuk meneliti laporan sosial yang dikemukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melaporkan laporan akhlak tertuduh baik.
Bagaimanapun tertuduh dikategorikan sebagai bernasib baik kerana hukuman yang dijatuhkan ke atasnya mengikut Seksyen 293 Kanun Prosedur Jenayah disebabkan tertuduh merupakan seorang pesalah muda.
Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa sebagai orang gaji yang diambil bekerja iaitu seorang penghantar piza telah didapati dengan niat curang mencuri wang tunai sebanyak RM2,850 kepunyaan Domino Pizza Sdn. Bhd. tanpa kebenaran.
Tertuduh melakukan perbuatan itu di Domino Pizza No 25, 25-1, 25-2 Jalan KPAA, Kompleks Perniagaan Al-Azim di sini pada 15 Disember tahun lalu antara pukul 9 malam hingga 9.20 malam.
Bagi kes itu tertuduh disiasat dibawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama boleh sampai tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, seorang penyelia restoran telah menetapkan sejumlah wang bernilai RM2,850 di dalam sebuah plastik jernih dan diletakkan di atas rak.
Tertuduh yang kemudian melihat wang di dalam plastik tersebut kemudian telah bertindak mengambilnya dan terus keluar dari restoran untuk menghantar piza.

Pantai Sungai Sembilang 'tenat'


KEADAAN jalan yang rosak akibat hakisan di Pantai Sungai Sembilang, Kuala Selangor semalam.


KUALA SELANGOR – Keadaan Pantai Sungai Sembilang berhampiran Pantai Remis di sini bukan sahaja kotor dan tidak terurus malah turut diancam hakisan.
Tinjauan Kosmo! ekoran aduan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima baru-baru ini mendapati hakisan teruk menyebabkan beberapa batang pokok di tepi pantai tumbang.
Kawasan itu seolah-olah tidak dijaga langsung kerana sampah-sarap bertaburan sehingga menyakitkan pandangan.
Seorang peniaga makanan ringan di kawasan itu yang dikenali sebagai Maniam, 36, berkata, beberapa kakitangan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pernah meninjau lokasi itu tahun lalu.
Namun, katanya, sehingga kini, tiada tindakan susulan dilakukan untuk mengatasi masalah hakisan pantai itu.
“Jika tidak diatasi, hakisan akan menyebabkan pantai tidak sesuai lagi untuk dikunjungi pada masa akan datang.
“Walaupun ia bukan lokasi pantai peranginan popular seperti Port Dickson, Negeri Sembilan namun bilangan pengunjung pada hujung minggu memang ramai,” katanya di sini semalam.

No comments:

Post a Comment