Usaha pulih AS lambat
NEW YORK - Bunyi tren bawah tanah kedengaran buat kali pertama semalam dalam tempoh empat hari yang merupakan antara petanda awal bahawa bandar raya yang menjadi ikon kemodenan Amerika Syarikat (AS) itu kini semakin pulih selepas lumpuh dilanda taufan Sandy.
Namun, di kebanyakan kawasan lain di Pantai Timur AS, berjuta-juta orang kini mengalami kekurangan petrol dan diesel, selain ketiadaan bekalan elektrik.
Sekitar enam juta kediaman dan premis perniagaan di 15 buah negeri di AS masih terputus bekalan elektrik setakat kelmarin.
"Saya terpaksa bergelap dan memerlukan petrol untuk menghidupkan generator di rumah," kata seorang lelaki, Abdul Rahim Anwar di sebuah stesen petrol di Brooklyn di sini.
Ketika ini, pasukan-pasukan penyelamat masih bergelut untuk sampai ke beberapa kawasan paling teruk terjejas akibat bencana besar tersebut.
Sekurang-kurangnya 76 orang terkorban dalam malapetaka itu di AS sejak Isnin lalu dengan pihak berkuasa memberitahu, angka korban dijangka terus meningkat selepas anggota-anggota penyelamat melakukan operasi mencari mangsa dari rumah ke rumah di beberapa bandar pesisir pantai di rantau berkenaan.
Pihak berkuasa AS menyatakan, Sandy mendatangkan kerugian AS$200 juta (RM610 juta) sehari akibat kehilangan aktiviti, manakala anggaran kerugian keseluruhan mencecah AS$15 bilion (RM45.7 bilion).
Ribut berkenaan yang meliputi kawasan seluas 1,609 kilometer dan bertiup selaju 130 kilometer sejam kini bergerak ke utara menuju ke negeri Pennsylvania dan Kanada.
22 maut, 135 cedera lori tangki meletup di Riyadh
RIYADH, Arab Saudi - Sekurang-kurangnya 22 maut apabila sebuah lori tangki melanggar jejambat di sini, sekali gus mengakibatkan satu letupan besar dan memusnahkan sebuah bangunan serta beberapa buah kenderaan berhampiran.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Arab Saudi, Saad al-Qahtani memberitahu, seramai 135 orang mengalami kecederaan. Mangsa kebanyakannya terdiri daripada golongan lelaki dan beberapa orang pekerja asing.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Arab Saudi, sebuah lori tangki telah melanggar jejambat, menyebabkan berlakunya kebocoran minyak sebelum meletup.
"Pemandu lori terkejut apabila berlaku kemalangan di laluannya. Dia kemudian hilang kawalan dan melanggar salah satu tiang jejambat," kata jurucakap JPA Arab Saudi, Kapten Mohamed Hubail Hammadi.
Biarpun insiden itu berlaku berhampiran ibu pejabat Pengawal Negara Arab Saudi dan Kolej Sains Keselamatan Putera Nayef, pihak berkuasa menegaskan bahawa ia adalah satu kemalangan. - Reuters
Pulau dilitupi debu gunung berapi 100 tahun
JUNEAU, Alaska - Sebuah pulau di Alaska, Amerika Syarikat (AS) dilanda jerebu yang dipercayai kesan daripada debu letusan sebuah gunung berapi sekitar 100 tahun lalu.
Keadaan berjerebu itu melanda Pulau Kodiak dekat sini sejak minggu lalu.
Perkhidmatan Kaji Cuaca Kebangsaan menyatakan, angin kencang serta kekurangan salji pada Selasa lepas menyebabkan debu gunung berapi Novarupta di Alaska yang meletus pada 1912 merebak dengan lebih meluas.
Letusan tersebut adalah yang terkuat pada abad ke-20.
Rantau Alaska di utara AS merupakan kawasan beriklim sejuk dan bersalji.
Kepulan jerebu itu kini mencecah ketinggian 1,219 meter dan meliputi keseluruhan Pulau Kodiak dengan menyebabkan amaran penerbangan dikeluarkan.
Pada Jun 1912, Novarupta meletus dan menghamburkan debu setinggi 30,480 meter ke udara yang melitupi seluruh daerah Katmai di Alaska. - AP
Udang karang unik berwarna oren hitam
BOSTON - Seekor udang karang unik berwarna oren dan hitam yang sinonim dengan warna hari Halloween diberikan rumah baharu di Akuarium New England di sini, Amerika Syarikat (AS).
Orang ramai terutama kanak-kanak akan memakai kostum menyeramkan pada perayaan tersebut yang dikaitkan dengan elemen hantu dan disambut pada setiap 31 Oktober di AS.
Udang betina seberat 450 gram itu yang diberi nama Split, ditangkap di perairan Lautan Atlantik dekat bandar Salem, dalam negeri Massachusetts pada minggu lalu.
"Haiwan ini memang memiliki belang oren hitam," kata seorang jurucakap pusat akuarium tersebut berhubung spesies yang jarang ditemui itu.
Bahagian kiri udang tersebut berwarna hitam, manakala warna oren terdapat di sebelah kanannya.
Mengulas mengenai keganjilan tersebut, beberapa pakar biologi marin berkata, warna pelik itu mungkin disebabkan oleh pemecahan sel semasa proses persenyawaan.
Hidupan laut itu bakal dipamer kepada orang ramai selepas tempoh kuarantin tamat.
"Dianggarkan terdapat cuma seekor udang karang seperti ini dalam setiap 50 hingga 100 juta udang karang," ujar pihak akuarium berkenaan.
Udang karang pada kebiasaannya berwarna hijau. - Agensi
Meteorit 300kg ditemui di barat Poland
WARSAW - Beberapa ahli geologi Poland berjaya menemui meteorit seberat 300 kilogram (kg) yang tertanam sedalam dua meter di kawasan Rizab Meteorit Morasko, di bandar Poznan, barat Poland.
Meteorit itu adalah yang terbesar pernah ditemui di rantau Eropah Timur. Penemuannya diharap dapat memberi petunjuk baharu mengenai komposisi teras Bumi.
"Kita tahu bahawa teras Bumi terdiri daripada besi, tetapi kita tidak boleh mengkajinya. Di sini kita mempunyai meteorit dari angkasa lepas yang memiliki struktur hampir sama dengan teras bumi dan kita boleh mengkajinya," kata seorang pakar geologi, Professor Andrzej Muszynski kelmarin.
Meteorit selebar dua meter dan berbentuk kon itu ditemui oleh dua orang pemburu meteorit lewat bulan lalu.
Seorang ahli geologi Universiti Adam Mickiewicz yang mengkaji meteorit itu percaya ia terhempas ke Bumi sekitar 5,000 tahun dahulu.
Meteorit merupakan objek yang berasal dari angkasa lepas. - AFP
Pembedahan selamatkan budak berpenyakit ganjil
SYDNEY - Sepasukan doktor Australia semalam memuji pembedahan pertama di dunia ke atas seorang budak lelaki yang menghidap sejenis penyakit ganjil menyebabkan tekanan darah tinggi dan strok.
Dikenali sebagai autosomal recessive polycystic dan congenital hepatic fibrosis, penyakit tersebut menyerang ginjal dan hati manusia.
Budak lelaki itu, Matthew Gaythorpe, 10, menghidap tekanan darah tinggi dan pernah diserang strok pada tahun lalu selain mengalami sawan dan kelesuan.
Gaythorpe yang didiagnosis menghidap penyakit gangguan tidur kronik pada usia empat tahun juga terpaksa mengambil sekitar 30 jenis ubat sehari.
Namun, nasib kanak-kanak itu berubah selepas dia mendapat kebenaran menjalani pembedahan berbentuk eksperimen baru-baru ini.
Dalam pembedahan tersebut di Institut Jantung Monash, Amerika Syarikat, satu alat khas yang begitu halus dimasukkan ke salur darah di dalam ginjal Gaythorpe.
"Dengan menggunakan teknologi frekuensi radio pada alatan itu kami telah membuang sebilangan saraf dan tisu di sekeliling arteri ginjal Gaythorpe yang menyebabkan darah tinggi," kata pakar bedah Ian Meredith dari Institut Monash Heart.
"Pembedahan ini berjaya mengurangkan simptom dan tekanan darah Gaythorpe."
Ibu pesakit, Alex memberitahu bahawa pembedahan itu memberikan kesan menakjubkan dengan Gaythorpe kini lebih tenang manakala tekanan darahnya juga telah menurun.
"Dia kini dapat membaca buku semula (dengan selesa)," kata wanita tersebut. - AFP
Pemain pakau profesional AS menang RM26 juta
LOS ANGELES - Seorang pemain pakau profesional dari Amerika Syarikat (AS), Greg Merson diumum sebagai juara Kejohanan Pakau Siri Dunia semalam, kata pihak penganjur.
Merson dinobatkan sebagai juara dunia selepas menamatkan perlawanan pakau peringkat akhir selama 13 jam.
Pemuda berusia 24 tahun itu membawa pulang wang tunai berjumlah AS$8,531,853 (RM26 juta) bersama gelang emas. Siri kejohanan tersebut mengambil masa sepanjang malam melibatkan 400 orang peserta di Las Vegas.
Pada perlawanan akhir, Merson menentang dua peserta akhir iaitu Jesse Sylvia dan Jake Balsiger.
Jelas Merson, dia merancang untuk mengembara ke pusat perjudian utama China, Macau untuk bermain dalam permainan pakau yang menawarkan hadiah wang tunai tinggi dan bukannya menyertai sirkit perlawanan pakau yang memenatkan.
"Itulah yang ingin saya lakukan. Menyertai permainan pakau terbesar dunia dan tidak kehilangan semua wang saya," kata Merson yang dipetik oleh akhbar Sun Las Vegas.
Seorang lagi finalis, Sylvia memenangi wang tunai AS$5,295,149 (RM16 juta) apabila menduduki tempat kedua.
"Saya sudah cuba sedaya upaya. Adakalanya perkara tidak berlaku seperti yang kita kehendaki, tidak mengapa. Saya rasa saya telah bermain dengan baik sekali," kata Sylvia.
Balsiger, 21, yang membawa pulang wang tunai berjumlah AS$3,799,073 (RM11.2 juta) pula dikatakan sebagai pemenang termuda kejohanan tersebut setakat ini. - AFP
Lori padi terbabas, empat maut
|
ALOR SETAR – Empat beranak maut manakala seorang lagi parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi yang terbabas dalam kemalangan di Jalan Tualang dekat Kampung Permatang Limau dekat sini semalam.
Mangsa yang maut ialah pesara tentera, Shafie Abd. Hamid, 57; isterinya, Che Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka iaitu Nurul Faiz, 24, dan Mohd. Iptihar, 26.
Anak bongsu mereka, Mohd. Iqbal, 15, cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Lokasi kemalangan terletak kira-kira enam kilometer dari rumah keluarga mangsa di Kampung Kubang Pisang, Pendang.
Kejadian pada kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika keluarga malang itu dalam perjalanan untuk menziarah keluarga mereka di sini dengan menaiki kereta Perodua Viva dari arah Pendang menghala ke Kebun 500, Pokok Sena.
Bagaimanapun, ketika melalui tempat kejadian, sebuah lori padi tanpa muatan dari arah Kebun 500 dipercayai mengalami kerosakan stereng dan brek lalu terbabas dan bertembung dengan kereta tersebut yang dipercayai dipandu Mohd. Iptihar.
Dalam pada itu, anak kedua mangsa, Mohd. Anuar Shafie, 32, menjelaskan, dia yang berada di Jabi berasa tidak sedap hati apabila ternampak dua buah ambulans memasuki persimpangan Kebun 500.
Dia kemudian segera pulang ke rumah keluarganya di Kampung Kubang Pisang, namun sebaik dia tiba di tempat kejadian, perasaan tidak sedap hatinya menjadi kenyataan apabila kereta yang terbabit kemalangan itu adalah milik bapanya berdasarkan nombor pendaftaran KCS 396.
“Masa saya tiba, kesemua mereka sudah tidak ada lagi di tempat kejadian dan orang ramai meminta saya pulang ke rumah untuk membuat kepastian.
“Bila saya tiba di rumah, itulah kenyataan apabila empat ahli keluarga meninggalkan kami sekali gus tetapi saya tetap reda dan pasrah,” katanya.
Dia menjelaskan, ibu bapanya ada mengunjungi rumahnya di Guar Kepayang, Pendang bagi menziarahi dua cucunya yang berusia lima dan setahun.
“Mereka datang ke rumah kira-kira pukul 10 malam kelmarin untuk melihat cucu tetapi mereka sudah tidur.
“Ibu dan bapa saya kurang bercakap dan tidak duduk lama sebelum beredar kira-kira setengah jam kemudian,” katanya yang bekerja sebagai buruh di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Sementara itu, menurut anak ketiga mangsa, Mohd. Fashah, 28, kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kubang Pisang malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superitendan Rohana Omar mengesahkan kemalangan berlaku apabila lori terbabit yang mengalami kerosakan tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Viva yang dinaiki lima beranak tersebut.
“Akibat pertembungan itu, empat mangsa mati di tempat kejadian dan mayat kesemua mereka dihantar ke HSB.
“Pemandu lori dipercayai hanya mengalami cedera ringan dan dia ke balai polis untuk diambil kenyataan,” katanya.
Dua konstabel maut digilis treler
IPOH - Dua anggota polis berpangkat konstabel yang sedang melakukan rondaan di kawasan Simpang Pulai di sini maut apabila motosikal ditunggangi mereka digilis sebuah treler di Jalan Lahat-Simpang Pulai malam tadi.Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, Konstabel Mohd. Nor Adirizan Md. Desa maut di tempat kejadian selepas dia cedera parah pada keseluruhan anggota badan.
Rakan Nor Adirizan, Konstabel Mohd. Zaihasrul Reza Mohd. Zaini pula mati dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Kedua-dua anggota polis terbabit berusia 22 tahun dan masing-masing berasal dari Perlis dan Kedah.
Pemandu treler berusia 26 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kemalangan itu.
Jurucakap polis berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-254 2222 bagi membantu siasatan.
AEON beli Carrefour
KUALA LUMPUR – Syarikat peruncitan utama Jepun, AEON Co Ltd. (AEON) mengambil alih operasi Carrefour Malaysia (Carrefour) melibatkan 26 buah unit pasar raya besar melalui penjenamaan semula sebagai AEON Big Malaysia dengan harga belian sebanyak 15.1 bilion yen (RM575.5 juta).
Usaha itu sekali gus mengangkat AEON sebagai kumpulan peruncitan kedua terbesar di Malaysia.
AEON menandatangani perjanjian pembelian saham untuk mengambil alih kesemua saham anak syarikat operasi pasar raya besar Carrefour Malaysia, Magnificent Diagraph Sdn. Bhd. (MD) dan Carrefour Malaysia Sdn. Bhd. yang mempunyai 9.3 peratus hak pengundian dalam MD, daripada Carrefour S.A. dan anak-anak syarikatnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan ASEAN AEON, Nagahisa Oyama (gambar kecil) berkata, AEON, di bawah pelan pengurusan jangka sederhana bagi tempoh tiga tahun sehingga tahun 2013, menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang rancak berkembang di China dan ASEAN.
“Malaysia dilihat mampu menjadi hab perniagaan bagi mengembangkan operasi AEON sedia ada kerana negara ini menjadi kawasan pertembungan ekonomi dan pengangkutan yang penting bagi rantau ini.
“Sehubungan itu, kami mengambil keputusan menjadikan Malaysia sebagai ibu pejabat Kumpulan AEON di ASEAN untuk mengurus operasi perniagaan syarikat di rantau ini,” katanya pada sidang akhbar ketika membentangkan strategi perniagaan AEON di sini semalam.
AEON pada masa ini beroperasi di enam negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam dan Kemboja.
AEON, dalam laporan Reuters pada 20 September lalu, telah menafikan bahawa mereka sedang mengadakan perbincangan bagi memperoleh perniagaan Carrefour di Malaysia.
Laporan itu turut menyatakan bahawa penjualan tersebut akan melibatkan transaksi berjumlah RM960 juta.
Bagaimanapun, pembelian saham yang dimuktamadkan pada 31 Oktober lalu itu telah menamatkan spekulasi itu.
Menurut Oyama, pengambilalihan itu dibiayai secara tunai dan menjangkakan ia tidak memberi kesan kepada keadaan kewangan AEON.
“Susulan usaha ini, kami merancang membuka 100 buah premis perniagaan menjelang tahun 2020 dengan pelaburan mencecah 300 bilion yen (RM11.5 bilion),” katanya sambil memaklumkan pengambilalihan Carrefour Malaysia tidak menjejaskan pekerja sedia ada.
Modul atasi gemuk PLKN bermula 2013
KULIM – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan memperkenalkan modul baharu bagi mengatasi obesiti serta memastikan pelatih mempunyai berat badan yang ideal.Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, modul dikenali ‘Gaya Hidup Sihat’ itu akan diperkenalkan untuk Kumpulan 2 Siri 1/2013 yang bermula awal tahun depan.
Katanya, modul itu sebelum ini dilaksanakan secara percubaan terhadap 1,000 pelatih Siri 8 dan 9/2012 dengan hasil menunjukkan 504 orang turun berat badan dan 487 lagi yang kurus bertambah berat badan.
“Kajian ini dilaksanakan oleh JLKN dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak atas arahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,” kata Abdul Hadi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja dan pemantauan Latihan Menembak Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kumpulan 3 Siri 9/2012 di Kem PLKN Seri Impian, Sungai Bakap, Seberang Perai di Lapang Sasar Batalion Dua Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini semalam.
Katanya, tempoh kajian itu selama 10 minggu bermula minggu pertama pelatih melapor diri mengikuti latihan dan setiap sesi mengambil masa dua hingga tiga jam sehari.
Bagaimanapun, program ini akan hanya dilaksanakan di beberapa kem PLKN terpilih, manakala jurulatih terbabit telah mula menjalani latihan yang diperlukan, tambahnya.
Abdul Hadi berkata, program modul tersebut diharap dapat membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan untuk menggalakkan rakyat menjalani gaya hidup sihat.
Mengenai latihan atau aktiviti dalam air, beliau berkata, JLKN melarang sama sekali latihan dalam sungai namun aktiviti itu dibenarkan jika dijalankan di dalam kolam renang. – Bernama
Majlis Al-Arqam diserbu JAIS
RAWANG – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah majlis khas yang dipercayai cuba menghidupkan kembali ajaran sesat Al-Arqam di Bandar Country Homes di sini malam tadi.
Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, beberapa individu ditahan termasuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr. Badrulamin Bahron.
Badrulamin merupakan tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa majlis tersebut.
Beliau adalah pemimpin PKR yang pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Pahang kerana didakwa berkhalwat dengan isteri orang berusia 28 tahun di sebuah hotel di Pahang, Februari tahun ini.
Difahamkan, majlis yang dihadiri kira-kira 3,500 orang itu melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor iaitu membantu menghidupkan fahaman Al-Arqam.
Kain rentang yang digantung pada majlis tersebut tertera Majlis Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi yang bertemakan “Abuya terus memimpin walaupun ghaib”.
Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAIS di Shah Alam, Selangor.
Sehubungan itu, JAIS akan menjalankan siasatan lanjut dan memantau aktiviti pengikut bekas pemimpin Al-Arqam berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk menahan mereka yang didapati terbabit dalam cubaan menghidupkan kembali gerakan itu.
Difahamkan, selain jamuan makan, pengisian majlis tersebut turut disertai dengan konsert khas dan jualan pelbagai jenis barangan termasuk buku-buku.
Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad sebelum ia diisytihar sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.
Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.
Pengasasnya, Ashaari meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru.
Simpan pistol, buat bom
|
GEORGE TOWN – Kegiatan tiga penjenayah berbahaya yang paling dikehendaki polis negeri ini kerana memeras ugut ahli perniagaan menggunakan senjata api, peluru dan bom tangan buatan sendiri bagi memperoleh wang terbongkar apabila kesemuanya diberkas kelmarin.
Kesemua samseng berusia lingkungan 30-an tersebut diberkas pada pukul 5.30 petang di sebuah rumah di Taman Damai, Padang Serai, Kedah hasil maklumat dan risikan terperinci yang dilakukan polis sejak setahun lalu.
Polis yang menggeledah rumah mereka menemui pelbagai jenis senjata api dan bahan membuat bom seolah-olah penjenayah ingin memberitahu yang mereka mampu bertindak ganas pada bila-bila masa.
Antara yang ditemui sepucuk pistol semi automatik buatan sendiri, lapan butir peluru, empat bom tangan buatan sendiri, tiga bungkus bebola besi dan 35 biji mercun bola.
Turut dirampas ialah lapan buah telefon bimbit dan sebuah kereta curi jenis Proton Waja.
Difahamkan, penjenayah tersebut tidak mempunyai kepakaran tertentu mengenai letupan tetapi memiliki pengetahuan untuk membuat bom menggunakan bebola besi dan petrol.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, modus operandi penjenayah ialah akan memeras ugut ahli perniagaan dengan cara menghantar peluru hidup atau mencampakkan bom tangan buatan sendiri yang tidak dihidupkan ke laman rumah mangsa sebagai amaran.
Katanya, suspek kemudian akan membuat panggilan telefon kepada mangsa dan meminta wang sekurang-kurangnya RM500,000 jika tidak mahu diapa-apakan.
“Setakat ini, polis telah menerima enam laporan daripada ahli perniagaan di sekitar Seberang Perai mengatakan mereka diperas ugut penjenayah sejak Mac 2011 menggunakan modus operandi yang sama.
“Bagaimanapun, kesemua mangsa tidak mengalami kerugian dan tidak membuat bayaran kerana mereka terus membuat laporan polis,” katanya pada sidang akhbar semalam.
Tambahnya, walaupun kesemua mangsa tidak diapa-apakan, pihaknya menganggap ketiga-tiga penjenayah yang berasal dari Kedah itu sebagai sangat berbahaya dan dikehendaki kerana memiliki senjata api dan bahan letupan.
Menurut Abdul Rahim, kesemua suspek yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, 1960 dan 1957 kerana memiliki senjata api dan bahan letupan serta Seksyen 36 akta sama atas kesalahan memiliki senjata api palsu. Sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta enam sebatan atau denda RM10,000.
Korban terjunam dari jambatan
GEORGE TOWN – Seorang lelaki terbunuh apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar penghadang Jambatan Pulau Pinang sebelum melambung dan menjunam ke dalam laut pagi semalam.
Dalam tragedi ngeri pada pukul 3.30 pagi di Kilometer 7.9, mangsa yang terbunuh ialah Tan Kean Loon, 24. Semasa kemalangan, mangsa memandu seorang diri dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke Pulau Pinang.
Difahamkan, kereta Proton Persona yang dipandu Kean Loon hilang kawalan lalu melanggar tembok penghadang jambatan sebelum melambung kemudian terjunam ke laut.
Kean Loon, anak bongsu daripada tiga beradik dan masih bujang itu dipercayai mati lemas selepas kereta miliknya tenggelam ke dasar laut.
Mangsa yang bekerja sebagai kerani akaun di sebuah kilang perabot di Sungai Bakap tinggal bersama neneknya di Air Itam selepas kedua-dua ibu bapanya berpisah beberapa tahun lalu.
Kejadian hanya disedari pasukan peronda Jambatan Pulau Pinang selepas mereka curiga menjumpai sebiji tayar kereta dengan serpihan bampar depan kereta di tepi jambatan.
Sebatang tiang lampu di kawasan tersebut tumbang ke dalam laut.
Pasukan peronda yang mengesyaki ada kenderaan terjunam ke laut menghubungi polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pasukan penyelamat yang disertai polis marin dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira tujuh jam sebelum berjaya mengesan lokasi kereta Persona itu terbenam.
“Pasukan penyelamat dapat mengesan kereta itu pada pukul 9.35 pagi iaitu kira-kira 12 meter di dasar laut di Pulau Pinang.
“Kereta tersebut diangkat menggunakan kren pada pukul 12.30 tengah hari dan di dalam kereta itu polis menemui mayat Kean Loon tersepit di tempat duduk pemandu,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.
Abdul Rahim memberitahu, polis masih menyiasat punca kemalangan tetapi tidak menolak kemungkinan tragedi itu berlaku selepas kereta itu dipandu laju.
Kemalangan tersebut menyebabkan jambatan yang menghubungkan Seberang Perai dan Pulau Pinang mengalami kesesakan teruk hampir lima jam.
Ini merupakan kemalangan maut kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu di jambatan itu selepas kejadian pada Ahad lalu yang mengorbankan tiga mangsa.
Bagaimanapun, dalam kemalangan sebelum ini, kereta Proton Perdana yang dinaiki mangsa-mangsa tidak terjunam ke laut.
Sementara itu, teman wanita mangsa, Chee Jia Ying, 19, ketika ditemui di HPP berkata, dia ada berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan mangsa beberapa jam sebelum kemalangan tersebut.
Katanya, mangsa memberitahu sudah sampai di rumah neneknya di Air Itam dan mahu tidur kerana keletihan.
“Kean Loon tidak pula beritahu ingin keluar malah tiada apa-apa perubahan pada mangsa,” kata Jia Ying.
Jia Ying memberitahu, dia terkejut apabila dimaklumkan oleh seorang keluarganya bahawa Kean Loon terlibat dalam kemalangan.
Jia Ying dan Kean Loon sudah berkenalan sejak lima tahun lalu.
Bapa saudara Kean Loon yang mahu dikenali sebagi Oon pula berkata, mangsa yang merupakan ejen insurans secara sambilan merupakan seorang yang baik hati.
“Baru dua hari lalu saya membeli polisi insurans dengan Kean Loon. Sepatutnya bulan depan dia ke Genting Highlands untuk menonton persembahan orkestra China di pusat peranginan itu,” ujarnya.
5,000 penduduk tuntut jambatan baharu
GOMBAK – Lebih 5,000 penduduk di sekitar Kampung Laksamana dan Batu Caves di sini meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina jambatan baharu bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh sejak dua minggu lalu.
Penduduk mendakwa mereka menghadapi banyak kesulitan untuk menjalankan aktiviti harian selepas jambatan sepanjang 50 meter dan selebar 1.5 meter yang menghubungkan dua kampung tersebut runtuh.
Seorang aktivis masyarakat di Batu Caves, V. Sundramoorthy, 54, mendakwa, jambatan berusia lebih 50 tahun yang diperbuat daripada besi dan batu konkrit itu runtuh akibat air deras di Sungai Tua akibat hujan lebat sejak kebelakangan ini.
“Jambatan tersebut selama ini menjadi laluan utama penunggang motosikal dan pejalan kaki ke tempat kerja, masjid, klinik, sekolah serta pasar,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, S. Sahadevan, 42, dari Kampung Laksamana pula meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan penduduk terutamanya pelajar dan warga emas yang terpaksa meredah sungai tersebut kerana jalan alternatif jauh.
“Kami terpaksa mengharungi perjalanan sejauh lebih enam kilometer untuk ke bandar sekiranya menggunakan jalan alternatif tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Sahadevan menggesa JPS supaya membina jambatan baharu untuk keselesaan dan keselamatan penduduk terlibat.
Katanya, JPS juga boleh membina sebuah jambatan berstatus sementara untuk kemudahan penduduk menjelang sambutan perayaan Deepavali.
No comments:
Post a Comment