Saturday, September 1, 2012

SENANG2 KATA 140 JUTA TAHUN...ADAKAH CARA KITA TEPAT...KALAU ANGGARAN PUN....AGAK2LAH BAGI YANG MUNASABAH

Motosikal tandas bergerak sejauh 300 kilometer


SEORANG wanita menunggang motosikal tandas di Omiya, pinggir Tokyo kelmarin.


TOKYO - Syarikat pengeluar motosikal tandas di Jepun semalam menyatakan ia boleh bergerak sejauh 300 kilometer (km) jika diisi penuh dengan najis dan kumbahan haiwan.
Ia dianggap sebagai motosikal pertama dijana dengan najis sebagai bahan bakar di dunia.
Motosikal itu mempunyai tiga roda dan mempunyai mangkuk tandas di tempat duduk.
Namun, pihak pengeluar motosikal itu, TOTO menyatakan orang yang menunggangnya tidak mengeluarkan najis untuk membolehkan ia bergerak.
"Minyak bio yang dijadikan bahan bakar itu tidak dihasilkan daripada najis manusia.
"Ia adalah daripada najis dan kumbahan ternakan," kata jurucakap syarikat tersebut, Kenji Fujita.
Motosikal itu dipamerkan di bilik pameran syarikat tersebut di pinggir Tokyo.
Menurutnya, para pelanggan amat berminat dengan kenderaan tersebut dengan sebahagian mereka merakamkan gambar.
Setakat ini motosikal itu tidak akan dijual. - AFP

Penulis nafi bermotif politik

KULIT depan buku No Easy Day.


WASHINGTON - Seorang bekas komando tentera Amerika Syarikat (AS), Matt Bissonnette menyatakan dia tidak mempunyai motif politik semasa menulis buku No Easy Day yang memberikan maklumat berlainan tentang cara Ketua Rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden (gambar) mati ditembak pada Mei tahun lalu di Abbotabad, Pakistan.
Bissonnette menulis buku itu dengan menggunakan nama pena Mark Owen.
Dia merupakan kumpulan enam anggota komando tentera laut AS yang menyerbu banglo yang menjadi tempat persembunyian Osama selepas tiba dengan menggunakan helikopter.
Buku itu sepatutnya dijual pada 11 September tetapi tarikh penjualannya dipinda pada minggu depan selepas pihak media menyiarkan sebahagian kandungan buku berkenaan.
Menurut Bissonnette kepada stesen televisyen CBS kelmarin menerusi program 60 Minutes, buku tersebut tidak mempunyai motif politik ekoran pilihan raya Presiden AS akan berlangsung pada November depan.
Buku itu, katanya, adalah tentang serangan pengganas di AS.
Osama dianggap sebagai dalang serangan pengganas pada 11 September 2001 di AS yang menyebabkan bangunan berkembar World Trade Centre di New York dirempuh dua pesawat sehingga mengakibatkan lebih 3,000 orang terbunuh.
Buku itu menceritakan bahawa Osama sebenarnya ditembak terlebih dahulu di bahagian kepala semasa dia muncul di pintu dan mereka tidak mengetahui sama ada ketua Al-Qaeda tersebut bersenjata.
Osama kemudian kembali ke bilik tidurnya dan diekori anggota-anggota komando.
Anggota-anggota komando itu mendapati Osama rebah di lantai dengan berlumuran darah dan terdapat lubang di bahagian kanan kepalanya.
Dua wanita meraung di mayat Osama.
Anggota-anggota komando itu mendapati lelaki yang terbaring itu ialah Osama selepas mereka menyapu darah di mukanya.
Menurut buku tersebut, anggota-anggota komando itu kemudian menembaknya beberapa kali sehingga dia terbaring tanpa bergerak.
Maklumat tersebut bertentangan dengan kenyataan pentadbiran AS bahawa Osama hanya ditembak selepas dia kembali ke bilik tidurnya kerana bimbang ketua Al-Qaeda itu mahu mengambil senjata. - Agensi

Gunung berapi 140 juta tahun ditemui


GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan tinggalan gunung berapi itu di Kepulauan Kwo Chai, Hong Kong.


HONG KONG - Sekumpulan ahli geologi Hong Kong semalam mendedahkan peta dan tinggalan gunung berapi gergasi yang meletus 140 juta tahun lalu.
Gunung berapi gergasi itu terletak di tenggara Hong Kong.
Diameter gunung tersebut ialah 18 kilometer dan ia dikenali sebagai Gunung Berapi Besar Pulau Tinggi.
Hakisan dan cuaca menyebabkan hanya sedikit tinggalan gunung itu dapat dilihat seperti di Kepulauan Kwo Chau.
Menurut agensi berita Bernama, Jabatan Pembangunan dan Kejuruteraan Sivil Hong Kong membuat pengumuman rasmi tentang penemuan itu semalam.
Seorang jurutera di jabatan itu, Denise Tang berkata, gunung tersebut pernah menghamburkan 1,000 kubik kilometer debu. - Agensi

Thai cipta rekod mengurut dunia


SEBAHAGIAN daripada 641 orang yang mengurut di pinggir Bangkok semalam.


BANGKOK - Seramai 641 tukang urut mengurut 641 orang secara serentak selama 12 minit di sini semalam sekali gus mencipta rekod baharu Guinness World Record.
Acara mengurut beramai-ramai itu dianjurkan Kementerian Kesihatan Awam Thailand bagi mempromosikan industri spa dan urut di negara ini.
Rekod lama dicatatkan di Australia pada tahun 2010 apabila 263 diurut serentak selama lima minit.
"Ia mudah kerana ini (mengurut) kami lakukan pada setiap hari untuk hidup," kata salah seorang tukang urut wanita, Chayanan Chanwuttisawan, 53, yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.
"Saya tidak pernah menyangka kami mempunyai peluang untuk diiktiraf seperti ini," tambahnya.
Thailand memang terkenal sebagai 'ibu kota mengurut' di dunia.
Menteri Kesihatan, Wittaya Buranasiri berkata, dia mahu industri mengurut memberi lebih banyak pendapatan kepada negaranya. - AP

Pemandu 101 tahun langgar kanak-kanak


CARTER (tiga dari kanan) berbual dengan dua anggota polis di lokasi nahas apabila keretanya (kanan) merempuh sembilan kanak-kanak di luar sebuah sekolah di Los Angeles pada Rabu lalu.


LOS ANGELES - Sembilan orang kanak-kanak cedera empat daripada mereka parah apabila seorang pemandu lelaki berusia 101 tahun merempuh mereka di luar sebuah sekolah di sini, kata beberapa pegawai dan saksi.
Seorang jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles, Erik Scott berkata, dua lagi orang dewasa turut cedera dalam nahas yang berlaku pada Rabu lalu.
Pemandu itu, Preston Carter berkata, dia hilang kawalan manakala brek keretanya gagal berfungsi.
"Saya minta maaf," katanya kepada seorang jurukamera stesen televisyen ABC7. - AFP

Bas percuma untuk warga KL

BAS Go-KL City Bus berwarna ungu yang akan memberikan perkhidmatan percuma kepada warga Kuala Lumpur mulai hari ini.


KUALA LUMPUR - Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55, kerajaan Persekutuan menghadiah perkhidmatan bas percuma kepada warga kota bagi destinasi tertentu di kawasan pusat bandar bermula hari ini.
Perkhidmatan bas percuma yang dikendalikan oleh Go-KL City Bus itu merupakan langkah terbaharu kerajaan bagi mempromosi pengangkutan awam dalam kalangan orang ramai selain bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pusat Perniagaan Daerah (CBD) di ibu negara.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Tan Sri Syed Hamid Albar (gambar) berkata, perkhidmatan yang menelan kos operasi kira-kira RM4 juta setahun itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 10 juta pengguna pengangkutan awam di ibu negara setiap tahun.
"Go-KL City Bus mempunyai 15 buah bas berwarna ungu melibatkan jarak perjalanan sepanjang 14 kilometer dan 25 hentian bas dalam kawasan CBD. Bas ini mudah dikenali kerana ada logo Go-KL City Bus serta tulisan percuma pada bas berkenaan.
"Bas yang beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 11 malam setiap hari ini dilengkapi kemudahan WiFi, sistem penentuan kedudukan global, sistem kamera litar tertutup dan mesra golongan orang kelainan upaya," katanya pada satu sidang akhbar di sini kelmarin.
Syed Hamid berkata, laluan pertama Go-KL City Bus melibatkan hentian bas di Suria KLCC, Angkasaraya, Pusat Penerangan Pelancongan (Matic), Hotel Concorde, Wisma Hup Seng, The Weld, Wisma Lom Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Monorel Raja Chulan, Wisma Rohas Perkasa, Citibank dan Wisma Athlan.
Katanya, laluan kedua melibatkan hentian bas di Pasar Seni, Bangkok Bank, Muzium Telekom, Menara Olimpia, Menara KL, The Weld, Wisma Lim Foo Yong, Pavilion, Ain Arabia, Wisma Boustead, Wisma HLA, Simpang Bukit Ceylon, Muzium Telekom dan Kota Raya.
Menurut beliau, sebanyak dua lagi laluan Go-KL City Bus akan diwujudkan di ibu negara pada tahun ini sebelum ia dilaksanakan di bandar besar lain seperti Johor Bahru dan Pulau Pinang bergantung kepada prestasi perkhidmatan itu di Kuala Lumpur.

Semua pelajar tingkatan satu didedah latihan kemahiran


SEBAHAGIAN daripada pelajar Yayasan MySkills Malaysia gembira selepas yayasan itu menerima sumbangan berjumlah RM1.5 juta daripada Subramaniam di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Bermula tahun depan, sistem pendidikan negara akan melalui satu perubahan apabila semua pelajar tingkatan satu di negara ini akan didedahkan dengan latihan kemahiran sehingga tingkatan lima.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S. Subramaniam memberitahu, latihan kemahiran tersebut adalah bertujuan menangani isu pelajar yang tidak berminat dengan bidang akademik tetapi cenderung dengan bidang kemahiran.
Menurutnya, langkah untuk merubah sistem pendidikan negara itu adalah usaha besar Kementerian Pelajaran dalam memastikan golongan tersebut tidak tercicir dan mampu berdikari biarpun tidak cemerlang dalam bidang akademik selain boleh menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kesemua mereka ini apabila tamat tingkatan lima akan mendapat dua sijil iaitu Sijil Kemahiran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia yang mana boleh digunakan untuk masa depan mereka.
“Bagi yang tidak berminat dengan akademik, mereka boleh gunakan sijil kemahiran tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek bernilai RM1.5 juta kepada Yayasan MySkills Malaysia di sini semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Yayasan MySkills Malaysia, Dr. Shanmugasiva.
Subramaniam menjelaskan, latihan kemahiran yang diberikan adalah berasaskan kepada bidang yang diperlukan oleh pasaran.

Mahkamah batal kes Sri Wani

SRI WANI


KUALA LUMPUR – Pengusaha butik kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah berkali-kali mengucapkan kesyukuran apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam membenarkan bantahannya bagi membatalkan empat kes yang difailkan suaminya sebelum ini.
“Alhamdulillah, segala telah terbela, terima kasih kepada yang mendoakan saya,” katanya tersenyum gembira serta turut berterima kasih kepada peguam, Boestamam Ahmad yang mewakilinya.
Apa yang lebih menggembirakan Sri Wani, 37, ialah Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan turut mengarahkan Prof. Dr. Bahrom Sanugi, 61, membayar sebanyak RM12,000 iaitu RM3,000 untuk setiap kes kepada Sri Wani sebagai kos mahkamah.
Beliau memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah tinggi di sini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau membicarakan kes tersebut.
Ini kerana, jelas Abdul Walid, pihak responden iaitu Bahrom tidak langsung membalas atau memasukkan sebarang jawapan serta afidavit yang menyangkal dakwaan pemohon (Sri Wani) bahawa alamat penyampaian saman bukan alamat tetap responden.
Sri Wani dalam bantahan awal sebelum ini menimbulkan isu bidang kuasa mahkamah selepas mendakwa Bahrom menipu alamat penyampaian di Kuala Lumpur dalam semua dokumen kes tersebut sedangkan alamat sebenar adalah di Batu Caves, Selangor.
Sehubungan itu, Abdul Walid membatalkan empat kes permohonan Bahrom iaitu antaranya pengesahan nikah untuk memfaraqkan (memisahkan perkahwinan), perintah untuk menjalani ujian DNA terhadap Sri Wani dan permohonan komital untuk penjarakan pemohon kerana melanggar perintah mahkamah.
Sementara itu, peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid yang mewakili Bahrom memberitahu pihaknya akan membuat rayuan berhubung kos bayaran RM12,000 tersebut Isnin depan selain bercadang memfailkan kes pengesahan nikah dan faraq yang baharu di Negeri Sembilan.
Merujuk kepada tindakan pihaknya yang tidak memfailkan sebarang jawapan terhadap bantahan pemohon, peguam itu mengakui anak guam hanya menyewa di sebuah bilik di alamat tersebut (Taman Dato’ Senu) kerana pada ketika itu dia mendakwa diancam bunuh oleh Sri Wani.
Bahrom yang hadir bersama isteri keduanya kelihatan tenang dengan keputusan mahkamah.
Kes pasangan ini menjadi buah mulut masyarakat apabila Bahrom, bekas dekan di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan mendakwa isteri ketiganya, wanita mualaf yang dikahwini selama setahun pada 2009 adalah seorang lelaki.
Curiga dengan status perkahwinan tersebut, Bahrom membuat aduan ke Jabatan Agama Islam Gombak dan mereka diarah berpisah sementara kerana berlaku keraguan mengenai pernikahan tersebut.

Polis isytihar perang ke atas peragut


JALALUDDIN (kiri) berjumpa dengan ahli keluarga Rohairani yang cedera ketika diragut di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Polis mengisytiharkan perang secara besar-besaran ke atas peragut di negeri ini bagi membanteras jenayah yang dilihat semakin kejam ekoran seorang wanita ditetak bertubi-tubi ketika cuba diragut di Jalan Sultanah Zainab di sini kelmarin.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, bagi merealisasikan langkah drastik itu, lebih 100 anggota polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu diarah turun padang bermula hari ini.
Menurut beliau, anggota polis wanita itu akan mendekati pengunjung wanita di sekitar bandar raya ini bagi memberikan tip-tip mengenai keselamatan.
"Bermula esok (hari ini) untuk tempoh dua minggu secara syif, 100 anggota polis wanita dikerahkan turun padang untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita mengatasi jenayah ragut," kata beliau ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semasa melawat mangsa ragut, Rohairani Abdullah, 36.
Dalam kejadian di Jalan Sultanah Zainab kelmarin, Rohairani hampir putus tangan kirinya apabila mangsa ditetak tujuh kali oleh penjenayah yang cuba meragut beg mangsa.
Penjenayah menetak tangan mangsa apabila wanita itu enggan melepaskan beg tangannya.
Akibat pergelutan selama tiga minit itu, pergelangan tangan kiri mangsa hampir putus tetapi nasib baik doktor berjaya menyambungnya semula.
Selain itu, Jalaluddin memberitahu, polis juga akan meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas yang menjadi sasaran penjenayah jalanan.
"Kita juga menubuhkan beberapa pasukan khas untuk melakukan risikan, pemantauan dan mengumpul maklumat untuk memburu penjenayah terbabit," ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Jalaluddin berkata, sebanyak lapan kes ragut dilaporkan sepanjang tahun ini dan kejadian kelmarin merupakan kes pertama melibatkan peragut menggunakan senjata dan mencederakan mangsa.
Dalam tempoh sama, polis juga berjaya memberkas 18 peragut dengan lima daripada suspek sudah dituduh di mahkamah.
Bagaimanapun, menurut beliau, bagi kes membabitkan Rohairani, belum ada tangkapan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 20 kawasan di bandar Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian untuk diletakkan anggota polis wanita terbabit.
Antara lokasi di Kota Bharu ialah di Pasar Siti Khadijah, KB Mall dan Pasar Buluh Kubu.

Dua dituduh cuba bunuh, bakar gadis

MOHD. AMIR


KUALA LUMPUR - Seorang pekerja hotel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dakwaan cuba membunuh teman wanitanya dengan cara membakar remaja tersebut menggunakan petrol sehingga melecur dan luka sehingga 30 peratus pada anggota badannya.
Selain Mohd. Amir Mohd. Anuar, 19, turut didakwa ialah pengawal keselamatan, Muhammad Faiz Kamaruddin, 24. Mereka mengaku tidak bersalah.
Mereka didakwa cuba membunuh Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, dengan membakarnya di sebuah kawasan semak di belakang Puspakom, Wangsa Maju pada pukul 3.15 pagi, 13 Ogos lalu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 20 tahun jika sabit kesalahan.
Mohd. Amir yang bekerja di Hotel Sheraton, di sini diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid manakala Muhammad Faiz belum melantik peguam.
Hakim S. M Komathy Suppiah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli.
Pegawai penyiasat, Inspektor Chua Sze Yuan ketika dipanggil mahkamah berkata, mangsa kini koma di Hospital Kuala Lumpur namun sempat mendakwa kedua- dua tertuduh yang melakukannya.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, dalam kejadian itu, Nurul Firzanah melecur dari muka hingga ke pusat. Mangsa yang tidak lagi bersekolah sejak berusia 14 tahun itu pada mulanya pergi ke rumah ibu angkatnya di Seksyen 1, Wangsa Maju sebelum keluar berjumpa teman lelakinya untuk bersahur.

Polis tumpaskan Geng Ah Chai


ZAKARIA (tengah) menunjukkan parang dan barangan rampasan hasil
penangkapan ahli Geng Ah Chai di Sentul semalam.


KUALA LUMPUR – Sekumpulan penjenayah dikenali Geng Ah Chai yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan samun kenderaan sejak awal tahun ini tumpas dengan tertangkapnya tiga suspek di Damansara Damai dekat sini Selasa lalu.
Nama Geng Ah Chai tersebut diambil daripada gelaran salah seorang suspek yang dikenali sebagai Ah Chai.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, penangkapan bermula apabila polis mengesan salah seorang suspek berusia 26 tahun yang menggunakan kad kredit palsu untuk mengisi minyak di Damansara Damai pada pukul 12.30 tengah malam.
“Ekoran penangkapan lelaki itu, polis menahan pula dua lagi suspek iaitu seorang lelaki berusia 39 tahun dan teman wanita suspek pertama berusia 25 tahun setengah jam kemudian,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Zakaria berkata, polis kemudian menyerbu sebuah rumah didiami suspek di Damansara Damai dan menemui pelbagai peralatan untuk melakukan jenayah pecah rumah seperti parang panjang dan pengumpil pintu.
Beliau berkata, turut ditemui pelbagai barangan curi termasuk 30 keping kad kredit, pelbagai jenis kunci kereta, komputer riba, puluhan kad sim telefon dan barang kemas.
Jelas Zakaria, berdasarkan penemuan pelbagai jenis kunci kereta itu polis tidak menolak kemungkinan suspek juga giat melakukan jenayah mencuri kenderaan.
Katanya, hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam 10 kes pecah rumah di sekitar Setiawangsa di sini sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri lalu.
Tambah beliau, dua suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah serta pecah rumah dan mereka kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

No comments:

Post a Comment