Datuk gersang dicekup bersama janda
PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia 54 tahun dan pasangannya berusia 41 tahun antara lapan pasangan yang ditahan dalam Ops Cegah Maksiat, Biro Amal Maaruf Nahi Mungkar Masjid Al-Muhtadin di sebuah hotel bajet di Damansara Damai, awal pagi semalam.Hasil soal siasat mendapati, lelaki yang sudah mempunyai tiga cucu itu menyewa bilik dengan alasan mahu bertemu dengan kekasihnya yang merupakan seorang janda.
Manakala sepasang kekasih berusia 22 tahun yang menuntut di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) tidak mahu membuka pintu dan mempertikaikan tindakan pegawai masjid namun akur selepas penerangan diberikan.
Kesemua pasangan berusia 20 hingga 50 tahun dibawa ke masjid dengan menaiki van jenazah sebelum ke semua diberikan kaunseling oleh imam masjid.
Timbalan Nazir Masjid Al-Muhtadin, Nasir Hassan berkata, operasi tersebut dilakukan bagi membanteras gejala maksiat di kawasan perumahan itu.
“Hotel-hotel bajet di sini memang sentiasa dipantau kariah di sini berikutan ia sering menjadi tumpuan pasangan kekasih melakukan perkara tidak elok,” katanya.
Susulan itu, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Damansara Damai berhubung tangkapan yang dilakukan.
Sinar
Lemah baca al-Quran: Lantikan pegawai mukim ditangguh
JAKARTA: Datuk Bandar Gorontalo, Adhan Dhambea menangguhkan perlantikan pegawai mukim kerana tidak mampu membaca al-Quran dengan baik.
“Anda tidak boleh dilantik sekarang. Perbaiki bacaan al-Quran barulah saya akan melantik anda pada jawatan yang baru itu,” katanya dalam ujian membaca al-Quran sebelum majlis perlantikan itu di Gorontalo, Sulawesi Utara, semalam.
Adhan memberi dua bulan kepada pegawai itu, untuk memperbaiki bacaan kitab suci.
Pegawai kerajaan Islam di bandar itu perlu mempunyai kemampuan membaca al-Quran dengan baik.
Subhanallah! Kucing 2 wajah
RALEIGH: Seekor kucing yang mempunyai dua warna berbeza pada mukanya mengejutkan pengguna Internet di seluruh dunia dan membolehkan kucing berkenaan, Venus, menjadi sensasi di atas talian dalam masa yang singkat.Ribuan pengunjung melawati laman Facebook kucing aneh itu yang setakat ini sudah menerima 40,000 ‘like,’ sementara video mengenai kucing yang comel itu di YouTube ditonton hampir sejuta kali dalam masa beberapa hari saja.
Bulu muka kucing itu yang terbahagi secara simetri dengan warna hitam dan perang kemerah-merahan disamakan dengan versi lebih comel karektor komik, musuh Batman paling terkenal, Two-Face.
“Kami menerima pelbagai komen dari teknik Photoshop hingga kepada dakwaan kami mewarnakan sebahagian mukanya.”
“Dia dilahirkan sedemikian. Kami memiliki seekor kucing belang dan seekor hitam. Apabila saya melihat Venus kali pertama, saya berkata: ‘Oh. Ia kelihatan kombinasi kedua-dua kucing kami itu,’” kata pemilik kucing itu, Christina, dari Carolina Utara kepada rancangan Today Show.
“Ketika itu kami tidak melihat matanya. Reaksi pertama teman saya ialah: ‘Kita tidak perlukan haiwan lain lagi untuk dipelihara.
“Tetapi apabila kami lihat matanya dari jarak dekat, kami jatuh hati dengannya. dan saya berkata: ‘Kita perlu memiliki kucing ini!’
“Anda adalah bintang, Venus! Menarik!!!,” tulis seorang pengunjung dalam laman Facebook rasminya.
Seorang lagi menulis: “Kucing yang sungguh cantik. Saya begitu gembira Venus menemui kediaman yang baik dengan ibu bapa yang penyayang.”
Kini, populariti menanti Venus. Selepas muncul dalam rancangan Today Show, kucing yang berwajah luar biasa dikatakan akan membintangi video akan datang Lady Gaga. – DM
Syiling RM36,800 bertabur atas jalan
HULU SELANGOR – Sebuah van keselamatan yang membawa duit syiling dianggarkan berjumlah RM36,800 terbabas dan terbalik di Kilometer 426.7 Lebuh Raya Utara-Selatan selepas susur keluar Bukit Beruntung di sini semalam.Kejadian pada pukul 12 tengah malam itu mengakibatkan pelbagai duit syiling milik sebuah pasar raya dan sebuah syarikat konsesi lebuh raya di dalam kenderaan itu bertaburan di atas lebuh raya.
Ketika kejadian, terdapat tiga kakitangan syarikat keselamatan di dalamnya termasuk seorang pemandu yang berusia 38 tahun. Ketiga-tiga pekerja itu bagaimanapun mengalami kecederaan ringan.
Difahamkan, sebahagian besar wang itu dapat dipungut semula oleh kakitangan syarikat keselamatan dan pekerja lebuh raya itu menggunakan penyodok namun terdapat juga orang awam yang dilihat cuba mengutipnya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, tayar belakang sebelah kiri van itu dikatakan pecah menyebabkan ia hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya.
“Ekoran rempuhan itu, van tersebut terbalik di atas lebuh raya dan rosak teruk.
“Pemandu van dan dua rakannya yang cedera itu menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sungai Buloh,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Kosmo
Rita cabar Jue buktikan tuduhan
“Jika dia tidak dapat membuktikan tuduhannya itu, saya mahu dia membuat permohonan maaf secara terbuka,” kata pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 35, yang terkilan dengan kenyataan Jue Aziz yang mendakwa dirinya menuduh wanita itu mempunyai hubungan dengan suaminya juga pemain skuad bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak.
Rita Rudaini yang menghubungi Rap, Rabu lalu, melahirkan rasa kesal, terkejut dan terkilan selepas membaca kenyataan Jue seperti disiarkan menerusi akhbar ini pada hari yang sama, Jue mendakwa Rita menuduhnya dan Aidil mempunyai hubungan.
Satu lagi kenyataan Jue: “Jika benar saya ada keluar dengan Aidil, tunjukkan bukti dan di mana. Jangan buat cerita yang kru produksi nampak kami keluar berdua kerana sepanjang masa saya sibuk dengan penggambaran di luar ibu kota.”
Menurut Rita, kenyataan itu dengan jelas menuduh dirinya sebagai penyebar gosip mereka berdua dan kenyataan pelakon itu sememangnya keterlaluan.
“Seperti yang saya jelaskan dalam siaran akhbar ini, Rabu lalu, saya sendiri dimaklumkan gosip mengenai hubungan Aidil dan Jue melalui rakan media yang menghubungi saya untuk mendapatkan komen apabila suami saya dikatakan rapat dengan pelakon itu.
“Pertanyaan itu datang daripada seorang wartawan sebuah majalah sekitar Mac lalu dan sebaik mendengar hal berkenaan, saya terus bertanyakan kepada Aidil, tetapi dia kata langsung tidak mengenali Jue.
“Saya bertanya kepada Aidil pun bukan sebab saya cemburu atau tidak senang dengan hubungan mereka (Aidil dan Jue) berdua seperti dimaklumkan wartawan berkenaan. Sebaliknya berkata kepada Aidil jika mahu mempunyai skandal sekalipun jangan sampai menyusahkan saya. Gosip mereka berdua membuatkan wartawan mencari saya untuk mendapatkan komen.
“Kalau saya jahat sangat sampai ingin menyebarkan hal ini, dari Mac lalu hal ini sudah sampai ke pengetahuan umum. Tetapi kerana saya sudah tidak mahu ambil tahu mengenai apa yang Aidil ingin lakukan, saya biarkan saja gosip itu masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri,” katanya.
Satu lagi kenyataan Jue yang disifatkan tidak berasas oleh Rita apabila wanita itu mendakwa jangan mengada-adakan cerita yang kru produksi pernah melihat Jue dan Aidil keluar berdua.
“Saya nak tanya dia (Jue), dia dengar cerita dari mana dan siapa yang kononnya saya berkata begitu?
“Ini kerana saya tidak pernah berhubung dengan Jue atau meminta penjelasan daripadanya sejak gosip itu berlegar Mac lalu kerana seperti yang saya katakan, saya sudah tidak mahu ambil pusing apapun yang Aidil ingin buat.
“Satu lagi kenyataan melampau Jue apabila dia berkata yang saya boleh minta simpati di luar sana, tetapi bukan dengan orang dalam industri yang kenal siapa diri saya sebenarnya.
“Saya lebih makan garam berbanding dirinya (Jue) dalam bidang seni ini dan Alhamdulillah sampai sekarang saya masih diberi kepercayaan pihak produksi untuk melakonkan watak utama, sekali gus membintangi drama, telefilem serta filem terbitan mereka. Saya bukan mahu takbur atau bangga diri, tapi sila jaga bahasanya itu.
“Kalau saya pernah senyap seketika pun, itu bukan sebab tiada ‘job’ tetapi saya sendiri mengambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.
“Sepanjang lebih 10 tahun berlakon, saya jarang terbabit dengan kontroversi melainkan isu ‘kahwin lari’ itupun kerana ingin melakukan perkara baik, sedangkan Jue, apakah dia langsung tidak pernah dihambat kontroversi? Saya tidak mahu sebut kontroversi pernah menghambat dirinya yang pernah saya, umum dan penggiat seni dengar kerana tak mahu membuka aibnya. Lagipun dia tiada kena-mengena dengan hidup saya.
“Cuma, saya berharap dia lebih berhati-hati dengan tutur katanya dan jangan sewenang-wenangnya bercakap hal orang sedangkan dia sendiri bukan seorang artis yang boleh dianggap ‘bersih dan bebas’ kontroversi,” kata Rita.
Berhubung percanggahan pengakuan Aidil yang mengatakan langsung tidak mengenali Jue sedangkan Jue pula mengakui mempunyai nombor pin BBM Aidil dan pemain bola sepak itu, baru-baru ini ada berhubung dengan Jue untuk menyelesaikan kemelut gosip yang mengaitkan mereka berdua, Rita serahkan pada umum untuk menilai.
“Biarlah orang yang membaca kenyataan saya dan Jue sebagai dilaporkan Harian Metro, Rabu lalu menilai sendiri. Saya percaya pembaca bijak menilai.
“Menurut Jue, suami saya ada menghubunginya untuk menyelesaikan gosip yang mengaitkan mereka berdua, tetapi kenapa Aidil tidak berbuat demikian untuk menerangkan hal sebenar kepada saya yang masih lagi isterinya walaupun situasi rumah tangga kami ketika ini ibarat ‘retak menanti belah’.
“Bukan itu saja, kalaulah saya berada di tempat wanita yang dikaitkan dengan suami orang, saya akan menghubungi isteri kepada lelaki berkenaan untuk meminta maaf di atas gosip yang tersebar, sekali gus menafikan jika ia tidak benar. Bukannya kita menuduh dan menghina isteri lelaki itu pada umum,” katanya.
Harian Metro
Ragut: Wanita ditetak hampir putus tangan
KOTA BHARU – Seorang pembantu klinik swasta hampir putus pergelangan tangan kirinya selepas ditetak salah seorang daripada dua peragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini, hari ini.Kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa Rohaini Abdullah, 36, sedang berjalan kaki seorang diri di hadapan pusat jualan berkenaan untuk ke tempat letak keretanya, yang tidak jauh dari situ.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Pintu Geng di sini baru sahaja menamatkan kerja shif siang sebelum kembali semula untuk shif malam.
Ibu kepada dua cahaya mata yang pengsan selepas kejadian itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.
Saksi kejadian, Hidayah Daud, 21, berkata kejadian itu berlaku di hadapan pusat jualan tudung berkenaan yang merupakan tempat dia bekerja.
“Ketika kejadian saya lihat peragut berkenaan menarik beg tangan mangsa namun tidak berhasil apabila mangsa berjaya menariknya.
Hidayah berkata, menyedari mangsa masih tidak melepaskan beg tangannya, peragut berkenaan seterusnya bertindak ganas dengan menetak pergelangan tangan kiri mangsa.
“Mangsa ditetak lebih tujuh kali sehingga terjatuh dan masa itu darah telah berlumuran pada tangan mangsa. Selepas itu peragut tersebut telah bertindak melarikan diri dengan membonceng motosikal yang ditunggang seorang lagi rakanya yang sudah menunggu apabila menyedari kehadiran orang ramai di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, peragut tidak sempat melarikan barangan berharga daripada mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu luka sedalam 38 sentimeter dan putus urat pergelangan tangan kiri.
Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai tampil membantu siasatan.
Sinar
Kes Obinna: Pengurus Kelantan serah kepada polis
Katanya, oleh kerana perkara berkenaan disiasat polis, ia wajar diserahkan kepada pihak berkuasa.
“Perkara ini sudah dilaporkan ke pihak polis, dan masih dalam siasatan, jadi kita tunggu keputusan selanjutnya,” kata Azman ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.
Dia dikatakan berang sebelum bertindak kasar terhadap pengurus pasar raya berkenaan.
Pemain itu menyumbangkan gol penyamana kepada Kelantan ketika menentang ATM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam tadi.
Kedua-dua pasukan mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 1-1.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa dan pemain bola sepak sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.
Sinar
Hati sudah lama kosong – Rita Rudaini
PERASAAN cintanya sudah lama padam buat sang suami mengenangkan apa yang diperlakukan terhadap dirinya dan anak-anak. Justeru itu, pelakon jelita Rita Rudaini Mokhtar, 35, enggan mengenang lagi kisah sedih yang singgah mencemari rumah tangga mereka yang suatu ketika pernah bahagia.
Namun, dalam semakin dia memperoleh ketenangan dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, hidupnya kembali diduga apabila menjadi buruan pihak media tatkala umat Islam sedang sibuk meraikan lebaran.
Semuanya gara-gara gosip berhubung Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 25, yang dikatakan intim dengan pelakon seksi, Jue Aziz, sebagaimana disiarkan dalam ruangan gosip, sebuah akhbar, baru-baru ini.
“Gosip mengenai mereka berdua Rita dengar sejak Mac lalu, tetapi tidak pernah ambil pusing lagipun ia bukan hal Rita. Malah, Rita sendiri pernah bertanyakan kepada Aidil mengenai hal ini menerusi SMS dan dia membalas gosip itu tidak benar dan dia langsung tidak mengenali Jue.
“Bagaimanapun, kenyataan Jue pula di sebuah akhbar baru-baru ini, mengakui bahawa dia dan Aidil hanya kenalan biasa. Jadi, Rita tidak tahu siapa yang bercakap benar dan yang mana satu Rita harus percaya. Kalau nak ‘coverline’ pun berpakat untuk keluarkan jawapan yang seiring.
“Tapi tidak kisahlah sama ada kenal atau tidak, Rita cuma hendak beritahu bahawa hati Rita sudah lama kosong buat Aidil. Perasaan cinta juga sudah hilang. Jadi terserahlah apapun yang dia ingin lakukan,” katanya.
Pun begitu, jelas Rita status mereka yang masih suami-isteri membuatkan dirinya sedikit terganggu apabila tidak semena-mena turut diheret sama kerana sejak gosip itu tersebar ramai wartawan mencari dan mahukan komennya.
Paling menyedihkan, dalam berita suaminya dikatakan dekat dengan Jue ada pula pihak yang menuding jari padanya walhal yang dikatakan sedang bercinta adalah mereka berdua. Sedangkan Rita, mendedikasikan seluruh hidupnya sehari-hari buat anak dan kerjayanya.
“Selesai penggambaran saya pulang rumah fokus pula pada anak-anak. Tidak ada masa nak melepak dan inilah diri Rita sejak dulu sejak berkahwin dengan Aidil. Tetapi mengapa Rita pula yang hendak dipersalahkan, sedangkan gosip yang bertebaran membicarakan soal Aidil dan Jue.
“Rita sendiri tidak tahu sejauh mana kebenaran gosip yang disampaikan. Kalau benar dia berlaku curang di belakang, itu dia kena jawab dengan Tuhan. Memang benar rumah tangga kami hampir hancur, namun perbuatan curang di belakang tanpa pengetahuan isteri tetap bersalah.
“Ramai orang beritahu Rita sebelum ini, Rita hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Serius Rita tak kuasa sebabnya sebelum ini pun ada beberapa perempuan menghubungi dan bertemu Rita sendiri memaklumkan mereka rasa tertipu dengan Aidil yang mengaku dirinya sudah berpisah dengan Rita walhal kami belum bercerai.
“Berbalik mengenai Aidil dan Jue, kalau benar bagai dikata Rita tidak mahu salahkan sebelah pihak saja kerana umum tahu keadaan rumah tangga kami iaitu bermasalah, namun belum bercerai. Apa yang penting jangan kacau Rita kerana sekarang ini Rita hanya mahu fokus kehidupan Rita yang sangat gembira bersama anak-anak.
“Rita ada memaklumkan Aidil, dia boleh buat apa saja atau mahu skandal dengan sesiapapun, tetapi tolong jangan sampai menyusahkan Rita,” katanya.
Rita mengahwini Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, juga pemain skuad bola sepak kebangsaan dan Negeri Sembilan, secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata Airit Rayyan Rizqin, 3, dan Airit Rafqa Arjuna, setahun dua bulan.
Mohon untuk menamatkan bicara berkisar permasalahan rumah tangga yang belum berkesudahan, Rita bagaimanapun bersiap sedia menghadapi sebarang ketentuan Ilahi. Kalau jodohnya tidak panjang, dia menerima dengan reda dan hati yang ikhlas.
Beralih topik perbualan, Rita yang baru pulang dari bercuti panjang di Perlis, Ahad lalu sempena meraikan Aidilfitri di kampung halamannya berkata, perayaan kali ini disambut dengan meriah meskipun tanpa kehadiran suami di sisi.
“Selalunya setiap tahun Rita akan buat rumah terbuka pada hari raya pertama. Bagaimanapun, tahun ini Rita terpaksa buat rumah terbuka dua kali iaitu pada hari raya pertama dan keempat.
“Peminat yang hadir adalah mereka yang Rita jemput melalui twitter. Rita berasa cukup terharu kerana ada yang datang dari jauh termasuk dari Kuala Lumpur,” katanya.
Kepulangan Rita, nampaknya terus diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya bakal terbabit dengan sebuah penggambaran filem (masih dirahsiakan judulnya) serta telefilem, Ku Pinang Kau Dengan Bismillah untuk Astro, September ini.
Menyifatkan tahun ini sebagai tahun bertuah buatnya apabila diberi peluang membintangi pelbagai filem antaranya yang sudah selesai dijalani iaitu Balistik dan Pengapit. Pelakon berwajah jelita itu memanjatkan rasa syukur kerana dia terus diberi kepercayaan dalam lambakan pelakon baru yang tidak kurang hebatnya.
Harian Metro
Mahkamah tolak empat permohonan suami pertikai jantina Sri Wani
KUALA LUMPUR – Usahawan Produk Kecantikan, yang menjadi perhatian media selepas jantinaya dipertikai suami, Sri Wani Choo Abdullah bersyukur dan gembira selepas Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan kesemua empat permohonan yang difailkan suaminya, Professor Dr Baharom Sanugi di sini, semalam.
Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan membatalkan empat permohonan bekas Dekan sebuah Instutusi Pengajian Tinggi Awam itu termasuk permohonan faraq nikah (dipisahkan perkahwinan) dan perintah mahkamah agar Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) selepas meragui jantina sebenar wanita terbabit.
Mahkamah turut menolak permohonan komital (pemenjaraan) dan perintah menegah Sri Wani daripada mengeluarkan kenyataan kepada pihak media yang difailkan oleh Bahrom sebelum ini.
Abdul Walid berkata, keputusan tersebut dibuat selepas meneliti afidavit permohonan yang difailkan Sri Wani yang memohon untuk menggantung semua prosiding mahkamah kerana Baharom bukan seorang permastautin tetap dalam Wilayah Persekutuan.
“Responden telah gagal memberikan bantahan dan menyerahkan affidavit kepada mahkamah walaupun mahkamah telah memberikan tempoh yang mencukupi kepada pihak responden,” katanya.
Abdul Walid berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes yang difailkan pemohon, sekali gus membatalkan keempat-empat permohonan Baharom.
Hakim turut menolak apabila peguam Baharom cuba membantah keputusan berkenaan, dan meminta mereka membuat rayuan dalam tempoh 14 hari sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan itu sambil menyifatkan pihak responden tidak serius dalam kes berkenaan.
Sementara itu, Baharom yang diwakili peguam Muhammad Hafiz Ab Rashid terdahulu memberitahu mahkamah, alamat yang digunakan anak guamnya di Taman Datuk Senu sememangnya bukan bukan rumah miliknya, sebaliknya Baharom hanya menyewa salah sebuah bilik di rumah itu.
Pada 6 Julai lalu, Sri Wani memfailkan permohonan di Mahkamah tersebut untuk menggantung prosiding perbicaraan dan soal balas permohonan komital bekas Dekan Profesor Dr Baharom Sanugi terhadap isterinya, Sri Wani Choo Abdullah sehingga mendapat keputusan sama ada kuasa mahkamah mendengar kes pasangan itu atau sebaliknya.
Isu bidang kuasa mahkamah ditimbulkan Sri Wani pada prosiding sebelum ini kerana dia mendakwa suaminya menipu alamat penyampaian di Kuala Lumpur dalam semua dokumen kes itu, sedangkan alamat sebenar adalah di Batu Caves.
Baharom Sanugi, 61, mengesyaki Sri Wani lelaki, telah memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu, seorang pengusaha produk kecantikan, yang memeluk Islam pada 2001.
Pasangan tersebut bernikah pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.
Sementara itu, Sri Wani, yang ditemani peguam Boestamam Ahmad, ketika ditemui media menyatakan kesyukuran kepada ALLAH SWT dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepadanya selama ini.
“Segala hinaan selama ini saya telan, walapun sangat pahit untuk saya lalui. Alhamdulillah hari ini saya bebas kerana ALLAH masih sayangkan saya.
Selama ini saya terpaksa menutup mulut dapada memberi sebarang kenyataan kepada pihak media, kerana saya dalam injunksi mahkamah, hari ini saya bebas. Hanya Allah balas jasa baik semua,”katanya.
Turut hadir peguam Sri Wani, Ahmad Izuddin Fakhrullah dan wakil Sukaguam, Nur Hafidzah Mohd. Yusuff.
Sinar
Lelaki didakwa jual ijazah palsu USM RM540
GEOGETOWN – Seorang daripada tiga suspek yang ditahan pada hujung Jun lalu berhubung kes pemalsuan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM), dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menjual ijazah palsu pada harga RM540.Lim Chuan Soon, 26, bekas pemilik perniagaan permainan dalam talian mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz.
Chuan Soon dari Taman Tokai Jaya, Alor Setar, Kedah didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank, I- Avenue Bayan Baru, di sini pada 25 Jun lalu.
Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, S Selvaranjini yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon, kerana kes ini melibatkan kepentingan awam.
Chuan Soon yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah itu dikurangkan.
“Saya minta jaminan dikurangkan. Saya daripada keluarga miskin. Kedua ibu-bapa saya meninggal sejak saya kecil lagi. Disebabkan inisiden ini, saya kehilangan kerja, kawan-kawan dan saya tidak ada wang simpanan untuk membayar jaminan tinggi.
“Puan hakim, saya bertanggungjawab ke atas semua pertuduhan dihadapi di mahkamah. Saya bersumpah tidak akan melarikan diri daripada menghadiri prosiding mahkamah. Saya bersedia memberi sepenuh kerjasama sepanjang kes ini dibicarakan. Dengan ini, saya memohon wang jaminan dikurangkan,” katanya.
Mengambil kira rayuan itu, Sitarun Nisa kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Chuan Soon sementara menunggu sebutan semula kes pada 28 September ini.
Sementara itu, difahamkan Chuan Soon menghadapi satu lagi kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan yang sama iaitu menipu Wan Noorhafiza Wan Hussin, 23, dengan mengambil RM14,500 sebagai bayaran mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perakaunan (Kepujian) USM sedangkan ia tidak sah laku.
Sinar
Polis isytihar perang ke atas peragut
KOTA BHARU – Polis mengisytiharkan perang secara besar-besaran ke atas peragut di negeri ini bagi membanteras jenayah yang dilihat semakin kejam ekoran seorang wanita ditetak bertubi-tubi ketika cuba diragut di Jalan Sultanah Zainab di sini kelmarin.Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, bagi merealisasikan langkah drastik itu, lebih 100 anggota polis wanita dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu diarah turun padang bermula hari ini.
“Bermula esok (hari ini) untuk tempoh dua minggu secara syif, 100 anggota polis wanita dikerahkan turun padang untuk memberi kesedaran kepada golongan wanita mengatasi jenayah ragut,” kata beliau ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semasa melawat mangsa ragut, Rohairani Abdullah, 36.
Dalam kejadian di Jalan Sultanah Zainab kelmarin, Rohairani hampir putus tangan kirinya apabila mangsa ditetak tujuh kali oleh penjenayah yang cuba meragut beg mangsa.
Penjenayah menetak tangan mangsa apabila wanita itu enggan melepaskan beg tangannya.
Akibat pergelutan selama tiga minit itu, pergelangan tangan kiri mangsa hampir putus tetapi nasib baik doktor berjaya menyambungnya semula.
Selain itu, Jalaluddin memberitahu, polis juga akan meningkatkan rondaan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas yang menjadi sasaran penjenayah jalanan.
“Kita juga menubuhkan beberapa pasukan khas untuk melakukan risikan, pemantauan dan mengumpul maklumat untuk memburu penjenayah terbabit,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Jalaluddin berkata, sebanyak lapan kes ragut dilaporkan sepanjang tahun ini dan kejadian kelmarin merupakan kes pertama melibatkan peragut menggunakan senjata dan mencederakan mangsa.
Dalam tempoh sama, polis juga berjaya memberkas 18 peragut dengan lima daripada suspek sudah dituduh di mahkamah.
Bagaimanapun, menurut beliau, bagi kes membabitkan Rohairani, belum ada tangkapan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 20 kawasan di bandar Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian untuk diletakkan anggota polis wanita terbabit.
Antara lokasi di Kota Bharu ialah di Pasar Siti Khadijah, KB Mall dan Pasar Buluh Kubu.
Kosmo
Dua pemain Penyu dihukum bawa perempuan balik hotel
DUA pemain Terengganu, Ismail Faruqi dan Muslim Ahmad perlu melupakan hasrat mereka untuk meneruskan kempen Piala Malay- sia musim ini bersama skuad Penyu ekoran masalah disiplin.
Ia selepas kedua-dua pemain didapati melanggar peraturan dan pulang ke bilik penginapan kira-kira pukul 3 pagi beberapa jam sebelum bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Selasa lalu.
Jurulatihnya, Peter James Butler ketika dihubungi mengesahkan bahawa kedua-dua pemain itu tidak akan bermain kerana kecewa dengan kegagalan kedua-dua mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Balik pukul 3 pagi dan bawa gadis ke hotel. Ia benar-benar tidak boleh diterima,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Butler, perbuatan itu menunjukkan kedua-dua pemain tersebut tidak menghormati beliau, pasukan, pihak pengurusan serta seluruh rakyat Terengganu.
“Jika tiada sebarang keajaiban, mereka tidak akan bermain untuk saya lagi.
“Saya memerlukan pemain yang berdisiplin dan komited dengan pasukan,” katanya.
Menurut Butler, dari segi pasu- kan, kedua-dua pemain itu tidak akan dibenar bermain selagi beliau menjadi jurulatih Terengganu tetapi bagi pihak pengurusan, ia belum diputuskan lagi.
Jelasnya, beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap kedua-dua pemain itu.
Dalam pada itu, menurut Butler, ketiadaan kedua-dua pemain itu tidak akan meninggalkan kesan besar kepada Terengganu untuk mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini kerana mereka mempunyai ramai pemain muda yang berbakat.
“Erison Da Silva seorang pemain pertahanan yang hebat dan persembahan Joseph Kalang Tie juga sering kali tidak mengecewakan.
“Selain itu, kami mempunyai pemain Piala Presiden seperti Muhd. Fakhrurazi Musa yang boleh dipanggil apabila diperlukan,” katanya.
Jelasnya, kekalahan tipis 1-2 ketika bertemu Kedah di Alor Setar, Selasa lalu tidak akan melunturkan semangat pasukannya dan yakin Terengganu akan kembali memberi saingan.
“Saya bimbang kerana pemain kita yang sepatutnya boleh bermain dengan baik gagal mempamerkan aksi sebenar kerana tidak mendapat rehat yang cukup.
“Tetapi kita akan bangkit bermula dengan kemenangan ke atas Kedah, Sabtu ini,” katanya.
Kosmo
Mayat lelaki dipotong & dibakar tanpa kepala
NIBONG TEBAL: Kepulan asap di sebuah lorong kecil berhampiran ladang kelapa sawit membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki terbakar dalam keadaan tanpa kepala, kedua-dua tangan dikerat pada paras siku dan kaki dipotong di bahagian paha.
Mayat lelaki dipercayai mangsa pembunuhan kejam itu ditemui orang awam yang curiga selepas melihat kepulan asap dekat ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil, di sini, jam 9.45 pagi, semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mat Nasir Salleh berkata, ketika ditemui sebahagian mayat masih terbakar itu dan mangsa hanya berseluar dalam.
Harian Metro
Bas kilang cabut lepas langgar mati
KUALA LUMPUR: Seorang mahasiswa sebuah kolej swasta maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis sebuah bas kilang dalam kemalangan di Jalan Melati 1/5, Taman Melati, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, bas kilang yang dipandu dari arah bertentangan bertembung motosikal mangsa menyebabkan dia tercampak sebelum digilis di kepala.
Mangsa, Wan Ahmad Al-Muzammil Abdul Hamid, 26, berasal dari Kuala Terengganu baru menamatkan pengajian dalam ijazah sarjana muda teknologi maklumat di sebuah kolej swasta April lalu.
Difahamkan, bas berkenaan yang dalam perjalanan menghantar pekerja kilang pulang di kawasan berkenaan, bagaimanapun terus meninggalkan tempat kejadian.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Jalan Dutamas 2, semalam seorang penunggang motosikal warga Indonesia maut selepas dirempuh sebuah kereta.
Kejadian jam 9 pagi itu berlaku sebaik mangsa yang menunggang motosikal menukar laluan secara tiba-tiba untuk memintas kereta Proton Waja untuk memasuki persimpangan kanan.
Akibatnya, mangsa maut di tempat kejadian selepas tercampak di cermin depan kereta berkenaan dan terjatuh di atas jalan manakala pembonceng cedera ringan.
Mangsa yang dikenali sebagai Mustar, 46, berasal dari Surabaya, Indonesia dan bekerja di Malaysia.
Saksi kedua-dua kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampi membantu siasatan di balai polis atau menghubungi rakan cop di talian 03-21159999.
Harian Metro
Bagi alasan halau lembu, rogol kanak-kanak
Lelaki berusia 55 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan di dalam sebuah ladang sawit di Bukit Asahan, baru-baru ini.
Mangsa yang sedang bermain dengan adiknya di kawasan berhampiran, sebelum mereka didatangi lelaki berkenaan yang mengarahkan mereka mengikutnya ke dalam sebuah ladang sawit dengan alasan untuk menghalau lembu.
“Suspek membawa mangsa ke dalam ladang berkenaan sebelum membuka baju mangsa dan meraba bahagian sulitnya.
“Mangsa mendiamkan diri dan tidak menceritakan mengenai kejadian itu kepada keluarganya apabila pulang ke rumah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keesokan harinya, mangsa dipaksa menceritakan apa berlaku oleh ibunya selepas dilihat sugul dan gelisah.
“Mangsa telah dibawa ke Balai Polis Asahan dan satu laporan polis telah dibuat,” katanya di sini, semalam.
Menurut Gunarajan, sepasukan polis menyerbu rumah suspek dan menahannya untuk membantu siasatan.
Sinar
‘Mana ada bawa balik wanita’
BELI panadol, bukan bawa balik wanita ke hotel. Demikian penjelasan Muslim Ahmad yang sebelum ini digugurkan daripada skuad utama Terengganu bersama rakan sepasukan, Ismail Faruqi gara-gara didakwa melanggar disiplin oleh jurulatih, Peter James Butler.
Selain dituduh pulang lewat, mereka juga didakwa membawa wanita balik ke hotel oleh Butler selepas perlawanan menentang Kedah pada aksi Kumpulan B kempen Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa lalu.
Muslim menjelaskan, dia bukannya membawa balik wanita ke bilik penginapan, sebaliknya hanya pulang lewat pada hari kejadian kerana membeli makanan dan panadol untuk Ismail yang demam.
“Memang saya (akui) keluar lewat. Tapi saya keluar beli makanan dan panadol untuk Ismail sebab dia demam,” dakwa Muslim kepada Kosmo!.
Kosmo! semalam melaporkan nasib malang Muslim dan Ismail yang digugurkan dari skuad utama Terengganu selepas mereka didakwa pulang lewat ke bilik penginapan sekitar pukul 3 pagi, selain didakwa membawa pulang wanita ke bilik hotel oleh Butler.
Dalam pada itu, Ismail turut menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Butler dan telah menyerahkan perkara itu kepada pihak atasan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bagi menilai situasi sebenar.
“Dakwaan itu (membawa wanita ke hotel) sangat tidak berasas, jadi saya dan Muslim telah menyerahkan kes ini kepada pihak atasan untuk menilai situasi ini.
“Tuduhan berat itu telah memberikan kesan buruk kepada imej kami, keluarga, pasukan dan pihak pengurusan PBSNT.
“Justeru, kami menuntut permohonan maaf secara terbuka (daripada Butler) untuk membersihkan nama baik kami di atas kesalahan yang kami langsung tidak buat,” katanya.
Enggan mengulas lanjut, Ismail juga berharap insiden ini memberikan pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati bagi menjamin kariernya sebagai pemain bola sepak.
Dalam pada itu, Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh mengesahkan kedua-dua pemain itu bakal beraksi menentang Kedah di Stadium Ismail Nasiruddin Shah malam ini jika bebas daripada kecederaan.
“Siasatan terhadap dakwaan Butler mengenai dua pemain itu hanya akan dilakukan selepas kempen Piala Malaysia berakhir. Apa yang penting ketika ini tumpuan untuk perlawanan menentang Kedah (malam ini) sebelum menentang Kelantan dan ATM,” tegasnya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menasihatkan PBSNT supaya tidak berkompromi dengan mana-mana pemain yang mempunyai masalah disiplin walaupun pemain itu berstatus bintang.
“Kita tak mahu pemain yang tidak berdisiplin. Tidak mengapa kalau kehilangan mereka pun (Muslim dan Ismail Faruqi), kita tidak boleh menjadikan bintang itu sebagai pasport untuk tunjukkan contoh yang tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam.
Kosmo
No comments:
Post a Comment