Wednesday, February 1, 2012

BILA KITA DIMANA2 TIDAK SELAMAT LAGI...JENAYAH DIMANA..HINGGA SAMPAI KERUMAH...LAKSANALAH HUKUM ALLAH...BILA KEGIATAN AGAMA JADI SUMBER KEKAYAAN DAN KEMEWAHAN..DULU BERJUANG JADI MISKIN..LAH NI BERJUANG JADI KAYA RAYA...

Kasut berasap!

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
mhusni@hmetro.com.my

KUALA KANGSAR: “Sebaik dentuman kuat, kedua-dua kaki saya kebas, manakala kasut pula berasap,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin (SKM), di sini, yang cedera dipanah petir dalam kejadian petang kelmarin.
Muhammad Izaha yang turut melecur di kaki kanannya berkata, sejurus dentuman kuat itu, dia terus rebah.

Menurutnya, dia meraung kesakitan sebelum seorang guru meluru ke arahnya dan menanggalkan kasut dipakainya.
“Dalam keadaan terbaring itu, saya sempat melihat arwah kaku dan tersandar pada sebatang pokok, manakala beberapa murid lain meraung kesakitan.

“Sebelum dentuman petir itu berlaku, saya melihat arwah berjalan menuju ke sebatang pokok bagi mengemaskan peralatan memanah,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, di sini, semalam.

Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan mangsa, Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, maut dipanah petir, manakala seorang guru dan tiga murid lain cedera ringan.

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika lapan murid dan guru terbabit baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.

Insiden tidak dijangka itu turut mencederakan seorang guru, Azizul Rahman Ismail, 31, yang juga jurulatih memanah sekolah serta tiga murid dikenali sebagai Anuar Azlin, 12, Nor Arifah Fatimah, 12 dan Muhammad Izaha Jamaluddin, 10.
Keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk mendapatkan rawatan, namun tiga murid dibenarkan keluar malam kelmarin manakala, Azizul Rahman masih dirawat di hospital sama. Muhammad Izaha berkata, dia tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakannya itu kerana sebelum ini, dia sangat rapat dengan arwah kerana Syafiq tidak lokek mengajarnya cara memanah dengan betul.

Ketika ditanya sama ada dia mahu meneruskan minatnya dalam sukan memanah, Muhammad Izaha berkata, dia memerlukan masa untuk memulihkan emosinya.

Menurutnya, dia masih trauma dengan kejadian itu yang menyebabkan kaki kanannya melecur selain kedua-dua telinganya masih berdengung.

Sementara itu, Azizul Rahman ketika ditemui di HKK semalam berkata, dia yang berada paling hampir dengan arwah turut rebah sebaik petir itu mengenai tanah.

“Sebaik tersedar daripada pengsan, saya terkejut apabila mendapati arwah terbaring di atas padang berdekatan sebatang pokok manakala beberapa murid lain menjerit kesakitan.

“Sejurus kejadian, seorang guru yang berada berdekatan segera memberikan bantuan pemulihan pernafasan (CPR) selain turut memeriksa nadi arwah. Bagaimanapun, Syafiq disahkan sudah meninggal dunia dan dibawa ke hospital,” katanya.

Dia yang juga guru Matematik berkata, ketika kejadian cuaca agak mendung menyebabkan dia bersama murid lain mengemaskan peralatan memanah dan bersiap sedia untuk pulang.

Arwah tak sabar guna penutup mata baru



KUALA KANGSAR: “Arwah memang tidak sabar keluar menjalani latihan memanah di sekolah petang semalam (kelmarin) kerana mahu mencuba penutup mata khas yang baru dibelinya bagi sukan itu,” kata Suhila Anuar, 37, ibu kepada Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini yang maut dipanah petir petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa bersama tujuh murid lain dan seorang guru, baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.

Suhila yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, di sini, semalam berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah memaklumkan kepadanya untuk membeli penutup mata berkenaan bagi memudahkannya menjalani latihan memanah di sekolah.
Dia berkata, arwah sanggup membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah RM2 sehari bagi mengumpul wang membeli peralatan berharga RM10 itu. “Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. “Arwah tidak pandai bermain sukan lain, jadi dia berhajat mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.

Bapa arwah, Mohamad Tajul Ariffin Shahruddin, 40, berkata anaknya mempunyai minat yang mendalam dalam sukan memanah, malah dia sering memberi galakan kepada arwah.

“Setiap kali latihan, arwah bersiap lebih awal untuk menjalani latihan memanah di sekolah. Saya dimaklumkan guru sekolah arwah latihan semalam (kelmarin) untuk memilih peserta mewakili sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, tiga murid dan guru sekolah yang cedera itu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan lanjut sebelum tiga daripada mereka dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 10 malam kelmarin.

Katanya, seorang lagi mangsa yang juga guru lelaki masih dirawat di hospital sama kerana masih lemah.
“Laporan bedah siasat hospital mendapati, arwah maut disebabkan kecederaan parah terkena panahan petir,” katanya

Mati pulang kerja

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my

MUAR: “Saya terkejut apabila dimaklumkan Puteri ditemui meninggal dunia dengan kesan tikaman pada tubuhnya di tepi jalan,” kata Nurhidayah Rai, 25, rakan seorang wanita warga Indonesia yang dijumpai mati di tepi Jalan Bakri Batu 1, malam kelmarin.
Puteri Setiana Subari, 23, pekerja sebuah restoran di Jalan Junid di sini, dipercayai ditikam ketika pulang dari tempat kerja dan mayatnya ditemui pada jam 11.20 malam.

Menurut Nurhidayah, dia dan Puteri berjalan kaki bersama selepas habis kerja pada jam 10 malam, pulang ke rumah sewa mereka di Jalan Sakeh dan apabila tiba di Jalan Arab, seorang kenalan yang menunggang motosikal mempelawa untuk menghantar mereka pulang.
“Saya menumpangnya terlebih dulu dan berpesan kepada Puteri supaya menunggu di Jalan Parit Tiram kerana ia hampir dengan rumah,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Bagaimanapun, menurut Nurhidayah, selepas menunggu hampir sejam, Puteri masih tidak muncul dan dia serta rakan berusaha mengesannya di sekitar bandar Muar, tetapi gagal.

Katanya, dia turut menghubungi telefon bimbit Puteri berkali-kali, namun tidak berjawab dan terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan memberitahu Puteri ditemui mati di tepi jalan.

“Saya amat terperanjat kerana kami bersama sejam sebelum itu. Kehilangan Puteri sangat dirasai kerana dia antara rakan rapat sepanjang tiga tahun bekerja di negara ini,” katanya.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Hartono, 30, berkata, dia mengetahui kematian adiknya pada jam 12 tengah malam selepas dimaklumkan Nurhidayah lalu bergegas ke tempat kejadian.
“Kali terakhir kami berbual dua hari lalu dan Puteri tidak menunjukkan sebarang perubahan. Jenazahnya akan dihantar pulang ke Jawa Barat selepas semua urusan di sini selesai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi menolak ragut kemungkinan punca kematian mangsa.

“Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. Punca kematian dan motif kejadian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Pencabul anak patah tangan



KUALA LUMPUR: Padah cuba mencabul seorang remaja perempuan, seorang lelaki warga Bangladesh patah tangan kanan dan cedera di kepala selepas dibelasah bapa remaja terbabit dengan sebatang kayu di sebuah restoran di Kampung Baru, di sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa dikatakan makan bersama keluarganya dan ketika kejadian, dia ingin mencuci tangan.

Menurut sumber, remaja berusia 14 tahun itu yang ingin mencuci tangan didatangi seorang lelaki warga Bangladesh yang memeluknya dari belakang sambil meminta wang.
“Melihat anak perempuannya meronta-ronta, bapa mangsa yang juga seorang warga emas mencapai sebatang kayu di pekarangan restoran berkenaan dan meluru ke arah suspek sebelum membelasahnya dengan kayu itu,” katanya.

Jaik rayu ibu bapa tidak beri sokongan



ALOR SETAR: Tindakan ibu bapa dan waris yang masih menghantar anak mereka ke sebuah pusat tahfiz di Jalan Kuala Kedah, di sini, menjadikan sekolah itu semakin ‘kebal’ biarpun menyedari ia tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik).
Pengarah Jaik, Datuk Noh Dahya berkata, pihaknya meminta semua ibu bapa atau penjaga tidak menghantar anak mereka ke sekolah itu kerana bimbang dengan masa depan pelajar dikhuatiri tidak mendapat pendidikan sempurna.

Menurutnya, ini berdasarkan siasatan Jaik mendapati kalangan pelajar dan keluarga mereka terdiri daripada satu kelompok seumpama perkampungan dan kebanyakannya bukan penduduk negeri ini.
Katanya, disebabkan itu mereka masih mampu beroperasi kerana didokongi pihak tertentu yang menyokong dari belakang.

“Pada masa sama, kami juga meminta orang ramai jangan membeli barangan dijual mereka seperti kalendar atau kismis mahupun memberi derma untuk membantu menambah dana persekolahan kerana seolah-olah menyokong perbuatan mereka itu.

“Sebelum menghantar anak ke sekolah agama, kami minta ibu bapa menyiasat dulu latar belakang sekolah itu dan menyelidik terlebih dulu sama ada berdaftar dengan agensi bertanggungjawab atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Noh berkata, daripada segi silibus pelajaran, pihaknya mendapati ia tidak meragukan jika dilihat secara luaran, tetapi tidak tahu apa aktiviti dilakukan pada waktu malam atau sepanjang hari di sekolah itu.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya sudah menolak permohonan sekolah berkenaan untuk mendaftar melalui Jaik pada 2007 selagi pihak pengurusan sekolah itu masih membenarkan pelajar terbabit melakukan aktiviti kutipan derma dan menjual barangan.
“Kami bersedia memberi kelulusan dengan syarat pihak sekolah itu mematuhi peraturan dan syarat diberikan sebelum ini.

“Setakat ini, sudah 10 kali kami mengadakan lawatan di sekolah itu untuk berbincang dengan pihak pengurusan dan kami pernah memberi teguran terhadap mereka untuk menyelesaikan masalah itu, tetapi tiada jalan penyelesaian,” katanya.

JKM siasat dakwaan pelajar jadi ‘buruh’



KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melakukan siasatan terhadap dakwaan terdapat pelajar sebuah pusat tahfiz di Kedah dipergunakan untuk bekerja atau menjadi buruh di ladang kelapa sawit milik pengasasnya.
Ketua Pengarahnya, Hadzir Md Zain (gambar) berkata, kanak-kanak bawah usia 18 tahun dilindungi Akta Kanak-kanak 2001 yang tidak membolehkan mereka menjadi buruh dan siasatan akan dilakukan terhadap pihak terbabit seperti didakwa.

“Jika mendapat laporan daripada orang ramai, kita akan menyiasat segera mengikut maklumat diterima. Justeru, saya minta orang ramai memberikan maklumat yang boleh disalurkan melalui talian Nur termasuk dalam isu menjadikan kanak-kanak sebagai buruh.
“Jika perlu didakwa pihak terbabit, kita akan buat pendakwaan terhadap mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment