Bakar rumah, 4 kenderaan keluarga bekas kekasih
|
TAPAH – Gara-gara tidak berpuas hati selepas cintanya ditolak gadis kilang, seorang lelaki bersama empat rakannya bertindak ganas dengan membakar sebuah kereta dan tiga buah motosikal milik ahli keluarga bekas kekasihnya di Highland Park di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, cermin kereta Proton Persona milik bapa gadis berkenaan dipecah sebelum kenderaan itu dicurahkan minyak petrol dan dibakar.
Turut dikhianati tiga buah motosikal milik keluarga bekas kekasihnya itu.
Salah sebuah motosikal tersebut baru dibeli beberapa bulan lalu.
Semasa kejadian, kereta Persona dan tiga buah motosikal tersebut berada di depan rumah teres setingkat milik mangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superitendan Abdullah Arshad berkata, suspek pertama berusia 22 tahun yang merupakan bekas kekasih pekerja kilang itu diberkas beberapa jam selepas kejadian.
“Gadis berusia 19 tahun itu pernah berpacaran selama dua tahun dengan suspek utama tetapi hubungan mereka terputus enam bulan lalu.
“Pasangan kekasih itu merupakan sepupu dan perpisahan tersebut turut menyebabkan keluarga masing-masing saling bergaduh,” kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Gangnam Style kedua tertinggi di YouTube
SEOUL - Populariti penyanyi rap Korea Selatan, Psy terus meningkat apabila lagu Gangnam Style miliknya menjadi muzik video kedua tertinggi ditonton di laman perkongsian video YouTube.
Muzik video tarian kuda itu kini ditonton lebih 620 juta kali di seluruh dunia sejak ia dimuat naik pada Julai lalu.
Psy atau nama sebenarnya Park Jae-sang, 34, semalam mengenepikan penyanyi terkenal, Jennifer Lopez menerusi muzik video On the Floor.
Lagu hit Lopez, 43, yang dimuat naik sejak Mac tahun lalu itu ditonton lebih 615 juta kali.
Bintang pop remaja, Justin Bieber, 18, pula kekal di tempat pertama apabila muzik video Baby ditonton lebih 790 juta kali di YouTube.
Muzik video Baby dimuat naik di YouTube dua tahun lepas. - AFP
iPad mini kurang dapat sambutan
|
|
TOKYO - Pelancaran produk terbaharu Apple, iPad mini dilihat kurang mendapat sambutan apabila ia mula dijual di Jepun semalam, dengan penganalisis menyatakan gajet yang mahal itu mungkin terlalu lambat untuk masuk ke pasaran gajet bersaiz tujuh inci.
Dianggarkan seramai 300 orang beratur di luar kedai Apple di sini dan sekurang-kurangnya 20 orang berkhemah di Ginza demi menjadi individu terawal memiliki iPad mini.
Situasi sama turut dapat dilihat di beberapa buah negara Asia lain. Di Singapura misalnya, beberapa ratus orang berkampung di luar kedai Apple. Sementara di Hong Kong, kira-kira 30 orang beratur untuk mendapatkan gajet yang telah ditempah secara dalam talian sebelum ini.
Di Sydney, orang ramai tidak beratur panjang sebagaimana ketika iPhone 5 dilancarkan.
Namun begitu, peminat tegar produk Apple menyatakan mereka kagum dengan gajet tersebut. "Ia memang berbeza dengan iPad biasa. Lebih ringan dan sangat nipis. Anda boleh memegangnya dengan sebelah tangan sahaja," kata Ayano.
Ipad mini dilancarkan di berpuluh-puluh buah negara di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat semalam.
Sebelum iPad mini dilancarkan, penganalisis menegaskan harga jualan mencecah AS$329 (RM1,004) adalah mahal bagi mereka yang boleh memilih untuk membeli gajet lain seperti Google Nexus atau Amazon Kindle pada harga cuma AS$199 (RM607) seunit. - AFP
Model dikecam bergambar di lokasi kemusnahan Sandy
NEW YORK - Seorang model terkenal Brazil diselar oleh pengguna internet kerana bergambar di beberapa lokasi yang musnah akibat taufan Sandy di sini.
Nana Gouvea, 30, yang dilaporkan pernah menghiasi majalah Playboy memuat naik beberapa keping gambar tersebut di laman Facebook.
Beberapa gambar itu menunjukkan dia bersandar pada sebatang pokok tumbang dan berdiri di atas kereta-kereta yang musnah di sini.
Gambar-gambarnya mencetuskan bantahan pengguna internet malah portal hiburan Gawker.com. mempersendakan model tersebut.
"Bencana alam memberikan peluang baik untuk keluar dan bergambar dengan menampilkan pelbagai aksi dan gaya," kata seorang pengguna internet secara sinis.
Sebuah laman Facebook yang dinamakan Nana Gouvea in Disasters turut mempersendakan model berambut hitam itu.
Laman web itu memaparkan beberapa gambar pertindihan imej yang menunjukkan imej Gouvea dalam beberapa peristiwa tragis seperti kapal Titanic karam dan perbuatan seorang sami Buddha, Thich Quang Duc yang membakar dirinya di Vietnam pada 1963. - Agensi
Polis halang 500 ekor kucing dijadikan lauk
XUZHOU - Polis di bandar ini, dalam wilayah Jiangsu, di timur China menghalang sebuah lori yang membawa 500 ekor kucing untuk dijadikan hidangan eksotik di restoran-restoran tempatan, lapor akhbar Telegraph semalam.
Polis mengarahkan lori terlibat supaya berhenti apabila menyedari kenderaan tersebut memiliki nombor plat luar wilayah.
Mereka kemudian menyoal pemandu lori tentang haiwan yang dibawa selepas terdengar bunyi mengiau dari bawah plastik penutup kargo tersebut.
"Arnab," jawab pemandu tersebut.
Namun, kenderaan itu sebenarnya membawa beratus-ratus ekor kucing yang diletakkan di dalam puluhan sangkar besi.
Sejak beberapa tahun lalu, permintaan daging kucing di selatan China meningkat dengan bekalan haiwan itu diperoleh dari seluruh China.
Daging kucing akan dicampurkan bersama daging ular untuk dimasak sejenis hidangan tempatan istimewa yang digemari penduduk tempatan.
Undang-undang China tidak melarang rakyatnya menjual kucing kerana haiwan itu tidak dianggap sebagai harta benda milik keluarga.
Pencuri kucing biasanya memperoleh bayaran 10 yuan (RM4.90) untuk seekor kucing yang dijual kepada orang tengah.
Berikutan pemandu lori berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan, pihak polis membeli kargo tersebut pada harga 3,500 yuan (RM1,723) selepas berunding selama tiga jam dengan pemandu terlibat. - Agensi
Datuk Bandar New York undang kontroversi
|
NEW YORK - Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mencetuskan kontroversi apabila mahu meneruskan acara marathon terbesar di dunia yang akan diadakan di kota metropolitan ini esok.
Ramai penduduk kota raya ini berpendapat bahawa keputusan Bloomberg tidak kena pada masanya.
Ia ekoran keputusan itu dibuat ketika pasukan penyelamat memasuki sejumlah kediaman yang ditenggelami air bah untuk mencari mangsa-mangsa terselamat selepas taufan Sandy membadai Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).
Angka kematian akibat bencana tersebut itu di sini dan negeri New Jersey kini meningkat kepada lebih 95 orang.
"Jika mereka meneruskan marathon ini saya akan menjerit," kata seorang ahli majlis bandar raya ini, James Oddo dalam akaun Twitternya.
"Kita ada ramai orang yang hilang kediaman dan hilang harapan," tambahnya.
Bagaimanapun, dalam mempertahankan keputusannya, Bloomberg berjanji marathon itu tidak akan menggunakan sebarang sumber atau bantuan yang diperuntukkan kepada mangsa taufan Sandy.
Beliau juga menjangkakan bekalan elektrik di kawasan Manhattan di sini akan dipulihkan esok.
"(Tambahan pula), terdapat banyak perniagaan kecil yang bergantung kepada acara itu. Kita perlukan aktiviti bagi menjana ekonomi," kata Bloomberg dalam satu sidang akhbar Rabu lalu.
Penganjur marathon berkenaan, kelab New York Road Runners memberitahu, acara tersebut akan menjana pendapatan berjumlah AS$340 juta (RM1.03 bilion) kepada kota raya ini.
Kelab itu mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mendermakan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3 juta) bagi membantu mangsa-mangsa taufan Sandy di sini.
Seramai 40,000 pelari dijangka mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Sementara itu, kemarahan orang ramai semakin memuncak ekoran angka kematian yang terus meningkat di samping bantuan yang lambat tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.
"Mereka (pihak berkuasa) lupakan kita," kata seorang wanita berusia 42 tahun, Theresa Connor.
Menurutnya, kawasan kejiranannya di Staten Island di sini musnah sama sekali akibat taufan Sandy.
"Bloomberg pula menyatakan kota raya New York berada dalam keadaan baik. Marathon akan diteruskan!" katanya.
Selain kelambatan bantuan, orang ramai juga berasak-asak untuk membeli petrol dengan menyebabkan harga bahan itu melambung tinggi.
Pendakwa Raya Daerah Richard Brown berkata, berlaku beberapa kejadian tidak diingini ekoran situasi tersebut dengan seorang lelaki di sini didakwa kerana mengacukan pistol terhadap seorang pemandu lain selepas lelaki itu cuba memotong barisan untuk membeli petrol.
Sebuah firma pengukur bencana, Eqecat menganggarkan Sandy menyebabkan kerugian yang diinsurans berjumlah AS$20 bilion (RM61 bilion) manakala kerugian ekonomi pula mencecah AS$50 bilion (RM152 bilion).
Taufan Sandy merupakan bencana keempat terburuk di AS di belakang Taufan Katrina pada 2005, serangan 11 September pada 2001 dan Taufan Andrew pada 1992.
- Agensi
Dua Inspektor cedera dipukul, disamun lima lelaki mabuk
KUCHING – Dua orang pegawai polis berpangkat Inspektor bukan saja cedera dibelasah sekumpulan lelaki mabuk yang bergaduh malah turut disamun ketika cuba meleraikan pergaduhan di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Padungan di sini semalam.
Sebelum kejadian pada pukul 2.30 pagi, kedua-dua pegawai polis berusia 30-an ketika itu sedang minum di sebuah restoran berhampiran tempat kejadian sebelum dimaklumkan oleh orang awam berhubung satu pergaduhan di tempat letak kenderaan di pusat hiburan itu.
Satu sumber berkata, kedua-dua Inspektor itu kemudian pergi ke lokasi pergaduhan dan memperkenalkan diri mereka sebagai pegawai polis bagi meleraikan pertengkaran membabitkan kira-kira lima lelaki.
“Tanpa diduga, kumpulan lelaki yang sebelum itu bergaduh kerana masing-masing dalam keadaan mabuk sebaliknya menyerang kedua-dua pegawai polis itu.
“Serangan itu menyebabkan kedua-dua pegawai terbabit terjatuh dan tidak bermaya akibat cedera di kepala, muka, leher dan badan,” kata beliau ketika dihubungi di sini.
Petak kereta percuma untuk staf kerajaan
PUTRAJAYA – Kira-kira 1,000 tempat letak kenderaan percuma disediakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk kakitangan kerajaan yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Hospital Putrajaya mulai hari ini.
Jumlah tersebut meliputi 450 petak letak kereta berbayar bersebelahan Kompleks Kerajaan Parcel E dan 500 parkir lagi di Aras 2, Park and Ride, Presint 7.
Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, pihaknya mengambil keputusan itu selepas mengambil kira keperluan semua pihak dan bersetuju memberikan kemudahan percuma itu.
“Sebelum ini, tempat letak kenderaan berbayar di Parcel E ini menyediakan sebanyak 550 petak dan kita buat satu keputusan yang baik dengan memberi mereka secara percuma.
“Namun, bagi orang ramai yang mempunyai urusan, mereka dikenakan bayaran sebanyak RM1 untuk satu jam dan sebanyak 100 tempat disediakan buat mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam
Kekesalan si pemandu lori
ALOR SETAR – Seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan di Pokok Sena kelmarin hingga mengakibatkan nyawa empat beranak melayang manakala seorang lagi kritikal merasa sungguh kesal selain bingung bagaimana tragedi tersebut berlaku.
Remaja berusia 19 tahun tersebut mendakwa kemalangan di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau tersebut berlaku secara tiba-tiba.
“Saya sungguh kesal dan tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku. Saya memandu lori milik saudara saya secara sambilan ketika musim menuai padi sahaja.
“Saya mempunyai lesen tetapi masih baru memandu lori itu. Laluan di situ kerap berlaku kemalangan termasuk yang melibatkan kehilangan nyawa kerana jalan berlopak,” dakwanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Alor Setar.
Semalam Kosmo! melaporkan kemalangan pukul 3 petang itu mengorbankan pesara tentera, Shafie Abd. Hamid, 57; isterinya, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka iaitu Mohd. Iptihal, 26, dan Nurul Faiz, 24.
Mangsa yang cedera pula ialah anak bongsu dari enam beradik, Muhd. Iqbal Zakwan, 15, yang masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah.
A. Aida mahu dedah punca cerai
|
|
KUALA LUMPUR – Penerbit dan pelakon, A. Aida bersedia mendedahkan sebab-sebab mengapa dia meminta cerai daripada suaminya, Deputi Superintendan Suffian Sulaiman, 44, apabila prosiding mahkamah bermula pada 26 November depan.
Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 42, menyatakan kesediaannya itu kepada pemberita selepas memfailkan permohonan fasakh terhadap suaminya yang bertugas sebagai Ketua Unit Perhubungan Korporat di Jabatan Logistik Bukit Aman di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.
Permohonan itu dikemukakan mengikut Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 selepas dia tidak bersetuju dengan beberapa syarat suaminya yang disifatkan tidak masuk akal dalam permohonan cerai secara baik pada 18 Oktober lalu.
“Saya sudah bersedia untuk membuat pendedahan. Saya kalau boleh tidak mahu membuka pekung di dada tetapi apa boleh buat, dia sendiri (Suffian) yang memaksa saya melakukannya.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberitahu sebab-sebab itu sekarang atas nasihat daripada peguam syarie saya, Zulkifli Che Yong,” jelas Aida yang hadir untuk memfailkan permohonan fasakh pada pukul 11.45 pagi semalam.
Pencuri tidur dicekup tuan rumah
KEMAMAN – Seorang pencuri yang tertidur di atas sofa selepas menikmati sepinggan nasi di dalam sebuah banglo, dicekup oleh pemilik kediaman itu di Jalan Dato, Chukai di sini pagi Selasa lalu.
Lebih mengejutkan, pencuri berusia 35 tahun itu dipercayai membawa sendiri nasi, daging goreng, petai serta pinggan ketika memecah masuk rumah tiga tingkat itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu, pemilik rumah, Kamsiah Wan Othman, 59, menyedari kelibat suspek ketika dia ingin mengemas bilik tidurnya sejurus menyediakan sarapan pagi dan solat Subuh.
Anak Kamsiah, Faisal Zainal Nordin, 30, berkata, sebelum keluar dari bilik tidur untuk berwuduk kira-kira pukul 6 pagi, ibunya ternampak tiga buah beg dan bungkusan di laluan keluar dari bilik tidurnya tetapi menyangka ia milik anak-anaknya.
“Setelah selesai menyediakan sarapan dan ingin masuk semula ke bilik, ibu melihat seorang lelaki sedang nyenyak tidur di atas sofa di tingkat dua. Dia kemudian bertanya kepada saya sama ada lelaki tersebut merupakan rakan saya.
“Saya yang terkejut dengan pertanyaan ibu bergegas untuk melihat lelaki itu. Saya kemudian mengejutkannya dan lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas kami bergelut,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
No comments:
Post a Comment