Exco akui LPHS silap tuntut
|
SHAH ALAM - Isu sekumpulan pemilik kediaman di Taman Kayu Ara Indah, Damansara Utama, Petaling Jaya menerima surat tunggakan ansuran rumah sedangkan mereka tidak lagi berhutang didapati berpunca daripada kesilapan pentadbiran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, kes itu adalah yang pertama kali berlaku melibatkan agensi kerajaan negeri Selangor itu.
"Kami dapati kejadian itu disebabkan masalah pentadbiran di LPHS. Saya sudah mengarahkan mereka untuk menyelesaikan masalah itu dan kekeliruan yang timbul dengan kadar segera," tegasnya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor di sini semalam.
Kosmo! dalam laporan muka depan semalam melaporkan nasib sekurang-kurangnya 10 pemilik rumah di taman tersebut yang terkejut menerima surat notis tunggakan hutang daripada LPHS berjumlah RM2,000 hingga RM30,000.
Surat itu menyebabkan para penerimanya bingung memandangkan mereka mendakwa sudah lama menyelesaikan baki pinjaman rumah masing-masing baik menerusi bayaran sekali gus seawal tahun 2002 atau menerusi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Akibat kejadian itu, ada pemilik rumah yang jatuh sakit akibat tekanan perasaan selain pasangan suami isteri bergaduh.
Iskandar memberi jaminan untuk mengambil tindakan segera bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul dengan mengarahkan wakil LPHS mengadakan pertemuan dengan penduduk secepat mungkin.
"Mereka yang sudah mempunyai geran dan juga surat lepasan gadaian tidak perlu bimbang kerana LPHS tidak akan mengambil tindakan atau menyita rumah mereka," jelasnya.
Ular sawa kenyang ditangkap
KUALA PILAH - Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah ini berjaya menangkap seekor ular sawa batik sepanjang enam meter selepas ia gagal meloloskan diri akibat terlalu kenyang di ladang getah Felda Kepis, dekat sini semalam.
Reptilia seberat 130 kilogram itu ditemui dalam keadaan tidak bergerak selepas membaham mangsanya yang tidak diketahui.
Ketua Operasi JPAM daerah, Khairul Anuar Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.45 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bersama empat anggota.
Katanya, mereka mengambil masa 15 minit untuk menangkap ular tersebut berikutan reptilia itu berada di tempat sempit sehingga menyukarkan pergerakan anggota JPAM yang turut dibantu penduduk kampung berkenaan.
"Ketika ditangkap, ular berkenaan agak agresif. Kami juga percaya ular itu telah lama mendiami ladang tersebut berdasarkan tempat aliran keluar masuknya," katanya dengan menambah, reptilia itu terpaksa dibawa keluar menggunakan jengkaut disebabkan saiznya yang begitu besar.
Angkara berebut lelaki, gadis dibelasah
KANGAR – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini teruk ‘dikerjakan’ sekumpulan 15 pelajar perempuan lain gara-gara pertelingkahan berebut teman lelaki sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.
Dalam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang kelmarin berhampiran sekolah itu yang terletak dekat sebuah taman perumahan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Noor, 15, mendakwa dia ditampar, dipukul dan dipijak oleh kumpulan pelajar tersebut yang mengamuk selepas menuduhnya merampas kekasih mereka.
Serangan ganas itu berlaku ketika mangsa baru keluar dari sekolah untuk pulang dengan menunggang basikal selepas selesai mengikuti latihan sukan.
Kumpulan pelajar perempuan itu didakwa sudah menunggu mangsa sebelum mereka terus membelasahnya. Pada masa itu mangsa yang tinggal di Pangsapuri Sena kira-kira 500 meter dari sekolahnya dalam perjalanan pulang seorang diri.
Setelah puas dikerjakan hampir 15 minit, Noor yang dalam kesakitan terpaksa mengagahkan diri mengayuh basikal pulang ke rumah. Kejadian malang yang menimpanya tidak dimaklumkan kepada ibunya.
Bagaimanapun, pada pukul 12 tengah malam, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibunya setelah dia muntah-muntah.
Mengimbas kejadian itu, Noor memberitahu, pertelingkahan tersebut berpunca apabila dua orang daripada kumpulan pelajar perempuan yang dikenalinya itu mendakwa dia mempunyai hubungan dengan teman lelaki mereka.
“Saya beritahu saya tiada apa-apa hubungan namun kedua-dua pelajar itu tidak berpuas hati dan terus menarik rambut dan memukul saya sebelum rakan lain ikut serta membelasah saya,” kata pelajar itu ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.
Noor, anak kedua daripada tiga beradik, baru sebulan belajar di SMK Perlis itu setelah berpindah dari Sungai Petani, Kedah bagi mengikuti ibunya yang bekerja di kedai makan di sini. Mangsa telah pun kematian bapa.
Katanya, dia langsung tidak menyangka kumpulan pelajar terbabit akan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila tergamak membelasahnya sehingga dia hampir terjatuh ke dalam longkang.
“Malah ketika itu ada dua remaja lelaki iaitu teman lelaki kepada dua pelajar yang menuduh saya menjalin hubungan dengan kekasih mereka.
“Namun, kedua-dua remaja lelaki itu termasuk seorang yang bersekolah di sekolah sama dengan saya tidak membantu menjelaskan keadaan sebenar, sebaliknya kedua-dua lelaki itu turut menonton dan bersorak apabila melihat saya dibelasah.
“Hanya tiga pelajar perempuan dalam kumpulan itu yang saya kenal termasuk dua pelajar yang menuduh saya mempunyai hubungan dengan kekasih mereka. Ketiga-tiga pelajar itu sebaya dengan saya dan sama kelas dengan saya,” ujarnya.
Nyaris buta disimbah asid
KUALA TERENGGANU - Seorang peniaga tidak pernah terfikir akan tercedera dan nyaris buta disimbah sejenis cecair dipercayai asid ketika sedang menjamu selera apabila dia dan dua rakannya diserang sekumpulan empat lelaki bersenjatakan pedang samurai kelmarin.
Kejadian bermotifkan dendam pukul 9.30 malam di sebuah kedai makan di Simpang Taman Uda, Paka, Dungun itu berlaku ketika mangsa berusia 40 tahun tersebut diserang ketika sedang asyik makan di situ.
Mereka yang menyedari kehadiran suspek kemudian cuba melarikan diri ke arah sebuah kereta namun dua daripada mangsa cedera selepas disimbah cecair berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera di mata kanan.
Katanya, seorang lagi rakannya berusia 38 tahun yang disyaki menjadi sasaran utama suspek melecur di pipi dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Dungun.
"Salah seorang suspek dikenali mangsa dan kita telah mengenal pasti kereta yang digunakan suspek ketika mereka melarikan diri sebaik menyerang mereka," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Bantal penamat riwayat cucu
PUCHONG – Niat seorang nenek untuk membunuh diri dengan memotong jari manis dan terjun dari bangunan selepas dia disyaki melemaskan cucu perempuannya dengan menggunakan bantal terbantut apabila dia dapat ditahan dalam kejadian di Kondominium Koi Legian, Kinrara di sini semalam.
Fon Mei Shuang, 10, ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut.
Suspek berusia 57 tahun yang dipercayai mempunyai masalah mental tersebut ditahan selepas polis menerima laporan daripada bapa mangsa yang mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi wanita itu pada pukul 9 pagi.
Polis yang tiba di tempat kejadian tiga jam kemudian telah memecah masuk salah sebuah bilik di rumah suspek sebelum menyelamatkan wanita itu yang cuba terjun dari tingkat lapan kondominium tersebut.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata, siasatan awal mendapati, suspek disyaki telah membunuh cucunya pada pukul 11.30 malam kelmarin dengan menekup muka mangsa dengan sebiji bantal.
Katanya, polis turut menemui sekeping nota dalam bahasa Cina bermaksud “Hati tak suka, hati tak syok, mahu mati”. Nota itu ditulis dengan menggunakan dakwat merah.
“Selepas melihat cucunya tidak bernyawa, suspek mengerat jari manis tangan kirinya dan membiarkan darah mengalir ke dalam sebuah tong di dalam bilik itu.
“Selepas mendapati dia masih hidup, suspek telah menghubungi anak lelakinya dan memaklumkan yang dia telah melakukan pembunuhan itu sejak dua hari lalu,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bayar sewa rumah tertunggak
HULU KLANG – Kira-kira 100 bakal penghuni projek perumahan kos rendah Seri Mutiara di sini, berang setelah hak mereka untuk mendapatkan bayaran hutang sewa penempatan sementara yang tertunggak selama lima tahun tidak diberi perhatian oleh pihak pemaju, Damai Bistari Sdn. Bhd.
Malah, nasib bekas penduduk setinggan Kampung Perak tersebut tidak ubah seperti pengemis apabila rumah yang dijanjikan siap dalam tempoh 36 bulan sejak 2003 masih belum mampu didiami sehingga kini.
Mereka juga kini kian tertekan akibat kos sara hidup yang semakin meningkat gara-gara terpaksa membayar faedah rumah yang dibeli itu selain sewa bulanan pusat penempatan sementara yang didiami sekarang di Pangsapuri Sri Nilam.
Pengerusi Bertindak Perumahan Sementara Kampung Perak, Mohd. Shah Akhbar Sha berkata, dalam perjanjian bertulis yang ditandatangani sebelum ini antara pihak pemaju Damai Bistari Sdn. Bhd., Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan penduduk menyatakan semua kos sewa bulanan di pusat penempatan sementara akan ditanggung oleh pemaju.
“Apa yang terjadi adalah sebaliknya apabila kami sendiri yang terpaksa membayar sewa bulanan yang hampir mencecah RM700 sebulan sedangkan pendapatan penduduk hanya sekitar RM1,500.
“Bebanan lebih dirasai apabila turut membayar faedah sebanyak RM300 bagi rumah kos rendah yang masih belum boleh didiami,“ katanya ketika ditemui di sini semalam.
Terdahulu satu perhimpunan aman diadakan oleh penduduk-penduduk terbabit dalam mendesak pihak pemaju membayar tunggakan sewa rumah berkenaan yang jumlah keseluruhan mencecah RM700,000 serta menyiapkan segera rumah projek perumahan Seri Mutiara.
No comments:
Post a Comment