Sunday, August 26, 2012

SEGALA KEKEJAMAN AKHIRNYA ALLAH AKAN HUKUM JUA...NAK LARI MANA

JHEAT: Tiada kopitiam di Terengganu miliki sijil halal

Posted on the August 26th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share
KUALA TERENGGANU – Tiada kopitiam di negeri ini yang memiliki sijil halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat ini, kata Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh.
Beliau bagaimanapun menjelaskan sijil halal tidak diwajibkan ke atas pengusaha kopitiam di negeri ini dan ia hanya sebagai satu aspek penambahbaikan terhadap operasi mereka.
“Kesedaran di kalangan pengusaha kopitiam masih rendah dan majoritinya memandang remeh mengenai kepentingan sijil halal. Kita tidak boleh memaksa pengusaha kopitiam untuk memohon sijil halal JHEAT kerana ia bukan wajib, cuma berharap mereka akan berusaha mendapatkannya sebagai satu aspek penambahbaikan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.


Katanya JHEAT berharap agar orang ramai berhati-hati ketika memilih tempat untuk menjamu selera kerana hanya premis makanan yang menerima sijil halal JHEAT sahaja benar-benar mematuhi kriteria halal jabatan itu.
“Jika orang ramai menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna dengan ‘menggesa’ pengusaha kopitiam mendapatkan sijil halal JHEAT, pasti ia akan memberi kesan terhadap operasi perniagaan mereka,” katanya.
Sehingga kini, katanya hanya satu kopitiam di Kemaman sahaja telah memohon kepada JHEAT untuk sijil halal dan ia masih dalam proses penelitian.- Bernama

Awas selesema seminggu

Posted on the August 26th, 2012 under Kesihatan by admin

  • Share

BATUK dan selesema adalah penyakit lumrah di kalangan kanak-kanak. Setiap kanak-kanak pasti mengalami batuk dan selesema.
Malah, ibu bapa sering menerima komen seperti “biasalah budak-budak” apabila mengeluh mengenai anak mereka yang mengalami gejala ini. Bilakah batuk selesema dianggap biasa dan bilakah perlu dirisaukan?
Batuk dan selesema sering disebabkan jangkitan virus. Ini mudah berlaku kerana daya ketahanan kanak-kanak tidak sekuat orang dewasa, terutama bayi.
Insiden batuk dan selesema juga lebih kerap berlaku jika anak dihantar ke tadika atau rumah pengasuh, di mana anak terdedah kepada ramai kanak-kanak lain.


Begitu juga anak yang mempunyai abang atau kakak yang bersekolah, di mana si kecil akan kerap dijangkiti kuman yang dibawa pulang oleh abang atau kakak daripada sekolah.
Bagaimanapun, berlaku juga kes batuk dan selesema berlarutan hingga berminggu-minggu atau menjadi lebih teruk. Dalam kes sebegini, rawatan perlu ditingkatkan dan punca batuk dan selesema perlu dikenal pasti.
Batuk dan selesema yang sering dijangkiti kanak-kanak biasanya tidak melarat hingga lebih seminggu. Pada peringkat awal, kanak-kanak mungkin demam sedikit tapi ia akan berkurangan dan batuk juga akan reda. Nafas biasanya tidak kencang dan kanak-kanak biasanya aktif seperti biasa.
Punca lain termasuk jangkitan paru-paru (pneumonia), alahan seperti allergic rhinitis (resdung) dan asma.
Tanda yang anak mungkin mengalami jangkitan paru-paru ialah:
  • demam (suhu tinggi)
  • nafas laju
  • dada berombak
  • apabila anak bernafas, ada lekuk di antara tulang rusuk
  • hidung mungkin kembang kuncup
Pneumonia dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan doktor dan juga menerusi sinaran-X. Jika doktor mengesyaki anak menghidap pneumonia, antibiotik akan diberi bersama ubat demam. Jika ada bunyi berdehit, rawatan spesifik akan diberi.
Kebanyakan kes pneumonia sembuh tanpa komplikasi. Bagaimanapun, ada beberapa kes dengan komplikasi seperti cecair atau nanah di dalam paru-paru berlaku.
Dalam kes sebegini, pembedahan mungkin diperlukan untuk memasukkan tiub bagi mengeluarkan cecair atau nanah. Komplikasi sebegini lebih kerap berlaku dengan jangkitan kuman seperti pneumokokkus dan staphylokokkus.
Alahan dan asma
Batuk dan selesema mungkin disebabkan alahan yang juga boleh menyebabkan asma. Biasanya punca gejala dalam kes sebegini ialah habuk, asap terutama asap rokok, debunga dan bulu haiwan seperti kucing, arnab dan anjing.
Julat gejala apabila terdedah kepada alergen (bahan yang menyebabkan alahan) agak luas, daripada bersin setiap pagi (sering dikenali sebagai resdung) kepada berdehit. Di samping itu, mungkin juga ada tanda lain seperti ekzema pada kulit.
Allergic rhinitis
Kanak-kanak yang mengalami masalah ini sering selesema pada waktu pagi dan ‘sembuh’ apabila tengah hari. Mereka menjadi sihat dan aktif seperti biasa. Kadangkala hidung berasa tersumbat dan apabila diperiksa, didapati sama ada banyak hingus di dalam rongga hidung atau tisu dikenali sebagai ‘inferior turbinate’ bengkak.
Rawatan untuk allergic rhinitis ialah menggunakan semburan hidung untuk membersihkan rongga hidung serta semburan mengandungi ubat untuk mengurangkan bengkak pada ‘inferior turbinate’. Di samping itu, ubat ‘antihistamine’ juga mungkin diberikan. Adalah penting untuk mengenal pasti dan mengelak punca alahan.
Secara amnya, punca alahan membabitkan:
  • asap, terutama asap rokok
  • habuk, termasuk yang terperangkap pada mainan berbulu dan permaidani
  • bulu haiwan peliharaan
  • debunga
  • wangian
Asma
Asma ialah tindak balas paru-paru terhadap alahan iaitu saluran pernafasan (bronkus) menjadi sempit akibat pendedahan kepada alahan.
Ini menyebabkan pesakit mengalami batuk serta kesukaran bernafas. Tidak semua kanak-kanak yang mempunyai asma mengalami berdehit.
Tanda asma termasuk:
  • batuk pada waktu malam dan awal pagi
  • batuk atau berdehit selepas bermain
  • nafas laju dan dada berombak
  • lekuk di antara tulang rusuk dan di leher ketika bernafas
  • kedengaran bunyi nada tinggi ketika bernafas. Ini dikenali sebagai berdehit
Jika anak mengalami serangan asma, doktor akan memberi ubat dalam bentuk nebuliser di klinik. Ini akan disusuli dengan ubat sama dalam bentuk ‘inhaler’ atau ubat air.
Rawatan pencegah dalam bentuk inhaler diberi kepada kanak-kanak yang mengalami batuk malam lebih tiga malam seminggu, yang mengalami serangan asma kerap atau serius.
Ubat ini perlu digunakan setiap hari walaupun anak sihat untuk mengelak terkena serangan. Di samping menggunakan ubat, doktor akan menasihati supaya menghindari punca alahan.
Alahan dan asma ialah masalah keturunan. Oleh itu, jika ibu bapa mengalami masalah ini, kemungkinan besar anak juga mengalami masalah sama. Ia tidak boleh disembuhkan.
Tujuan rawatan ialah menghindari serangan supaya anak aktif seperti biasa dan dapat mengambil bahagian dalam aktiviti di sekolah.
Biasanya kekerapan serangan berkurangan apabila kanak-kanak membesar. Bagaimanapun, perlu diingatkan, serangan asma boleh menjadi serius dan dalam kes tertentu, boleh membawa maut. Oleh itu, pemantauan rapi dan penggunaan ubat dengan betul adalah penting.
Harian Metro

Penyakit misteri alat sulit menggeleber

Posted on the February 3rd, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

PONTIAN – “Saya akan makan Panadol dan ubat batuk sekiranya sakit,” demikian luah lelaki di sini, yang menghidap penyakit misteri di bahagian alat sulitnya.
Lelaki berkenaan, Ali (bukan nama sebenar) berkata, penyakit misteri itu bermula ketika usianya 10 tahun dan sejak itu, bahagian itu semakin membesar dan menggeleber hingga hampir ke paras lutut.
Lebih malang lagi, dia yang dijaga abangnya tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan perubatan moden mahupun tradisional bagi mengubati penyakitnya itu.


Ali berkata, kemiskinan menjadi penghalangnya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital, selain tidak mahu menyusahkan abang dan kakak iparnya memandangkan mereka juga mempunyai tanggungjawab untuk membesarkan tiga anak.
Jelasnya, pendapatan yang diperoleh hasil bertukang dikongsi bersama keluarga abangnya yang juga kurang berkemampuan dan mempunyai seorang anak kategori orang kurang upaya (OKU).
Selain itu, perasaan malu untuk memberitahu keadaan penyakitnya itu kepada orang luar, turut menyebabkan dia tidak mahu mendapatkan rawatan.
Ali yang ditemui di rumah abangnya berkata, kesakitan yang dialami ketika penyakit misteri berkenaan menyerangnya semakin teruk sehingga menyebabkan seluruh badannya berpeluh.
“Jika sebelum ini sakitnya cuma bisa sahaja tetapi sejak sebulan yang lalu ia semakin teruk sehingga seluruh badan berpeluh–peluh.
“Selain itu, saya juga sudah semakin sukar bergerak dan mengalami masalah untuk duduk serta bangun,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu kakak iparnya berkata, Ali akan cuba sedaya upaya merahsiakan sakit yang dialami daripada mereka sekeluarga.
Namun, kakak iparnya tidak pernah berputus asa memujuk adik iparnya itu untuk mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakitnya.
“Keadaan penyakitnya semakin teruk sejak kebelakangan ini di mana jika sebelum ini sakit yang dialami hanya sekali sekala, namun kini hampir tiap malam dia akan mengadu sakit,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Ali menyatakan kesediaannya untuk menerima sebarang rawatan yang dapat membantu menyelesaikan masalahnya itu.
Dia turut merayu pihak yang sudi tampil membantu meringankan bebannya itu termasuklah perubatan secara tradisional dengan menghubungi 013-7815523.
Sinar

Hidup merana angkara judi roulette

Posted on the August 26th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

KUALA LUMPUR: “Saya pernah terfikir untuk membunuh diri kerana tidak sanggup berdepan hakikat kehilangan segala-galanya dalam hidup,” kata Helmi (bukan nama sebenar).
Gara-gara kemaruk judi roulette, Helmi, 30-an, bukan saja diisytiharkan muflis dan kehilangan segala harta bendanya, malah ketagihannya terhadap permainan judi Internet itu turut menghancurkan rumah tangganya.
Daripada kehidupan mewah sebagai ‘tauke’ restoran diusahakannya, hidup Helmi kini ibarat ‘langit dan bumi’ berbanding tiga tahun lalu.


“Semua kawan terkejut melihat kehidupan saya sekarang. Mereka tidak percaya apabila tengok saya hidup bergelandangan dan pernah tidur di bawah jambatan.
“Jika tidak kerana mengenangkan anak, mungkin saya tiada lagi di dunia ini. Saya bersyukur kerana iman masih kuat untuk menempuhi dugaan ini,” katanya sebak.
Harian Metro

Si Kaya Hidup Merempat

Posted on the August 26th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share

KUALA LUMPUR: Dulu dua beradik ini hidup senang kerana ibu bapa mereka ahli perniagaan berjaya di Johor Bahru, malah si abang pernah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar raya itu.
Bagaimanapun, akibat perangkap dadah, mereka kini hidup merempat di ibu kota hingga ada kala sisa makanan dalam tong sampah menjadi santapan pengalas perut.
Itulah harga yang perlu dibayar Mat, 28, dan Azri, 25, selepas dihalau dan dipulau keluarga, lima tahun lalu. Lebih memburukkan keadaan, kedua-duanya kemudian disahkan menghidap Aids.


Sebelum dibuang keluarga yang kini tidak mengaku mempunyai pertalian darah, dua beradik itu mendakwa pernah dipukul, dikurung serta dibelasah ahli keluarga kerana dianggap memalukan mereka.
Mendakwa insaf dan tidak lagi mengambil bahan terlarang itu, kedua-duanya mengakui detik hitam mereka berpunca daripada kesilapan sendiri akibat terlalu hanyut dalam nikmat dunia.
Harian Metro

Apek terlibat kemalangan di Bachok

Posted on the August 26th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share
KERETA Audi yang dipandu Apek rosak akibat kemalangan di Kampung Badak, Bachok malam kelmarin.
KOTA BHARU – Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan ketika keluar dari simpang di Kampung Badak, Bachok dekat sini malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Khairul Fahmi yang memandu kereta jenis Audi milik bapanya, Che Mat Hussain hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan.


Khairul Fahmi ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam memberitahu, kemalangan tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang beraya di rumah saudaranya di Bachok.
“Kemalangan tersebut berlaku ketika saya hendak keluar dari simpang dan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua MyVi.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dan ia tidak melibatkan kecederaan serius kepada diri saya,” ujarnya.
Kosmo

Apple menang kes saman paten

Posted on the August 26th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share
SEORANG pengurus Korea Selatan menunjukkan telefon pintar Galaxy S (kanan) dan iPhone (kiri) di sebuah kedai di Seoul pada 27 Julai lalu.
SAN JOSE, California – Selepas setahun pertikaian di mahkamah membabitkan Samsung dan Apple, seorang juri di Amerika Syarikat (AS) kelmarin memutuskan pengeluar telefon pintar dari Korea Selatan itu didapati menciplak teknologi yang digunakan untuk menghasilkan iPhone dan iPad.
Susulan keputusan tersebut, panel juri sebuah mahkamah di sini memerintahkan syarikat Samsung untuk membayar ganti rugi berjumlah AS$1.05 bilion (RM3.25 bilion) kepada Apple.


Bagaimanapun, Samsung yang popular dengan telefon pintar Galaxy S dan komputer tablet Galaxy Tab akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan tersebut.
Perkembangan itu berlaku selepas sebuah mahkamah Korea Selatan kelmarin mendapati Samsung tidak meniru telefon bimbit keluaran Apple.
Pertikaian kedua-dua gergasi elektronik tersebut bermula apabila firma Apple Inc. memfailkan saman melibatkan pelanggaran paten oleh Samsung pada April 2011.
Apple telah melantik pasukan peguam terhandal di AS bagi menuntut gantirugi AS$2.5 bilion (RM7.75 bilion) daripada pesaing terhebatnya, Samsung.
Dalam saman tersebut, firma yang diasaskan bersama oleh mendiang Steve Jobs itu mendakwa Samsung Electronics Co. meniru teknologi dan inovasinya.
Namun, Samsung melakukan saman balas dengan menuntut gantirugi AS$399 juta (RM1.24 bilion) daripada Apple Inc.
Dalam hujah penggulungannya, peguam Apple, Harold McElhinny mendakwa Samsung mengalami ‘kebuntuan reka bentuk’ selepas pelancaran iPhone pada tahun 2007.
Samsung, katanya, mengambil kesempatan di atas kejayaan gajet berkenaan apabila memperkenalkan jenama telefon pintar Galaxy S dengan ciri-ciri serupa.
Terdahulu, pasukan peguam Apple menyatakan, hampir tiada perbezaan pada telefon pintar iPhone dan Galaxy.
Peguam-peguam Samsung bagaimanapun berkata, beberapa inovasi seperti skrin besar pada siri telefon Galaxy yang sebelum ini terdapat pada iPhone, diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pengguna telefon pintar.
Panel juri berkenaan yang dianggotai oleh tujuh lelaki dan dua wanita mula bersidang Rabu lepas.
Samsung setakat ini telah menjual 22.7 juta buah telefon pintar dan tablet yang didakwa Apple meniru teknologinya.
McElhinny seterusnya berkata, jualan gajet-gajet berkenaan mencecah AS$8.16 bilion (RM25.55 bilion) sejak Jun 2010.
Sehingga kini, Apple dan Samsung menguasai lebih separuh jualan telefon pintar di dunia.
Namun, Samsung muncul sebagai pesaing terbesar Apple dan mengatasi firma AS berkenaan sebagai pengeluar terbesar telefon pintar di peringkat global.
Model telefon pintar Galaxy dijana perisian Android yang diberikan percuma oleh Google Inc. kepada Samsung dan beberapa pengeluar telefon pintar lain.
Dalam samannya, Apple turut menuntut Samsung menarik kedua-dua jenama telefon dan komputer tabletnya daripada pasaran AS.
Saman serupa telah dikemukakan di beberapa negara lain termasuk Australia, Britain dan Jerman.
Pasaran telefon pintar dan komputer tablet global masa kini dianggarkan bernilai AS$219 bilion (RM685.79 bilion). – Agensi

19 maut loji penapis minyak meletup di Venezuela

Posted on the August 26th, 2012 under Tempatan by admin

  • Share
KEADAAN loji penapis minyak di bandar Amuay yang terbakar semalam.
CARACAS – Sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala lebih 50 lagi cedera apabila loji penapis minyak terbesar di Venezuela meletup awal semalam.
Negara berkenaan merupakan pengeluar minyak terbesar di Amerika Selatan.
Letupan berlaku di fasiliti penapis minyak di bandar Amuay dalam negeri Falcon di barat daya Venezuela.


“Antara mangsa yang maut termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun,” kata Gabenor Falcon, Stella Lugo.
Menurutnya, sebanyak 53 yang lain cedera dalam kejadian tersebut dengan angka korban dan kecederaan dijangka terus meningkat.
Menteri Tenaga Rafael Ramirez berkata, letupan dipercayai akibat kebocoran gas dengan punca sebenar kejadian masih disiasat.
Jelas Ramirez, letupan itu amat kuat menyebabkan kerosakan besar bukan hanya ke atas loji berkenaan tetapi beberapa kedai dan kediaman di sekitar lokasi kejadian.
Kebakaran berjaya dikawal pada pagi semalam. – AFP

Kekejaman Bashar berterusan

Posted on the August 27th, 2012 under Luar Negara by admin

  • Share
GAMBAR yang diedarkan Jawatankuasa Koordinasi Syria semalam menunjukkan mayat beberapa kanak-kanak yang dibunuh rejim Presiden Bashar Al-Assad di Daraya, dekat Damsyik.
DAMSYIK – Beberapa ratus mayat ditemui di bandar Daraya dekat sini selepas serangan besar-besaran tentera Syria, kata sebuah kumpulan pemerhati semalam.
Satu klip video menunjukkan sejumlah mayat diletakkan dalam beberapa barisan di sebuah masjid di Daraya selepas askar-askar rejim Presiden Bashar Al-Assad (gambar kecil) menggempur pemberontak di pinggir bandar raya ini.


Semua yang terbunuh, kata kumpulan tersebut, merupakan mangsa serangan tentera Syria selama lima hari ke atas Daraya bagi menghapuskan Tentera Pembebasan Syria (FSA).
Beberapa pejuang FSA memuat naik klip video tersebut yang bertajuk ‘Pembunuhan beramai-ramai di Masjid Abu Sleiman Addarani di Daraya’.
Rakaman itu menunjukkan berpuluh-puluh mayat disusun di dalam beberapa buah bilik di kompleks masjid berkenaan.
“Pembunuhan beramai-ramai yang amat kejam ini dilakukan oleh konco-konco rejim Bashar di dalam Masjid Abu Sleiman Addarani,” kata ulasan yang mengiringi klip video berkenaan.
“Lebih 150 nyawa melayang dalam kempen keganasan oleh kumpulan-kumpulan militia Bashar di bandar ini (Daraya),” tambah komentar tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, sekurang-kurangnya 320 mayat ditemui kelmarin dan semalam termasuk mangsa pembunuhan beramai-ramai di Daraya.
Beberapa kumpulan aktivis di negara berkenaan menyifatkan klip video tersebut sebagai bukti kekejaman yang dilakukan oleh rejim Bashar.
Menurut mereka, Bashar bertindak kejam kerana membenarkan rejimnya membunuh dan membakar mayat penduduk Daraya.
“Bashar membenarkan militia rejimnya, Shabiha, menjadi mesin pembunuh,” kata satu kenyataan kumpulan aktivis berkenaan, Jawatankuasa Koordinasi Tempatan (LCC).
Beberapa pertubuhan hak asasi manusia pula menuduh rejim Bashar melakukan banyak kekejaman sejak kebangkitan rakyat Syria menentang pemerintahannya bermula pada Mac lalu.
Pada awal bulan ini, sebuah panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyatakan rejim Bashar turut bersalah melakukan jenayah kemanusiaan.
Stesen televisyen Syria melaporkan Daraya yang mempunyai sekitar 200,000 penduduk kini ‘dibersihkan’ daripada saki baki pengganas FSA.
Tentera Bashar dalam pada itu mendakwa ia berjaya menguasai sebahagian besar bandar raya ini selepas pertempuran sengit selama dua minggu.
Beberapa aktivis menyifatkan serangan ke atas Daraya sebagai usaha untuk menghapuskan sama sekali penentangan di ibu kota Syria berkenaan.
“Rejim Bashar menyekat bekalan asas ke Daraya dan membedil bandar ini dengan menggunakan senjata berat dan jet pejuang,” kata LCC.
“Selepas itu, geng-geng pembunuh (militia Shabiha) memasuki bandar ini dan melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya sebelum mengerat dan dan membakar mayat-mayat mangsa,” tambah kumpulan itu.
Sebelum ini, rejim Bashar dituduh bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar Houla, tengah Syria pada Mei lalu.
Seramai 108 orang termasuk 49 kanak-kanak dibunuh dalam tragedi berkenaan yang mengejutkan dunia.
Setakat ini, PBB menyatakan angka kematian di Syria melebihi 17,000 orang. Badan dunia itu memberi amaran krisis kemanusiaan kini menanti 200,000 pelarian Syria di beberapa negara jirannya dan 2.5 juta penduduk negara itu.
Sementara itu, utusan antarabangsa baharu ke Syria, Lakhdar Brahimi yang akan mengambil alih tempat Kofi Annan pada bulan depan memberitahu bahawa beliau ‘bimbang’ berhubung tugas besar untuk menamatkan konflik di Syria.
Semalam, Syria memberi amaran kepada Brahimi supaya tidak mengikuti jejak yang sama dengan Annan.
Akhbar negara itu, Ath-Thawra menuduh bekas Setiausaha Agung PBB berkenaan sebagai tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Barat.
Annan berundur pada bulan lalu selepas pelan damainya untuk Syria menemui kegagalan. – AFP

No comments:

Post a Comment