Monday, October 29, 2012

ILMU TAK DE ATAU TAK CUKUP...MALAS BELAJAR DISURAU2@MASJID2....MAKA MUDAH DITIPU...MUDAH MENJADI SYIRIK

Lelaki kasanova kini kepanasan



Marzuki (kiri) bersama isterinya di salah satu lokasi percutian di Malaysia.


JOHOR BAHRU - Seorang lelaki yang menyamar sebagai jurutera dan menggunakan laman web mencari jodoh Myjodoh.net untuk memperdaya wanita bagi mengaut untung mudah kini bagai cacing kepanasan apabila meminta semua kekasihnya supaya menarik semula laporan polis yang dibuat ke atasnya.
Menurut salah seorang bekas kekasihnya, Salsabila, 20-an, Marzuki kini ketakutan apabila perbuatan buruknya itu sejak tahun 2009 terbongkar dan disiarkan di akhbar.
"Lelaki itu sedang panas, telefon semua orang merayu-rayu minta mereka gugurkan laporan polis yang dibuat.
"Tapi percayalah, kami tak akan mengalah begitu sahaja," katanya ketika memaklumkan hal itu kepada Kosmo!
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki yang berasal dari Terengganu didakwa memperdaya wanita-wanita bujang serta janda berumur 20-an hingga 30-an terutamanya yang berbadan besar, montok dan gebu yang dijerat melalui laman web MyJodoh.net untuk mengikis wang.
Lelaki yang mendakwa mempunyai talian persaudaraan dengan seorang Exco kerajaan negeri Terengganu itu terlebih dulu menabur janji untuk berkahwin dengan mangsa sebelum menipu wang mereka.
Dia juga dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan 20 orang wanita dan berjaya mengumpul kekayaan mencecah RM1 juta hasil duit sebagai kasanova.
Sementara itu, seorang lagi mangsa berkata, dia turut dihubungi Marzuki yang tiba-tiba bersumpah untuk berkahwin dengannya.
"Saya dah tak peduli kerana saya akan berjumpa dengan polis hari ini (semalam) untuk memberi keterangan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang," katanya.
Dalam pada itu, Salsabila memberitahu, dia sudah pun memanjangkan kes penipuan lelaki bernama Marzuki yang turut menggunakan nama lain iaitu Amir kepada pengendali laman web MyJodoh.net.
Dalam reaksi segera jurucakap laman web berkenaan, pihaknya memandang serius perkara itu.
"Laman web ini sebenarnya telah banyak menyatukan pasangan hingga ke gerbang perkahwinan dan kami kesal kerana ada pihak yang mengambil kesempatan menipu orang lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd. Ali mengesahkan menerima laporan daripada beberapa mangsa kes ini.
"Kita sedang giat mencari suspek dan pada masa sama telah memanggil pengadu-pengadu untuk melakukan siasatan menyeluruh.
"Polis turut menggesa wanita-wanita lain yang pernah terjerat dengan lelaki kasanova itu tampil ke depan membuat laporan," tegasnya.

Peguam nekad terjun dari bangunan HUS



pengawal keselamatan memberi pertolongan cemas kepada seorang peguam yang terjatuh di tingkat empat Hospital Umum Sarawak (gambar kanan) di Kuching semalam.


KUCHING - Seorang peguam wanita bertindak nekad dengan terjun dari tingkat sembilan Hospital Umum Sarawak di sini kerana kecewa dengan tindakan suami yang mahu menceraikannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.
Bagaimanapun dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, peguam berumur 30 tahun itu hanya patah tangan kiri apabila dia tersangkut di tingkat empat bangunan sama.
Menurut sumber, sebelum itu mangsa yang menetap di Tabuan Jaya di sini telah dikejarkan ke hospital oleh ibunya selepas dia mengadu sakit pada dada.
"Dia yang sepatutnya dimasukkan ke wad selepas menerima rawatan awal, tiba-tiba memberi alasan untuk ke tandas.
"Namun dia tidak kembali semula ke wad selepas hampir setengah jam sehingga keadaan menjadi kelam-kabut selepas ibunya mendapat tahu mangsa terjun tetapi tersangkut di atas bumbung tingkat empat hospital berkenaan," katanya di sini semalam.
Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang ingin dikenali sebagai Azizie berkata, dia terdengar bunyi jeritan dan bunyi benda jatuh dua kali ketika dia sedang bertugas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supritendan Abang Ahmad Abang Julai ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes itu sebagai cubaan membunuh diri.
"Siasatan awal percaya mangsa memang berniat untuk membunuh diri kerana mempunyai masalah peribadi, namun motif sebenar kejadian masih disiasat.
"Mangsa kini dirawat di Unit Penjagaan Rapi (ICU) hospital berkenaan," katanya.

Akui aset PKNS bertukar tangan



BANGUNAN Kompleks PKNS Shah Alam didakwa antara aset PKNS yang terlibat dalam pengambilalihan PREC.


SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mengakui telah berlaku proses pengambilalihan aset-aset milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) oleh syarikat milik penuh perbadanan itu, Private Real Estate Company (PREC).
Abdul Khalid yang juga merupakan Pengerusi PKNS berkata, terpulang kepada keputusan yang akan dibuat pada masa hadapan sama ada mahu menjual terus kesemua aset tersebut kepada syarikat terbabit atau sebaliknya.
Bagaimanapun tegas beliau, buat masa ini, aset itu bukan dijual kerana pengambilalihan hanya melibatkan pemindahan aset PKNS kepada syarikat terbabit melalui akaun.
"Aset itu tidak dijual tetapi ia dikumpulkan di bawah anak syarikat milik penuh PKNS menerusi pemindahan aset dan bukan ada jualan sebenarnya. Ini adalah perkara biasa dilakukan," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Noh Omar melalui laporan akhbar semalam yang mahu Abdul Khalid memberi penjelasan rasmi kepada rakyat berhubung dakwaan penjualan lima aset milik PKNS.
Akhbar baru-baru ini melaporkan mengenai PKNS yang didakwa bercadang meluluskan penjualan lima asetnya iaitu Menara PKNS di Petaling Jaya (RM90 juta), Pusat Konvensyen Shah Alam (RM97 juta), Kompleks PKNS Shah Alam (RM85 juta), Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).
Mengulas lanjut, Abdul Khalid memberitahu, sebarang keputusan yang dibuat kelak berkaitan aset akan mengambil kira kebaikan PKNS dan pihaknya mahu menjadikan anak syarikat kerajaan negeri itu sebagai sebuah syarikat hartanah terbesar di negara ini.
Katanya, PKNS juga akan terus memainkan peranan untuk memperkasakan agenda bumiputera di negeri ini.

PKNS: Noh dan Rosnah ludah ke muka Najib

KLDaily, 29 Okt 2012
Noh Omar yang melobi kuat untuk menjadi calon Menteri Besar Selangor mengesahkan ketidak mampuan beliau untuk mentadbir dan mengurus negeri paling maju di dalam negara.

Salakan Noh ini turut ditokok bersama oleh Ketua Puteri UMNO, Rosnah Shirlin. Kedua-duanya berusaha keras untuk meraih publisiti murahan menjelang PRU-13.

Tindakan Noh yang menuntut penjelasan Menteri Besar Khalid Ibrahim di atas keputusan Lembaga Pengarah PKNS menjual 5 aset komersil merupakan satu manipulasi fakta dan menunjukkan bahawa beliau tidak mampu memberi arah tuju ekonomi yang mantap sebagai pemimpin.

Penyakit ini turut dikongsi bersama oleh Rosnah yang mengandaikan kononnya PKNS mengalami kesulitan kewangan.

PKNS telah mencatat keuntungan tertinggi tahun lepas iaitu sejumlah RM420 juta. Nyata sekali, Noh, Rosnah dan para pemimpin UMNO sengaja ingin menidakkan kemampuan agensi profesional sebegini yang berfungsi untuk meningkatkan tahap kemampuan ekonomi bumiputera.

Lebih 95% daripada tenaga kerja di dalam PKNS adalah orang Melayu. Manakala, lebih 90% perumahan yang dibangunkan adalah unit kos rendah dan sederhana untuk nikmat orang Melayu sendiri.

Ini ditambah dengan fakta bahawa lebih 80% daripada pembeli rumah-rumah PKNS adalah dari kalangan orang Melayu.

Bukan seperti projek-projek Ali Baba oleh pemimpin-pemimpin UMNO, PKNS adalah sebuah institusi yang terus menerus mengangkat darjat dan martabat orang Melayu keseluruhannya dan bukan dua tiga kerat elit Melayu.

Fakta yang sengaja disembunyikan oleh Noh dan Rosnah adalah 5 aset milik PKNS iaitu Menara Worldwide, Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, Wisma Yakin dan SACC Mall bernilai RM321 juta hanya dipindah milik kepada sebuah anak syarikat baru milik penuh PKNS iaitu Private Real Estate Company (PREC).

Oleh itu, aset-aset ini masih kekal milik penuh PKNS dan tidak dijual pun kepada pihak luar. Industri korporat melihat tindakan Noh ini sebagai satu tindakan politik yang terdesak dan menunjukkan 'ignorance' Noh dan Rosnah dalam hal-hal ekonomi dan bisnes.

Urusan pindah milik aset-aset tersebut akan membolehkan PKNS menjana pendapatan berterusan (recurring revenue) dengan inisiatif penyelarasan aset-aset Kumpulan PKNS. Ini akan terus menjadikan PKNS berdaya saing dan merealisasikan potensi nilai aset-aset yang dimiliki. Aset-aset ini kekal milik PKNS cuma akan diuruskan dengan lebih baik untuk menjana pendapatan yang berterusan untuk PKNS.

Fakta yang turut disembunyikan adalah bahawa keputusan ini diluluskan oleh Lembaga Pengarah PKNS yang turut diwakili oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri. Tindakan Noh dan Rosnah ini seakan-akan mencabar keputusan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri yang dikepalai oleh Presiden UMNO sendiri, Najib Razak. Noh dan Rosnah seolah-olah meludah ke muka Najib.

Noh Omar sebenarnya tidak layak untuk menjadi Menteri hatta Menteri Pertanian sekalipun kerana kelemahan beliau dalam urusan pentadbiran dan pengurusan ekonomi. Begitu juga Rosnah, jawatan Timbalan Menteri yang disandang beliau harus diberikan kepada mereka yang lebih layak.

Pemimpin-pemimpin UMNO sebeginilah yang terus menerus menjadi bahan lawak dan ditertawakan oleh komuniti bisnes dan para peniaga diatas kedangkalan mereka untuk berpolitik tanpa had.

- KL Daily - www.kldailyblog.wordpress.com

Amil janji hapus dosa RM81,000



ZANA menunjukkan laporan polis yang dibuat ke atas Nizam selepas mendakwa lelaki itu memperdaya ibunya di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Bicara manis penuh muslihat seorang lelaki berperwatakan alim kononnya boleh menjamin seseorang masuk syurga menyebabkan seorang wanita terpedaya hingga memaksa mangsa menyerahkan RM81,000 sebagai upah menghapuskan dosa.
Ketika mendedahkan perkara itu, anak mangsa yang mahu dikenali sebagai Zana, 31, memberitahu, segalanya bermula apabila ibunya yang berusia 72 tahun bertemu dengan lelaki yang mengaku dirinya sebagai amil zakat berumur lingkungan 40-an di Plaza Angsana di sini pada Julai lalu.
Katanya, pada pertemuan itu, ibunya telah memberikan wang selepas amil yang dikenali sebagai Nizam Idris (gambar kecil) tersebut mendakwa dia mengutip zakat dan mengambil sumbangan untuk anak yatim, warga tua dan golongan orang kelainan upaya.
"Sejak itu, ibu seperti orang yang telah dipukau dan menyerahkan wang kepada Nizam kira-kira RM81,000 hingga sanggup mengetepikan keluarga sendiri semata-mata menurut kata lelaki berkenaan.
"Lelaki itu mendakwa dia melihat kami sekeluarga dimasukkan ke dalam neraka dan untuk mengelakkan perkara itu, ibu harus membayar sejumlah wang bagi penebus dosa sekali gus dapat merasai nikmat syurga," ceritanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, lebih membuatkan mereka naik mual dengan pembohongan Nizam ialah lelaki itu meramalkan hari kiamat akan berlaku dalam tempoh terdekat manakala ibunya akan meninggal dunia pada 24 Julai tahun depan.
"Disebabkan itu, ibu menjadi cemas dan menyerahkan wang kononnya Nizam dapat membersihkan diri ibu daripada dosa," katanya.
Menurut suri rumah itu, dia sekeluarga telah mencuba pelbagai cara untuk menyedarkan ibunya mengenai pembohongan dan lakonan licik Nizam tetapi malangnya wanita itu bukan sahaja manafikannya malah, memberitahu Nizam merupakan lelaki yang baik.
"Ada antara kami pernah terserempak dengan ibu yang sedang menjual semua barangan kemas sambil ditemani Nizam dan sampai satu tahap, ibu berhajat mahu menjual banglonya di Stulang Laut di sini bernilai RM500,000 tetapi sempat dihalang," katanya yang memberitahu hasil jualan itu akan diberikan kepada Nizam.
Ujar Zana, mereka sekeluarga yang tidak mahu ibunya terus ditipu telah membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini Sabtu lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, polis telah menahan lelaki berkenaan pada hari pihaknya menerima laporan.
"Suspek kemudian telah dibebaskan selepas keterangannya diambil. Buat masa ini, tidak banyak yang boleh kami lakukan kerana mangsa sendiri tidak mengaku dia telah ditipu," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Zainuddin bagaimanapun meminta mana-mana individu yang turut menjadi mangsa menggunakan modus operandi sama menghubungi polis Johor Bahru Utara di talian 07-221 2999 bagi membantu siasatan.

Duda maut dirempuh kereta



ORANG ramai mengusung jenazah Ja'far yang meninggal dunia selepas dirempuh sebuah kereta di Kota Tinggi kelmarin.



KOTA TINGGI – Seorang warga emas yang baru berpisah dengan isterinya enam bulan lalu maut apabila dirempuh sebuah kereta yang terbabas ketika sedang berjalan kaki ke rumah rakannya selepas menunaikan solat Isyak di sebuah masjid kelmarin.
Kejadian pukul 8.20 malam di Kilometer 10, Jalan Mawai–Kuala Sedeli di hadapan balai raya Kampung Sayang di sini itu mengakibatkan Ja’far Yusof (gambar kecil), 78, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Difahamkan, mangsa maut selepas dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga yang dipandu pelajar perempuan di sebuah institut pengajian awam di Bangi, Selangor. Pelajar berusia 21 tahun itu tidak cedera.
Mengimbau semula kejadian itu, seorang penduduk, Abu Husin Othman, 72, berkata, dia tidak menyangka mangsa meninggal dunia kerana mereka baru lepas berjemaah menunaikan solat Isyak di Masjid Jamek, Kampung Sayang.
Katanya, mangsa tinggal bersendirian sebelah rumahnya dan baru berpisah dengan isterinya enam bulan lalu. Ja’far tidak mempunyai anak.
“Arwah seorang yang periang dan suka bergurau namun dua tiga hari lalu dia kelihatan muram. Mungkin itu petanda yang dia akan pergi menghadap Ilahi,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di sini.
Tambahnya, hasrat arwah untuk memulakan perniagaan menjual makanan ringan juga tidak kesampaian ekoran kejadian tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Low Hong Seng berkata, mangsa meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke klinik kesihatan di Tanjung Sedeli.
Katanya, pihaknya telah mengambil keterangan daripada pelajar perempuan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Dua beranak terbunuh kereta bertembung bas ekspres



KEADAAN kereta Proton Iswara yang meragut nyawa dua beranak selepas dirempuh bas di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Temoh semalam.



TAPAH - Seorang janda bersama anak tunggalnya terkorban apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki mereka dirempuh sebuah bas ekspres di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Temoh di sini semalam.
Dalam kemalangan pukul 1.30 pagi itu, kereta yang dipandu Nurni Ahmad, 27, remuk sebelum kenderaan tersebut berpusing-pusing dan berlanggar dengan sebuah motosikal yang mengekori kereta itu.
Nurni, seorang peniaga dan anak lelakinya, Ikmal Daniel Abdullah, 7, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor Khairul Nizam Ismail berkata, sebelum kejadian, dua beranak terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas menghantar ibu Nurni ke Felda Sungai Behrang dekat sini.
"Siasatan mendapati bas yang membawa seorang penumpang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur terbabas lalu memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Iswara," kata beliau ketika dihubungi di sini.
Menurut beliau, pasangan suami isteri berusia masing-masing 28 dan 26 tahun, penunggang dan pembonceng menaiki motosikal yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Tapah di sini.
Pemandu bas berusia 29 tahun yang tidak cedera ditahan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin polis.
"Pemandu bas itu baru memulakan trip selepas bercuti beberapa hari," kata beliau.
Jelas Khairul Nizam, jenazah dua beranak terbabit dituntut petang semalam oleh keluarga mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang.

Pelajar USM cedera jatuh dari tingkat tujuh asrama


PELAJAR diserang histeria cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah blok asrama di USM, George Town semalam.



GEORGE TOWN - Seorang penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai terjatuh dari tingkap biliknya di tingkat tujuh sebuah bangunan asrama universiti itu semalam.
Pelajar lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan ditemui rakan sebiliknya di atas bumbung tempat letak kereta di blok asrama terbabit dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri pada pukul 11.30 pagi.
Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan pelajar tahun pertama itu dikatakan sering dilihat mengasingkan diri dan murung. Mangsa juga didakwa kerap mandi dan berbogel ketika berada di dalam bilik.
Kejadian menimpa pelajar itu disedari rakan sebiliknya yang ketika itu berada di luar dan terkejut apabila dia tiba-tiba terdengar satu objek terjatuh dari arah tingkap biliknya.
Tingkap bilik tersebut semasa kejadian terbuka luas.
Difahamkan pelajar jurusan pengurusan itu terlibat dalam sebuah kumpulan ajaran yang belum diketahui statusnya.
Jurucakap polis berkata, hasil siasatan awal pihaknya mendapati mangsa yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu dipercayai mengalami histeria semasa kejadian.
Menurut beliau, dia sebelum ini pernah direhatkan selama beberapa bulan daripada pengajian di universiti itu berikutan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.
Mangsa didakwa hanya menyambung semula sesi pengajiannya pada minggu lalu.
"Pelajar terbabit masih dalam keadaan kritikal dan tidak boleh bercakap. Polis masih menunggu laporan kesihatannya bagi melengkapkan siasatan," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!.

Ramai tidak sedar bahaya pil kurus



PIL Duromine boleh mendatangkan bahaya jika digunakan tanpa merujuk kepada doktor terlebih dulu. - Gambar hiasan



KUALA LUMPUR – Keinginan mempunyai badan yang cantik dan langsing dengan cepat menyebabkan sebilangan pengguna hari ini tidak menghiraukan kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan yang boleh membahayakan diri mereka.
Ada antara mereka yang cuba mengambil jalan singkat untuk mengurangkan berat badan tanpa mengamalkan diet yang seimbang sehingga menyebabkan mereka menderita penyakit seperti bulimia (memuntahkan makanan) dan anoreksia (takut untuk makan).
Lebih membimbangkan, terdapat pihak yang terlalu taksub dengan kempen penjualan pil-pil kurus seperti pil Duromine yang sebenarnya boleh memberikan kesan buruk kepada diri sendiri.
Pil berkenaan tidak boleh dibeli di farmasi ataupun kedai ubat kerana ia merupakan ubat kawalan dan boleh didapati melalui preskripsi doktor sahaja.
Menurut seorang pengamal perubatan, Dr. Hamdi Mohd. Noor (gambar kecil), pil Duromine sebenarnya hanya dibenarkan kepada mereka yang mengalami risiko perubatan sekiranya terus mempunyai berat badan berlebihan.
Beliau berkata, pil tersebut akan bertindak merangsang otak untuk mengawal selera makan seseorang.
“Duromine juga cuma diberikan kepada mereka yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang melebihi 30 agar berat badan mereka dapat dikurangkan.
“Ia selalunya diambil untuk tempoh masa yang singkat dan sekiranya tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas dua minggu maka pengambilannya harus dihentikan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Dalam perkembangan yang sama, Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr. Norfazilawaty Abdul Latif memberitahu, pil tersebut mempunyai banyak kesan sampingan yang boleh menjejaskan kesihatan seseorang.
“Sesiapa yang mengambil pil tersebut sebenarnya berisiko tinggi untuk mendapat pelbagai jenis penyakit seperti kegagalan buah pinggang, gangguan atau susah untuk tidur, sembelit, mati pucuk dan banyak lagi.
“Pil tersebut juga akan mengganggu metabolisme hati di mana hati tidak dapat memproses glukosa dengan sempurna dan akhirnya ia akan menjejaskan kesihatan,” katanya.
Tambah Norfazilawaty, pengambilan pil tersebut merupakan jalan terakhir kepada mereka yang mengalami masalah berat badan kerana ia bukanlah cara yang betul untuk mengurangkan berat badan.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kepada sesiapa yang ingin mengurangkan berat badan supaya mengubah cara hidup yang sedia ada kepada amalan yang lebih sihat.
Ujarnya, menjaga pemakanan, bersenam dan mengamalkan diet yang seimbang merupakan cara yang sihat dan tidak membahayakan kesihatan.

Lif flat kena bakar, komponen dicuri



POK BOON (kiri) menunjukkan keadaan sebuah lif yang rosak akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab di Flat 700, Pandan Perdana, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Kira-kira 3,000 penduduk Flat 700, Pandan Perdana, Cheras di sini kesal apabila perbuatan merosakkan kemudahan perkhidmatan lif oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Terbaru, sebuah lif yang baru sahaja dibaiki kembali rosak selepas dibakar oleh individu yang dipercayai juga merupakan penduduk di flat 10 tingkat tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Flat 700, Tong Tick Chong berkata, kebakaran kira-kira pukul 9 malam itu disedari oleh penduduk yang kebetulan lalu di kawasan tersebut sebelum dia sempat memadamkannya daripada merebak.
"Flat ini mempunyai lapan buah lif dan lima sahaja yang berfungsi termasuk yang dibakar, manakala baki tiga lagi tidak boleh dibaiki langsung kerana mengalami kerosakan yang teruk.
"Pada mulanya penduduk menyangka kerosakan tersebut boleh dibaiki, tetapi setelah jawatankuasa pengurusan yang baharu menyiasat, didapati komponen seperti kabel serta mesin untuk menggerakkan lif telah dicuri," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan Dewan Undangan Negeri kawasan Teratai, Ben Liew Pok Boon memberitahu, kerugian yang ditanggung akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu mencecah RM200,000.
"Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat dan suspek telah pun dikenal pasti.
"Hasil daripada laporan tersebut, pihak polis telah membuat rondaan di setiap tingkat dan melantik wakil penduduk untuk memaklumkan kepada mereka jika terdapat sebarang perkara yang mencurigakan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Flat itu sebelum ini bukan sahaja menghadapi masalah lif rosak akibat vandalisme tetapi juga kerosakan pam air yang mengakibatkan penduduk kadangkala terpaksa menanggung masalah tekanan air rendah.

Permohonan hak milik strata tertangguh 20 tahun



PENDUDUK mengadakan bantahan
secara aman bagi menuntut
penyelesaian permohonan hak milik\ strata rumah mereka di Kepong, Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Seramai 2,499 penduduk di Apartmen Happy Court Taman Kepong, Apartmen Taman Pusat Kepong dan Apartmen Pusat Kepong Green View, Kepong di sini meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyelesaikan segera masalah hak milik strata yang tertangguh selama 20 tahun.
Penduduk mendakwa, ketiadaan hak milik strata menyebabkan mereka mengalami masalah dalam proses jual beli dan penukaran hak milik.
Pengerusi Badan Pengurusan Bersama, Taman Pusat Kepong, Chan Sai Kow berkata, masalah tersebut berpunca daripada sikap lepas tangan beberapa pihak yang enggan bertanggungjawab dalam perkara berkenaan.
"Pihak pemaju yang sepatutnya mendapatkan hak milik strata untuk setiap pembeli.
"Namun begitu, selepas pemaju diisytiharkan muflis, tiada pihak yang mahu memikul tanggungjawab menyebabkan penduduk menemui jalan buntu untuk mendapatkan hak milik strata," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pusat Khidmat Komuniti Kawasan Kepong, Yee Poh Ping.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Happy Court Taman Kepong, Lim Pek Wah berkata, penduduk dimaklumkan setiap unit (pemilik) perlu membayar kira-kira RM2,000 sebagai kos untuk mendapatkan hak milik strata.
"Ini bukan satu jumlah yang kecil dan bukan semua pemilik mampu. Oleh itu, kami meminta kerajaan membantu menyelesaikan masalah ini," ujarnya.
Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Pusat Kepong Green View, Chan Wan Sang pula memberitahu, kegagalan sebilangan penghuni untuk melangsaikan yuran penyelenggaraan dan cukai tanah juga merupakan salah satu punca mereka gagal untuk mendapatkan hak milik strata.

Kuku harimau, serigala bawa tuah



KUKU harimau (kanan) dan taring serigala (kiri) yang didakwa tulen oleh peniaga Tamil Nadu di Brickfields.



KUALA LUMPUR – Sekumpulan warga Tamil Nadu dari India sejak kebelakangan ini dikesan giat menjual pelbagai peralatan eksotik daripada haiwan termasuk kuku harimau palsu di negara ini.
Kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang lelaki dan wanita berpakaian tradisional India itu didapati menjualnya di kawasan tumpuan ramai terutama di kawasan perniagaan utama sempena perayaan Deepavali tidak lama lagi.
Tinjauan di Brickfields di sini baru-baru ini mendapati seramai 12 orang lelaki dan wanita India menjual ratusan rantai bijian serta kuku harimau palsu di tepi-tepi jalan.
Seorang penjual yang berasal dari Trichy, Tamil Naadu mengaku menjual kuku harimau dengan pelbagai saiz pada harga RM100 hingga RM500.
“Adakah awak mempunyai masalah di tempat kerja atau ingin naik pangkat atau sering diganggu kuasa jahat? Jangan risau, kuku harimau akan membantu.
“Kuku harimau ini tulen dan diperoleh daripada Orang Asli yang digelar kuravar menerusi aktiviti memburu dalam hutan di Tamil Nadu,” dakwanya sambil menunjukkan beberapa keping kuku harimau yang dijualnya.
Selain itu, lelaki itu juga menunjukkan beberapa batang taring dan tanduk serigala yang dijual pada harga RM100 setiap satu.
Seorang lagi penjual wanita warga India pula juga mengaku mempunyai kuku harimau dan mendakwa mengikut kepercayaan Hindu, ia dapat membantu melindungi diri daripada kuasa jahat, cemburu, mempercepatkan kenaikan pangkat dan membawa kekayaan.
“Awak tidak perlu risau. Kata-kata saya memang benar, cubalah beli dan simpan bersama awak, nanti dapat lihat perubahan,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tipu helah kumpulan warga India yang menjual kuku harimau kerana ia sebenarnya palsu.
Kuku dan taring yang dijual itu sebenarnya dibuat daripada campuran pelbagai jenis plastik.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow mendakwa selain Brickfields, sindiket yang sama juga beroperasi di Pulau Pinang, Ipoh (Perak), Tengku Kelana di Klang (Selangor), Melaka dan Johor.
“Di Pulau Pinang peniaga ini ramai beroperasi di kawasan Market Street dan Queen Street,” katanya.
Menurut Subbarow, peniaga terbabit menggunakan pujuk rayu sehingga menyebabkan warga tempatan membeli barangannya.
“Mereka boleh kaut keuntungan sehingga mencecah RM6,000 menerusi penjualan kuku harimau dan serigala palsu itu dalam masa sebulan,” katanya.
Dakwanya lagi, selain Deepavali, kumpulan yang sama juga kelihatan sepanjang musim perayaan iaitu Thaipusam sejak dua tahun lalu.
“Memburu atau menjual kuku harimau sama ada tulen atau palsu sememangnya dilarang sama sekali di negara ini selain menipu pelanggan.
“Jadi kita harap pihak berkuasa menjalankan operasi membanterasnya,” katanya.

Tsunami pernah berlaku di Tasik Geneva




PARIS - Satu kejadian tsunami akibat runtuhan batu yang berlaku 1,500 tahun lalu telah mencetuskan ombak setinggi 13 meter sekali gus menenggelamkan kawasan di sepanjang tebing Tasik Geneva, Switzerland, lapor beberapa saintis kelmarin.
Kejadian tersebut membayangkan bandar raya Geneva dan Lausanne mungkin dilanda tsunami.
Ia juga boleh berlaku di beberapa buah bandar lain yang terletak di tepi tasik kawasan pergunungan dan fiord di Switzerland.
"Risiko tersebut dipandang remeh oleh kebanyakan orang yang tidak mengetahui bahawa tsunami boleh berlaku di kawasan tasik," kata seorang saintis di Universiti Geneva, Switzerland, Katrina Kremer.
Dalam sepucuk surat kepada jurnal saintifik, Nature Geoscience, sekumpulan saintis yang diketuai Kremer menyatakan mereka telah mengkaji bencana itu yang berlaku pada tahun 563 dan dikenali sebagai Peristiwa Tauredunum.
Menurut para saintis itu, terdapat bukti bahawa sebahagian tanah di sebuah kawasan pergunungan jatuh ke dalam Sungai Rhone, lima kilometer dari tasik berkenaan.
Pasukan Kremer itu menggunakan radar canggih untuk meninjau kawasan yang paling dalam di tasik tersebut.
Anggota-anggota kumpulan itu menemui timbunan mendapan sepanjang lebih 10 kilometer (km), lebar 5km dan ketebalan sehingga 5m.
Menurut Kremer, sepanjang tempoh 10,000 tahun lalu, beberapa kejadian tsunami yang besar berlaku di Tasik Geneva.
Justeru, katanya, kejadian itu boleh berlaku lagi.
Sebelum ini kejadian tsunami kerap dikaitkan dengan bencana gempa bumi yang berlaku di dasar laut berdekatan kawasan pantai. - AFP

Kapal mewah peninggalan Steve Jobs


GAMBAR yang dirakamkan daripada YouTube semalam menunjukkan kapal mewah Venus sepanjang 80 meter.


NEW YORK - Pencapaian terakhir pengasas bersama firma komputer Apple di Amerika Syarikat, Steve Jobs (gambar) sebelum beliau meninggal dunia ialah sebuah kapal sepanjang 80 meter, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Namun, Jobs tidak berpeluang menggunakan kapal itu kerana ia baru disiapkan pada bulan ini, setahun selepas kematiannya.
Ia yang dibina sebuah syarikat pembinaan kapal di Belanda diberi nama Venus.
Kos pembinaan kapal berkenaan tidak dapat dipastikan.
"Saya tahu, saya mungkin meninggal dunia dan meninggalkan isteri saya, Laurene bersama sebuah kapal yang separuh siap," kata Jobs kepada penulis biografi, Walter Isaacson.
Jobs yang meninggal dunia pada Oktober 2011 akibat komplikasi kanser pankreas tidak sempat melihat kapal berkenaan siap sepenuhnya.
Keluarga Jobs memberikan alat pemain muzik iPod Shuffle kepada setiap kru yang membantu membina kapal tersebut.
Antara peralatan canggih yang terdapat dalam kapal itu ialah komputer iMac. - Agensi

Bumbung apartmen jadi tempat tanam sayur di Palestin


AFP
BEBERAPA bekas yang mengandungi pelbagai jenis sayur
di atas sebuah bangunan apartmen di Bandar Gaza pada 9 Oktober lalu.


BANDAR GAZA, Palestin - Penduduk di sini menanam pelbagai jenis sayur dan tanaman herba di atas bumbung apartmen mereka.
Banyak bumbung rumah dan bangunan apartmen di bandar ini dilengkapi sistem penanaman yang menggunakan air serta bahan kumuhan dari tangki-tangki ternakan ikan tilapia sebagai baja.
Sistem tersebut menggunakan saluran paip yang panjang dihubungkan ke tempat menanam sayur-sayuran dan tumbuhan lain.
Projek tersebut dibiayai sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
"Ia adalah untuk membantu penduduk paling miskin di bandar ini menghasilkan makanan sendiri tanpa menggunakan racun serangga," kata timbalan pengurus projek berkenaan, Mohammed El Shatali.
Seorang penduduk berusia 51 tahun, Abu Ahmed menanam salad, brokoli dan beberapa tumbuhan herba lain di atas bumbung rumahnya dengan menggunakan sistem tersebut.
Abu mampu memberikan 13 anggota keluarganya makan sayur-sayuran segar dan ikan menerusi penglibatannya dalam projek itu. - AFP

Ribuan biri-biri 'tawan' Madrid


AP
SEJUMLAH orang menyaksikan ribuan ekor biri-biri itu.


MADRID, Sepanyol - Lebih 2,000 ekor biri-biri melalui kawasan di tengah bandar raya ini kelmarin sehingga menjadi tumpuan para pelancong.
Sejumlah pengembala mengawasi biri-biri milik mereka yang menggunakan beberapa laluan di bandar raya ini untuk pergi ke kawasan padang dan hutan.
Biri-biri itu sebelum ini ditempatkan di kawasan tanah tinggi yang sejuk.
Laluan itu telah digunakan untuk laluan haiwan tersebut sejak 1273. - AP

Guru wanita dipenjara kerana berasmara dengan pelajar

SINGAPURA - Seorang guru wanita berusia 32 tahun dihukum penjara selama setahun di sini semalam kerana melakukan hubungan seks dengan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun di sekolahnya, lapor media tempatan di sini semalam.
Akhbar Straits Times melaporkan, guru berkenaan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mula menjalin hubungan dengan pelajar itu pada tahun lalu.
Menurut laporan akhbar tersebut, hubungan itu bermula selepas guru tersebut mengendalikan sesi kaunseling pelajar berkenaan.
Nama guru dan pelajar itu tidak didedahkan bagi melindungi mereka.
Mahkamah diberitahu bahawa wanita terbabit 'memikat' pelajar tersebut dengan beberapa hadiah termasuk sebuah buku terkenal yang berjudul Eat, Pray, Love.
Buku itu pernah dijadikan filem yang menampilkan pelakon terkenal, Julia Roberts pada 2010.
Ia mengisahkan tentang seorang wanita Amerika Syarikat yang sudah bercerai.
Pelajar dan guru itu menjalin hubungan lebih sebulan dan mereka pernah melakukan hubungan seks di rumah guru terbabit.
Bagaimanapun, hubungan berkenaan diketahui oleh ibu bapa pelajar itu sekali gus menyebabkan mereka membuat aduan kepada pihak sekolah. - AFP

Jet-jet tentera Syria serang Damsyik


AP
SEJUMLAH orang menyaksikan lokasi letupan bom kereta di Jaramana, Damsyik semalam.


DAMSYIK - Beberapa letupan menggegarkan bandar raya ini semalam selepas jet-jet pejuang rejim Presiden Bashar Al-Assad melancarkan serangan udara paling besar sejak Mac tahun lalu.
Seorang wartawan agensi berita AFP berkata, serangan kali ini menyebabkan tingkap-tingkap bangunan di pusat bandar di sini bergegar.
Kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia memberitahu, tentera Bashar melancarkan sekurang-kurangnya 48 serangan udara di seluruh negara semalam.
Pengarah kumpulan pemerhati berkenaan, Abdel Rahman berkata, jet-jet tentera Syria mengebom sekurang-kurangnya 11 sasaran di sekitar bandar raya ini.
Menurutnya, serangan disasarkan ke atas kedudukan penentang yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria di sini.
Serangan itu disusuli letupan bom kereta yang mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang di kawasan penempatan penduduk Kristian dan Druze di Jaramana, pinggir bandar raya ini.
Kumpulan pemerhati itu memberitahu, seramai 12 orang maut dan 15 yang lain cedera dalam letupan itu.
Keganasan terbaharu itu berlaku ketika kuasa-kuasa besar masih meneliti kegagalan gencatan senjata di Syria yang bermula pada Jumaat lalu.
Ekoran kegagalan gencatan senjata itu, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)/Liga Arab, Lakhdar Brahimi bersiap sedia mengemukakan idea baharu kepada Majlis Keselamatan PBB bagi menamatkan konflik di Syria.
Beliau kini berada di Moscow dan dijangka berada di China pada hari ini dan esok bagi membincangkan krisis tersebut.
"Saya telah mengulangi beberapa kali bahawa krisis di Syria amat berbahaya dan kini menjadi semakin buruk," kata Lakhdar selepas menemui Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov.
Menurut kumpulan pemerhati tersebut, lebih 400 orang terbunuh sejak Hari Raya Aidiladha termasuk 35 orang semalam.
Rakyat Syria bangkit menentang rejim Bashar kerana menuntut kebebasan dan pemerintahan demokrasi dengan penentangan tersebut mengorbankan lebih 35,000 nyawa setakat ini. - Agensi

New York umpama bandar raya berhantu


REUTERS
SEBUAH trak melalui sebatang jalan raya yang dipenuhi air di tepi pantai Southampton, New York semalam.


NEW YORK - Pihak berkuasa New York kelmarin mengarahkan 375,000 orang berpindah dari kawasan pantai sebelum ketibaan taufan Sandy.
Lebih 7,400 penerbangan turut dibatalkan manakala kakitangan pentadbiran yang tidak penting diarah supaya tidak datang ke pejabat.
Semua perkhidmatan bas dan tren di kawasan tepi pantai digantung.
Perkhidmatan pengangkutan awam juga tidak beroperasi di Philadelphia dan Washington.
Bangunan pejabat Bursa Saham New York dan Nasdaq juga ditutup.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu membatalkan mesyuarat di ibu pejabatnya di sini.
Pertunjukan teater Broadway di sini juga ditutup kepada orang ramai.
Semua sekolah di Baltimore, Boston dan Washington turut ditutup bagi menghadapi kedatangan taufan Sandy.
Taufan itu dari Lautan Atlantik itu bergerak ke pantai timur Amerika Syarikat.
Bandar raya ini juga kelihatan lenggang.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meminta semua penduduk di bahagian timur negaranya supaya mengambil langkah-langkah perlindungan dengan segera.
Sebelum ini, lebih 1,800 orang terbunuh ekoran kelemahan mengambil perhatian serius terhadap bencana taufan Katrina di New Orleans pada 2005.
Obama turut mengisytiharkan perintah darurat di negeri Massachusetts, Connecticut, Rhode Island, New York, New Jersey dan Pennsylvania.
Taufan itu menyebabkan lebih 60 juta penduduk di timur laut AS turut terjejas.
Setakat pukul 8 pagi kelmarin, Sandy berada sekitar 498 kilometer di selatan dan tenggara bandar raya ini. Ia bergerak ke utara dengan membawa angin selaju 281 kilometer sejam.
Sebelum ini, sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh ketika Sandy bergerak ke AS merentasi kepulauan Caribbean termasuk 51 orang di Haiti.
Kebanyakan mangsa maut dalam banjir kilat dan banjir lumpur yang dicetuskan oleh ribut tersebut. - Agensi

No comments:

Post a Comment