Saturday, September 1, 2012

BERUANG NYAWANYA LEBIH BERNILAI DARI MANUSIA....BILA HUDUD DITOLAK DALAM MASA YANG SAMA POLIGAMI DISUKARKAN...MALAH MACAM MELAKUKAN JENAYAH ATAU ZALIM DAN TAK ADIL...ADAKAH YANG SORANG ISTERI ADIL ...ADIL NI IALAH MELETAKKAN SESUATU.. BETUL PADA TEMPATNYA...SONGKOK DIATAS KEPALA DAN KASUT DIKAKI DAN BUKAN SEBALIKNYA

Osama sudah mati apabila bilik tidurnya diserbu



RUMAH yang menjadi tempat persembunyian Osama di bandar Abbottabad, Pakistan.



WASHINGTON - Ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden sudah mati apabila pasukan komando Amerika Syarikat (AS), Navy SEAL menyerbu ke dalam bilik tidurnya di sebuah banglo di bandar Abbottabad, Pakistan.
Dakwaan kontroversi itu bercanggah dengan kenyataan rasmi White House tentang kematian Osama.
Pendedahan mengenainya dibuat oleh seorang bekas anggota komando SEAL yang terlibat dalam operasi rahsia membunuh ketua Al-Qaeda itu pada 2 Mei 2011.
Menurut akhbar MailOnline semalam, Osama juga tidak bersenjata apabila dia diserang pasukan elit SEAL.
Kisah misi membunuh ketua pengganas berkenaan didedahkan dalam buku biografi, No Easy Day: The Firsthand Account of the Mission That Killed Osama bin Laden.
Ditulis di bawah nama pena, Mark Owen buku tersebut yang dijadualkan berada dalam pasaran pada 11 September depan akan dijual seminggu lebih awal.
Penulis buku berkenaan merupakan antara enam komando SEAL yang melihat Osama mati pada tahun lalu.
Menurut salinan buku itu yang diperoleh akhbar Huffington Post, misi membunuh Obama jauh bercanggah dengan kenyataan White House.
Dalam bukunya, Owen memberitahu bahawa seorang anggota elit skuad berkenaan terserempak dengan Osama ketika dia cuba melarikan diri ke dalam bilik tidurnya.
Bilik itu terletak di tingkat tiga banglo berkenaan yang dihuni oleh Osama bersama sejumlah anggota keluarganya.
Beberapa anggota SEAL lain kemudian bergegas menaiki tangga untuk mengejar Osama.
"Kami kurang lima langkah untuk sampai ke tingkat atas apabila saya terdengar bunyi tembakan. Ketika itu, saya tidak dapat melihat sama ada tembakan itu mengenai sasaran," kata Owen.
Walaupun media AS melaporkan Osama bersenjata dan cuba melawan ketika dibunuh, askar itu berkata, ketua Al-Qaeda itu sebenarnya sudah tidak bernyawa apabila mereka berada di dalam bilik tidurnya.
Menurut Owen, ketika Obama terbaring, dia dan beberapa komando lain melepaskan beberapa das tembakan lagi ke dada lelaki itu.
Dalam bukunya, Osama dilaporkan memakai baju-T berwarna putih, seluar panjang bersama sehelai tunik.
Semasa mereka merakamkan gambar jenazah Osama, dua pucuk senjata turut di temui di bilik tidur berkenaan tetapi kedua-duanya tidak berpeluru.
"Dia (Osama) langsung tidak melakukan persediaan untuk mempertahankan diri. Lelaki ini langsung tiada niat mahu melawan walaupun selama beberapa dekad dia begitu gah mengarahkan pengikutnya supaya melakukan serangan berani mati," kata Owen.
"Sepanjang saya berkhidmat dalam tentera, kami telah kerap kali menyaksikan penipuan seperti ini," tambahnya.
Mengulas pendedahan memalukan itu, ketua Pusat Operasi Khas AS memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang didapati mendedahkan maklumat sensitif ketenteraan.
Dalam pada itu, sebuah laman web rasmi Al-Qaeda pada Jumaat lalu menyiarkan gambar dan nama komando SEAL yang bertanggungjawab menulis buku tersebut.
Tindakan tersebut dilakukan selepas saluran berita AS, FoxNews.com mendedahkan identiti penulis sebagai Matt Bissonnette.
Anggota komando SEAL itu yang kini berusia 36 tahun bersara selepas operasi membunuh Osama. - Agensi

Panjat gunung batu untuk gambar perkahwinan


PASANGAN pengantin, Bob Ewing dan Antonie Hodge merakamkan gambar perkahwinan mereka di puncak gunung batu Seneca Rocks di Virginia Barat.



CHARLESTON - Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk mengabadikan ikatan perkahwinan anda?
Di Amerika Syarikat (AS), sepasang pengantin baharu, Bob Ewing dan isterinya, Antonie Hodge bertindak mendaki sebuah gunung batu setinggi 275 meter dengan lengkap berpakaian pengantin.
Mereka berbuat demikian untuk merakam gambar perkahwinan yang unik dan luar biasa.
Walaupun berdepan kesukaran, usaha pasangan itu berbaloi apabila gambar perkahwinan mereka ditonton lebih 500,000 kali di internet.
Gambar perkahwinan yang dirakam itu menunjukkan lokasinya adalah di puncak Gunung Seneca di negeri Virginia Barat.
Idea untuk mendaki gunung yang curam dan sempit itu datang daripada pengantin perempuan ekoran ibunya, Evangeline Hodge merupakan seorang pendaki gunung.
Turut sama melakukan pendakian termasuklah ibu pengantin perempuan dan rakan-rakan mereka yang juga merupakan pendaki amatur.
"Saya perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu mendaki gunung batu ini," kata Hodge.
Mereka melakukan pendakian tersebut baru-baru ini dengan bantuan tali dan abah-abah. - Agensi

Bom 250kg diletupkan



SUSUNAN gambar menunjukkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua seberat 250kg diletupkan di pusat bandar Munich, Jerman kelmarin.


MUNICH - Sepasukan pakar letupan di Jerman meletupkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua seberat 250 kilogram (kg) di pusat bandar raya ini.
Agensi berita Jerman, DAPD memetik seorang jurucakap polis sebagai berkata, bom lama itu berjaya diletupkan petang kelmarin.
Namun, beberapa serpihan bom yang terbakar menyebabkan beberapa bangunan berdekatan yang dikosongkan dijilat api.
Bom tersebut ditemui pada pagi Isnin lalu di daerah Schwabing di sini.
Usaha untuk mematikan bom berkenaan gagal dengan beberapa pakar memutuskan untuk meletupkan bom tersebut.
Pesawat-pesawat Tentera Berikat menggugurkan bertan-tan bom di Jerman semasa Perang Dunia Kedua untuk melumpuhkan tentera diktator Adolf Hitler.
Puluhan ribu bom itu yang belum meletup dipercayai masih berada di bawah tanah di Jerman. - AP

Nama kedai cetus kemarahan



RAJESH SHAH menunjukkan kad perniagaannya.


AHMEDABAD, India - Sebuah kedai pakaian lelaki di India diminta menukar namanya selepas nama Hitler yang digunakan membangkitkan kemarahan masyarakat setempat.
Akhbar MailOnline melaporkan pemilik kedai berkenaan, Rajesh Shah mendakwa dia tidak menyedari nama kedainya, Hitler telah mencetuskan kontroversi.
Rajesh berkata, nama tersebut diperoleh daripada gelaran yang diberikan kepada rakan kongsi perniagaan datuknya.
Gedung pakaian itu yang terletak di Ahmedabad, dalam wilayah Gujerat, mencetuskan kemarahan penduduk setempat dan komuniti orang Yahudi di bandar berkenaan.
"Secara jujurnya, apabila saya memohon untuk menggunakan nama Hitler, saya hanya mengetahui bahawa dia seorang lelaki yang tegas," kata Rajesh.
"Cuma baru-baru ini saya tahu cerita tentang Hitler apabila saya melayari internet," tambahnya.
Menurut lelaki itu, dia sanggup menukar nama kedainya yang dibuka sejak dua minggu lalu jika dia dan rakan perniagaannya diberikan sejumlah pampasan ekoran mereka telah kehabisan wang.
Adolf Hitler merupakan diktator Jerman yang banyak melakukan pembunuhan dan jenayah perang semasa Perang Dunia Kedua termasuk dikaitkan dengan penghapusan bangsa Yahudi. - Agensi

Orang utan melecur terbakar



ORANG utan jantan ini cedera selepas terjatuh ke atas tanah yang mempunyai unggun api.


PONTIANAK - Beberapa penduduk kampung yang cuba mengusir seekor orang utan keluar daripada sebatang pohon rambutan telah membakar haiwan tersebut secara tidak sengaja.
Menurut akhbar MailOnline kelmarin, orang utan jantan itu bersarang di atas pokok berkenaan setelah habitat asal haiwan berkenaan diganggu oleh manusia.
Insiden itu berlaku di kampung Lower Wajok, Kalimantan Barat.
Bimbang rambutan mereka akan habis dimakan, beberapa penduduk kampung cuba mengusir orang utan itu dengan membuat unggun api di pangkal pokok tersebut.
Api itu dipadamkan kemudian tetapi orang utan berkenaan jatuh ke tanah dan cedera.
"Selama 60 tahun saya tinggal di kampung ini, ini kali pertama peristiwa seperti ini berlaku," kata seorang penduduk kampung berusia 60 tahun, Ali Zakaria.
Mengulas kejadian pada Ahad lalu, Ketua Pusat Sumber Konservasi Alam Semulajadi (BKSDAS) di Kalimantan Barat, Niken wuri Handayani berkata, beberapa petugas agensinya dipanggil untuk merawat tetamu tidak diundang itu.
"Orang utan ini diberikan rawatan dan akan sembuh beberapa hari lagi sebelum dibebaskan semula ke rimba," kata Niken.
"Orang utan bukan spesies haiwan peliharaan," tambahnya
Menurut pegawai berkenaan, penduduk kampung telah dididik untuk tidak mencederakan orang utan dan menghubungi mereka jika haiwan itu menceroboh kampung.
Ujarnya, BKSDAS bertanggungjawab memantau sekitar 4,500 hingga 5,000 ekor orang utan yang hidup di Kalimantan Barat. - Agensi

Wanita enggan lepas beg ditetak


ORANG ramai membantu Rohairani yang cedera teruk di tangan kiri akibat ditetak peragut di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang wanita ditimpa malang apabila pergelangan tangan kirinya hampir putus akibat ditetak penjenayah ketika dia berusaha menyelamatkan beg tangannya daripada diragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini semalam.
Kejadian pada pukul 1.20 petang itu berlaku ketika mangsa Rohairani Abdullah, 36, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik di sini baru keluar dari kereta untuk ke kedai tudung.
Ketika ibu kepada dua orang anak itu berjalan ke kedai tudung, beg tangannya tiba-tiba diragut seorang lelaki sebelum penjenayah itu menetak bertubi-tubi tangan mangsa yang enggan melepaskan beg tersebut.
Seorang penjual tudung, Hidayah Daud, 21, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia melihat peragut itu cuba menarik beg tangan mangsa manakala seorang lagi lelaki menunggu di atas motosikal Honda EX5 di tepi jalan kira-kira 20 meter dari tempat wanita itu diragut.
Kejadian tersebut berlaku di tepi kedainya dan tindakan mangsa yang enggan melepaskan beg tangannya menyebabkan mangsa ditarik kira-kira tiga meter dari lokasi mula-mula mangsa diragut.
“Tindakan mangsa tidak melepaskan beg tangannya menyebabkan peragut itu marah lalu menetak tangan mangsa lebih tujuh kali,” kata saksi itu.
Menurut gadis itu, kejadian selama tiga minit itu menyebabkan orang ramai yang lalu lalang tergamam, panik dan hanya mampu menjerit kerana takut melihat tindakan kejam penjenayah itu.
“Peragut yang berputus asa kemudian meninggalkan wanita itu tanpa dapat meragut beg tangan mangsa,” kata Hidayah sambil memberitahu dia juga takut untuk membantu mangsa kerana penjenayah itu bersenjatakan parang.
Ekoran kejadian itu, kawasan tersebut dipenuhi darah yang meleleh daripada tangan mangsa yang cedera.
Katanya, kira-kira 15 minit kemudian ambulans tiba untuk membawa mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dekat sini bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu ada antara luka tersebut sedalam 38 sentimeter manakala urat pergelangan tangan kiri mangsa juga putus.

Sehingga malam tadi peragut berhati haiwan itu belum ditangkap manakala kecederaan tangan mangsa belum dapat diketahui statusnya.

Pegawai JKJR buta fail saman RM1 juta


Rozali menunjukkan matanya yang buta di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang kakitangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan memfailkan saman RM1 juta terhadap pemilik syarikat pengeluar produk penjagaan mata selepas mendakwa ubat titis yang digunakan menyebabkan sebelah matanya buta, tiga tahun lalu.
Pegawai JKJR, Rozali Che Mat, 40, memfailkan writ saman tersebut menerusi peguam, Shaharuddin Mohamed di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin di sini semalam.
Rozali yang menamakan pemilik syarikat tersebut, Mohd. Zulkifli Dollah serta rakan kongsinya Mohd. Azuan Alwi sebagai defendan mendakwa, mata kanannya buta hanya selepas menggunakan satu titisan ubat yang dibeli daripada syarikat defendan.
Syarikat produk penjagaan mata yang terkenal itu sebelum ini beralamat di Tumpat namun telah ditutup dan kini dikatakan beralamat di Petaling Jaya, Selangor.
Sehubungan itu, bapa kepada empat orang anak dari Pengkalan Chepa itu menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM1 juta serta ganti rugi lain yang diserahkan kepada budi bicara mahkamah.
Rozali ketika ditemui di mahkamah memberitahu, dia pergi ke premis perniagaan itu di Pondok Haji Ahmad, Kampung Genting, Pengkalan Kubor pada 19 Disember 2009 kerana mengalami kegatalan pada mata kanannya yang dimasuki habuk ketika bekerja di Labok, Machang.
Semasa mendapat rawatan di premis itu, plaintif mendakwa matanya disembur dengan sejenis ubat sebelum disyorkan membeli dua ubat terapi set siang dan malam untuk dititiskan ke dalam mata.
"Pulang ke rumah pada pukul 11 pagi, saya terus menitiskan ubat titis tersebut ke mata kanan saya dan kira-kira lima jam kemudian saya dapati mata saya mengalami keputihan seperti bernanah yang meliputi mata hitam saya," kata plaintif.
Rozali menambah, pada masa itu, matanya terasa sakit, bengkak serta penglihatannya terjejas namun menyangka ia mungkin tindak balas ubat lalu terus berhenti menggunakan ubat titis tersebut.
Jelas plaintif, selepas dua hari, matanya semakin teruk menyebabkan dia pergi ke sebuah klinik pakar mata di Kota Bharu.
Pemeriksaan doktor pakar itu kemudian mengesahkan mata kanannya buta malah jawapan sama turut diberikan oleh doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Polis tunggu keputusan DNA kes sumbang mahram babitkan pemimpin pembangkang




KUANTAN - Polis sedang menunggu keputusan ujian DNA bagi melengkapkan siasatan berhubung kes sumbang mahram membabitkan seorang pemimpin parti pembangkang dan anak lelakinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner T. Narenasegaran (gambar) berkata, sampel darah kedua-dua beranak itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian paterniti.
"Hasil daripada ujian, baru kita akan buat keputusan dan cadangan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau diminta mengulas laporan media mengenai penahanan seorang pemimpin kanan parti pembangkang dan anak lelakinya yang berusia 14 tahun bagi mem bantu siasatan satu kes sumbang mahram.
Media melaporkan dua beranak itu ditahan pada 22 Ogos lepas dan dibebaskan kelmarin dengan jaminan polis.
Tangkapan itu dibuat selepas anak perempuan pemimpin pembangkang itu yang berusia 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah hospital di Cheras, Selangor.
Remaja yang masih bersekolah itu kini ditempatkan di rumah perlindungan di Cheras.
Mengulas lanjut, Narenasegaran mengesahkan individu itu pernah bertanding pada pilihan raya umum lalu sebagai calon parti pembangkang untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Jerantut.
Katanya, lelaki berusia 59 tahun itu mempunyai dua isteri dan 11 anak berusia antara enam hingga 31 tahun. - Bernama

Suspek kes pecah asrama maut selepas bergelut dengan penuntut



ASRAMA sekolah agama swasta tempat kejadian seorang lelaki mati dipukul selepas memecah masuk asrama itu di Jalan Sultanah, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR – Seorang lelaki yang disyaki memecah masuk asrama sebuah sekolah agama swasta di Jalan Sultanah di sini maut selepas bergelut dengan sekumpulan pelajar asrama itu semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, suspek yang berusia 35 tahun dikatakan mencuri telefon bimbit dan beberapa beg di dalam asrama tetapi disedari penghuni asrama sebelum berlaku pergelutan antara suspek dan lima penghuni.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan (gambar kecil) memberitahu, suspek dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini selepas mengadu sakit akibat dipukul dan disahkan meninggal dunia pada pukul 2 petang.
“Siasatan awal mendapati tiada kecederaan luaran pada suspek kecuali mengalami patah tulang rusuk kiri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata beliau, buat masa ini siasatan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan siasatan lanjut akan dilakukan selepas laporan bedah siasat diterima.
Menurutnya, polis akan menahan kumpulan pelajar berusia lingkungan 20-an yang terlibat dalam kejadian itu jika mereka ada kaitan dengan kematian suspek.
Tambahnya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau antaranya dua kes pecah rumah dan satu kes curi dalam kediaman.

Setiausaha ditipu kekasih Nigeria



HOCK SENG menunjukkan gambar lucah di telefon bimbit yang dirampas daripada warga Nigeria yang ditahan kelmarin.


MELAKA - Hanya dalam tempoh dua bulan, seorang janda anak satu kerugian RM233,227.96 gara-gara terjerat dengan ayat-ayat cinta lelaki Nigeria menyamar sebagai doktor yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook pada awal Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, dalam tempoh perkenalan di alam siber itu, lelaki Nigeria itu mendakwa dia bekerja di Switzerland manakala mangsa yang berusia 56 tahun bekerja sebagai seorang setiausaha di sebuah syarikat.
Menurut beliau, setelah usia perkenalan mencecah hampir sebulan, suspek memberitahu bahawa dia ingin mengirim wang sebanyak AS$380,000 (kira-kira RM1,444,000) kepada mangsa kerana ingin membuka sebuah klinik di negara ini.
"Suspek juga memberitahu akan datang ke Malaysia pada penghujung bulan Mei untuk mengambil wang tersebut.
"Pada 30 Mei lalu, suspek mendakwa wang yang dibawa oleh seorang wanita sudah tiba di Kuching, Sarawak, namun pembawa wang tersebut ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas kesalahan membawa wang tunai," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Hock Sing berkata, suspek yang berhubungan dengan mangsa kemudian merayu agar mangsa menolongnya membayar RM54,500 kepada JKDM kononnya sebagai yuran kerana membawa wang tunai.
Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank seorang wanita tempatan pada penghujung Mei lalu.
"Keesokan harinya, janda itu memasukkan sebanyak RM6,500 ke dalam akuan sama setelah suspek mendakwa ada caj lain," kata beliau.
Jelas Hock Sing, pada 1 Jun lalu, mangsa sekali lagi memindahkan wang berjumlah RM77,227.96 ke dalam akaun sama setelah suspek memaklumkan perlu membayar cukai sebanyak tujuh peratus kerana wang yang dibawa itu.
Pada 4 Jun lalu, mangsa sekali lagi memindahkan wang sebanyak RM85,000 kononnya sebagai bayaran tambahan cukai tujuh peratus yang dikenakan.
Pada 5 Jun lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek kononnya wang sudah tiba di Kuala Lumpur dan meminta mangsa membayar RM10,000 kepada pembawa wang berkenaan melalui satu akaun bank lain.
Menurut Hock Sing, mangsa yang berasal dari sini kemudian diminta ke sebuah hotel di Kuala Lumpur kononnya untuk mengambil wang tersebut daripada seorang lelaki Afrika yang ditemani seorang lelaki tempatan.
"Mangsa diperbodohkan lagi apabila lelaki Afrika itu menyuruh mangsa membayar RM10,000 bagi membeli sejenis cecair kononnya bagi mencuci mata wang dolar Amerika Syarikat yang dibawa dalam sebuah peti besi," kata beliau
Bagaimanapun, kata beliau, mangsa terselamat daripada terus kerugian apabila dia tidak membawa duit dan mula berasa curiga dengan kedua-dua lelaki terbabit.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir pada 16 Ogos lalu.
Polis yang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut menahan pemilik akaun yang digunakan suspek.
Pemilik akaun tersebut merupakan seorang pelajar wanita tempatan berusia 23.
Susulan penangkapan wanita itu, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki Nigeria di sebuah resort di Putrajaya pada pukul 3 pagi kelmarin.
Polis turut merampas tiga telefon bimbit milik warga asing berkenaan. Semakan telefon bimbit berkenaan mengandungi klip video lucah yang dipercayai digunakan oleh lelaki-lelaki Afrika itu untuk memikat mangsa-mangsa mereka.

Bekas tahanan EO ditembak depan sekolah anak



Anggota polis memeriksa mayat Archuthan yang mati ditembak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan di Selayang Baru semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) yang baru beberapa bulan dibebaskan mati ditembak dua lelaki ketika menunggu untuk menjemput anaknya di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan di Selayang Baru dekat sini semalam.

Muhdalena pakai topeng power Rangers elak gambar dirakam



Muhdalena memakai topeng Power Rangers ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Wanita yang cedera ditembak dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bulan lalu menarik perhatian ramai apabila memakai topeng Power Rangers sebagai taktik bagi mengelak wajahnya dirakam.
Tertuduh Muhdalena Ahmad, 28, berkelakuan sedemikian ketika hadir bagi mendengar sebutan kali pertama kesnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini semalam.
Dalam prosiding itu, Hakim Mohd. Kafli Che Ali memberi tempoh selama sebulan kepada Muhdalena, 28, untuk melantik peguam bela sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan dalam tempoh 90 hari.
Mohd. Kafli memutuskan demikian untuk memberi peluang kepada tertuduh menyelesaikan semua urusan dokumentasi bagi kes pembelaan secepat mungkin, sekali gus membolehkan pihak pendakwaan memulakan perbicaraan.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 12 September depan bagi tarikh sebutan semula kes itu untuk tertuduh melantik peguam.
Muhdalena yang hadir berpakaian baju kurung dan bertudung merah dilihat tenang sambil mengangguk faham ketika mendengar arahan Mohd. Kafli itu.
Ditemani bapanya, Ahmad Adam, 55, ibu kepada dua anak itu dilihat memakai topeng mainan Power Rangers sejurus prosiding selesai bagi mengelak wajahnya dirakam jurugambar di luar mahkamah.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika didakwa kali pertama pada 16 Julai lalu di bilik wad, Hospital Putrajaya atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada anggota polis, Ridzuan Megat Ahmad dan membawa senjata iaitu sebilah pedang.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lepas.
Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki, Khalil Afandi Abd. Hamid, 47, yang menggelar dirinya Imam Mahadi terkorban.
Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan membawa pedang, Muhdalena didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Polis guna GPS jejak kereta curi

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Garmin GPS Malaysia dalam usaha menangani gejala kecurian kenderaan dengan menggunakan sistem alat pengesan kenderaan GPS (Sistem Kedudukan Global-Global Positioning System).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, jika sebelum ini tugas menangani kes curi kenderaan adalah tanggungjawab pihak polis, namun kini syarikat korporat seperti Garmin juga telah bekerjasama untuk menanganinya.
"Sebelum ini hanya polis yang bertanggungjawab dalam kes kecurian kenderaan namun sekarang kita sudah bekerjasama dengan sektor swasta untuk mengurangkan gejala curi kenderaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran sistem Navitrack Garmin di sini semalam.
Mohd. Bakri berkata, melalui sistem itu, pihak polis dapat melaksanakan tugas mengesan kenderaan dengan lebih cepat kerana mendapat maklumat yang lebih lengkap dan tepat.
Katanya, kebiasaannya penjenayah mencuri kereta untuk dua sebab, pertama mendapatkan alat ganti kereta dan kedua untuk dijual di luar negara. - Bernama

KDN minta laporan terperinci



PENIAGA (kiri) hanya membuka pintu untuk berurusan selepas yakin pelanggannya bukan penjenayah yang dipercayai kerap menyamun premis perniagaan di Segambut, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius trauma yang dihadapi para peniaga di Kawasan Perindustrian Taman City, Segambut di sini ekoran ancaman penjenayah dan mengarahkan polis serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memberikan laporan terperinci mengenai masalah sebenar yang berlaku di kawasan itu.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Abd. Rahim Mohd. Radzi (gambar kecil) berkata, pihaknya akan meneliti kes tersebut secara terperinci memandangkan ia boleh memberi imej negatif terhadap tahap keselamatan di Kuala Lumpur.
"Pihak kami berterima kasih kepada akhbar Kosmo! kerana menyiarkan berita ini dan tentunya KDN akan memberi respons kepada fenomena yang berlaku itu," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau mengulas laporan muka depan Kosmo! semalam mengenai masalah yang dihadapi kira-kira 40 peniaga di kawasan Segambut ekoran ancaman penjenayah sejak dua bulan lalu sehingga memaksa mereka berniaga dalam keadaan pintu premis tertutup.
Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan peniaga di kawasan itu supaya bekerjasama dengan pihak polis dan PBT untuk membendung jenayah.
Saranan yang sama turut dikemukakan oleh Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye yang berkata, komuniti setempat juga perlu memainkan peranan membendung jenayah.
"Urusan menangani jenayah adalah tugas polis. Namun penduduk juga perlu bekerjasama menyelesaikan masalah," ujarnya.
Setiausaha Parti Gerakan Wilayah Persekutuan, Wong Ruen Yuan pula berkata, pihaknya sedang menyediakan laporan terperinci masalah jenayah di sekitar Segambut untuk tindakan pihak polis.
"Masalah di Taman City ini turut dialami di kawasan lain di Segambut termasuk kawasan-kawasan perumahan," katanya.
Menurutnya, laporan itu akan dihantar kepada Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, tinjauan semula Kosmo! di kawasan tersebut semalam mendapati masih ada peniaga yang menutup pintu jeriji kedai bagi mengelak disamun.
Peniaga alat ganti kenderaan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Meng, 42, berkata, dia terpaksa berwaspada sepanjang masa selepas disamun tiga tahun lalu.
"Kedai saya pernah disamun tiga tahun lalu yang mana tiga lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan wang tunai dan barangan bernilai lebih RM10,000.
"Kami berharap pihak polis dapat mencegah jenayah dengan mengadakan rondaan lebih kerap di kawasan ini," ujarnya.
Penyelia kedai alat ganti, Fun Swee Keong, 27, pula berkata, walaupun kedainya tidak pernah disamun, tahap keselamatan yang kurang memuaskan di kawasan tersebut diakui membimbangkan.
"Kami juga sering bimbang dan ragu-ragu sama ada orang yang datang itu benar-benar pelanggan atau penjenayah," katanya yang membayar RM250 sebulan untuk mendapatkan khidmat pengawal keselamatan berkelompok.
Pekerja kedai alat ganti kenderaan, Lai Wai Lek, 28, memberitahu, mereka sebelum ini pernah berniaga dengan pintu separuh tertutup ekoran risau disamun penjenayah.
"Pekerja kedai kami tak ramai, biasanya kalau kedai-kedai lain sudah tutup, kami juga ikut tutup sekali takut berlaku kejadian tidak diingini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment