Sunday, August 26, 2012

AGAK2LAH...KALAU IBADAH BEGITU LAMA...ALANGKAH BAIKNYA...AURAT PATUT JUGA JAGA...JANGAN HANYA KUIH ELOK BERBUNGKUS...NAMPAK BAIK MACAM BERBAKTI TAPI MUNGKIN ADA MUSLIHAT TERSIRAT...TAK ELOK MACAM NI

Tunjuk baju glamor masa berbuka

KETIKA semakin banyak artis yang sudah kembali kepada fitrah, masih ada lagi penganjur yang kurang peka dengan keperluan tetamu majlis yang rata-rata beragama Islam dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Memanglah niat si penganjur mahu memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan pertunjukan fesyen baju raya yang glamor-glamor.
Tapi kalau azan Maghrib sudah berkumandang dan orang bersiap sedia untuk berbuka puasa, eloklah acara menonton 'model baju raya' itu ditangguhkan dulu.
Kalau tak mahu majlis itu berlarutan hingga ke malam, ia sepatutnya dimulakan selepas subuh atau tunggu sahaja selepas waktu berbuka.
Semua artis dan petugas media pasti maklum kelebihan menyegerakan berbuka puasa sebaik tiba masanya.
Ini tidak, masa orang tengah azan itulah para artis masih tergedik-gedik menggayakan baju pereka-pereka yang terlibat. Mahu tak mahu, jurufoto akhbar dan majalah pun terpaksalah tangkap gambar.
Untuk penganjur terbabit, Diva hendak ingatkan bahawa waktu berbuka adalah masa yang paling gembira bagi orang yang berpuasa. Tak manislah rosakkan kegembiraan mereka. Yang peliknya, perkara yang sama berulang setiap tahun.

Apek terlibat kemalangan di Bachok


KERETA Audi yang dipandu Apek rosak akibat kemalangan di Kampung Badak, Bachok malam kelmarin.



KOTA BHARU - Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan ketika keluar dari simpang di Kampung Badak, Bachok dekat sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Khairul Fahmi yang memandu kereta jenis Audi milik bapanya, Che Mat Hussain hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan.
Khairul Fahmi ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam memberitahu, kemalangan tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang beraya di rumah saudaranya di Bachok.
"Kemalangan tersebut berlaku ketika saya hendak keluar dari simpang dan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua MyVi.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dan ia tidak melibatkan kecederaan serius kepada diri saya," ujarnya.

Wanita Malaysia paling ramai curang



WANITA Malaysia dikatakan yang ketiga paling curang di dunia. - Gambar hiasan



ACCRA, Ghana - Wanita Malaysia adalah yang ketiga paling ramai curang di dunia, menurut akhbar laman berita GhanaWeb kelmarin yang memetik laporan akhbar China Press.
Penemuan mengejutkan itu dibuat berdasarkan satu kaji selidik yang mendapati 39 peratus wanita Malaysia mengaku mencurangi pasangan mereka.
Senarai tersebut diungguli oleh Ghana apabila 62 peratus wanitanya mengaku curang diikuti oleh Thailand sebanyak 59 peratus.
Wanita Rusia pula dianggap keempat paling curang di dunia dengan angka 33 peratus diikuti Singapura di tempat kelima dengan 19 peratus.
Kaji selidik sama turut mendapati pasangan di Thailand adalah paling curang di dunia dengan 54 peratus manakala Korea Selatan berada di tempat kedua apabila 34 peratus rakyatnya dilaporkan bermain kayu tiga.

Rumah penghulu jadi tumpuan



PENDUDUK menunggu giliran mengambil air bersih daripada paip air yang dipasang di rumah Penghulu Kampung Belukar, Kubang Bemban, Pasir Mas semalam.



PASIR MAS – Jika sambutan Aidilfitri sebelum ini, rumah Penghulu Kampung Belukar, Kubang Bemban di sini, Omar Daud, meriah dengan kunjungan tetamu yang datang beraya tetapi tahun ini, sambutan lebih meriah apabila penduduk memenuhi halaman ruma untuk mendapatkan bekalan air paip bersih secara percuma.
Setelah bertahun-tahun mengharungi derita masalah air kotor dan sering terputus, kewujudan penapis air yang dipasang Kerajaan Pusat di belakang rumah Omar dan disalurkan melalui empat batang paip telah menceriakan 100 keluarga di situ.
Akhbar baru-baru ini melaporkan Kerajaan Pusat mengambil tindakan segera mengatasi masalah bekalan air yang kritikal di dua kawasan iaitu Kubang Bemban, Pasir Mas dan Kampung Derdap, Tumpat dengan memasang alat penapis yang setiap unit berharga RM95,000 bagi memproses air telaga.
Omar, 59, berkata, walaupun penapis air tersebut belum lagi dirasmikan namun ia telah dimanfaatkan penduduk.
“Penduduk tidak putus-putus datang ambil air. Hari Raya pertama dan kedua, sebanyak 50 orang beratur ambil air. Semalam (kelmarin), satu keluarga hendak buat kenduri datang ambil air.
“Dengan adanya penapis air ini, ia amat membantu dan Aidilfitri kali ini lebih bermakna,” katanya.

Budak hilang dua jari

MOH ROSYAM di samping anaknya, Wan Muhammad Anas yang sedang dirawat akibat cedera bermain mercun bola di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI - Keinginan seorang budak lelaki untuk bermain mercun membawa padah apabila dua jari kirinya terpaksa dipotong akibat terkena letupan mercun bola dalam kejadian di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dekat sini Rabu lalu.
Kejadian pada pukul 5 petang itu berlaku ketika Wan Muhammad Anas Amar Rosyam, 10, menyalakan api pada sumbu sebiji mercun bola yang ditemui tidak jauh dari rumah sebelum ia meletup di tangan.
Menurut Moh Rosyam Hanafiah, 39, ketika kejadian, dia menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah jiran dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh penduduk perumahan terbabit.
"Saya terus bergegas pulang ke rumah dan melihat muka anak sulung saya berlumuran darah manakala beberapa jari tangan kiri hancur," katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini semalam.

Tonto lindungi jual rokok haram

KOTA KINABALU - Penjualan rokok haram di sekitar bandar raya ini agak sukar dibendung oleh pihak berkuasa berikutan aktiviti tonto yang aktif melindungi kegiatan tersebut.
Pengarah Kastam Sabah, Dr. Janathan Kandok berkata, tindakan tonto itu sedikit sebanyak menjejaskan operasi membanteras penjualan rokok haram kerana dipantau dan diketahui golongan terbabit yang mengekori pergerakan anggota kastam.
"Kami tidak menolak kemungkinan tonto ini diupah oleh individu-individu tertentu dalam memastikan kelancaran 'perniagaan' haram mereka.
"Memang ada tonto bukan sahaja pada kegiatan penyeludupan rokok malah sehingga kepada penjualan di kaki lima tetapi kita sedang menyiasat perkara ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Rendang kepala lembu



PERMINTAAN daging lembu meningkat lebih 30 peratus menjelang Aidilfitri.



SELALUNYA hidangan ketupat dan lemang dinikmati bersama rendang daging atau ayam namun kini, kepala lembu mula digemari sebagai juadah Hari Raya Aidilfitri.
Ia kedengaran agak pelik tetapi itulah cerita seorang penjual daging Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan.
Menurut pemilik Wahidannie Livestock (M) Sdn. Bhd., Abdul Wahid Ramlan, sebelum ini orang ramai gemar membeli gear box iaitu tulang lutut lembu untuk dimasak sup tetapi selera itu nampaknya beralih kepada kepala lembu yang dikatakan enak dimasak rendang, kari atau lemak.
Abdul Wahid yang berumur 38 tahun telah lebih 20 tahun menguruskan perniagaan keluarganya menternak dan menjual lembu.
“Sebenarnya, hampir kesemua bahagian lembu boleh dimakan termasuk kepala dan lemaknya.
“Kepala lembu itu akan dilapah terlebih dahulu dengan mengasingkan daging dan otak manakala tulangnya dipotong kecil-kecil. Daging kepala lembu lebih lembut teksturnya dan manis.
“Bagi satu kepala, kira-kira 2 kilogram daging boleh didapati, bergantung pada saiz kepala lembu berkenaan,” katanya kepada Jurnal.
Kebanyakan pembeli kepala lembu Abdul Wahid berasal dari Perak, Negeri Sembilan dan Selangor.
“Sebaik sahaja lembu disembelih, kepala lembu itu sudah ada pembelinya. Harganya antara RM80 hingga RM200,” ujarnya.
Bakar kulit
Tutur Abdul Wahid, dia dapat menjual lebih 100 kepala lembu setiap kali menjelang Aidilfitri. Kebanyakan pelanggan meminta Abdul Wahid membuang kulit, gigi serta bahagian mulut lembu itu terlebih dahulu.
“Ada juga pelanggan yang membelinya terus tanpa perlu dibuang bahagian tertentu. Kebanyakan mereka berasal dari benua Afrika.
“Khabarnya, mereka akan terus membakar kepala lembu itu sebelum memakan semua isinya termasuk biji mata. Saya tidak tahu pula apa rasanya,” katanya.
Bercerita mengenai bekalan, Abdul Wahid memberitahu, kebanyakan stok haiwan itu diperoleh daripada tiga buah ladang lembu di Negeri Sembilan dan Selangor.
“Kedua-dua ladang itu mampu menampung permintaan semasa perayaan kerana mereka memiliki bilangan ternakan matang yang melebihi 1,000 ekor,” ujarnya sambil memberitahu, permintaan menjelang Aidilfitri biasanya bertambah sekitar 35 peratus.
Secara perbandingan, sekiranya bekalan pada bulan biasa sekitar 300 ekor lembu, menjelang Aidilfitri jumlahnya meningkat kepada 400 ekor.
“Daging lembu merupakan hidangan utama rakyat negara ini khususnya kaum Melayu,” katanya.
Dia menambah, ramai pelanggan yang membeli pada saat akhir terutamanya pada malam raya menyebabkan dia tidak menang tangan untuk melayan mereka.
“Kadangkala sampai pukul 3 pagi pun masih ada pelanggan yang datang untuk membeli daging. Sebagai peniaga, kami harus memastikan stok sentiasa ada,” jelasnya.
Lemak
Seorang pekerja Wahidannie Livestock, Azman Mohammad Adman, 23, yang berasal dari Yangoon, Myanmar, berkata, dia telah tiga tahun beraya di negara ini. Menurutnya, daging lembu dimasak dengan cara yang agak berbeza di negaranya.
“Di Myanmar, semua bahagian lembu termasuk lemak dan kulit akan dimasak bersama. Kebanyakan dimasak kari.
“Semasa Hari Raya Aidilfitri, ia akan dimakan bersama nasi sama seperti hari biasa,” katanya.
Rakannya, Saad Nurullah pula mengatakan rakyat negara ini perlu bersyukur kerana dapat menikmati makanan lazat setiap hari.
“Saya sendiri berasa tenang dan hidup agak selesa di sini berbanding negara asal. Segala keperluan boleh diperoleh dengan mudah,” katanya.

Masak juadah lapan jam





MALAYSIA memang kaya dengan kepelbagaian budaya masyarakatnya yang berbilang kaum. Lantaran itu, tidak hairanlah, ramai pelancong malah rakyat tempatan sendiri yang menyifatkan negara kita ini sebagai syurga makan.
Jika ada yang berhajat menikmati keunikan masakan tradisi, Barat, oriental atau Mediterranean, baik yang masih mengekalkan cita rasa asli mahupun telah diubah mengikut rencah rasa tempatan, semuanya boleh didapati di Malaysia.
Antara yang menjadi kegemaran ramai dan dikenali umum ialah roti canai, nasi lemak, nasi kandar, nasi dagang, nasi kerabu dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional.
Namun, jika disebut beberapa nama hidangan warisan etnik Bugis seperti burasak, lepat lueh, nasu metti dan bejabok, pastinya ramai yang terpinga-terpinga, malahan ada tidak pernah mendengar dan menikmatinya.
Lain pula keadaannya di pekan Benut yang terletak di daerah Pontian, Johor. Di sini, majoriti masyarakatnya berketurunan Bugis yang berasal daripada Kepulauan Sulawesi, Indonesia.
"Burasak bukanlah makanan yang pelik di sini malah ia boleh dibeli di pasar minggu.
Bagi seorang peniaga burasak yang mahu dikenali sebagai Remeng, 50-an, setiap kali minggu akhir Ramadan, dia dan keluarganya tidak menang tangan menerima tempahan daripada penduduk tempatan, malah ada yang juga peminat burasak yang sanggup datang dari Johor Bahru dan Singapura menempah burasak dengannya.
"Setiap minggu saya menjual burasak di pekan Tampok. Pada bulan puasa pula, saya menjualnya pada setiap petang.
"Seminggu sebelum raya, perniagaan menjadi semakin sibuk kerana ramai pelanggan yang menempah burasak untuk dijadikan hidangan di pagi Syawal," katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut sambil dibantu isteri dan anak-anaknya.
Sementara itu, seorang lagi pengusaha burasak di Benut, Bachok Ambok Lelang, 63, memberitahu, rupa burasak seakan-akan ketupat nasi yang dicampur dengan sedikit santan. Bentuknya pula leper seakan lepat pisang namun lebih tebal dan saiznya sedikit besar dan lebar.
"Kalau ramuannya seperti memasak nasi lemak, cuma tidak perlu ditambah bawang, halia ataupun serai hanya beras wangi, santan dan sedikit garam.
"Memasak burasak tidaklah rumit tetapi mengambil masa yang cukup lama. Mana tidaknya, ia perlu direbus antara tujuh hingga lapan jam untuk menghasilkan burasak yang teksturnya lembut dan tahan lebih lama," ujar Bachok ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.
Burasak yang rasanya sedikit lemak enak dimakan panas-panas bersama nasu metti atau asam pedas ikan parang.


SEBONGKAH burasak biasanya mempunyai lima atau 10 keping burasak yang dibungkus secara berasingan.



"Tradisinya, orang Bugis akan makan burasak dengan ikan parang, sama ada yang dimasak asam pedas ataupun masak kicap," katanya.
Selain burasak, satu lagi makanan tradisional masyarakat Bugis yang biasa dihidang ketika musim perayaan ialah lepat lueh.
Seperkara yang unik tentang makanan ini, ia sejenis hidangan berasaskan pulut yang berbentuk tiga segi seperti atap rumah.
"Memasak pulut lueh sama seperti burasak. Pulut perlu ditanak separuh masak dan kemudiannya disejukkan sebelum dibungkus menggunakan acuan berbentuk tiga segi. Ia juga perlu direbus selama lapan jam.
"Jika burasak enak dimakan dengan asam pedas ikan parang, lepat lueh pula sedap dijamah dengan nasu likkuk atau rendang ayam lengkuas.
"Bagi yang tidak biasa memasak, tempoh merebus yang cukup lama memang jadi satu cabaran kerana api dan air perlu sentiasa dipantau, apatah lagi jika memasak menggunakan dapur kayu.
"Namun, hasilnya memang memuaskan. Burasak dan lepat lueh boleh bertahan sehingga seminggu tanpa perlu disimpan di dalam peti ais.
"Begitupun, ada petuanya. Pulut atau nasi yang telah ditanak perlu disejukkan kira-kira sejam atau dua jam sebelum dibungkus bagi mengelakkan ia daripada cepat basi," ujar Bachok.
Jelasnya lagi, memandangkan kedua-dua juadah ini boleh bertahan lama, ia biasanya dimasak dua hari sebelum raya bagi mengelakkan kesibukan di dapur menjelang malam raya.
Daun pisang nipah
Jangan tidak tahu, bukan sebarang daun pisang boleh digunakan untuk membungkus burasak dan lepat lueh.
"Hanya daun pisang nipah sahaja yang boleh digunakan untuk membungkus burasak dan lepat lueh. Bukan tidak boleh guna daun pisang lain tetapi dikhuatiri pulut atau nasi akan menjadi pahit.
"Daun pisang pula harus dipilih di bahagian pucuknya atau paling muda. Daun pisang yang tua tidak boleh digunakan kerana keras dan mudah koyak," ujarnya.
Menurut sejarahnya, makanan tahan lama yang berasal dari Kepulauan Sulawesi ini sering menjadi pilihan pedagang Bugis sebagai bekalan pelayaran.
Meninjau cara memasak hidangan wajib bagi masyarakat Bugis ini, apa yang boleh disimpulkan, hampir ke semua juadah utamanya mengambil masa yang lama untuk dimasak!

BURASAK yang direbus lapan jam boleh bertahan sehingga seminggu.



Menurut pakar masakan warisan daripada Fakulti Sains dan Teknologi Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Shahrim Karim, juadah raya masyarakat Bugis memang unik berbanding masakan masyrakat lain.
"Jika masyarakat Melayu, Minang mahupun Jawa banyak menggunakan ayam, daging lembu ataupun daging kerbau dalam masakan, lain pula halnya dengan masyarakat Bugis.
"Selain ayam, mereka turut menggunakan hasil laut dalam menu lebaran. Contoh paling mudah, masak asam pedas ikan parang dan bejabok atau serunding udang kering," katanya.
Jurnal yang diberi kesempatan melihat proses penyediaan burasak, nasu metti atau asam pedas ikan parang, nasu likkuk atau rendang ayam lengkuas dan bejabok atau serunding udang kering.
Sebagai pelengkap juadah manisan berasaskan telur dan pisang seperti baulu pecak yang rupanya seakan nekbak di Kelantan dan lepat pisang tanpa tepung atau barongko turut disediakan.
"Burasak perlu disediakan terlebih dahulu kerana ia memerlukan masa yang lama untuk direbus. Cara membuatnya mudah sahaja.
"Dengan menggunakan beras wangi yang ditanak separuh masak dengan santan dan sedikit garam untuk penambah lemak.
"Setelah nasi masak, ketepikan dan sejukkan lebih kurang dua jam. Selepas itu, ambil tiga sudu beras dan letakkan di atas pucuk daun pisang nipah yang telah dibersihkan. Ratakan nasi dalam bentuk empat segi tepat.
"Selepas siap lima bungkus, satukan burasak dan balut dengan daun pisang nipah tua yang telah dilayurkan.
"Bungkus sebanyak dua kali dan ikat kemas bongkah burasak dengan tali rafia. Sekarang, burasak siap untuk direbus," ujar Shahrim.
Belajar dua minggu
Menyediakan nasu likkuk atau rendang ayam lengkuas pula tidak banyak bezanya dengan rendang biasa cuma masakan ini menggunakan jumlah lengkuas yang banyak.
"Untuk seekor ayam yang beratnya 1.5 kilogram (kg), setengah kg lengkuas diperlukan.
"Selain lengkuas, bawang putih, bawang merah dan serai, masakan ini juga menggunakan cili api dan rempah-rempah seperti ketumbar, jintan putih dan jintan manis.


JUADAH nasu likkuk dimasak seperti rendang tetapi menggunakan lengkuas dalam jumlah yang banyak.



"Semua bahan perlu dikisar halus sebelum dimasak dengan sempurna kira-kira 45 minit.
"Selepas itu, barulah ayam dimasukkan. Apabila daging sudah kecut, masukkan pula santan pekat. Masak sehingga ayam lembut dan kuah mengering," jelas Shahrim.
Tambahnya, masakan nasu likkuk ini amat digemari oleh masyarakat Bugis mahupun masyarakat di Nusantara.
"Bagi yang pertama kali menikmatinya, jangan risau, saya jamin anda pasti akan menyukainya," ujarnya.
Biarpun bukan daripada keturunan Bugis, lelaki ini mengambil inisiatif menulis sebuah buku masakan bertajuk Sajian Eksotik Warisan Bugis bagi memastikan keunikan kulinari Bugis terus terpelihara.
"Masakan Bugis mempunyai keunikan yang tersendiri namun ia jarang ditemui di restoran dan kurang popular dalam kalangan masyarakat di negara ini.
"Bagi saya, keistimewaan masakannya terletak pada bahan-bahan yang digunakan, cara penyediaan dan namanya yang unik.
"Rasanya juga enak dan boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

'Laut' terbesar dunia lenyap

LAUT Aral yang semakin mengencil dan dijangka lenyap sepenuhnya pada tahun 2020.


MUNGKIN tiada siapa yang percaya jika dikatakan perairan terbesar dunia iaitu Lautan Pasifik akan kering. Ini kerana pemanasan global akan menyebabkan paras air laut semakin meningkat berikutan pencairan ais di Kutub Utara dan Selatan, bukannya sebaliknya.
Bagaimanapun, Laut Aral yang bersempadan dengan Kazakhstan di utara dan Karakalpakstan, sebuah wilayah autonomi Uzbekistan di selatan, bakal lenyap daripada peta dunia.
Obsesi Kesatuan Soviet (kini Rusia) untuk menjadi pengeluar kapas terbesar dunia di samping meningkatkan pengeluaran padi pada tahun 1960-an telah membawa malapetaka kepada Laut Aral iaitu salah sebuah tasik terbesar dunia dengan keluasan 68,000 kilometer persegi iaitu hampir sebesar negeri Sabah di Malaysia.
Aral dalam bahasa Turki bermaksud pulau-pulau dan Laut Aral sendiri memiliki lebih 1,500 buah pulau kecil di perairannya. Kawasan paling dalam di tasik ini pada masa itu mencecah 42 meter.
Sukar bernafas
Semuanya bermula apabila Kesatuan Soviet mengubah laluan Sungai Amu dan Sungai Syr yang merupakan sumber air Laut Aral untuk industri kapas dan beras.
Ini menyebabkan pulau itu terbahagi dua pada tahun 1990 berikutan paras air tasik itu terus menyusut. Beberapa pakar meramalkan tasik itu lenyap sepenuhnya pada tahun 2020.
Malah, pihak UNESCO mendakwa sebanyak 70 peratus daripada 1.1 juta penduduk Karakalpakstan mengalami kesukaran bernafas ekoran fenomena itu.
“Setiap hari kami berdepan dengan ribut pasir yang membawa bersama racun berbahaya,” kata seorang penduduk wilayah itu.
Semasa melawat Uzbekistan pada April 2010, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa semua pemimpin dunia supaya bersatu untuk mengatasi masalah itu.
Ban Ki-moon malah menyifatkan kejadian di Laut Aral sebagai satu bencana yang sangat mengejutkan.
Kazakhstan telah memulakan langkah bagi mengatasi perkara itu dengan membina Empangan Kok-Aral di Sungai Syr di bahagian negara itu untuk disalurkan ke tasik berkenaan sejak tahun 2005.
Projek itu berjaya meningkatkan paras air tasik secara perlahan-lahan sekali gus mengembalikan kehidupan di sekelilingnya.
Bagaimanapun, seorang anggota pertubuhan hak asasi manusia yang berpusat di Tashkent, Uzbekistan, Elena Urlaeva yang melawat Nukus, bandar terbesar berhampiran tasik itu pada tahun lalu melaporkan, penduduk sekitar masih menghadapi masalah kesihatan yang serius.
Suhu berubah
Menurut laman web Weird Science, Laut Aral yang suatu ketika merupakan salah satu kawasan paling subur di dunia telah kering. Akibatnya, suhu di rantau tersebut menjadi lebih panas pada musim panas dan semakin sejuk semasa musim sejuk manakala hujan jarang turun.
Kawasan berhampiran padang pasir bertoksik itu pula mencatat kadar kematian bayi antara yang tertinggi di dunia.
Penyakit anemia serta barah yang disebabkan oleh kimia yang ditiup daripada dasar tasik yang kering itu juga merupakan senario yang biasa dilihat.
Malah, tasik yang mengandungi lebih 20 spesies ikan bermutu tinggi seperti ikan merah, keli dan todak itu sudah tiada lagi.
Daerah Muynak di Uzbekistan sekarang menjadi padang pasir yang jaraknya menjangkau beratus-ratus kilometer. Di situ, pemandangan kapal-kapal nelayan yang terbiar sudah cukup untuk memberi gambaran betapa buruknya bencana itu.

Cerita tauke kereta beraya



NAMA Aminar pernah silap ditulis dengan nama Aminah.



SEGAK berbaju Melayu berwarna merah serta kain samping yang berwarna-warni membuatkan Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Aminar Rashid Salleh, 52, tampil berbeza.
Selain itu, perbualan selama lebih sejam bersama lelaki yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini cukup menyenangkan.
“Minta maaf agak terlewat, banyak urusan yang perlu dibereskan sebelum bercuti,” tutur Aminar Rashid.
Walaupun memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan awam daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), dunia pekerjaannya lebih terarah dalam dunia automotif.
Sebelum ini, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Kumpulan Pemasaran Strategik di UMW Toyota Motor Sdn. Bhd.
Namun, ada cerita menarik tentang anak bekas seorang guru agama dan bahasa Inggeris ini.
“Sebenarnya saya pernah mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat ijazah dalam bidang yang sama di sebuah universiti tempatan.
“Tetapi, nama saya silap ditulis Aminah bukan Aminar. Walaupun hati teruja untuk memasuki universiti tersebut saya batalkan kerana agak terkilan dengan kesilapan tersebut,” katanya.
Aminar mempunyai tiga orang anak perempuan pernah bekerja dengan Utusan Melayu (M) Bhd. sebagai seorang pegawai kewangan.
Dialek berbeza
Pengalaman ternyata mendewasakan lelaki yang menetap di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor ini.
Perpindahan keluarganya dari Kedah ke Besut, Terengganu sedikit sebanyak memberikan impak kepadanya.
“Saya agak terkejut apabila makan roti canai bersama seorang rakan sekolah di sebuah kedai makan. Biasanya makanan itu kita cicah dengan kuah kari sahaja.
“Tetapi, bagi kebanyakan penduduk Pantai Timur mereka mencampurkan dengan gula. Itu antara kejutan budaya terawal yang saya alami,” ujarnya.
Katanya, kejutan kedua yang dialami dari sudut pertuturan.
“Kita sudah biasa berbicara menggunakan loghat Utara tetapi perlu bertukar Pantai Timur. Syukur lama kelamaan saya dapat mengadaptasi semuanya dengan sebaiknya,” jelasnya.
Soal bahasa daerah tidak lari semasa perbualan kami.
Beliau juga mengalami kesukaran untuk berbual dengan bapa mertua dan keluarga iparnya yang agak pekat dengan dialek Negeri Sembilan walaupun mereka menetap di Alor Gajah, Melaka.
“Mereka ketawa saya pun ketawa walaupun tidak tahu akan maksud tetapi saya beruntung kerana menguasai loghat negeri Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.
Tidak lengkap berbicara dengannya jika tidak berbicara mengenai peningkatan jualan produk kereta Perodua terutama menjelang Aidilfitri.
Suami kepada Junrayati Johari ini memberitahu, kebiasaan peningkatan melebihi 20 peratus.
“Tetapi, bukan sekadar Aidilfitri sahaja tetapi pada perayaan lain.
“Malah, kini terdapat kecenderungan pembeli membeli kenderaan jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) tidak mengira mereka yang telah berkeluarga atau bujang,” katanya.
Dia juga sempat berkongsi momen menarik semasa menyambut Aidilfitri terutama semasa masih kecil.
“Ibu sering memasak kuih tradisional seperti baulu, putu kacang serta tart nanas. Saya juga membantu tetapi sebaik giliran memasukkannya ke dalam balang ia akan terus dimakan.
“Sedap, panas-panas lagi. Mungkin ibu saya, Asmah Ibrahim menyedarinya tetapi kerana saya masih kecil dan tidak diwajibkan berpuasa perbuatan itu dibiarkan begitu sahaja,” jelas Aminar.
Malah, beliau beberapa kali terlepas menunaikan solat sunat Aidlfitri di masjid kerana rancak berbual-bual dengan jiran-jirannya.
“Sedar-sedar solat telah tamat jadi saya pun terus pulang bersama jemaah lain,” ujarnya ketawa.
Perantauan
Pada tahun lepas beliau berkesempatan menyambut Aidilfitri di Adeline, Australia kerana anak bongsunya melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di sebuah kolej di negara itu.
“Kerana beberapa tahun sebelum itu tidak berkesempatan beraya bersamanya, kami sekeluarga mengambil keputusan beraya di negara itu.
“Tetapi, suasana tidak banyak berbeza kerana ramai rakyat negara Malaysia menetap di negara itu termasuk pelajar, kakitangan kerajaan serta usahawan,” ujarnya.
Jelasnya, soal makanan tidak menjadi satu isu kerana makanan tradisional seperti ketupat, nasi himpit serta rendang menjadi juadah wajib.
“Cuma lemang sahaja tiada kerana kesukaran mencari buluh untuk dibuat lemang.
“Solat sunat Aidilfitri pula diadakan di padang taman permainan. Suasana cukup meriah kerana ribuan umat Islam dari pelbagai negara seperti Pakistan, Bangladesh dan Indonesia menunaikan solat.
“Ada juga yang bersolat di masjid-masjid tetapi bilangannya agak kecil,” katanya.

No comments:

Post a Comment