60 peniaga tidak ikut harga raya
|
BERA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengesan sebanyak 60 peniaga dan pemborong melakukan kesalahan sepanjang tempoh penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bermula 12 Ogos lepas sehingga tamat semalam.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 58 daripadanya membabitkan peruncit (pekedai) manakala dua lagi merupakan pemborong.
"Sepanjang tempoh dua minggu berkenaan, sebanyak 59,985 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara dan mereka yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan sewajarnya," kata beliau.
Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dataran Kerayong Bera di sini semalam.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah gagal mempamerkan tanda harga merah jambu pada barang kawalan dan tidak mempamerkan sebarang tanda harga dan menjual barang lebih daripada harga yang ditetapkan.
Menurutnya, kerjasama dan aduan orang ramai berkaitan pekedai melakukan kesalahan seperti menaikkan harga barang jualan, tanpa tanda harga dan kesalahan lain membantu pihaknya bertindak tegas ke atas peniaga terbabit.
Lelaki mati leher dikelar
GEORGE TOWN – Seorang lelaki tergamam apabila kedatangan ke rumah sahabat baiknya dikejutkan dengan penemuan mayat rakannya itu yang menjadi mangsa pembunuhan kejam di Kampung Sungai Pinang, Balik Pulau di sini semalam.
Mayat Ghadzali Ahamad, 53, ditemui kira-kira pukul 10 pagi semalam dalam keadaan kedua-dua belah tangan terikat serta kesan kelar di leher bersama tompokan darah.
Difahamkan, sebelum ditemui, rakan mangsa berasa curiga apabila mangsa tidak keluar selepas dipanggil berkali-kali.
Dia datang ke rumah mangsa untuk membawa lelaki itu ke Hospital Balik Pulau bagi mendapatkan rawatan susulan berhubung penyakit asma yang dihidapinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, rakan mangsa yang menyangka dia masih tidur menunggu hampir 10 minit sebelum dia mendapati pintu dan tingkap tertutup selepas membuat pemeriksaan di sekeliling rumah.
Dua maut diserang ala mafia
KUALA LUMPUR - Sekumpulan enam ahli kongsi gelap yang berang selepas dihalang daripada memasuki sebuah pusat hiburan bertindak ala mafia apabila menembak mati dua pengawal disko itu dalam kejadian di Jalan Doraisamy di sini semalam.
Kejadian pukul 4.30 pagi itu mengakibatkan Mohd. Akmal Jemain dan Muhammad Noor Rashid, masing-masing berusia 21 tahun, maut akibat cedera parah di kepala dan dada.
Mohd. Akmal maut di tempat kejadian pada pukul 5 pagi manakala Muhammad Noor pula disahkan meninggal dunia kira-kira lima jam kemudian ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Muhammad Noor merupakan peniaga pasar malam namun kerja separuh masa sebagai pengawal pusat hiburan tersebut.
Difahamkan, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bertegas enggan membenarkan samseng-samseng berkenaan masuk kerana waktu operasi premis berkenaan telah tamat.
Pelesit rempit maut ketika berlumba di Klang
KLANG – Seorang pemuda dipercayai pelesit rempit terbunuh apabila motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori di Persiaran Raja Muda Musa di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 pagi, mangsa, S. Sattindran, 20, maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha RXZ yang ditungganginya tercampak sejauh kira-kira 60 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui.
Difahamkan, sebelum tragedi itu, Sattindran dan seorang rakannya yang menaiki motosikal lain sedang berlumba apabila mereka dilihat beberapa kali melalui jalan tersebut.
Bagaimanapun, selepas motosikal ditunggangi Sattindran merempuh belakang lori, rakan mangsa terus melarikan diri.
Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd. Rahman berkata, mangsa mati di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.
Murid darjah enam mati terapung
KUALA KRAI - Seorang murid berusia 12 tahun yang terjatuh dari rakit di Sungai Lebir dekat sini kelmarin ditemui terapung kira-kira 20 meter dari tempat dia terjatuh dari rakit bersama seorang lagi rakannya.Dalam kejadian pada pukul 1 petang, mangsa, Mohd. Ikram Hazim Zainuddin, 12, bersama rakannya, Saiful Bazri, 10, menaiki rakit yang dibuat sendiri manakala dua rakannya, Mohd. Aizad, 13, dan Khairul Anas Suhaimi, 11, menunggu di tebing sungai.
Cerita Mohd. Aizad, dia bersama Khairul Anas berada di tebing sungai sambil makan mee segera manakala Mohd. Ikram dan Saiful pula bermain rakit yang dibuat menggunakan dua batang buluh.
"Baru beberapa minit berada di atas rakit tersebut, Mohd. Ikram tiba-tiba terjun ke dalam sungai manakala Saiful terjatuh dari rakit kerana air di kawasan tersebut tiba-tiba berpusar.
"Saya terus terjun ke dalam sungai dan sempat menarik Saiful naik ke tebing sungai namun gagal menyelamatkan Mohd. Ikram kerana mangsa hilang dibawa arus," kata remaja itu ketika ditemui.
Bangunan terbengkalai jejas imej Johor Bahru
JOHOR BAHRU - Selaku pintu masuk utama pelancong dari selatan tanah air, kepesatan pembangunan di bandar raya Johor Bahru sememangnya mengagumkan.
Bagaimanapun, di sebalik kepesatan pembangunan infrastruktur termasuk pembinaan menara dan bangunan tinggi, timbul kecacatan apabila terdapat banyak bangunan komersial yang terbengkalai.
Selain mencemarkan pemandangan, kebanyakan bangunan yang hampir siap tetapi dibiarkan kosong selama bertahun-tahun itu turut mengundang pelbagai masalah sosial serta kesihatan kepada penduduk setempat.
Sebanyak 13 projek bangunan komersial di Johor Bahru dilaporkan terbengkalai, namun terdapat tiga bangunan utama yang cukup ketara kelihatan pada pandangan orang ramai kerana terletak di lokasi strategik di pusat bandar raya ini.
Ketiga-tiga bangunan tersebut ialah Kemayan City di Jalan Skudai, Pacific Mall di Jalan Storey dan JB Waterfront City di pesisir pantai Lido yang sepatutnya mampu menambah tarikan kepada aktiviti pelancongan dan membeli-belah di Johor.
Tinjauan Kosmo! di Kemayan City mendapati, bangunan yang mengandungi sembilan tingkat ruang perdagangan, tiga blok pejabat dan satu blok hotel itu sudah rosak teruk akibat perbuatan vandalisme dengan cermin yang sudah pecah, dinding diconteng serta kawasan sekitar yang ditumbuhi semak-samun.
Pengusaha bas tamak
JOHOR BAHRU - Situasi terdesak orang ramai yang ingin pulang ke ibu kota pada saat-saat akhir semalam mendorong kebanyakan pengusaha bas ekspres di Terminal Bas Larkin di sini mengambil kesempatan menjual tiket pada harga yang jauh lebih mahal.
Selepas menerima aduan daripada pengguna, Kosmo! yang membuat tinjauan mendapati ada pengusaha sanggup menjual tiket ke Kuala Lumpur pada harga RM55.
Tidak kurang pula yang menawarkan harga antara RM40 hingga RM35.
Harga asal tiket bas ke ibu kota sebenarnya cuma RM31.20.
"Harga yang saya bagi merupakan harga standard pada musim perayaan, lagi pun hari ini (semalam) adalah hari terakhir orang ramai pulang ke kampung," kata seorang penjual tiket yang memberi alasan punca harga tiket dinaikkan.
Buktinya, wartawan Kosmo! yang cuba membeli tiket semalam terpaksa membayar tiket pada harga RM40 yang asalnya ditawarkan pada harga RM55.
Pertandingan makan embrio itik di New York
NEW YORK - Satu pertandingan memakan telur mengandungi embrio anak itik yang sempurna kali pertama diadakan di Amerika Syarikat (AS) kelmarin
Dikenali sebagai balut, telur berkenaan merupakan antara makanan menjijikkan di dunia.
Acara ekstrem tersebut dianjurkan oleh restoran Maharlika yang menjual masakan Filipina di sini.
"Telur ini direbus dan dihidangkan bersama secubit garam dan cuka tebu,
"Apabila kulit telur dipecahkan, anda mula dengan meminum cairan di dalamnya sebelum memakan janin anak itik. Jika anda bertuah, anda akan menemui embrio itik yang mempunyai sedikit bulu dan paruh kecil," kata pemilik bersama restoran berkenaan, Miguel Trinidad.
"Telur ini merupakan sumber protein yang hebat dan dapat menguatkan tenaga batin anda," tambahya.
Menampilkan 10 peserta, pertandingan sulung itu dimenangi oleh seorang lelaki, Wayne Algenio.
Dia memakan sebanyak 18 telur embrio dalam tempoh lima minit.
Algenio yang memenangi tali pinggang hitam bersadur emas berjanji akan mempertahankan kejuaraannya pada tahun depan. - Agensi
36 maut bas langgar lori tangki
BEIJING - Seramai 36 orang terbunuh apabila sebuah bas dua tingkat melanggar belakang sebuah lori tangki di sebatang lebuh raya di utara China semalam, lapor media negara berkenaan.
Agensi berita rasmi Xinhua menyatakan, rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar.
Menurut Xinhua, ketika kejadian sekitar pukul 2 pagi semalam (waktu tempatan), lori tangki tersebut sedang membawa bahan kimia metanol di sebatang lebuh raya dekat bandar Yan'an dalam wilayah Shaanxi.
Agensi berita tersebut memberitahu, seramai 39 orang berada di dalam kedua-kedua kenderaan itu semasa kejadian dengan hanya tiga orang yang terselamat.
Mangsa-mangsa yang terselamat kemudian dibawa ke sebuah hospital untuk menerima rawatan.
Keselamatan jalan raya merupakan masalah serius di China.
Menurut Xinhua, kelemahan penyelenggaraan jalan raya dan sikap pemandu yang lalai menyebabkan 70,000 kematian dan 300,000 kecederaan dilaporkan berlaku di China itu pada setiap tahun. - Agensi
No comments:
Post a Comment