Thursday, February 2, 2012

NYAWA MELAYANG KERANA BOLA BUKAN KERANA ALLAH...BUKAN KERANA BERJUANG UNTUK ISLAM...BIAR KITA MATI KERANA MEMPERJUANGKAN AGAMA ISLAM

Tragedi Port Said ragut 74 nyawa, 1,000 cedera


SEBAHAGIAN penonton berlari untuk keluar dari stadium ekoran rusuhan yang berlaku di sebuah stadium di Port Said, Mesir kelmarin.



PORT SAID - Sekurang-kurangnya 74 orang mati manakala 1,000 lagi cedera selepas satu rusuhan berlaku ekoran kemenangan mengejut 3-1 kelab bola sepak tempatan, Al-Masry ke atas kelab terkenal dari Kaherah, Al-Ahly di sebuah stadium di sini kelmarin.
Rusuhan itu berlaku selepas perlawanan tamat apabila para peminat kelab bola sepak Al-Masry meluru ke padang stadium di sini bagi meraikan kemenangan mengejut itu.
Para penyokong Al-Masry yang bersenjatakan pisau, kayu dan batu mengejar para pemain dan peminat daripada kelab Al-Ahly yang berlari ke arah pintu untuk menyelamatkan diri, kata beberapa saksi.
Seorang pemain dengan kelab Al-Ahly, Mohammed Abu Trika mengkritik polis kerana tidak campur tangan dalam keganasan tersebut.
"Orang ramai di sini mati dan tiada ada sesiapa yang melakukan apa-apa. Ia seperti satu perang," katanya kepada sebuah stesen televisyen.
Beberapa saksi menyatakan, puluhan peminat bola sepak mati ditikam manakala sebilangan lagi lemas selepas terperangkap di sebuah koridor panjang dan sempit ketika mereka cuba melarikan diri daripada sekumpulan peminat pasukan lawan.
Pertempuran melibatkan beberapa kumpulan peminat bola sepak Mesir kelmarin meragut 74 nyawa dengan sekurang-kurangnya 1,000 orang lagi cedera.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua majlis tentera yang memerintah Mesir buat sementara waktu, Fil Marsyal Mohamed Hussein Tantawi semalam berikrar akan memburu mereka yang bertanggungjawab mencetuskan keganasan itu.


Penduduk Mesir berang


SEORANG lelaki yang cedera diusung oleh rakan-rakannya selepas dia tiba dari Port Said di sebuah stesen kereta api di Kaherah semalam.



PORT SAID - Penduduk di Kaherah yang naik berang ekoran kematian 74 orang dalam insiden pergaduhan di stadium bola sepak Port Said mengadakan beberapa tunjuk perasaan semalam.
Siri bantahan tersebut diadakan selepas peminat dan ahli politik menuduh kepimpinan tentera yang memerintah Mesir gagal menghalang insiden terburuk itu berlaku sejak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Sejumlah pemuda menyekat beberapa batang jalan raya berhampiran bangunan stesen televisyen Mesir dan Dataran Tahrir yang menjadi mercu tanda ibu kota negara berkenaan, Kaherah.
Orang ramai turut berkumpul di stesen kereta api utama Kaherah dengan harapan dapat melihat saudara-mara mereka kembali daripada menyaksikan perlawanan bola sepak tragis di sini.
Apabila mayat-mayat mangsa tragedi bola sepak terburuk dalam sejarah Mesir itu diangkut keluar dari beberapa buah kereta api, beribu-ribu orang menjerit slogan: "Jatuhkan pemerintahan tentera."
Seorang ibu yang panik turut menjerit: "Di manakah lelaki saya?"
"Pergi mati dengan perlawanan bola sepak, kembalikan anak saya," kata wanita berkenaan, Fatma Kamal selepas dia berulang kali menelefon anaknya tetapi panggilannya tidak dijawab.
Sekurang-kurangnya 1,000 orang cedera dalam keganasan kelmarin apabila sejumlah peminat bola sepak menceroboh padang permainan selepas kelab tuan rumah Al-Masry menewaskan pelawat iaitu kelab Al-Ahly dari Kaherah yang turut dikenali dengan nama jolokan Red Devils. - Reuters

Maut ditikam lelaki gila



RAKAN sekerja, Siti Aminah Ahmad menunjukkan selipar Wan Manisah yang tertinggal selepas diheret dan ditikam hingga mati oleh seorang lelaki di Kuala Terengganu kelmarin.



KUALA TERENGGANU – Polis yakin dapat menyelesaikan satu kes pembunuhan melibatkan seorang pembantu kedai kain yang mati ditikam sebanyak enam kali di bangunan Paya Keladi, Jalan Kampung Daik di sini kelmarin ekoran penahanan seorang lelaki semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan memberitahu, suspek berusia 28 tahun itu ditahan pukul 4.30 petang di Pasar Besar Kedai Payang di sini kira-kira 250 meter dari tempat kejadian.
“Kita masih mencari senjata yang digunakan untuk menikam mangsa. Kes itu dianggap selesai dengan penahanan suspek,” katanya.
Manoharan berkata demikian ketika mengulas mengenai Wan Manisah Wan Mansur (gambar kecil), 27, yang disahkan meninggal dunia pada pukul 2.05 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) iaitu kira-kira enam jam selepas kejadian dia diserang dan ditikam seorang lelaki kurang siuman.
Kejadian berlaku apabila suspek yang meluru masuk ke dalam premis itu terus memeluk Wan Manisah dari belakang selepas mangsa cuba menghalangnya.
Suspek kemudian mengheret mangsa hingga ke depan kedai sebelum menghentak kepala wanita itu ke lantai dan menikam belakang badan mangsa hingga mengenai paru-paru.
Bedah siasat mendapati terdapat enam tikaman pada bahagian kiri badan mangsa iaitu tiga di lengan dan tiga di belakang.

Bekas ketua kongsi gelap ditembak



ANGGOTA polis memeriksa mayat Kean Soon yang ditembak di tempat letak kereta di Flat Mak Mandin, Butterworth semalam.



BUTTERWORTH - Seorang lelaki yang dipercayai pernah mengetuai satu kumpulan kongsi gelap ditemui mati dengan kesan tembakan dari jarak dekat di tempat letak kereta flat Mak Mandin di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi, mangsa H'ng Kean Soon, 42, dipercayai ditembak selepas menghantar teman wanitanya yang tinggal di sebuah rumah di flat berkenaan.
"Ketika mangsa dipercayai berjalan menuju ke dalam kenderaannya, dia didekati tiga lelaki bermotosikal.
"Mungkin berlaku pertengkaran antara mangsa dan kumpulan lelaki itu menyebabkan dia ditembak beberapa kali," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Zulkifli Alias.
Mangsa yang terkena tembakan rebah berhampiran kenderaan jenis Nissan X-Trail miliknya dan mati di tempat kejadian.
Zulkifli berkata, polis yang memeriksa mayat mangsa menemui tiga kesan tembakan di badan mangsa iaitu di kepala, badan dan kaki.

Penduduk gempar pangsapuri terbakar



SEBAHAGIAN daripada penduduk hanya mampu melihat dari jauh kebakaran di tingkat empat Pangsapuri 16 Taman Semarak 2, Nilai kelmarin.



NILAI - Penduduk di Pangsapuri Taman Semarak 2, Nilai dekat sini lari bertempiaran menyelamatkan diri apabila 14 unit rumah di tingkat empat bangunan itu terbakar kelmarin.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 malam itu kerana tiada penghuni tinggal di tingkat empat flat terbabit.
Seorang saksi, Abd. Razak Nasir, 55, berkata, dia terkejut apabila melihat asap tebal dari beberapa buah rumah di tingkat empat Blok 16 itu.
"Tidak lama kemudian api marak dengan cepat ke beberapa buah rumah bersebelahan.
"Penduduk yang tinggal di tingkat bawah lari menyelamatkan diri dan membawa bersama harta benda masing-masing kerana bimbang api merebak ke rumah mereka," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Nilai, Zainal Ahmad memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran di pangsapuri empat tingkat itu pada pukul 8.26 malam.
Katanya, tiga jentera bersama 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Nilai dan Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal kebakaran selain bantuan lori tangki air dari Balai Bomba Seremban 2.

Pembuat bom dari Malaysia mati di Filipina



SEORANG jurucakap Tentera Filipina, Kolonel Marcelo Burgos menunjukkan gambar Zulkifli Abdul Hir pada satu sidang akhbar di Manila semalam.



MANILA - Tentera Filipina mendakwa pihaknya telah berjaya membunuh tiga orang militan Islam paling dikehendaki termasuk seorang pembuat bom dari Malaysia, Zulkifli Abdul Hir (gambar) dalam satu serangan udara yang dibantu oleh penasihat tentera dari Amerika Syarikat (AS) semalam.
Serangan bom itu dilakukan menjelang subuh di sebuah pulau terpencil di bahagian selatan yang turut menyebabkan 15 orang ahli kumpulan Abu Sayyaf dan Jemaah Islamiah yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda terbunuh.
"Ini satu kemenangan besar. Tiga orang pemimpin kanan terbunuh. Ia akan memberi impak yang sangat besar terhadap kemampuan pengganas," kata seorang komander tentera wilayah Filipina, Mejar Jeneral Noel Coballes.
Pesawat-pesawat membedil pinggir sebuah kampung di pulau Jolo selepas sumber risikan memaklumkan bahawa kira-kira 30 militan berpangkalan di kampung berkenaan.
Tiada tentera darat dikerahkan dalam operasi tersebut.
Zulkifli yang juga dikenali sebagai Marwan merupakan seorang warga Malaysia yang didakwa menjadi orang kanan rangkaian pengganas Jemaah Islamiah dan dalang beberapa siri serangan bom di Filipina.
Zulkifli juga dituduh menjadi pemimpin Kumpulan Mujahidin Malaysia, sebuah kumpulan mirip Jemaah Islamiah yang mahu membentuk sebuah negara Islam di Asia Tenggara.
Pada tahun 2007, AS menawarkan wang sebanyak AS$5 juta (RM15 juta) sebagai ganjaran penangkapan Zulkifli, sekali gus menjadikannya antara orang yang paling dikehendaki oleh AS.
Dalam laman web Jabatan Negara AS yang memaparkan maklumat mengenai orang paling dikehendaki kerana aktiviti keganasan, hanya empat orang ditawarkan wang ganjaran tinggi.
Antaranya ialah Ketua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri.
Pihak berkuasa Malaysia menyambut baik berita kematian Zulkifli.
"Kami mengalu-alukan berita kematian Zulkifli ketika pasukan keselamatan di rantau ini meneruskan usaha menentang militan sepertinya," kata Ketua Gerak Khas Malaysia mengenai keganasan, Ayob Khan Mydin Pitchay.
Tentera Filipina memberitahu antara yang terbunuh dalam serangan sama ialah Abu Pula, juga dikenali sebagai Doktor Abu dan Umbra Jumdail, salah seorang pemimpin utama organisasi militan Abu Sayyaf.
Abu Sayyaf didakwa melakukan serangan-serangan pengganas terburuk di Filipina termasuk meletupkan sebuah feri di Manila yang membunuh lebih 100 orang, selain banyak kes penculikan di kawasan terpencil di selatan yang dihuni majoriti penduduk Islam. - Agensi

No comments:

Post a Comment