Tuesday, October 30, 2012

BUKAN BERI PERCUMA...KENA BAYAR JUGA...PINJAM SAPE PUN BOLEH PINJAM...JANJI BAYAR

Sembilan penjenayah didakwa



SEBAHAGIAN daripada sembilan tertuduh berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Sepang di Sepang semalam.



SEPANG - Sembilan individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 12 tuduhan mencuri, melupus dan menyimpan 1,407 unit telefon pintar jenis Samsung Galaxy Note 11 bernilai lebih RM2 juta dua minggu lalu.
M. Vasanthakumar, 22, didakwa mencuri kesemua gajet itu daripada pemilik syarikat KGL Sdn. Bhd. di pintu 37, Bahagian Import MAS Kargo di sini pada pukul 12 tengah hari, 20 Oktober lalu. Dua rakannya, P. Sagunthan, 29, dan S. Sanjay, 32, pula didakwa bersubahat.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Vasanthakumar juga menghadapi satu lagi tuduhan membantu melupuskan 80 unit telefon pintar tersebut dengan menjualnya kepada seorang wanita, Tan Yee Seng, 23, pada 21 Oktober lalu pukul 9 malam di CTel Communication, di pusat beli-belah Terminal One, Seremban.
Turut didakwa atas tuduhan serupa ialah K. Ugendran, 27, dan pemilik kedai telefon, Au Chee Wan, 23.

 


Keranda dilengkapi sistem karaoke



SEORANG pekerja menguji sebuah keranda yang dilengkapi sistem karaoke di kilang milik Nogoy di wilayah Pampanga semalam.



MANILA - Sebuah keranda yang dilengkapi sistem karaoke dihasilkan oleh beberapa pekerja di sebuah kilang di wilayah Pampanga, utara bandar raya ini semalam.
Pemilik kilang itu, Robert Nogoy mengeluarkan keranda tersebut sempena sambutan Hari Halloween.
Nogoy menggantikan bahagian dalam keranda itu dengan sistem karaoke bagi memberi kejutan kepada para tetamu parti Halloween.
Para tetamu parti Halloween kerap memakai pakaian seperti ahli sihir dan hantu. - Agensi

Pesawat lama dijadikan tadika



SEBAHAGIAN kanak-kanak yang belajar di dalam pesawat Yakovlev Yak-42.



RUSTAVI, Georgia - Pihak pengurusan sebuah tadika membeli sebuah pesawat lama, Yakovlev Yak-42 di bandar ini.
Pesawat itu diubah suai untuk dijadikan sebuah tadika yang mempunyai 15 kanak-kanak.
Menurut Reaktor Institut Hubungan Sosial Ukraine-Georgia, Gari Chapidze, pesawat kecil tersebut akan menjadikan kanak-kanak itu berasa seronok untuk belajar di tadika.
Chapidze berkata, kanak-kanak itu dibenarkan bermain dengan menekan 1,500 butang di kokpit pesawat berkenaan.
Institut itu menguruskan pentadbiran tadika tersebut.
Pihak institut berkenaan mengenakan bayaran sebanyak 70 euro (RM276.72) sebulan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut.
Pesawat itu dibina syarikat Saratov Aviation Plant, Rusia. - Agensi

Bebas dakwaan tuntutan palsu

Ahmad Shukry selepas dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan membuat tuntutan palsu di Mahkamah Sesyen Ipoh semalam.


IPOH - Mahkamah Sesyen di sini membebaskan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas didapati tidak bersalah atas dua tuduhan mengemukakan tuntutan palsu melibatkan transaksi bernilai RM235,607.63 bagi pembelian rangsum segar enam tahun lalu.
Rangsum segar merupakan pek makanan tentera.
Leftenan Komander Ahmad Shukry Othman, 40, dibebas dan dilepaskan Hakim Julie Lack Abdullah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Pada 18 Mei lalu, Ahmad Shukry dihadapkan ke mahkamah sama dan dituduh melakukan perbuatan tersebut semasa bertugas sebagai Pegawai Perbekalan Kapal Diraja (KD) Mahawangsa, Pangkalan TLDM Lumut sekitar bulan Jun dan Ogos 2006.
Berdasarkan fakta kes, dia dituduh mengemukakan dokumen palsu berupa invois Landmark Trading Pte. Ltd. bertarikh 3 Jun 2006 bernilai AS$46,813 (RM173,208.10) untuk tuntutan pembelian rangsum segar.
Bagi pertuduhan kedua pula, Ahmad Shukry dituduh mengemukakan satu lagi invois Landmark Trading Pte. Ltd. palsu pada 26 Ogos pada tahun sama.

Chef Riz mengaku perkahwinan dengan Ana Dahlia bergolak

CHEF RIZ bersama isteri, Diyana Mastura atau Ana.


KUALA LUMPUR - Chef selebriti, Chef Riz mengakui perkahwinannya dengan aktres jelita, Ana Dahlia yang belum sampai setahun kini bergolak.
Chef Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 30, anak kepada Chef Wan itu bagaimanapun enggan memberi pengesahan lanjut tentang dakwaan mereka berdua telah mengambil borang permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor baru-baru ini.
"Biasalah dalam perkahwinan, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan suami isteri. Memang kami ada perselisihan faham dan saya ingin menyelamatkan perkahwinan kami.
"Saya sayangkan dia (Ana) dan saya harap jodoh kami panjang. Buat masa ini apa yang boleh saya beritahu, tunggu sahajalah perkembangannya," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurut Chef Riz, beliau sebaik-baiknya tidak mahu mengulas panjang lebar mengenai kisah rumah tangga mereka kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan.

Tangan hancur tersepit mesin



SEORANG pekerja kilang papan tidak sedarkan diri selepas cedera parah apabila tangan kirinya hancur tersepit pada mesin pemotong papan di Sejingkat, Kuching semalam.



KUCHING - Malang menimpa seorang pekerja kilang papan apabila tangan kirinya hancur selepas tersepit mesin pemotong kayu di Sejingkat di sini semalam.
Kejadian pukul 10 pagi itu berlaku apabila pergelangan tangan pemuda yang belum dikenal pasti identitinya itu tersangkut pada mesin berkenaan ketika sedang mengendalikan alat tersebut bersendirian.
Sumber memberitahu, kejadian itu hanya disedari pekerja lain selepas mendengar jeritan mangsa.
"Salah seorang pekerja kilang kemudian bertindak menutup suis mesin pemotong itu.
"Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Umum Sarawak selepas tangannya dapat dikeluarkan beberapa minit kemudian," katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, mangsa tinggal di asrama kilang tersebut kini berada dalam keadaan stabil walaupun kecederaan yang dialaminya agak serius.

Polis temui semula rim sport curi

MOHD. ADNAN (kanan) bersama pegawainya menunjukkan rim sport kereta yang ditemui semula pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Polis menemui semula 1,777 daripada 1,844 unit rim sport kereta buatan China yang dicuri sekumpulan penjenayah selepas menahan tiga suspek di sebuah restoran di Jalan Meranti Jaya, Puchong Isnin lalu.
Kesemua rim sport itu ditemui setelah soal siasat dijalankan ke atas suspek berumur antara 27 hingga 48 tahun sebaik sahaja mereka ditahan pada pukul 12.15 malam.
Antara jenis rim sport buatan China adalah Speed dan KR II.
Sebanyak 1,581 unit rim sport dijumpai di dalam sebuah lori kontena berwarna biru di kawasan Putra Perdana pada pukul 3 pagi hari yang sama dan hampir dua jam kemudian, 196 unit lagi ditemui di sebuah kedai aksesori kereta di Batu Caves.
Turut ditemui semula sebuah kontena yang dilarikan penjenayah terbabit di Taman Kinrara pada pukul 2.30 petang hari yang sama.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, siasatan dijalankan selepas sebuah kontena mengandungi 1,844 unit rim sport bernilai RM174,285 yang diletakkan di Bukit Puchong hilang pada 18 Oktober lalu.
Menurutnya, keesokan harinya, seorang pekerja syarikat menjual barang tersebut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

PTPTN sedia dana bantu pelajar miskin melanjutkan pelajaran

KUALA LUMPUR - Golongan pelajar miskin dan kurang bernasib baik bakal menerima bantuan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi menerusi dana Bantuan Pelajar Miskin 1Malaysia (BPM1M) yang diuruskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
BPM1M merupakan inisiatif penjanaan dana menerusi sumbangan organisasi, syarikat dan individu bagi memenuhi sebahagian daripada keperluan pelajar miskin yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, soal penubuhan tabung dana bukan sesuatu yang baharu dalam sektor pengajian tinggi kerana terdapat banyak alumni serta syarikat yang menderma kepada IPT masing masing.
"Kita mahu perkara ini diperluaskan kepada institusi seperti PTPTN yang diwujudkan khusus untuk membiayai pendidikan pelajar.
"Kerajaan memberi sokongan menerusi potongan cukai sebanyak dua kali mulai tahun taksiran cukai 2012 kepada mana-mana organisasi atau individu yang menderma kepada tabung ini.
"Menerusi tabung ini, pelajar miskin dan kurang bernasib baik tidak perlu membuat pinjaman yang banyak daripada PTPTN kerana sebahagian daripada pembiayaan pengajian mereka akan ditanggung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Pembayaran Balik Pembiayaan Kepada Penerima Kelas Pertama Peminjam PTPTN dan Penyampaian Hadiah Simpanan Bonanza! SSPN-i di sini semalam.

Polis parah ditembak penjenayah



KHALID (tengah) bersama beberapa pegawainya mendengar penerangan doktor mengenai tahap kesihatan Muhammad Shamsul Anuar yang parah ditembak penjenayah di HRPZ II di Kota Bharu semalam.



KOTA BHARU - Seorang anggota polis muda berpangkat Lans Koperal cedera parah selepas terkena tembakan ketika mengejar dua suspek pencuri kereta mewah dalam kejadian di Paloh, Gua Musang semalam.
Muhammad Shamsul Anuar Muhammad Adnan,27, cedera selepas terkena dua das tembakan di dada hingga menembusi paru-parunya dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu, sebelum kejadian, mangsa dan beberapa lagi rakan sepasukan telah diarah untuk melakukan sekatan jalan raya di Paloh.
Katanya, ia bertujuan untuk mengesan penjenayah yang telah memecah masuk sebuah rumah milik seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun di Taman Tropika di Gua Musang setengah jam sebelum itu. Jarak antara dua tempat itu ialah kira-kira 20 kilometer.
"Maklumat mengatakan, dua penjenayah telah melarikan dua buah kereta mewah jenis BMW dan Honda Accord bersama sejumlah wang daripada rumah tersebut.
"Ketika sedang melakukan sekatan, mangsa melihat dua buah kereta yang sedang beratur untuk diperiksa telah membuat pusingan U. Curiga dengan keadaan itu, mangsa kemudian telah mengejar kereta tersebut dengan menunggang motosikal jenis Honda," katanya.
Beliau ditemui selepas meluangkan masa melawat Muhammad Shamsul Anuar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.
Tambahnya, kereta jenis BMW itu kemudian telah terbabas sebelum rakannya yang memandu Honda Accord turut berhenti.

Laman web punca jadi pengganas



DI bandar raya Beirut inilah lokasi Razif dan Razin ditangkap ketika cuba menyeludup masuk ke Syria dan berjihad.



KUALA LUMPUR – Razif Mohd. Ariff dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa Kamal dipercayai terpengaruh untuk menyertai kumpulan pengganas selepas kerap melayari laman web yang dikendalikan puak militan.
Siasatan mendapati, dua laman web yang kerap dilayari kedua-dua sahabat itu ialah www.amsar1.info dan www.al-qimmah.net.
Topik utama kedua-dua laman web yang masih boleh dilayari itu ialah menggalakkan para pengunjung berkongsi fahaman mengenai Islam, jihad dan pengaruh Mujahidin.
Bagaimanapun, topik forum yang paling mendapat sambutan dalam kedua-dua laman web tersebut ialah mengenai tentangan umat Islam terhadap isu pemberontakan di Syria.
Satu sumber memberitahu, selepas beberapa bulan berkongsi pengetahuan di laman web tersebut, kedua-dua sahabat itu kemudian memutuskan untuk menyertai kumpulan pemberontak di Syria kononnya bagi membantu menegakkan demokrasi.
Sebelum itu, Razif, 32, dari Sungai Buloh manakala Razin, 22, dari Beranang, Selangor dikesan mengenali antara satu sama lain melalui laman sosial Facebook secara individu pada awal tahun 2012.

Stok makanan bertahan lima hari


NUR AMIRAH (kiri) bersama Suraida dan Farah Nadia (kanan) menikmati sarapan di pangsapuri mereka di New York semalam.



KUALA LUMPUR - Taufan Sandy bukan sahaja memberi impak kepada warga Amerika Syarikat di New York tetapi juga menguji ketabahan kira-kira 2,700 rakyat Malaysia yang terpaksa berkurung di dalam kegelapan di rumah berikutan bekalan elektrik terputus sejak kelmarin manakala jalan raya pula digenangi air.
Daripada 2,700 rakyat Malaysia yang menetap di New York, seramai 1,200 orang adalah pelajar.
Antaranya ialah Nabilah Fahana Yahya, 21, pelajar Sistem Informasi di Institut Teknologi Stevens yang menetap di sebuah pangsapuri bersama tiga lagi rakannya, Nur Amirah Rahim, Suraida Alias dan Farah Nadia Muhammad Sabri.
Mereka kini bimbang mengenai bekalan air bersih serta stok makanan yang cuma bertahan lima hari.
"Kami tidak sempat untuk menyimpan stok air bersih yang secukupnya kerana terputus bekalan elektrik dan tidak menyangka taufan menjadi seteruk ini," kata Nabilah yang juga anak kelahiran Selangor menerusi e-mel kepada Kosmo! semalam.
Untuk hidangan semalam, dia hanya sempat memasak nasi dengan berlaukkan telur goreng.
Seorang lagi pelajar tahun ketiga jurusan Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Teknologi Stevens, Muhammad Hazim Ab. Fatah pula menceritakan, dia serta rakannya yang lain menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan kenalan di New York serta keluarga di Malaysia.
Katanya, ia disebabkan bekalan elektrik di kediaman mereka di New Jersey telah terputus sejak pukul 10 malam kelmarin.

No comments:

Post a Comment