Saturday, September 1, 2012

YANG UTAMA PERTAHANKAN AKIDAH@IMAN...NIKMAT ISLAM...PERTAHANKAN ISLAM...MENDAULATKAN ISLAM DENGAN MEMATUHI PERINTAHNYA...BUKAN MELANGGARNYA...LAKSANAKAN HUKUM ALLAH@HUDUD...KITA PELIAHARA ISLAM...ALLAH JUGA PELIAHARA KITA

101 bayi 31 Ogos dilahir


SUHAILA A. AZIZ (kiri) dan Norhayati Ismail bersama bayi merdeka masing-masing di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 53 bayi 'merdeka' masing-masing 24 perempuan dan 29 lelaki dilahirkan di lapan hospital kerajaan dan swasta di sekitar Lembah Klang bermula selepas detik 12 tengah malam tadi hingga tengah hari semalam.
Bayi merdeka pertama ialah bayi lelaki yang dilahirkan sebaik selepas detik 12 tengah malam tadi.
Bayi lelaki seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan di Hospital Kajang dan bayi itu adalah antara enam kelahiran yang direkod di hospital berkenaan, termasuk sepasang bayi kembar perempuan, kata jurucakap hospital itu.
Hospital Sungai Buloh pula mencatat kelahiran paling tinggi iaitu 13 bayi dengan kelahiran pertama, seorang bayi lelaki pada 12.14 pagi, kata jurucakap hospital itu.
Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula, seramai lapan bayi dilahirkan sehingga 9.02 pagi ini dengan bayi pertama seberat 2.73 kg dilahirkan pada 12.20 pagi.
Hospital Serdang dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) masing-masing mencatat tujuh kelahiran dengan bayi pertama masing-masing dilahirkan pada 1.02 pagi dan 12.55 pagi.
Hospital Kuala Lumpur mencatat kelahiran lima bayi dengan seorang daripadanya rakyat Indonesia seberat 4.25 kg yang dilahir pada 4.11 pagi, manakala Hospital Tawakal merekodkan kelahiran dua bayi lelaki.
Di Hospital Pantai Kuala Lumpur pula, lima kelahiran direkod termasuk seorang bayi lelaki rakyat Perancis, kata jurucakap hospital itu.
Daripada 53 bayi yang dilahirkan itu, 18 kelahiran adalah melalui pembedahan iaitu masing-masing satu di PPUM dan HKL, Hospital Tawakal Kuala Lumpur (dua), Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pantai Kuala Lumpur (tiga) dan masing-masing empat di Hospital Serdang dan SJMC.
Di Kuala Terengganu, 28 bayi dilahirkan di beberapa hospital di negeri itu sehingga 12 tengah hari iaitu 12 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan kelahiran pertama ialah pada 12.14 pagi.
Di George Town, seramai tiga bayi dilahirkan di Hospital Pulau Pinang termasuk dua bayi rakyat Indonesia.
Di Seremban, seramai 17 bayi merdeka dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini bermula tengah malam sehingga 12 tengah hari, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr Zailan Adnan. - Bernama

Syiling RM36,800 bertabur atas jalan



BEGINILAH keadaan sebuah van keselamatan yang terbalik selepas tayar belakang sebelah kirinya pecah.


HULU SELANGOR - Sebuah van keselamatan yang membawa duit syiling dianggarkan berjumlah RM36,800 terbabas dan terbalik di Kilometer 426.7 Lebuh Raya Utara-Selatan selepas susur keluar Bukit Beruntung di sini semalam.
Kejadian pada pukul 12 tengah malam itu mengakibatkan pelbagai duit syiling milik sebuah pasar raya dan sebuah syarikat konsesi lebuh raya di dalam kenderaan itu bertaburan di atas lebuh raya.
Wang itu hendak dihantar ke satu lokasi di Ipoh, Perak dari Petaling Jaya, Selangor.
Ketika kejadian, terdapat tiga kakitangan syarikat keselamatan di dalamnya termasuk seorang pemandu yang berusia 38 tahun. Ketiga-tiga pekerja itu bagaimanapun mengalami kecederaan ringan.
Difahamkan, sebahagian besar wang itu dapat dipungut semula oleh kakitangan syarikat keselamatan dan pekerja lebuh raya itu menggunakan penyodok namun terdapat juga orang awam yang dilihat cuba mengutipnya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, tayar belakang sebelah kiri van itu dikatakan pecah menyebabkan ia hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya.
"Ekoran rempuhan itu, van tersebut terbalik di atas lebuh raya dan rosak teruk.
"Pemandu van dan dua rakannya yang cedera itu menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Duda mati dibunuh kejam



KAKITANGAN Hospital Besut dan anggota polis mengusung mayat Faiza yang ditemui mati dibunuh dalam keadaan lututnya hampir putus dipercayai ditetak dengan senjata tajam dalam kejadian di Kampung Gong Manok, Kuala Besut, Besut kelmarin.


BESUT – Misteri kehilangan seorang duda anak satu sejak Rabu lalu terjawab kelmarin apabila dia ditemui mati dibunuh secara kejam dengan kedua-dua lututnya hampir putus ditetak manakala betis dan pinggangnya turut dilibas senjata tajam.
Mayat Faiza Jaafar, (gambar kecil) 27, ditemui dalam keadaan terduduk pada pukul 2.40 petang di kawasan sawah Kampung Gong Manok, Kuala Besut, dekat sini oleh bapa saudaranya yang keluar mencari mangsa.
Difahamkan, mangsa tidak pulang ke rumah sehari sebelum mayatnya ditemui hingga menimbulkan kerisauan kepada ahli keluarganya.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, siasatan awal mangsa dipercayai dibunuh oleh lebih daripada seorang suspek antara pukul 5 petang hingga 9 malam Rabu lalu menggunakan senjata tajam seperti kelewang atau pedang.
“Kita sedang menyiasat motif sebenar pembunuhan dan polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai boleh membantu siasatan,” katanya yang menyiasat kes bunuh itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tambahnya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kuala Besut dekat sini kira-kira pukul 4.30 petang semalam.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Normala Sulaiman, 55, memberitahu, mangsa yang tinggal di Kampung Beris Lampu, tidak jauh dari tempat kejadian, menunjukkan perubahan beberapa hari lalu.
“Dua hari sebelum itu, mangsa menunjukkan rasa berat hati apabila ibunya, Rohani Sulaiman, 48, menyatakan hasratnya untuk ke ibu negara dengan memberitahu mereka tidak akan berjumpa lagi,” ceritanya ketika ditemui.
Tambah Normala, mangsa menetap bersamanya sejak kecil dan membantunya menguruskan kawasan tempat letak kereta dan perkhidmatan bot bagi pelancong yang ingin ke Pulau Perhentian.
“Mangsa pernah berkahwin dengan gadis sekampung dan dikurniakan seorang anak yang kini berusia tujuh tahun tetapi bercerai pada 2008,” katanya lagi.

Warga emas kampung jadi hero



SEORANG jiran mendukung Amirah Suhaili yang dapat diselamatkan
dalam kebakaran.


KEMAMAN - Tindakan pantas seorang lelaki sebaik melihat rumah jirannya dijilat api dapat menyelamatkan nyawa seorang gadis orang kelainan upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia empat tahun dalam kejadian di Rumah Murah Kampung Fikri di sini semalam.
Kejadian pukul 11 pagi itu berlaku ketika gadis OKU, Amirah Suhaili Said, 19, dan anak saudaranya, Nurul Adawiah Zabli, 4, berada di dalam rumah tersebut. Amirah Suhaili tidak mampu berjalan.
Ketika kejadian, ibu gadis OKU itu, Rahani Harun, 43, yang terkejut melihat api membakar bahagian depan rumahnya tidak terdaya berbuat apa-apa selain berdiri di depan rumah.
Rahani merupakan penjual apam balik dan api dipercayai berpunca dari gerai di hadapan rumah mangsa.
Kedua-dua mangsa bernasib baik apabila jiran mereka, Mohamad Yusof, (gambar kecil) 64, yang menyedari kejadian itu bertindak pantas menyelamatkan mereka.
Mengimbau semula kejadian itu, Mohamad memberitahu, dia nekad terus meredah api yang marak sebaik Rahani memaklumkannya yang anak gadis dan cucunya masih terperangkap di bilik tidur.
"Tanpa berfikir panjang, saya terus redah api dan mengangkat kedua-dua mangsa. Saya sempat mencapai beg barangan kemas mangsa namun wang gagal diselamatkan kerana ketika itu suasana di dalam rumah terlalu bahang.
"Rumah itu musnah tidak sampai setengah jam. Saya tahu mengenai kejadian itu daripada isteri yang mengejutkan saya yang sedang tidur," ceritanya ketika ditemui semalam.
Difahamkan, kebakaran itu mengakibatkan mangsa kerugian kira-kira RM150,000 apabila kesemua perabot, peti sejuk, mesin basuh dan televisyen musnah dijilat api.

Pura-pura pengsan elak dibunuh


SITI FATIMAH menunjukkan kesan luka pada tangannya.


KANGAR - Seorang peniaga yang tidak mampu untuk melawan dua perompak bersenjatakan parang terpaksa berpura-pura pengsan sebelum mendapati pelbagai barangan berharga bernilai RM50,000 termasuk wang dilarikan penjenayah tersebut kelmarin.
Kejadian pukul 3 pagi di sebuah rumah Lorong Haji Teh, Pengkalan Asam, di sini itu berlaku ketika Siti Fatimah Ahmad, 45, bersama dua anak, ibu dan adiknya sedang tidur di dalam bilik masing-masing.
Mengimbau semula kejadian itu, Siti Fatimah memberitahu, dia terus terjaga apabila menyedari lehernya dicekik selain hidung serta mulutnya ditekup dengan kain yang telah dilumur sejenis cecair dipercayai klorofom.
Katanya, pada mulanya dia sangka sedang bermimpi tetapi ketika hendak mencapai telefon bimbit untuk melihat waktu, dua individu yang memakai topeng dan baju sejuk terus menyerangnya.
"Saya enggan menyerah dan cuba melawan. Salah seorang daripada mereka kemudian cuba menekup sekali lagi mulut dan hidung saya dengan kain itu manakala seorang lagi memukul dan mengacukan parang hingga mencederakan jari serta tangan saya.
"Apabila mendapati kudrat saya tidak mampu untuk melawan mereka, saya mendapat ilham untuk berpura-pura pengsan bagi mengelak daripada dibunuh," ceritanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, pada masa sama dia hanya membuka sedikit mata dan nampak dua perompak itu menggeledah biliknya selama 20 minit selepas mengikat tangan dan kakinya menggunakan kain tudung miliknya.
Menurut Siti Fatimah, penjenayah kemudian cuba masuk ke dalam bilik anak, ibu dan adiknya tetapi gagal apabila pintu itu dikunci dari dalam sebelum kedua-duanya melarikan diri melalui dapur.

Taman Negara Tanjung Piai semakin terbiar



DUA pekerja sedang membaiki sebahagian daripada laluan pejalan kaki yang mengalami kerosakan di Taman Negara Tanjung Piai, Pontian baru-baru ini.


PONTIAN – Selepas bergelut dengan masalah hakisan dan pencemaran, Taman Negara Tanjung Piai di sini bagai dilanda badai apabila beberapa kemudahan utama di kawasan itu terjejas teruk.
Paling merunsingkan pihak Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) adalah beberapa laluan pejalan kaki di taman berkenaan yang sudah tidak selamat untuk dilalui pengunjung.
Pengurusnya, Khalid Zahrom berkata, infrastruktur di taman itu sudah hampir satu dekad dan telah uzur menyebabkan pihaknya terpaksa mengambil tindakan menutup beberapa laluan kerana ia tidak selamat untuk dilalui.
Selain itu katanya, taman itu juga mempunyai masalah sumber bekalan elektrik dan sering menerima rungutan daripada pengunjung.
Hasil tinjauan Kosmo! baru-baru ini mengesahkan dakwaan PTNJ apabila beberapa laluan pejalan kaki yang diperbuat daripada kayu sudah reput dan membahayakan pengunjung.
Kerosakan laluan berkenaan sebenarnya disebabkan masalah hakisan dan pencemaran minyak yang semakin meruncing di sekitar kawasan terbabit.
PTNJ, ujar Khalid, bagaimanapun tidak hanya berpeluk tubuh dalam berdepan masalah itu sebaliknya telah mengajukan permohonan mendapatkan sejumlah peruntukan daripada pihak berkuasa untuk memperbaiki kemudahan di situ.

Petani rugi, sawah gersang



SEORANG petani, Saat Dollah menunjukkan tanaman padinya yang berhadapan dengan masalah ekoran kekurangan bekalan air
di Cherang Rotan, Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH - Seramai 2,700 petani di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bakal kerugian besar apabila kawasan sawah seluas 8,000 hektar tidak dapat ditanam dengan padi musim kedua tahun ini kerana masalah bekalan air.
Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat berkata, sawah tersebut yang sepatutnya ditanam padi pada Jun lepas terletak di beberapa kawasan seperti Ketereh dan Nilam Puri di jajahan Kota Bharu dan Cherang Rotan di jajahan ini.
"KADA tidak dapat mengepam air daripada Sungai Kelantan ke kawasan sawah petani terbabit berikutan paras air sungai tersebut menurun berbanding paras biasa.
"Beberapa minggu lalu KADA hanya dapat mengepam air hanya beberapa hari sahaja. Itupun apabila paras air meningkat sebanyak 4.8 meter berikutan hujan di kawasan Ulu Kelantan tetapi hari ini (semalam) ia kembali di bawah paras kritikal iaitu 4.5 meter menyebabkan pam air tergantung di atas air," katanya.
Beliau mendakwa, fenomena yang berterusan itu berlaku disebabkan kadar hujan yang sedikit ditambah dengan aktiviti menyedut pasir di sekitar Sungai Kelantan serta pembukaan tanah yang tidak terancang di kawasan pedalaman.
"Faktor itu menyebabkan KADA gagal mengepam air di Sungai Kemubu dan keadaan ini boleh menyebabkan sebilangan besar penanam padi akan hilang punca pendapatan sekiranya mereka gagal memulakan penanaman bagi musim kedua dalam tempoh yang terdekat," katanya.

Pertahankan apa yang dimiliki



YANG DI-PERTUAN AGONG (tengah) dan Raja Permaisuri Agong turut mengibar Jalur Gemilang bersama Najib dan timbalannya, Muhyiddin sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Segenap lapisan masyarakat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-55 negara semalam bukan sahaja dalam suasana aman bahkan dapat pula menjalani kehidupan yang jauh lebih selesa dan makmur berbanding lima dekad lalu.
Lebih menarik, mereka menterjemah perasaan syukur itu dengan turun padang untuk berhimpun bersama pemimpin bagi meraikan kemerdekaan yang sangat berharga itu.
Kira-kira 100,000 orang membanjiri Dataran Merdeka di sini pada sebelah pagi untuk menyaksikan perarakan dan persembahan lebih 14,000 peserta bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Keadaan sama turut berlaku di semua negeri apabila rakyat diketuai Menteri Besar dan Yang Dipertua Negeri masing-masing turut mengadakan perarakan kemerdekaan yang tersendiri.
Perhimpunan mega rakyat tidak berhenti setakat itu apabila pada sebelah malam, kira-kira 150,000 memenuhi setiap inci Stadium Nasional Bukit Jalil di sini sempena Himpunan Merdeka 55 Tahun: Janji Ditepati.
Sehubungan itu, Najib dalam ucapannya mengajak rakyat Malaysia terus memperkukuh benteng perpaduan dalam mempertahan kemerdekaan negara yang dikecapi dan mahu setiap individu bersama-sama memacu negara ke arah mercu kejayaan lebih unggul.
Perdana Menteri juga menyeru rakyat untuk bersatu dan berusaha dengan kepimpinan negara bagi menjayakan agenda transformasi yang telah dan akan dilaksanakan.
Beliau berkata, setelah 55 tahun merdeka, Malaysia kini boleh dianggap sebagai sebuah negara yang berjaya dan semakin hari semakin kaya, makmur serta kuat.
"Beringatlah bahawa sesungguhnya kemerdekaan itu hanya mengetuk pintu setiap pertiwi sekali saja.
"Marilah berganding berjuang pertahan kemerdekaan ini dengan barisan yang rapat lagi kukuh di setiap penjuru dan setiap ketika.
"Lebih rapat lagi ketika pihak seteru dan pembangkang cuba memporak-perandakan negara kita," katanya.
Terdahulu, pada sebelah pagi, orang ramai berhimpun di Dataran Merdeka untuk menyaksikan perarakan 14,464 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Perarakan tersebut disifatkan oleh Najib sebagai bukti bahawa rakyat mempunyai semangat kecintaan dan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada negara.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Sambutan turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun.

Bendera Malaysia dinaikkan di selatan Thai

SEKUMPULAN anggota polis memeriksa kawasan sekeliling sebuah hentian bas yang dipasang dengan bendera Malaysia di wilayah Narathiwat, semalam. - AFP


PATTANI, Thailand - Kumpulan pemberontak disyaki membakar beberapa helai bendera Thailand dan menaikkan bendera Malaysia di sini dalam satu operasi pengeboman terancang yang amat jarang berlaku di kawasan selatan negara ini semalam.
Menurut polis, alat seperti bom ditemui di sekurang-kurangnya 60 lokasi di Narathiwat dan Pattani, wilayah yang majoritinya terdiri daripada penganut Islam. Kebanyakan alat itu adalah palsu, tetapi hampir 12 unit daripadanya meletup dan mencederakan enam orang tentera.
Pegawai Operasi Keselamatan Dalaman Selatan, Pramote Prom-in memberitahu tindakan memasang bendera Malaysia dengan bahan letupan itu bertujuan menunjukkan penentangan terhadap kerajaan Thailand dan mencipta ketegangan dengan Malaysia.
Beliau meminta supaya kerajaan bertindak tegas sambil menyatakan serangan tersebut tidak memberi kesan terhadap hubungan di antara Bangkok dan Kuala Lumpur.
Masih tidak jelas kenapa bendera Malaysia dinaikkan oleh kumpulan pemberontak itu. Bendera tersebut dipasang di sepanjang jalan, tiang elektrik, pokok dan laluan pejalan kaki di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.
Para penganalisis menyatakan militan mahukan sebuah negara yang merdeka, tetapi tidak pernah menunjukkan minat mahu menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Penyelidik kanan Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New York, Sunai Phasuk mengakui bahawa motif pemberontak menaikkan bendera Malaysia masih misteri.
Kumpulan pemisah dikatakan mula muncul sejak Januari 2004. Sejak itu, seramai 5,206 terbunuh dan 9,137 lagi cedera dalam banyak siri serangan. - Agensi

Sage Stalllone mati akibat sakit jantung




LOS ANGELES - Pegawai koroner mengesahkan bahawa anak Sylvester Stallone yang berusia 36 tahun meninggal dunia akibat masalah jantung.
Sage Stallone (gambar) dilaporkan meninggal dunia pada 13 Julai lalu disebabkan saluran arteri tersumbat dan bukannya atas faktor-faktor lain. Mayat Sage ditemui di rumahnya oleh seorang pekerja dan saudaranya.
Tiada perbuatan khianat dikesan, malah keputusan toksikologi menunjukkan jumlah hydrocodone yang minimum ada dalam sistem badannya.
Sage Moonblood Stallone merupakan anak sulung pelakon Sylvester Stallone dan pernah membintangi dua filem bersama bapanya.
Dia juga bergiat aktif sebagai pembikin filem dengan dengan menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Vic yang kemudiannya ditayangkan pada Festival Filem Palm Springs. - AP

Tablet Kindle Fire habis dijual


DIANGGARKAN sebanyak 6.7 juta unit Kindle Fire berjaya dijual di Amerika Syarikat (AS) sejak ia mula dipasarkan pada November 2011.


NEW YORK - Amazon.com Inc. menyatakan bahawa telah menjual habis komputer tablet keluarannya ketika jangkaan model baharu bakal diperkenalkan pada musim cuti tidak lama lagi.
Peruncit Internet itu dijadual mengadakan sidang media pada Khamis depan di Santa Monica, California. Pengumuman model sedia ada sudah habis dijual menunjukkan Amazon telah memberhentikan produksi Kindle Fire untuk membangunkan model baharu.
Amazon melancarkan Kindle Fire pada harga AS$199 (RM618) seunit pada November 2011. Ia merupakan Kindle Fire pertama yang dilengkapi skrin warna dan mampu memainkan aplikasi pihak ketiga.
Tidak menyatakan berapa banyak Kindle fire berjaya dijual, Amazon bagaimanapun memberitahu, ia menguasai 22 peratus jualan komputer tablet di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sembilan bulan.
Angka itu menjadikannya tablet kedua paling popular selepas iPad. Tom Mainelli dari firma penyelidikan IDC menegaskan, peratusan itu selari dengan jangkaannya bahawa sebanyak 6.7 juta unit Kindle Fire sudah terjual. - AP

Harga makanan dunia naik 10 peratus

WASHINGTON - Harga makanan dunia melonjak sebanyak 10 peratus pada Julai lalu apabila beberapa kawasan tanaman di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah Timur musnah akibat kemarau.
Bank Dunia dalam satu kenyataan mendesak pihak kerajaan supaya menyokong program-program bagi melindungi rakyat mereka yang terdedah kepada beban kenaikan harga.
Sejak Jun hingga Julai, harga tanaman jagung dan gandum telah meningkat sebanyak 25 peratus. Sementara harga kacang soya naik 17 peratus dan hanya harga beras turun sebanyak empat peratus.
Secara keseluruhannya, Indeks Harga Makanan Bank Dunia yang memantau harga jualan komoditi makanan antarabangsa menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus lebih tinggi berbanding bulan Julai tahun lalu.
Harga hadapan kacang soya AS mencatat rekod tertinggi pada harga AS$17.78 (RM55.46) bagi setiap busyel setelah didagangkan Khamis lalu.
Sementara itu, harga jagung menunjukkan tiada berubahan dan menghampiri rekod AS$8.49 (RM26.48) setiap set pada awal bulan ini.
"Kita tidak boleh membiarkan harga yang mencatat sejarah ini terus naik. Ia boleh menjadi satu ancaman sekiranya ada keluarga yang terpaksa memberhentikan persekolahan anak-anak mereka dan makan makanan kurang berkhasiat kerana mahu berjimat-cermat.
"Setiap negara mesti menguatkan program yang mereka bangunkan demi meringankan tekanan golongan miskin dan melaksanakan polisi yang betul," kata Presiden Kumpulan Bank Dunia, Jim Yong Kim. - Reuters

Hotel dan terminal runtuh dalam beberapa saat

REUTERS
ORANG RAMAI menyaksikan operasi meletupkan Hotel Three Gorges (kiri) dan terminal Pelabuhan Chongqing (kanan) di bandar raya Chongqing, barat daya China kelmarin.


CHONGQING - Selama bertahun-tahun Hotel Three Gorges dan sebuah terminal penumpang setinggi 32 tingkat menjadi mercu tanda bandar raya ini, barat daya China.
Namun, kedua-dua bangunan tinggi itu menyembah bumi serentak dalam masa cuma beberapa saat dalam satu letupan terkawal kelmarin.
Akhbar MailOnline melaporkan bahawa hotel dan terminal berkenaan diletupkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan sebuah hab pengangkutan, pelancongan dan perdagangan.
Orang ramai menyaksikan perubahan landskap yang berlaku di depan mata mereka itu dari jauh. - Agensi

Petani bina replika Lamborghini Reventon


REUTERS
KERETA sport Wang Jian menjadi tumpuan pengguna jalan raya lain.


SUQIAN - Ekoran tidak mampu membeli sebuah Lamborghini Reventon berharga sekitar AS$1.6 juta (RM4.9 juta), seorang petani di China bertindak membina sendiri kereta sport berkenaan.
Petani tersebut, Wang Jian membina kereta itu daripada beberapa bahagian badan dua kereta terpakai jenama Nissan dan Santana.
Dia yang menetap di sini, pernah bekerja di sebuah bengkel kenderaan selama lebih 10 tahun.
Media China melaporkan replika Lamborghini Reventon itu menelan kos 60,000 yuan (RM29,526) untuk dibina.
Kereta sport buatan sendiri itu boleh mencapai kelajuan 256 kilometer/sejam. - Reuters

No comments:

Post a Comment