Wednesday, August 29, 2012

JANGAN TINDAKAN BERPILIH2...ATAU DILEPAS BEGITU SAJA...ALLAH SWT TAU YANG PENIPU

Rumah Imuda dipecah masuk, pencuri sempat ratah kuih raya


IMUDA menunjukkan jeriji besi yang diumpil oleh pencuri untuk memasuki rumahnya.


KUALA LUMPUR - Rumah pelawak dan pelukis terkenal, Imuda dipecah masuk oleh sekumpulan pencuri yang sempat menjamu selera sebelum lesap dengan barangan serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM7,000 di Taman Datuk Ahmad Razali di sini baru-baru ini.
Kejadian itu hanya disedari oleh Imuda atau nama sebenarnya, Abdul Rahim Muda, 52, pukul 3 petang kelmarin selepas beliau bersama tiga ahli keluarganya pulang daripada bercuti raya di Pulau Pinang sejak 10 hari lalu.
Apa yang mengejutkan Imuda, kumpulan pencuri itu sempat membancuh beberapa gelas air sirap serta menjamah kuih raya yang diletakkan di dapur sebelum mereka menghilangkan diri.
Katanya, sebelum lari, mereka telah menggeledah rumah teres dua tingkat yang dihuni oleh keluarga Imuda sejak setahun lalu.
"Seluruh rumah termasuk kelima-lima bilik berselerak. Saya percaya kejadian ini dilakukan oleh tiga hingga empat orang.
"Setelah memeriksa persekitaran rumah, saya yakin penyamun berkenaan masuk ke dalam rumah setelah mengumpil jeriji besi di ruang tamu rumah dengan pemutar skru," katanya yang mula dikenali menerusi sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada tahun 1980-an.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya dengan melaporkan kehilangan komputer bimbit, empat utas jam tangan, tiga buah telefon bimbit serta wang tunai RM300.

Umpama berniaga di pekan koboi


seorang peniaga menghulurkan barangan yang dibeli pelanggan dari celah jeriji kedainya di Taman City, Segambut semalam.


KUALA LUMPUR – Kira-kira 40 peniaga di Kawasan Perindustrian Taman City, Segambut di sini terpaksa menjalankan perniagaan menerusi celah-celah jeriji kedai demi keselamatan nyawa mereka.
Mereka yang merupakan peniaga alat ganti kenderaan di Jalan Selingsing di sini terpaksa berbuat demikian berikutan peningkatan kes jenayah samun bersenjata di kawasan itu sejak dua bulan lalu yang adakalanya sampai empat kes dalam sehari.
Tinjauan Kosmo! mendapati setiap peniaga berada dalam keadaan berwaspada dan akan melihat ke luar pintu kaca dan jeriji premis perniagaan setiap kali mereka ternampak kelibat orang yang lalu di hadapan kedai mereka.
Seorang pemilik kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 40, berkata, dia kini terpaksa menjalankan perniagaan dengan mengunci pintu jeriji kerana masih trauma dengan kejadian disamun pada 26 Jun lalu.
“Kedai saya diserang tiga lelaki yang bersenjatakan parang kira-kira pukul 5.30 petang dua bulan lalu ketika saya hendak menutup kedai.
“Mereka langsung tidak takut walaupun kegiatan jenayah itu dilakukan pada siang hari malah mereka menyamun tiga buah lagi kedai lain selepas berjaya melarikan RM6,000 dari kedai saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Jelasnya, keadaan jenayah di kawasan itu sangat teruk berbanding dua tahun lalu.
“Jika sebelum ini hanya jenayah ragut dilaporkan berlaku namun kini penjenayah berani menyamun premis perniagaan,” ujarnya.
Menurutnya, bukan sahaja golongan peniaga, malah pekerja di kawasan tersebut turut disamun dan diragut ketika mereka pergi dan pulang daripada bekerja.
“Perniagaan saya terjejas teruk apabila saya nekad berniaga dengan keadaan pintu kedai berkunci bagi mengelakkan disamun buat kali kedua.
“Jumlah pelanggan pula semakin kurang kerana siapa yang mahu membeli barang dari kedai yang berkunci kerana mereka perlu memilih dan melihat barangan yang diperlukan,” ujarnya.
Beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang yang terletak kira-kira 4.1 kilometer dari taman itu pada hari kejadian.
Seorang lagi peniaga alat ganti jentera berat, Ng Chee Heng, 40, berkata, dia terpaksa berniaga dengan mengunci pintu kaca kedainya demi keselamatan.

Dua wanita dibunuh lelaki mabuk

DI kawasan rumah inilah tempat berlakunya kejadian seorang lelaki yang mabuk bertindak
menikam Bibia dan Jalijah hingga mati di Kolombong, Kota Kinabalu kelmarin.


KOTA KINABALU – Bahana meneguk arak, seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila membunuh dua wanita yang merupakan jiran bilik sewanya hanya kerana berang selepas ditegur meminum minuman keras tersebut dalam kejadian di Kampung Cenderakasih, Kolombong dekat sini kelmarin.
Pembunuhan pukul 7 petang itu mengakibatkan Bibia Daud, 40, dan Jalijah Jalin, 30, mati di tempat kejadian selepas masing-masing ditikam di leher dan perut oleh suspek berusia lingkungan 30-an tersebut. Kedua-dua mangsa merupakan warga Filipina.
Kejadian berlaku apabila suspek yang sedang mabuk naik berang selepas ditegur berulang kali mengenai kegiatannya itu oleh Bibia dan suaminya yang dikenali sebagai Elon, 52.
Tanpa disangka, suspek kemudian mengambil sebilah pisau lalu terus menikam leher suri rumah tersebut sebelum Elon mengejar suspek hingga berlaku pergelutan di dalam kawasan kejadian.
Bertambah malang apabila Jalijah yang baru pulang dari tempat kerja di sebuah pasar raya dirodok di perut oleh suspek ketika dia ingin memasuki rumah tersebut. Jalijah baru menyewa di situ sejak dua bulan lalu.
Difahamkan, kesemua yang terlibat tinggal di satu deretan rumah diperbuat daripada papan mempunyai 20 buah bilik dan dihuni lebih 60 penyewa.
Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun (gambar kecil) berkata, Elon yang semakin geram dengan tindakan suspek kemudian terus mengejar lelaki itu sejauh kira-kira 100 meter sambil membawa sebatang besi.
“Ekoran pergaduhan itu, kedua-duanya parah selepas mengalami pendarahan teruk. Mereka kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth.

Lima didakwa culik ahli perniagaan


LIMA tertuduh (dari kiri sehingga tertuduh berbaju batik hitam) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Melaka semalam atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan.


MELAKA – Lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan pada 22 Ogos lalu.
Tertuduh terdiri daripada Mi Chew Kek, 40, Lim Lian Huat, 41, Chow Diong Ching, 51, Chong Noon Chee, 38, dan Teo Boon Han, 35.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd. Rahman.
Kelima-lima tertuduh didakwa bersama-sama beberapa orang lagi rakan sejenayah yang masih bebas menculik, Tan Lung Lai, 36, bagi memaksa lelaki berkenaan menyerahkan wang tebusan RM8 juta.
Perbuatan itu dilakukan di tempat letak bas dan kenderaan awam berhampiran medan selera Perkampungan Portugis di sini pada pukul 9.10 malam, 22 Ogos lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan juga denda.
Pegawai Pendakwa yang mengendalikan kes berkenaan, Inspektor Muhather Mohd. Kudus memohon agar kesemua tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang.
Bagaimanapun, peguam bela, Rosal Azimin Ahmad yang mewakili kelima-lima tertuduh memohon agar mereka dikenakan jaminan rendah atas alasan mereka merupakan peniaga kecil-kecilan.
Setelah mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, Syajaratudur membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 11 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula.

Mati tertimbus dalam liang lahad


Beberapa penduduk melihat kubur yang meragut nyawa Zailan (gambar kecil) di Kampung Penak, Mentakab semalam.


TEMERLOH - Seorang penggali kubur menemui ajalnya selepas tertimbus selama kira-kira lima minit di dalam liang lahad yang digalinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penak dekat Mentakab di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 10.15 pagi, Zailan Hamid, 40, sedang menggali tiang lahad untuk mengebumikan seorang penduduk kampung, Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua kira-kira empat jam sebelum itu.
Rakan sekampung mangsa, Nizri Bakar, 57, berkata, sebelum kejadian, Zailan yang sudah 10 tahun berpengalaman menggali kubur bersama seorang lagi rakannya yang dikenali sebagai Nasir Musa, 44, berada di dalam kubur tersebut bagi menyudahkan liang lahad yang akan menempatkan jenazah Minah.
"Dalam keadaan berdiri, Zailan dan Nasir melakukan kerja-kerja terakhir membaiki liang lahad namun tanpa diketahui puncanya kubur tersebut tiba-tiba tertimbus dengan tanah yang berada di tebing kubur hingga menutupi badan Zailan," kata pemuda itu.
Bagaimanapun, Nasir bernasib baik kerana runtuhan tanah tersebut tidak menimpa badannya.
Nizri memberitahu, Zailan terkambus sedalam kira-kira setengah meter dan semasa itu hanya kaki kanan mangsa yang terjulur keluar dari timbunan tanah.
"Melihat kejadian tersebut, saya menjerit meminta tolong kawan-kawan yang sedang berehat di kawasan kubur," kata Nizri.
Tambah Nizri, mereka kemudian beramai-ramai menggali kubur itu semula menggunakan tangan tanpa cangkul kerana takut akan mencederakan kepala dan badan mangsa yang tertimbus.

Pemilik pistol, dadah diberkas


MOHD. ADNAN (kiri) menunjukkan pistol yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Pemburuan polis ke atas seorang lelaki yang disyaki pemilik sepucuk pistol dan pelbagai jenis dadah yang ditinggalkan di dalam sebuah kereta pada 18 Ogos lalu berakhir apabila suspek ditahan di Seksyen 9 di sini kelmarin.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, suspek merupakan suami kepada pemilik kereta terbabit yang ditemui terbabas berhampiran Stadium Malawati di Seksyen 13 pada pukul 2.45 pagi.
Difahamkan, isteri suspek bagaimanapun tidak terlibat.
"Kejadian berlaku apabila kereta dipandu suspek ditahan polis peronda di Jalan Subang di sini selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan selain dipandu secara berbahaya.
"Sebaik ditahan, anggota polis meminta kad pengenalan daripada suspek lelaki yang memandu bersendirian itu, namun dia cuba berlengah serta cuba mengeluarkan satu objek dari beg sandangnya tetapi dihalang anggota polis terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambahnya, suspek kemudian memecut tetapi beg sandangnya berjaya dirampas oleh polis. Pemeriksaan di dalam beg itu menemui sepucuk pistol semi automatik dengan tujuh butir peluru 9 milimeter.
Menurut Mohd. Adnan, sejam selepas itu, polis menerima maklumat kereta yang dipandu suspek terbabas di sebatang jalan di Seksyen 13 namun suspek telah melarikan diri.
"Pemeriksaan di dalam kereta itu menemui 107 gram pelbagai jenis dadah," katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Waspada penipu menyamar wartawan


MICHAEL (duduk di kiri) dan Man Fai (duduk di tengah) pada sidang akhbar bersama beberapa pengusaha restoran yang ditipu dua lelaki menyamar sebagai petugas media di Wisma MCA di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menasihati pemilik restoran di ibu negara supaya berhati-hati jika didatangi oleh mana-mana individu yang mengaku sebagai wartawan dan jurugambar media cetak.
Ketuanya, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya mendapat laporan terdapat dua lelaki yang giat menipu pengusaha restoran di sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini dengan menyamar sebagai petugas media.
“Lelaki dikenali sebagai Jonathan dan Edmund ini memaklumkan pengusaha restoran bahawa premis mereka dipilih sebagai restoran terbaik di Malaysia oleh syarikat penerbitan.
“Mangsa diyakinkan bakal menerima Anugerah Restoran Terbaik Malaysia tetapi perlu bayar wang sehingga beribu ringgit kononnya untuk tujuan pengiklanan,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Michael berkata, Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA menerima sebanyak 10 aduan kes seperti itu membabitkan kerugian lebih RM30,000 sejak beberapa bulan lalu.

Warga emas minum racun


ORANG ramai membantu mengangkat seorang warga emas yang tidak sedarkan diri selepas meminum cecair dipercayai racun serangga di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Gara-gara kecewa permintaannya untuk berkahwin lain ditolak isteri, seorang warga emas kini kritikal selepas bertindak meminum cecair dipercayai racun serangga di dalam bilik rumahnya di Paya Terubong, Air Itam di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, lelaki berusia 68 tahun kemudian rebah dan tidak sedarkan diri.
Difahamkan, ketika kejadian terdapat beberapa ahli keluarga lain berada di rumahnya dan mereka yang terkejut menghubungi ambulans lalu mengejarkan mangsa ke Hospital Pulau Pinang (HPP).
Seorang jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati warga emas terbabit bertindak sedemikian disebabkan kecewa dengan keputusan isterinya yang enggan membenarkan dia berkahwin sekali lagi baru-baru ini.
Menurutnya, ekoran masalah tersebut dia bertindak mahu membunuh diri dengan meminum cecair dipercayai racun perosak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan kejadian tersebut dengan memaklumkan lelaki tersebut kini dilaporkan kritikal selepas dikejarkan di HPP.

Beri projek jika lapor kes rasuah


IDRIS (tengah) menyaksikan majlis penyerahan Ikrar Integriti Korporat daripada Kamarul kepada Abu Kassim di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) masih membuka tawaran untuk memberi ganjaran berbentuk projek pembinaan kepada kontraktor yang berjaya membuktikan penglibatan kakitangannya dalam kes rasuah.
Pengerusi SPNB, Datuk Ir. Idris Haron berkata, tawaran pemberian ganjaran itu sudah diumumkan pada tahun 2010 lagi tetapi sehingga kini masih belum ada kakitangan syarikat itu dibuktikan bersalah.
Bagaimanapun, beliau mengaku menerima aduan daripada beberapa kontraktor namun mereka gagal memberi maklumat terperinci untuk menyabitkan kesalahan kakitangan SPNB.
“Sejak pengumuman berhubung perkara tersebut dibuat pada tahun 2010, ia disifatkan berjaya kerana tiada sebarang kes rasuah meyabitkan kakitangan SPNB direkodkan berlaku.
“Kontraktor dibenarkan membuat aduan terus kepada lembaga pengarah SPNB dengan menyatakan secara tepat nilai suapan, tarikh, dan lokasi kejadian tersebut berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat SPNB bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Pengarah Urusan SPNB, Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh di sini semalam.
Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sutan.

Tentera Bashar bedil timur Damsyik

REUTERS
SEORANG anggota pemberontak mengibarkan bendera Islam semasa
pertempuran dengan tentera Syria di pinggir bandar Damsyik kelmarin.


DAMSYIK - Tentera Syria membedil timur bandar raya ini semalam selepas sebuah pertubuhan hak asasi manusia menyatakan seramai 60 orang terbunuh di wilayah Damsyik pada hari sebelumnya.Pertubuhan berkenaan, Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia memberitahu, angka kematian itu menyusul selepas 190 orang iaitu 116 penduduk awam, 40 pemberontak dan 34 askar terbunuh di seluruh negara tersebut.
Pertubuhan pemerhati yang berpangkalan di Britain itu turut melaporkan beberapa daerah di timur bandar raya ini termasuk Zamalka, Qaboon, Jubar dan Ein Tarma dibedil bertubi-tubi oleh tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Serangan tersebut dilakukan bagi menghapuskan pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Kelmarin pemberontak FSA mendakwa mereka menembak jatuh sebuah helikopter tentera semasa pertempuran sengit berlaku di Qaboon dan Jubar serta beberapa bandar lain di pinggir ibu kota Syria, dekat sini.
Tentera Bashar kemudian melakukan serangan balas di timur bandar raya ini dan beberapa kubu kuat pemberontak di kawasan sekitarnya.
Beberapa helikopter tentera Syria turut menjatuhkan beribu-ribu risalah di sini dan kawasan sekitarnya semalam untuk mengugut anggota-anggota (FSA) supaya menyerah diri atau berdepan dengan kematian.
Tindakan tersebut adalah sebahagian strategi tentera Bashar untuk menawan kawasan-kawasan di pinggir bandar raya ini yang jatuh ke tangan pemberontak.
Risalah itu juga merupakan perang saraf terhadap pemberontak. Namun beberapa penganalisis sangsi tindakan itu akan membuahkan hasil.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kumpulan hak asasi manusia menyatakan, lebih 20,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan rakyat menentang Bashar bermula pada Mac 2011.
Penentangan itu berlaku ekoran rakyat negara itu mahukan perubahan dalam sistem pemerintahan negara termasuk kebebasan demokrasi.
Sementara itu, agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) semalam menyatakan, bilangan pelarian Syria yang tiba di utara Jordan meningkat dua kali ganda sejak seminggu lalu.
Menurut UNHCR, seramai 10,200 pelarian Syria tiba ke kem Za'atri di Jordan sepanjang tempoh tersebut.
"Kami percaya ini merupakan permulaan kebanjiran pelarian Syria secara besar-besaran di Jordan," kata ketua jurucakap UNHCR, Melissa Fleming pada satu sidang media di Geneva.
Menurutnya, setakat ini terdapat hampir 70,000 pelarian Syria yang didaftarkan di Jordan dengan ribuan lagi tidak mendaftarkan diri untuk mendapatkan bantuan UNHCR. - Agensi

Wanita punca 17 orang dipenggal


AP
BEBERAPA anggota kumpulan Taliban menaiki sebuah trak pikap semasa meronda kubu kuat mereka di Shawal, dalam wilayah Waziristan Selatan di Pakistan pada 5 Ogos lalu.


KABUL - Seorang jurucakap di Afghanistan menyatakan, 17 orang termasuk yang ditemui mati dengan kepala mereka dipenggal kelmarin merupakan mangsa yang terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.
Beberapa pegawai tempatan sebelum ini mendakwa, kumpulan Taliban menyerang satu parti di kawasan yang dikuasai mereka di selatan Afghanistan dan memenggal kepala 17 orang termasuk dua wanita, malam Ahad lalu.
Seorang pegawai tersebut, Neyamatullah Khan berkata, mereka dibunuh kerana mengadakan parti yang melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita berserta iringan muzik serta acara tarian yang melanggar ajaran Islam.
Serangan kejam itu berlaku di sebuah rumah dekat daerah Musa Qala, sekitar 75 kilometer ke utara ibu negeri wilayah Helmand, Lashkar Gah.
Namun, jurucakap gabenor wilayah Helmand memberitahu, semua mangsa maut akibat terperangkap dalam pergaduhan melibatkan dua komander kumpulan Taliban.
Jurucakap berkenaan, Daoud Ahmadi berkata, mereka bergaduh dipercayai kerana berebutkan dua wanita itu.
Menurutnya, satu kejadian tembak-menembak berlaku semasa pergaduhan tersebut.
Namun, jelasnya, beliau tidak pasti pergaduhan itu mempunyai kaitan dengan muzik dan acara tarian yang diadakan atau sama ada beberapa anggota Taliban adalah antara mereka yang maut dalam insiden tersebut.
"Semua mangsa dipenggal kepala mereka tetapi tidak jelas sama ada mereka ditembak terlebih dahulu," ujarnya.
Dalam pada itu, jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi menafikan dakwaan pihaknya terbabit dalam pembunuhan tersebut.
"Anggota Taliban tidak akan membunuh orang awam. Komander Taliban juga tidak bergaduh sesama mereka," kata Qari.
"Kami tidak tahu tentang kejadian ini. Sama ada ia berlaku atau sebaliknya, kami tidak terbabit," tegasnya.
Kumpulan Taliban menguasai sebahagian besar daerah Musa Qala yang mengandungi lebih 100 buah kampung sejak 2001. - AP

No comments:

Post a Comment