Sunday, October 28, 2012

TIADA PERKARA BERLAKU SECARA KEBETULAN...SEMUANYA TELAH ALLAH TENTUKAN@TAKDIRKAN

Gencatan senjata di Syria berkecai

BASHAR (tiga dari kanan) berdoa di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik semalam.


BEIRUT - Gencatan senjata yang bermula pada sambutan Hari Raya Aidiladha berkecai di Syria semalam apabila tiga orang awam mati ditembak oleh beberapa anggota tentera pemerintah.
Menurut Kumpulan Pemerhati Untuk Hak Asasi Manusia, tiga orang itu mati ketika beberapa anggota tentera Syria melepaskan tembakan di bandar Harsta, pinggir Damsyik.
Kumpulan berkenaan turut mendakwa gencatan senjata selama empat hari itu musnah di beberapa wilayah di Syria.
Bagaimanapun, pengarah kumpulan itu, Rami Abdel Rahman memberitahu agensi berita AFP, keganasan didapati berkurangan berbanding sebelum ini.
Sementara itu, Presiden Bashar Al-Assad bersolat sunat Aidiladha di Masjid Al-Afram di kawasan al-Muhajirin, Damsyik.
Bashar kelihatan tenang, memberikan senyuman dan berjabat tangan dengan sejumlah orang di masjid itu.
Sementara itu, suasana Hari Raya Aidiladha kelihatan suram di Syria ekoran pertempuran yang berlaku sejak Mac tahun lalu yang mengakibatkan lebih 30,000 orang terbunuh.
Pertempuran itu berlaku antara tentera Syria dengan kumpulan yang menentang pemerintahan Bashar.
"Semua orang gembira hanya kerana mereka masih hidup," kata seorang wanita di sebuah bandar yang dikepung tentera Syria berhampiran sempadan Turki ketika diminta mengulas tentang sambutan hari raya. - Agensi

112 orang terbunuh di Myanmar


SEORANG penduduk Rakhine (kanan) yang cedera dalam keganasan melibatkan etnik Rohingya dirawat di sebuah hospital di Sittwe, Myanmar semalam.


KYAUKTAW, Myanmar - Seramai 112 orang terbunuh dalam keganasan yang berlaku di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak enam hari lalu yang melibatkan etnik Rohingya yang beragama Islam, kata seorang pegawai semalam.
Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu memberi amaran demokrasi yang berkembang di Myanmar akan terjejas ekoran pergolakan tersebut.
Pergolakan itu berlaku lima bulan selepas etnik Rohingya bergaduh dengan etnik Rakhine yang beragama Buddha mengakibatkan lebih 80 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 75,000 penduduk terpaksa berpindah.
Menurut beberapa etnik Rakhine kepada agensi berita Reuters, mereka ditembak oleh anggota-anggota pasukan keselamatan yang melaksanakan arahan ketenteraman awam di negeri tersebut.
Seorang pegawai penerangan di negeri itu, Win Myaing berkata, antara yang terbunuh itu ialah 61 orang wanita.
Menurut kenyataan Pejabat Presiden Myanmar, Thein Sein, kira-kira 2,000 buah rumah dan lapan bangunan keagamaan musnah pada Rabu lalu.
Keganasan itu berlaku pada Ahad lalu apabila sekumpulan etnik Rohingya melakukan tunjuk perasaan ekoran kekurangan bekalan makanan dan bantuan di kampung mereka.
Sebahagian etnik Rohingya didakwa membakar rumah di pekan Min Bya dan Mrauk Oo di utara Rakhine pada Isnin lalu menyebabkan berlaku pertempuran dengan penduduk beragama Buddha.
Bagaimanapun, seorang penduduk beragama Buddha, Tun Tun berkata, pekan Mrauk U kembali tenang selepas lebih ramai anggota keselamatan dihantar dari bandar Sittwe.
Pada Jun lalu, penduduk beragama Buddha di negeri Rakhine membunuh 10 orang etnik Rohingya yang menyebabkan berlakunya keganasan di negeri itu.
Keganasan itu tercetus selepas tiga penduduk beragama Islam didakwa merogol seorang wanita beragama Buddha. - Agensi

Monyet liar Florida ditangkap selepas diburu selama dua tahun


SEEKOR monyet liar dikurung selepas haiwan itu ditembak dengan ubat pelali di St. Petersburg, Florida pada Rabu lalu.


ST. PETERSBURG, Florida - Seekor monyet liar yang diburu sejak dua tahun lalu akhirnya berjaya ditangkap pada Rabu lalu di sini, lapor agensi berita AP semalam.
Monyet yang tergolong dalam keluarga rhesus itu berjaya ditangkap selepas haiwan tersebut ditembak dengan menggunakan ubat pelali.
Selepas ditembak, monyet itu melarikan diri di sebuah kawasan hutan sebelum ia ditangkap oleh sekumpulan penangkap haiwan.
Seorang penangkap haiwan, Vernan Yates telah diarah Suruhanjaya Perlindungan Hidupan Liar dan Ikan Florida untuk mengetuai penangkapan monyet itu.
Monyet tersebut dihantar ke sebuah klinik bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
Selepas menjalani pemeriksaan, haiwan itu akan dikuarantin selama 30 hari sebelum dihantar ke sebuah pusat perlindungan haiwan.
"Saya menangis," kata Elizabeth Fowler yang merupakan penduduk di Tasik Maggiore.
Bahu wanita itu pernah digigit monyet tersebut yang memanjat belakang badannya beberapa minggu lalu.
Cucu Fowler, Sky Cowan, 8, merupakan antara penduduk yang kerap melihat kelibat monyet itu di kawasan yang mengandungi banyak pokok di belakang rumahnya.
"Dia akan duduk di kawasan semak dan hanya makan pisang," katanya yang turut memberitahu bahawa monyet itu tidak takut untuk datang dekat rumahnya.
Monyet itu turut mempunyai akaun Facebook ekoran popularitinya dalam kalangan penduduk. - Agensi

Anak ikan yu disambar helang masih hidup di padang golf


GAMBAR yang dirakamkan pada Isnin lalu menunjukkan seekor anak ikan yu bintang yang ditemui dekat lubang ke-12 di padang Kelab Golf San Juan Hills, selatan Los Angeles.


LOS ANGELES - Seekor anak ikan yu yang masih hidup ditemui berada dekat lubang ke-12 di Kelab Golf San Juan Hills, selatan bandar raya ini pada Isnin lalu.
Anak ikan yu bintang yang sepanjang 60 sentimeter itu dipercayai disambar seekor burung helang laut di Lautan Pasifik dekat padang golf tersebut.
Burung helang itu kemudian melepaskan ikan tersebut semasa ia terbang melintasi padang golf berkenaan.
"Seorang petugas kami yang membuat rondaan mendapati terdapat sesuatu yang bergerak-gerak di atas rumput dekat lubang ke-12.
"Selepas melakukan siasatan, dia mendapati terdapat seekor ikan yu yang kecil. Dia kemudian membawa ikan tersebut dengan menggunakan kereta golf ke bangunan kelab," kata pengarah operasi kelab itu, Melissa McCormack kelmarin.
Menurutnya, terdapat tanda gigitan pada badan anak ikan itu sekali gus menyebabkan beberapa kakitangan kelab tersebut menganggap ia terjatuh dari paruh burung helang.
McCormack berkata, seorang kakitangan kelab golf kemudian membawa ikan tersebut untuk dilepaskan ke Lautan Pasifik di pantai Dana Point yang terletak lapan kilometer dari situ. - AFP

Mangsa rompak beraya di hospital

AZIZAN yang cedera di kepala dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI – Malang bagi sebuah keluarga di Kampung Simpang Empat Sedaka, Yan dekat sini semalam yang terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di hospital apabila dua anggota keluarga itu cedera parah ditetak dua penyamun sehari sebelum itu.
Dua mangsa yang malang itu ialah Azizan Hanafi, 63, dan menantunya, Mohd. Fakhzan Nasir, 34. Mereka yang cedera masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Cerita Azizan, sebelum kejadian pada pukul 5.30 pagi, dia berada di dalam bilik kerana mahu mengambil ubat selepas habis bersahur bersama isteri, Mah Sulaiman, 62, anak, Shaukiah Hanim, 33, dan menantu, Mohd. Fakhzan.
“Tiba-tiba saya terdengar isteri menjerit dari dapur memberitahu ada penyamun.
“Saya bergegas masuk ke dapur sebelum bergelut dengan seorang lelaki bertopeng yang kemudian menetak belakang badan dan kepala saya menggunakan parang,” kata Azizan ketika ditemui di HSAH.
Katanya, Mohd. Fakhzan yang berada di luar rumah cuba membantu namun dia juga ditetak penjenayah.
Dalam pergelutan itu, Azizan yang mengusahakan bendang di kawasan rumahnya ditetak tiga kali di atas kepala dan dua kali di belakang badan. Azizan terpaksa menerima kira-kira 50 jahitan.
Mohd. Fakhzan pula ditetak di tapak tangan kanan dan atas kepala.
Azizan memberitahu, insiden tersebut merupakan kejadian pertama rumah mereka cuba dirompak sejak keluarganya tinggal di rumah itu kira-kira 40 tahun lalu.
Sementara itu, Mohd. Fakhzan berkata, ketika kejadian dia membuka pintu dapur dan keluar dari rumah untuk masuk ke bilik air yang terletak di luar.
Sebelum sempat memasuki bilik air, Mohd. Fakhzan mendakwa dia ternampak kelibat seseorang di luar rumah yang disangka bapa mertuanya.

Derita ibu, anak koma dua tahun


Roswati bersama Nor Arisya terlantar di rumah mereka di Felda Jengka 18, Maran semalam.


MARAN - Sambutan Aidiladha tiada erti lagi kepada dua beranak malang di sini selepas mereka koma sejak dua tahun lalu akibat komplikasi ketika melahirkan anak.
Roswati Abd. Wahab, 33, bekas pembantu tadbir sebuah agensi kerajaan di Melaka dikatakan koma ketika bersalin manakala anak yang dilahirkan, Nor Arisya A. Razak turut ditimpa nasib yang sama dengan ibunya kerana kekurangan oksigen.
Kini dua beranak itu hanya terlantar di rumah Rosnani Harun yang merupakan ibu Roswati di Felda Jengka 18, Maran.
Rosnani memberitahu, Roswati ketika mengandungkan Nor Arisya disahkan menghidap darah tinggi kronik selain penyakit sawan.
"Masa nak bersalin dia pengsan dan diserang sawan sehingga jantungnya berhenti berdenyut untuk seketika," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Rosnani, doktor yang merawat Roswati di Hospital Melaka terus melakukan pembedahan untuk menyelamatkan Nor Arisya tetapi cucunya itu lahir dalam keadaan koma berikutan kekurangan oksigen.
Memandangkan menantunya tidak dapat menjaga isteri dan anak mereka setiap hari disebabkan bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Melaka, Roswati dan Nor Arisya dihantar ke Maran untuk dijaga oleh Rosnani.
Komplikasi kesihatan yang dihadapi menyebabkan susuk tubuh Roswati yang dahulu gempal kini semakin susut dan hanya bergantung hidup kepada susu yang dimasukkan melalui tiub sebanyak enam kali sehari.
Rosnani mengharapkan ihsan mana-mana pihak yang sudi membantu agar dapat menghubunginya di talian 019-998 3526.

Geng pencuri budak mentah ditangkap


TIGA remaja kumpulan pecah kedai membawa barangan yang dicuri dari sebuah pasar raya selepas ditangkap oleh anggota polis di Balai Polis Pusat Miri semalam.


MIRI – Misteri lima buah premis dipecah masuk dalam tempoh seminggu di bandar ini terurai dengan kejutan apabila mereka yang disyaki melakukan jenayah itu bukanlah kumpulan perompak profesional yang berbadan tegap, bengis serta bersenjata tetapi hanyalah empat budak lelaki berusia 12 hingga 14 tahun.
Mereka dipercayai belajar cara membuka mangga kunci menggunakan pemutar skru daripada rakan-rakan dan menggunakan ilmu itu untuk melakukan jenayah.
Semalam, empat penjenayah cilik yang tidak bersekolah itu bertindak menceroboh sebuah pasar raya di Jalan Brooke di sini pada pukul 7 pagi dan melarikan mesin wang.
Bagaimanapun, kali ini mereka tersilap langkah apabila berjalan membawa mesin tersebut di hadapan Balai Polis Pusat Miri.
Anggota polis yang berkawal di situ mencurigai kehadiran kumpulan remaja itu dan terus menegur mereka sebelum kesemuanya menjadi takut dan melarikan diri.

Tiga maut Wira dirempuh pacuan empat roda

TEMERLOH - Tiga sahabat maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum dirempuh kenderaan lain di Kilometer 104.6, Lebuh Raya Pantai Timur dekat Lanchang semalam.
Mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 5.58 pagi itu ialah pemandu kereta Proton Wira, Gan Kai Lun, 26, penumpang depan, Tan Teh Kang, 26, dan penumpang belakang, Low Yee Yam, 34,
Kai Lun dan Teh Kang berasal dari Pekan Kerdau di sini manakala Yee Yam dari Klang, Selangor.
Pemangku Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintendan Zundin Mahmood berkata, kereta yang dinaiki tiga sahabat itu dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Temerloh, sebelum terbabas dan melanggar penghadang besi di lebuh raya berkenaan.
Menurut beliau, pada masa sama sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh kereta Proton Wira tersebut.
Semua mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Bagaimanapun, pemandu kenderaan pacuan empat roda dan isterinya tidak cedera.

Tiga lelaki miliki revolver, peluru beraya di lokap


ARJUNAIDI (kanan) menunjukkan revolver yang dirampas daripada tiga lelaki yang ditahan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Tiga lelaki terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha di lokap apabila mereka ditahan selepas polis menemui sepucuk pistol jenis revolver dalam serbuan di sebuah hotel di Dataran Mentari di sini kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 11.15 pagi itu, polis menahan seorang wanita warga Thailand berusia 21 tahun dipercayai teman wanita kepada salah seorang suspek terbabit.
Tiga suspek lelaki yang ditahan itu berusia 19 hingga 35 tahun.
Ketika ditahan, keempat-empat suspek itu sedang tidur di dalam bilik hotel sama.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, turut dirampas bersama revolver itu ialah empat butir peluru.
Difahamkan, senjata api itu disimpan di dalam almari di bilik hotel tersebut.
"Kita juga merampas sejumlah dadah jenis syabu dan pil eramin 5 serta alat menghisap dadah di dalam hotel berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati salah seorang suspek yang ditahan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes dadah manakala seorang lagi dikehendaki polis," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Kesemua suspek masih ditahan bagi membantu siasatan.

Beli kucing berharga RM100,000


HEZLIN FAZRINA menunjukkan kucing Bengal di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu kelmarin. Kucing itu dihantar kepada pemiliknya di Adelaide, Australia.


KOTA BHARU – Seorang peminat kucing dari Adelaide, Australia sanggup membelanjakan RM100,000 bagi memenuhi hasratnya memelihara seekor kucing Bengal dari Moscow, Rusia.
Kucing betina yang bernama Polar Day itu pada awalnya dibeli oleh Julie Menadue Sancheita, 50, dengan harga RM30,000 tetapi melonjak sehingga mencecah RM100,000 apabila terpaksa menanggung kos perjalanan, insurans, kuarantin, perubatan dan makanan.
Polar Day sempat membesar di Malaysia apabila dikehendaki dikuarantin sekurang-kurangnya enam bulan di negara transit seperti yang disyaratkan kerajaan Australia terhadap kemasukan haiwan asing.
Ketika dihantar oleh pemiliknya, Svetlana Ponomareva, 50, dari Moscow Februari lalu, kucing tersebut baru berusia tiga bulan dan kini telah mencecah usia setahun.
Kelmarin, kucing itu yang dikuarantin di pusat pemeliharaan dan pembiakan kucing di negeri ini, Cattery Kittun Katz, telah dihantar ke Australia untuk diserahkan kepada Julie.
Pemilik Cattery Kittun Katz, Hezlin Fazrina Abdul Hadi Nor, 34, berkata, Polar Day terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 20,000 kilometer kerana perlu melalui beberapa siri kuarantin sebelum bertemu pembelinya itu.

Samsung catat untung besar RM18.1 bilion


KEMAMPUAN Samsung mengeluarkan produk baru yang memenuhi cita rasa pengguna seperti Galaxy S III (kiri) dan Galaxy S III mini menjadi faktor syarikat itu berkembang pesat.


SEOUL - Firma teknologi terbesar dunia dari Korea Selatan, Samsung Electronics semalam mengumumkan keuntungan bersih bagi suku ketiga tahun ini sebanyak AS$5.97 bilion (RM18.1 bilion), meningkat hampir dua kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Anak syarikat Kumpulan Samsung itu menyatakan, keuntungan itu juga adalah yang tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan.
Samsung Electronics pada suku ketiga 2011 mencatat keuntungan bersih sebanyak AS$3.09 bilion (RM9.39 bilion).
Syarikat itu dalam kenyataannya semalam menjelaskan, hasil jualan segmen telefon pintar menyumbang lebih separuh daripada jumlah keuntungan tersebut.
Menurutnya, perolehan daripada segmen perniagaan telefon bagi suku ketiga tahun ini berjumlah AS$23.91 bilion (RM72.80 bilion).
Samsung Electronics bagaimanapun mengakui berhadapan dengan era perniagaan yang lebih mencabar pada masa akan datang.
"Persekitaran perniagaan masih sukar dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu selain terdapat kebimbangan tentang situasi kewangan di Amerika Syarikat dan Eropah.

Penumpang terkandas lampu landasan KKIA rosak


JADUAL penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tergendala semalam ekoran lampu landasan gagal berfungsi.


KOTA KINABALU – Beratus-ratus penumpang yang ingin bercuti sempena Hari Raya Aidiladha terkandas apabila lampu landasan di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tidak berfungsi kelmarin.
Kejadian pada pukul 6 petang itu difahamkan berlaku akibat masalah pendawaian ekoran kerja-kerja pembinaan di KKIA.
Difahamkan, antara penumpang yang terkandas ialah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Peter Pang.
Ia adalah kejadian kedua tahun ini selepas lampu landasan di Terminal 1 KKIA gagal berfungsi pada April lalu.
Seorang jurucakap Malaysia Airport Berhad (MAB) yang enggan namanya disiarkan berkata, insiden itu mengakibatkan banyak penerbangan dari Brunei, Singapura dan Kuala Lumpur yang sepatutnya mendarat di KKIA terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang Labuan.
“Sejurus masalah berlaku, kerja-kerja pembaikan dilakukan dan lampu landasan berjaya dihidupkan semula pada pukul 6.20 petang tetapi rosak semula pada pukul 9.15 malam,” katanya.
Bagaimanapun, dia enggan memberikan jumlah sebenar penerbangan dan penumpang yang terjejas akibat kejadian itu.
Seorang penumpang yang hanya mahu dikenali Zarul berkata, dia terpaksa menunggu selama tiga jam di terminal itu ekoran kejadian tersebut.

Si tua jual alat seks dicekup


DI sebuah rumah di Jalan Walter Grenier, Jalan Imbi, Kuala Lumpur inilah seorang lelaki warga emas ditahan kelmarin kerana menjual barangan seks.


KUALA LUMPUR - Kegiatan seorang lelaki warga emas menjual peralatan dan ubat perangsang seks terbongkar apabila dia ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai empat tingkat di Jalan Walter Grenier, Jalan Imbi di sini kelmarin.
Operasi pada pukul 11.55 pagi itu dilakukan hasil risikan dan penyamaran oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (IPD).
Dalam serbuan di rumah yang terletak di tingkat satu itu, polis menahan seorang lelaki berusia 71 tahun dipercayai pemilik rumah tersebut.
Pemeriksaan mendapati barangan seks pelbagai jenis disimpan di dalam rumah tersebut dipercayai untuk tujuan dijual secara terus atau melalui online.
Antara barangan yang dirampas ialah sembilan buah kotak yang mengandungi alat kemaluan plastik lelaki dan wanita menggunakan bateri dan manual, pelbagai jenis ubat perangsang seks pelbagai jenama dan kondom.
Siasatan awal mendapati ubat perangsang seks yang dirampas untuk kegunaan lelaki dan wanita itu berbahaya sekiranya dimakan oleh pelanggan kerana ubat-ubatan tersebut tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, lelaki warga emas itu kini ditahan dan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan.
"Setakat ini kita masih melakukan siasatan sejak bila suspek menjalankan kegiatan tersebut," kata beliau ketika dihubungi.

Dua keluarga rugi disamun penjenayah guna Toyota Estima

KAJANG - Seorang peniaga sarang burung berdepan detik cemas apabila rumahnya di Bandar Sungai Long di sini diceroboh lima lelaki bertopeng dan bersenjata parang menyebabkan barangan berharga termasuk wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM170,000 dirompak.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam, Rabu lalu, kumpulan penjenayah terbabit menceroboh rumah mangsa dengan memanjat pagar sebelum masuk ke dalam rumah melalui salah sebuah pintu yang tidak berkunci.
Semasa kejadian, mangsa berusia 31 tahun berada di dalam rumah tersebut bersama isterinya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, suspek-suspek mengugut pasangan suami isteri itu supaya menyerahkan barang berharga termasuk wang tunai yang disimpan di dalam peti besi jika tidak mahu diapa-apakan.
"Lima penjenayah itu melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM50,000, beberapa botol arak gred tinggi bernilai RM100,000, tiga utas jam tangan dan tiga telefon bimbit," kata beliau.
Jumlah kerugian keseluruhan dialami pasangan itu dianggarkan bernilai RM170,000.
Menurut beliau, kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan Toyota Estima yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Difahamkan, kawasan perumahan mangsa mempunyai pengawal keselamatan dan kenderaan itu melepasi pondok kawalan selepas mendapatkan pas pelawat daripada pengawal bertugas ketika itu.

Enam individu disyaki buang bayi diberkas

KANGAR - Polis setakat semalam menahan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes pembuangan bayi perempuan di Sungai Berembang di Kampung Behor Rotan Pahit, Simpang Empat di sini pada Rabu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Mohd. Nashir Ya berkata, kesemua suspek ditahan secara berperingkat sejak malam kejadian sehingga kelmarin.
Menurut beliau, mereka yang ditahan melibatkan ibu bayi malang itu, teman lelakinya dan sepupu kepada ibu bayi terbabit.
Gadis dan dua lelaki yang ditahan itu masing-masing berusia 17 tahun dan mereka merupakan pelajar sebuah sekolah agama.
Mohd. Nashir berkata, tiga lagi yang ditahan ialah abang kepada ibu bayi terbabit berusia 20 tahun dan ibu bapa gadis itu yang masing-masing berumur 45 tahun.

No comments:

Post a Comment