Sunday, October 28, 2012

BERDOALAH...ALLAH TAK KAN MEMPERSIA-SIA DOA KITA.

Kanak-kanak disangka mati ditemui selamat




NICOSIA, Cyprus – Tiada siapa yang tahu berapa lama seorang kanak-kanak lelaki, Bushr Al-Tawashi, 2, berada di dalam rumahnya yang telah musnah di ibu negara Syria sebelum tentera pemberontak menemui dan menyerahkan Bushr kepada ibu bapanya yang percaya bahawa anak mereka sudah mati.
Ketika berusaha melarikan diri apabila pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak tercetus di Al-Kaboun, pinggir Damsyik, ibu bapa Bushr, Arin Al-Dakkar dan Machhour Al-Tawashi menyangka anak mereka telah diambil oleh ahli keluarga yang lain.
“Apabila tiba di sebuah kem pelarian, mereka mula menyedari kehilangan Bushr. Malangnya, pertempuran sengit menghalang mereka untuk kembali ke Damsyik,” kata seorang peguam dari Cyprus, Stella Constantinou.
Yakin bahawa anaknya sudah tiada, Al-Tawashi, isteri dan dua orang anaknya tiba di Cyprus pada 6 Ogos lalu untuk mendapatkan suaka. Mereka kini tinggal di bandar Limassol, Cyprus.
Setelah mendengar berita Bushr masih hidup, keluarga itu meminta bantuan Constantinou. Kementerian Luar Cyprus membantu mempercepatkan proses menyatukan semula kanak-kanak itu dengan keluarganya.
“Saya tidak dapat menjelaskan bagaimana perasaan saya apabila melihat Bushr. Pada mulanya dia tidak mengenali saya, tetapi setelah kami mujuknya, dia mula memanggil ‘ayah, ayah,” kata Al-Tawashi. – Agensi

Zawahiri seru umat Islam culik warga Barat


FOTO Yang disediakan oleh Kumpulan Perisikan Site menunjukkan pemimpin Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri berucap dalam satu video di lokasi yang tidak diketahui.


WASHINGTON – Pemimpin Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri menggesa rakyat Mesir supaya memulakan semua revolusi dalam usaha menegakkan undang-undang Islam dan menculik warga Barat, jelas Kumpulan Perisikan Site kelmarin.
Dalam satu video berdurasi 58 minit yang disiarkan di satu forum jihad, Zawahiri turut menyelar Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama sambil menyifatkannya sebagai penipu serta meminta Obama mengakui kekalahan AS di Iraq, Afghanistan dan Afrika Utara.
Selain mengkritik kerajaan baharu Mesir sebagai dipimpin oleh seorang presiden yang keluar daripada Persaudaraan Muslim dan korup, Zawahiri turut menyatakan perjuangan kini tertumpu kepada usaha menegakkan undang-undang syariah di Mesir.
“Perjuangan belum berakhir, sebaliknya baru bermula. Revolusi di Mesir mesti diteruskan. Umat Islam mesti berkorban demi maruah Mesir. Saya juga menyeru orang Islam supaya menculik warga negara yang menentang Islam,” kata Zawahiri. – AFP

Kontraktor palsu tipu RM2 juta

KERJA pengubahsuaian ruang tamu rumah Chiew Ming di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang terbengkalai pada Mei lalu selepas suspek menghilangkan diri.


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mendakwa dirinya sebagai kontraktor kini menjadi buruan polis serta lebih 10 pemilik rumah di sekitar ibu negara selepas disyaki menipu dalam projek pengubahsuaian bangunan membabitkan kerugian lebih RM2 juta sejak awal tahun lalu.
Suspek mudah memperdayakan mangsa kerana menjalankan urusan seperti kontraktor tulen dengan mengemukakan sebut harga serta resit bayaran menggunakan alamat sebuah syarikat pereka dalaman di Selayang dekat sini.
Bagaimanapun, apa yang menyebabkan para pelanggannya sesal tidak sudah ialah suspek menghilangkan diri sebaik sahaja mendapat bayaran dan dalam kes tertentu, hanya menyiapkan sebahagian projek sebelum lesap.
Dia dipercayai bergiat aktif di sekitar Sentul, Sri Petaling, Kepong, Segambut dan Balakong.
Seorang mangsa, Chai Chiew Ming, 43, mendakwa kerugian lebih RM260,000 apabila lelaki itu menghilangkan diri selepas menyiapkan separuh sahaja daripada kerja pengubahsuaian rumah dua tingkat miliknya di Sri Petaling, di sini pada Mei lalu.
Perunding perniagaan itu pada sidang akhbar di sini semalam memberitahu, selepas gagal mengesan suspek dan mendapati pejabat lelaki itu di Selayang sebenarnya disewa syarikat lain, Chiew Ming membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini.
Seperti mangsa yang lain, Chiew Ming mendapatkan khidmat suspek menerusi orang tengah yang dikenali sebagai Khor.
Peniaga barang lusuh, Wan Kok Heng, 31, pula mendakwa kerugian lebih RM100,000 apabila mengupah suspek untuk mengubahsuai rumah teres milik isterinya di Sentul Jaya 3 di sini pada April lalu.
Kok Heng hanya menyedari ditipu selepas suspek lesap dan projek pengubahsuaian rumah itu terbengkalai.
Akibatnya, dia terpaksa membelanjakan puluhan ribu ringgit lagi untuk mengupah kontraktor lain menyiapkan projek tersebut.

Bayi didera dikata digigit hantu


KESAN kecederaan di belakang kepala seorang bayi yang disyaki didera pengasuhnya di Sungai Nibong, George Town.


GEORGE TOWN - Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan apabila anak sulungnya berusia lima bulan terpaksa menjalani pembedahan di kepala Khamis lalu selepas disyaki didera pengasuh di sebuah rumah di Sungai Nibong di sini.
Kejadian itu disedari oleh wanita berkenaan pada 22 Oktober lalu ketika membawa anak perempuannya menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat mengalami demam panas.
Sebaik sahaja diperiksa, doktor memaklumkan paru-paru anaknya telah dijangkiti kuman manakala pemeriksaan menerusi mesin pengimbas mendapati ada darah beku di ubun-ubunnya.
Ibu bayi tersebut yang mahu dikenali sebagai Lin mendakwa, anaknya diasuh oleh seorang wanita berusia 20-an sejak berusia dua bulan. Pengasuh itu merupakan jiran lama mereka.
Menurutnya, dia mula curiga dengan cara penjagaan pengasuh berkenaan sebaik sahaja menyedari terdapat kesan lebam dan luka kecil di belakang kepala anaknya pada 27 Ogos lalu.
"Pada masa itu, saya cuba bertanya kepada dia (pengasuh) tetapi dia mendakwa kemungkinan digigit hantu ataupun terkena gelang yang dipakainya.
"Saya dan suami tidak mengesyaki apa-apa yang buruk sehinggalah baru-baru ini (22 Oktober) anak saya mengalami demam panas dan doktor memberitahu terdapat kesan pendarahan lama di kepalanya," katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini semalam.

Misteri penemuan mayat wanita bertatu


ANGGOTA polis memeriksa mayat seorang wanita yang ditemui di dalam but kereta Perodua Kancil di Taman Johor Jaya, Johor Bahru malam kelmarin.


JOHOR BAHRU - Mayat seorang wanita dengan kesan tikaman di perut ditemui di dalam but sebuah kereta Perodua Kancil berwarna hijau di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin berkata, mayat berusia lingkungan 30-an itu ditemui orang ramai yang lalu di kawasan tersebut pada kira-kira pukul 7 malam.
Katanya, ketika ditemui, mayat wanita yang dipercayai berketurunan Melayu itu lengkap berpakaian tetapi tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.
"Mayat tersebut ditemui di dalam but kereta dan siasatan awal kami menemui satu kesan tikaman di perut. Wanita berkenaan tidak mempunyai pengenalan diri tetapi mempunyai tatu berbentuk sayap di bahagian pinggul," katanya di sini semalam.
Jelas Roslan, hasil siasatan awal mendapati, kereta Perodua Kancil terbabit yang didaftarkan atas nama seorang wanita Melayu telah berada di lokasi kejadian sejak Rabu lalu.
Katanya, mayat telah dihantar ke Hospital Sultan Ibrahim di sini untuk bedah siasat dan keputusan hanya akan diketahui esok.

Batal lesen, sita gerai warga asing


AHMAD PHESAL (kiri) mengagihkan daging korban kepada orang ramai selepas merasmikan program korban di Masjid Negara semalam.


KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak tegas membatalkan lesen dan menyita lot gerai yang didapati disewakan oleh rakyat tempatan kepada warga asing.
Amaran itu dikeluarkan bagi mengekang kebanjiran warga asing yang berniaga menggunakan lot gerai yang dikhususkan kepada rakyat tempatan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, masalah itu berpunca daripada sikap peniaga tempatan sendiri yang mahu meraih pendapatan secara mudah dengan mengenakan kadar sewa tinggi kepada warga asing.
"Mereka tahu warga asing akan tetap bayar biarpun mahal. Ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab penjaja tempatan terhadap lesen yang kita berikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program korban di Masjid Negara semalam.

Warga emas mati dihentak dumbell 10 kilogram


ANGGOTA polis mengangkat mayat Kin Geok selepas ditemui mati di rumahnya di Bukit Subang, Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Seorang warga emas berumur 60 tahun ditemui mati dengan kesan cedera parah di kepala dipercayai akibat dihentak menggunakan pengangkat besi atau dumbell seberat 10 kilogram (kg) di rumahnya di Jalan Spektrum U16/22, Bukit Subang di sini semalam.
Mangsa, Teh Kin Geok ditemui anak saudaranya dalam keadaan berlumuran darah di bawah longgokan baju dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah itu pada pukul 1.30 petang.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner, Rusdi Mohd. Isa berkata, anak saudaranya pergi ke rumah terbabit selepas mangsa yang merupakan ibu tunggal gagal dihubungi sejak pagi semalam.
Menurutnya, pengadu yang terkejut apabila menemui mayat ibu saudaranya dalam bilik itu terus menghubungi polis.
"Hasil pemeriksaan ke atas mangsa menemui tiga kesan kecederaan di kepala dan senjata digunakan dipercayai dumbell yang ditemui dalam rumah tersebut.
"Polis juga mendapati tiada kesan rumah itu dipecah masuk namun kami masih menyiasat jika ada barang milik mangsa yang hilang," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Rusdi memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama seorang anak lelaki berumur 28 tahun dan dua anak angkat berusia 6 bulan dan 2 tahun di rumah berkenaan.

Tukang kimpal lemas dihanyut ombak

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang kimpal yang dikhuatiri lemas sejak petang kelmarin ditemui mati berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Chendering dekat sini kira-kira pukul 1.50 petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6.30 petang kelmarin, mangsa, Tuan Syed Ahmad Saufi Tuan Mohamad, 26, yang berasal dari Kampung Chendering dikatakan dihanyutkan ombak semasa mandi-manda bersama empat lagi saudaranya di Pantai Chendering.
Sepupu mangsa, Mohamad Ramli, 30, berkata, Tuan Syed Ahmad Saufi memang telah bercadang untuk mandi di pantai tersebut bersama empat lagi saudaranya sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
"Saya difahamkan semasa mereka sedang mandi, tiba-tiba ombak kuat datang dan Tuan Syed Ahmad Saufi telah dihanyutkan ke tengah laut.

Jalan mendap terbiar sebulan


SIVASUBRAMANIAM menunjukkan jalan yang mendap di laluan masuk ke Taman Jelai, Kuala Lipis semalam.


KUALA LIPIS – Lebih 300 penduduk di kawasan Taman Jelai di sini bimbang terhadap kejadian jalan mendap yang berlaku di laluan masuk perumahan tersebut sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, kejadian jalan mendap itu menjadi lebih serius ekoran hujan berterusan pada minggu ini.
Keluasan jalan yang rosak akibat kejadian mendapan itu ialah 5 meter manakala kedalamannya 3 meter.
Berikutan kejadian itu, semua kenderaan yang keluar masuk ke taman itu bergerak melalui satu lorong sahaja. Dikhuatiri runtuhan tanah yang lebih besar akan berlaku jika kerja pemulihan tidak dilaksanakan segera.
Seorang penduduk, M. Sivasubramaniam, 37, berkata, kejadian itu berlaku sejak sebulan lalu namun sehingga kini masih tiada kerja membaik pulih mendapan dan runtuhan berkenaan.
“Selain hujan lebat, kejadian mendapan ini dipercayai berpunca daripada saluran paip air bawah tanah yang pecah sehingga mengakibatkan struktur tanah di jalan tersebut tidak kukuh.

Polis masih buru suspek samun keluarga pesawah

YAN - Polis masih giat mengesan dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes samun sebuah keluarga pesawah dengan melarikan wang tunai dan kereta Perodua Myvi di Kampung Simpang Empat, Sedaka di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu memberitahu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan bagi menyiasat kes jenayah itu.
"Setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan. Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan suspek menerusi dua buah basikal yang ditinggalkan mereka selepas menyamun di rumah tersebut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! semalam melaporkan dalam kejadian pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Azizan Hanafi, 63, dan menantunya, Mohd. Fakhzan Nasir, 34, cuba melawan penyamun terbabit tetapi mereka cedera ditetak dengan parang sehingga terpaksa beraya di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Azizan menerima 50 jahitan akibat luka ditetak tiga kali di kepala dan dua kali di belakang badan manakala Mohd. Fakhzan cedera di tapak tangan kanan dan kepala.
Kedua-dua perompak terbabit kemudian meninggalkan basikal mereka untuk melarikan diri dengan kereta Myvi milik Mohd. Fakhzan selepas memperoleh wang tunai RM200.

Clara minat sukan payung terjun




GADIS berdarah kacukan Iban-Bidayuh-British, Wilhelmina Clarabelle Tambung Mcmillan ada menyimpan satu impian yang boleh menimbulkan rasa gerun ramai orang.
Sekali dalam seumur hidup, gadis berusia 19 tahun yang lebih suka dipanggil Clara ini mahu mencuba aktiviti payung terjun.
"Saya berani mencuba kerana tidak gayat, harap nanti saya dapat mengikuti kursus payung terjun," katanya yang turut berminat melakukan terjun lelabah.
Pelajar Kolej Multimedia Sarawak di Kuching ini percaya aktiviti lasak seumpama itu boleh memberi kepuasan dan menguji ketabahan diri.
Walaupun anak ketiga daripada empat beradik ini ingin mencuba aktiviti lasak, dia tetap memberi tumpuan kepada pelajaran selain minatnya kepada bidang tarian.

No comments:

Post a Comment