Sunday, October 28, 2012

JIKA ADA JODOH APA SALAHNYA...WANITA KENA TERBUKA FIKIRANNYA...LELAKI KENA ADIL...WANITA KENA MEMBANTUNYA AGAR JADI ADIL

Mahu suami lengkap kuota

Oleh HADZLAN HASSAN, MOHD NASIF BADRUDDIN, SHAHRUL REDZUAN ZULKIFLI, NURUL HUSNA MAHMUD dan ZAID SALIM
metahad@hmetro.com.my

SOLAT... (dari kiri) Roslina,  Sulizah dan Wan Akmal (duduk tengah) dan bersama adik angkatnya, Zunaidah (kiri) bersalaman selepas berjemaah.
SOLAT... (dari kiri) Roslina, Sulizah dan Wan Akmal (duduk tengah) dan bersama adik angkatnya, Zunaidah (kiri) bersalaman selepas berjemaah.
BESAR... rumah keluarga Ariffin Mohamad di Lorong Surau Haji Yaacob Kampung, Tebuk Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.
BESAR... rumah keluarga Ariffin Mohamad di Lorong Surau Haji Yaacob Kampung, Tebuk Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Terbiasa berkongsi kasih berempat, pemergian madu tua ke rahmatullah tahun lalu membuatkan tiga isteri seorang ahli perniagaan sanggup membuka jalan kepada suami mereka untuk menerima seorang lagi wanita bagi melengkapkan kuota poligami.
Mendedahkan rahsia itu, ketiga-tiga madu terbabit memberitahu, mereka sudah meluahkan rasa hati kepada suami, Ariffin Mohamad, 66, dengan mencalonkan adik angkat mereka, Zunaidah Chua Abdullah, 37, yang kini tinggal bersama untuk mendalami agama, sebagai isteri keempat.

“Bagaimanapun, abang Ariff tidak menunjukkan minat, mungkin kerana dia masih terkenangkan arwah kakak (isteri pertama) tapi memberitahu, biar jodoh dan takdir menentukan cadangan kami.
“Dia beritahu, kalau sudah jodoh, dia akan berkahwin dengan siapa saja, asalkan kami semua dapat menerimanya. Namun, setakat ini abang Arif belum menunjukkan minat, mungkin kerana masih terkenangkan arwah kakak,” kata isteri ketiga, Sulizah Salleh, 54, sambil disokong isteri kedua, Roslina Soh Abdullah, 56, dan isteri keempat, Wan Akmal Wan Abdul Rahman, 54, ketika ditemui Metro Ahad di rumah mereka di Kampung Tebauk, di sini.

Meskipun madu pertama Fatimah Abdullah, 61, meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang, ikatan kasih sayang yang kukuh ketika hayatnya menyebabkan ketiga-tiga isteri ahli perniagaan itu tidak pernah berasa kehilangan wanita berkenaan.

“Walaupun kami kini tinggal bertiga, pada kami, kakak (panggilan kepada arwah madu pertama) masih bersama dan kami tidak pernah merasai kehilangannya,” kata Sulizah.
Menurutnya, hubungan akrab antara dia dan dua madunya dengan arwah ketika hayatnya menyebabkan sehingga kini mereka masih merasai arwah ada bersama walaupun hampir setahun meninggal dunia.

“Ketika hayatnya, arwah kakak yang baik dan penyayang dan banyak membantu kami menyesuaikan diri dengan kehidupan bermadu.
“Tunjuk ajar yang arwah kakak beri menyebabkan kami tidak pernah berasa hidup bermadu. Hubungan kami seperti adik-beradik dan kami menghormatinya sebagai kakak sulung,” katanya.

Sebagai isteri keempat, Wan Akmal menghormati tiga madunya (kini dua) sebagai kakak sendiri dan tidak pernah beranggapan mereka berempat berkongsi suami.

Malah, dia mengakui sikap suami yang tegas, bertanggungjawab dan jujur dalam segala permasalahan menyebabkan semua isteri tidak pernah berasa hati sesama mereka.

“Hubungan kasih sayang dan keakraban ini bukan hanya pada kami, tapi turut berlaku kepada 17 anak dan menantu kami yang tidak pernah membezakan antara kami apabila menganggap kami sebagai ibu kandung mereka.

“Abang Arif tidak pernah membawa masalah kerjanya ke rumah tapi kalau kami melihat dia resah atau termenung, tiada siapa yang akan ‘menerkamnya’, sebaliknya hanya menunggu dia menegur dan membelai kami berempat... biasanya dia tidak akan lama termenung sendirian,” katanya.

Walaupun menyedari kemewahan dan kesenangan itu penting dalam kehidupan, semua isterinya beranggapan senjata utama kebahagiaan keluarga mereka ialah hubungan kasih sayang.

“Kami memiliki kasih sayang yang sama, termasuk dengan anak. Itulah rahsia yang membolehkan kami hidup bahagia selain peranan insan istimewa iaitu suami yang bertanggungjawab, tegas dan jujur, selain sifatnya yang periang serta sering membuatkan kami terhibur.

“Secara jujur, kami berasa sepi dan terasa kehilangannya jika suami tiada di rumah walaupun untuk satu hari kerana urusan kerja,” katanya.

Roslina mengakui sejak menjadi isteri Ariffin 39 tahun lalu, kehidupannya penuh bermakna dan tidak menduga hidup bermadu tidak menimbulkan masalah buatnya dan tidak pernah menyesal bertukar agama.

“Arwah kakak banyak mengajar dan mendidik saya mengenai Islam, termasuk cara berpakaian dan pergaulan. Kini hidup saya tenang bersama dua ‘adik’ di bawah satu bumbung,” katanya.

Bukan saja bahagia memiliki keluarga besar yang hidup dalam suasana penuh harmoni, tiga madu berkenaan turut berasa bangga apabila memiliki anak bijak yang berjaya dalam pelajaran.

Kecemerlangan dalam pendidikan terbukti apabila sembilan daripada 17 anak Ariffin berjaya ke menara gading. Empat daripada mereka kini bekerja, manakala lima lagi mengikuti pengajian di tiga pusat pengajian tinggi dalam negara.

“Syukur, Allah menganugerahkan mereka otak yang cergas. Kami tidak pernah mengatur sistem pembelajaran anak seperti menghantar mereka ke kelas tambahan atau menggaji guru khas di rumah.

“Disiplin tinggi selain patuh dengan peraturan ditentukan bapa mereka menyebabkan anak tahu apa sepatutnya dilakukan, termasuk belajar dan mengulang kaji pelajaran.

“Selain itu, kami membekalkan anak dengan air penerang hati dan surah Yasin yang menjadi amalan kami sekeluarga setiap hari. Alhamdulillah, sehingga kini Allah memakbulkan doa kami,” kata Roslina.

Ketika ditanya sejak bila suami mereka mula menjadi pelupa dan kerap tersalah memanggil nama isterinya, mereka menjelaskan, perkara itu berlaku kira-kira setahun lalu, iaitu sejak pemergian arwah madu pertama.

Bagaimanapun, Ariffin masih sihat dan tegap serta tidak kelihatan seperti lelaki berusia 66 tahun, mungkin dipengaruhi faktor pemakanan.

Selain tidak menyentuh minuman sejuk, dia tidak akan makan makanan berminyak atau berlemak. Bukannya cerewet, Ariffin akan makan apa saja yang dimasak, asalkan ia tidak menggunakan minyak atau santan yang banyak. Dia juga jarang menjamu selera di luar, kecuali jika diajak atau sekadar menjaga hati kawan.

Tidak pelik, wajar diteladani



KUALA TERENGGANU: “Bagi saya, ia sangat bagus dan molek serta wajar diteladani apabila lelaki berkahwin ramai dapat hidup harmoni dengan isteri, malah anak pula ‘menjadi’.
“Perkara ini (tinggal sebumbung) tidak pelik jika suami isteri dan anak mereka saling memahami dan menghormati peranan serta tanggungjawab masing-masing,” kata Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Datuk Mohd Rozali Salleh.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berkata, kisah lelaki berkahwin empat dapat tinggal bersama dalam satu rumah sememangnya sangat unik.
Katanya, memang susah hendak berjumpa kes seperti itu dan sepanjang pengetahuannya, kes itu adalah satu-satunya yang pernah didengar di Terengganu.

Menurutnya, berpoligami bukan perkara mudah kerana suami perlu memiliki kemampuan dan kebijaksanaan, selain pemahaman agama yang boleh membantunya menguruskan hal-ehwal keluarga.

“Si suami akan menjadi pemimpin dalam keluarga, jadi dia harus mempunyai ilmu agama dan mengikut undang-undang perkahwinan di Terengganu.
“Kita menetapkan setiap lelaki yang ingin berkahwin lebih daripada seorang perlu mendapatkan kelulusan mahkamah,” katanya.

Ramai anak dapat ijazah



KUALA TERENGGANU: Bertuahnya seorang lelaki beristeri empat apabila sebahagian besar daripada 17 anaknya berjaya dalam kehidupan, dengan tiga menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) manakala dua lagi masih mengikuti pengajian di peringkat sama.
Walaupun kebahagiaan keluarga besar Ariffin Mohamad, 66, yang menetap di villa mewah Kampung Tebauk, di sini, terjejas selepas pemergian isteri pertamanya, Fatimah Abdullah, 61, akibat masalah buah pinggang tahun lalu, kesetiaan tiga madu arwah dalam membesarkan anak ahli perniagaan itu membuktikan kehidupan bermadu sesuatu yang bermakna.

Betapa tidak, hampir semua anak daripada keluarga besar yang turut merangkumi 10 menantu dan 10 cucu itu mengecapi kejayaan dalam hidup masing-masing apabila sembilan daripada anak keluarga yang menetap dalam satu bumbung di Villa Ariffarozama itu lulusan pusat pengajian tinggi awam tempatan.
Kini ada antara anaknya menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan agensi kerajaan selain sembilan menantu yang kini banyak membantunya menjalani kehidupan harian melalui bantuan kewangan.

Malah, villa yang mendapat nama hasil gabungan singkatan namanya Arif, Fa (Fatimah), Roslina Abdullah, 56 (Ro), Surizah Salleh, 54 (Su), dan Wan Akmal Wan Abdul Rahman, 54 (Ma) itu kini semakin besar apabila menantunya menghadiahkan sebuah rumah dilengkapi 15 bilik lengkap dengan surau dan ruang tamu sebagai tanda kasih sayang mereka.

Ketika ditemui di rumahnya, Arif yang mudah dibawa bersembang mengakui, dia kini bersiap sedia untuk dijemput Ilahi dan reda dengan kehendak Yang Maha Esa kerana sudah puas mengecapi nikmat dunia.
“Bukan mahu menyombong diri tapi saya gembira dengan apa yang saya peroleh selama ini, kurniaan Allah sungguh tidak terhingga, saya memiliki keluarga besar dan anak juga berjaya, saya syukur mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.

“Tiada lagi yang saya mahu, mungkin tiga ini (merujuk kepada isteri) dah cukup tak perlu tambah lagi, tapi saya tak boleh cakap besar... kalau Tuhan dah tentukan jodoh saya lagi, apa salahnya, malah isteri saya juga tidak menghalang,” katanya kepada Metro Ahad.
Beliau sudi ditemuramah wartawan tetapi keberatan apabila diminta untuk bergambar.

Ariffin berkata, kemungkinan untuk dia menikah seorang lagi selepas kematian isteri pertama adalah tipis berikutan faktor usia yang kini menyebabkan dia makin sensitif dan pelupa sehingga kerap tersalah memanggil nama isteri dan anak.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak akan melupakan giliran setiap isterinya kerana ketiga-tiga wanita berkenaan akan mengetuk biliknya untuk menentukan giliran masing-masing.

“Jika malam itu bilik saya diketuk sekali, saya akan tahu ia giliran isteri pertama dan begitulah seterusnya, namun sejak tahun lalu pintu saya hanya diketuk dua kali ke atas selepas pemergian arwah isteri pertama,” katanya.

Arif melangsungkan perkahwinan dengan isteri pertama pada 1969 manakala perkahwinan kedua pada 1979 sebelum berkahwin lagi pada 1983 dan 1988.

Semua isterinya hanya dikenali selama tiga bulan sebelum mereka mengambil keputusan berkahwin dan kebanyakan isterinya tidak dapat menolak kebolehan dan kepetahan Arif berbicara menyebabkan mereka mudah terpikat.

Yang menarik, semua anak keluarga itu tidak akan membezakan ibu mereka, sebaliknya memanggil wanita berkenaan dengan gelaran mummy (arwah), mama (isteri kedua), Su (isteri ketiga) dan Ummi (isteri keempat).

“Gelaran Su diberi kerana saya tidak pernah terlintas untuk berkahwin kali keempat, namun jodoh saya datang lagi ketika itu menyebabkan saya tidak dapat menolak,” katanya.

Beliau yang terbuka untuk berkongsi perihal keluarganya turut mengakui, amalan berjimat cermat membolehkan keluarga besar itu terus hidup dalam suasana harmoni hingga kini.

“Kalau dulu perbelanjaan harian keluarga kami hanya kira-kira RM36,000 setahun, kini ia mencecah sehingga RM72,000 dan secara purata kami membelanjakan RM6,000 sebulan dan tidak termasuk perbelanjaan peribadi saya RM2,000,” katanya.

Ditanya rahsia dimiliki hingga mampu mengekalkan keharmonian rumah tangga, beliau berkata, tiada apa yang menjadi rahsia atau amalannya, kecuali tidak pernah membuang air kecil dalam air, tidak pernah minum air sejuk dan mengamalkan sikap terbuka kepada anak dan isteri, termasuk mengenai pengetahuan seks.

“Jangan hipokrit dengan anak, kita jelaskan saja apa yang kita tahu kerana mereka juga akan besar dan berkahwin, ajarlah mereka perkara yang betul tapi biarlah ia berpada.

“Biasanya saya mendidik anak melalui isteri di mana saya memberi arahan kepada isteri yang kemudian menyampaikan amanat kepada anak. “Mereka (isteri) yang akan mendidik dan memberi tunjuk ajar dalam memastikan semua anak menjadi insan berguna.

“Saya bersyukur kerana anak mengikut peraturan di villa ini, manakala isteri pula tidak putus-putus dengan solat hajat dan amalan menyediakan air Yasin sebagai penerang hati kepada anak, selain patuh kepada ajaran agama,” katanya.

Menurutnya, kalau dulu ada antara individu yang mengeji dan mengumpatnya kerana memiliki keluarga besar, kini dia menjadi antara idola pihak tertentu yang ingin bermadu, malah sering dikunjungi golongan suami atau isteri yang ingin menyelesaikan masalah rumah tangga.

“Ada wanita berjumpa saya untuk membantu menyelesaikan masalah suaminya yang ingin kahwin lain dan ada juga lelaki mendapatkan khidmat nasihat untuk berpoligami.

“Sebenarnya syaratnya mudah, iaitu lelaki itu perlu mengetahui konsep faham, berani dan tegas. Jika dia memiliki konsep berkenaan, insya-Allah mereka mampu berpoligami,” katanya.

Lelaki Nigeria guna sihir paksa kanak-kanak jual tubuh



LONDON: Seorang lelaki yang menggunakan ritual sihir bagi memaksa kanak-kanak menjadi pelacur, didapati bersalah di mahkamah Canterbury atas dakwaan menyeludup manusia dan merogol.
Perbicaraan menunjukkan, ramai kanak-kanak dirogol, didera secara seksual dan dibayangi ritual seperti voodoo dilakukan sindiket terbabit. Mangsa juga dikelar dengan pisau, dipaksa meminum cecair busuk dan diambil darah bagi membolehkan mereka ‘disihir.’ Osezua Osolase, 42, menyamar sebagai pekerja pusat pungutan bahan kitar semula dan menetap di sebuah rumah teres di Gravesend, Kent.

Namun, tanpa disedari ramai, dia adalah sebahagian daripada anggota rangkaian penyeludup kanak-kanak yang menggunakan ancaman sihir bagi menakut-nakutkan mangsa supaya menjadi pelacur. Penyiasat berkata, mangsa sentiasa ditakut-takutkan akan mati atau mandul jika mereka cuba melarikan diri atau membuka rahsia kegiatan itu kepada sesiapa. Ketika ditahan, polis menemui bukti sekurang-kurangnya 28 mangsa diseludup masuk dan keluar oleh Osolase sepanjang tempoh 14 bulan.
Kegiatan itu membolehkan dia mendapat keuntungan sehingga £1.5 juta (RM7.3 juta). Bagaimanapun, polis yakin angka sebenar keuntungan diperolehnya jauh lebih tinggi berdasarkan bukti dikumpul setakat ini.

Hakim akan menjatuhkan hukuman ke atas Osolase hari ini. - DM

Jadi ‘ibu bapa’ 18 cucu

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

KASIH ... Opah Hasnah bersama sebahagian daripada 18 cucu kesayangannya.
KASIH ... Opah Hasnah bersama sebahagian daripada 18 cucu kesayangannya.
KLANG: Dia layak digelar ‘nenek super’ kerana dalam usia menjangkau 74 tahun dan kudrat yang terbatas, wanita itu masih berupaya menjaga 18 cucu berusia satu hingga 17 tahun.
Tujuh daripadanya cucu kandungnya yang dijaga sejak 2002 selepas dua anak lelakinya meninggal dunia, manakala selebihnya anak fakir miskin serta anak tidak sah taraf yang dijadikan cucu angkat.

Hasnah Mohd Rais atau lebih mesra disapa Opah Hasnah tidak pernah mengeluh kerana perlu memikul tanggungjawab berkenaan yang mungkin tidak mampu dipikul sebilangan orang, apatah lagi warga emas sepertinya.
Menurutnya, cucu dan cucu angkatnya tidak pernah menyusahkannya, malah memberi ketenangan dan menambah keceriaan dalam keluarga.

Biarpun tidak ada pendapatan, Opah Hasnah tidak terlalu risau memikirkan soal wang bagi menampung perbelanjaan menyara semua cucunya.

“Opah tak risau pasal duit. Alhamdulillah, duit sentiasa ada. Itu semua kerja Allah. Gaji Opah pun Allah yang bayar. Macam-macam bantuan Opah terima. Ada mahasiswa datang untuk mengecat rumah Opah, ada pihak yang beri langsir, perabot, peralatan rumah dan barangan elektrik,” katanya yang tidak mengenakan bayaran bagi mengasuh anak golongan kurang berkemampuan.
Kerja mengasuh sebati dengan dirinya kerana sejak kecil dia bertanggungjawab menjaga adiknya. Anak sulung daripada 11 beradik ini terpaksa menguburkan niat menyambung pelajaran kerana mahu membantu ibu menjaga adiknya.

“Opah tak pernah kesal tidak sambung pelajaran. Walaupun kehidupan kami sekeluarga tak begitu susah kerana ayah mengusahakan kebun sendiri, kami tidak dibiasakan dengan hidup senang.
“Ayah mendidik kami berdikari dan jika mahukan wang, Opah perlu ke kebun kutip kelapa dan menjualnya,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Taman Ros, Bukit Kuda, di sini.

Dia juga mengambil alih tanggungjawab sebagai ibu dan bapa menjaga empat anak selepas suaminya, Talaha Daud, meninggal dunia pada 1980-an dengan bekerja di ladang dan menjual kuih.

Dalam mengasuh cucu, seperti ibu muda, Opah Hasnah perlu bangun malam membancuh susu untuk dua cucunya yang berusia kira-kira setahun, menyuapkan makanan dan memandikan mereka setiap hari.

“Setiap hari Opah tidur jam 10 atau 10.30 malam dan bangun jam 2.30 pagi. Jadi ketika bayi bangun malam minta susu, Opah memang berjaga. Biasanya mereka bangun dua kali untuk minum susu,” katanya.

Ada antara cucu angkatnya diserahkan ibu kandung mereka, selain diletakkan di depan pintu rumah ketika masih bayi.

“Opah sayang semua cucu Opah. Ada orang menawarkan RM10,000 untuk mengambil mereka sebagai anak angkat, tapi Opah tidak sanggup menyerahkannya. Biarlah susah senang mereka bersama Opah,” katanya.

Setiap bulan, sebanyak RM1,000 diperuntukkan bagi membayar tambang bas. Perbelanjaan makan pula tidak terlalu membebankan kerana cuma dua kampit beras seberat 10 kilogram digunakan.

Antara perkara yang ditekankan dalam mendidik ialah mengingatkan cucunya supaya menunaikan solat, mengajar mengaji al-Quran dan membaca buku.

“Ada cucu angkat Opah yang daftar lewat kelahiran, menyebabkan dia tidak dapat bersekolah. Untuk memastikan dia tidak ketinggalan, setiap hari Opah mengajar membaca dan kini dia boleh membaca dengan baik,” katanya.

Anak perempuannya dikenali sebagai Wan berkata, ibunya memang sebati dengan tugas mengasuh dan sanggup bersusah-payah menjaga anak kecil.

“Dulu keadaan memang susah. Saya bekerja kilang dengan gaji RM500. Setiap bulan, sebanyak RM400 saya berikan kepada ibu untuk membesarkan cucunya dan RM100 untuk kegunaan sendiri. Ketika susah, mereka (cucu) pernah makan nasi berlauk kicap.

“Apapun, saya percaya Allah yang memberikan rezeki. Lama kelamaan, kehidupan berubah dan ibu menerima banyak bantuan bagi menguruskan cucu dan cucu angkatnya,” katanya.

Menurutnya, dalam usia yang semakin lanjut, ibunya sanggup turun naik bas untuk ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi memohon sijil kelahiran daftar lewat lapan cucu angkatnya.

“Menjelang Aidilfitri, ibu membawa semua cucunya menaiki bas untuk membeli baju raya. Cucu yang besar mendukung yang kecil. Mereka seperti adik-beradik dan tahu tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Bantu di Kemboja, Vietnam

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
sitiaisyah@hmetro.com.my

MELAPAH... orang ramai melapah sebahagian daripada 34 lembu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
MELAPAH... orang ramai melapah sebahagian daripada 34 lembu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
SEPANG: Prihatin dengan kedaifan masyarakat Islam di Kemboja dan Vietnam, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Perikatan Intelek Muslim Kemboja (CMIA) menyembelih 413 lembu dan 37 kambing untuk diagih kepada golongan sasaran di dua negara itu.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, daripada jumlah itu 396 lembu dan 37 kambing disembelih untuk diagihkan kepada umat Islam sekitar Phnom Penh, manakala 17 lembu diagihkan kepada masyarakat Islam di Ho Chi Minh, Vietnam.

Menurutnya, pihaknya juga akan menyampaikan sumbangan RM80,000 yang akan dimanfaatkan untuk pendidikan di Kampung Chenang, Kemboja.
“Sumbangan itu membabitkan RM70,000 bagi membina sekolah Islam, manakala RM10,000 lagi digunakan untuk membina maahad tahfiz di kampung berkenaan.

“Kita berharap sumbangan itu dapat membantu anak di kampung itu mendalami ilmu agama dalam keadaan lebih selesa,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, semalam. Seramai 118 sukarelawan turut serta dalam program itu yang dikenali sebagai Ekspedisi Kasih dan Korban ke Kemboja dan Vietnam.

Peserta berlepas ke Kemboja jam 3.15 petang dan dijangka pulang ke tanah air, Rabu ini.
Othman berkata, ini kali keempat program itu diadakan dan yakin ia dapat membantu masyarakat Islam di negara itu, terutama dalam aspek pendidikan.

“Dana disumbangkan akan dimanfaatkan untuk membaik pulih prasarana sekolah, di samping mewujudkan pelaksanaan wakaf iaitu dengan membeli tanah yang akan memberi hasil kepada masyarakat Islam di sana.
“Program kita lebih memfokuskan aspek pendidikan kerana sedia maklum pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menjalankan program sukarelawan di negara itu, tetapi tertumpu terhadap ekonomi dan kebajikan.

“Sepanjang melaksanakan program ini, kita sudah membina dua sekolah di Phnom Penh yang kini mempunyai 300 pelajar. Justeru, sumbangan diberi dapat membantu proses pembelajaran umat Islam di negara itu,” katanya.

Gadis bisu terpedaya

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hinanya seorang lelaki apabila tergamak mengambil kesempatan terhadap gadis kelainan upaya (OKU) hingga menyebabkan remaja berusia 17 tahun itu hamil enam bulan dan kini menunggu masa melahirkan kandungannya di Rumah Sinar Salam, Chow Kit, di sini.
Penyelia rumah berkenaan, Nurul Husna Hamid berkata, punca remaja itu terlanjur akibat hubungan terlarang daripada pergaulan bebas dan terpedaya dengan pujuk rayu teman lelakinya hingga disahkan hamil, awal tahun ini.

“Walaupun dia bisu, teknologi canggih (laman web dan telefon bimbit) hari ini membolehkan pasangan kekasih berhubungan antara satu sama lain hingga terlanjur.
“Kami tidak menafikan walaupun fizikalnya serba kekurangan, keinginan golongan ini sama dengan gadis normal lain,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

Remaja itu ditempatkan di rumah berkenaan disebabkan keluarganya enggan menerimanya semula selain malu dengan jiran dan masyarakat sekeliling.

Ditanya bagaimana arahan diberi kepada remaja OKU itu, Nurul Husna berkata, mesej berbentuk tulisan dan gerakan badan serta isyarat tangan antara kaedah komunikasi berkesan digunakan.
“Di rumah ini, kami menjaga makan minum dan membawa gadis berkenaan ke klinik untuk pemeriksaan setiap bulan bagi memastikan kandungan sihat serta tiada tekanan sepanjang kehamilan,” katanya.

Rumah Sinar Salam dinaungi Yayasan Salam Malaysia (YSM) menghulurkan bantuan dalam bentuk kepakaran dan pengurusan sejak 2007 khusus untuk gadis yang terbabit dalam kancah sosial sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing apabila pulih kelak.
Beliau berkata, di rumah itu, penghuninya diberi motivasi untuk membina semula imej yang tercalar, manakala ibu bapa diberi kesedaran supaya memberi peluang kedua kepada anak menerusi memberi bimbingan agama.

“Selain itu, menerusi perkongsian bersama sebuah agensi swasta, kami mengadakan pelbagai aktiviti seperti kelas masakan, kemahiran komputer dan kraftangan kepada penghuni supaya masa lapang mereka lebih terisi.

“Sebaik keluar dari rumah ini, ada di kalangan mereka diterima bekerja sebagai tukang cuci di hospital atau pembantu restoran.

“Sekurang-kurangnya, dengan kemahiran yang dibekalkan, mereka mampu berdikari, sekali gus boleh membina hidup baru,” katanya.

Cinta sejati



KUALA LUMPUR: “Isteri begitu adalah wanita yang cintanya sejati,” kata pakar perunding keluarga dan motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah, mengulas tindakan seorang isteri menanggung hutang along ditinggalkan suaminya bernilai lebih RM1 juta walaupun lelaki itu berkahwin lain.
Menurut beliau, tindakan isteri terbabit didorong rasa tanggungjawab untuk menjaga anak suaminya, selain tidak mahu imej lelaki itu dipandang hina oleh anak kerana berbapakan lelaki seperti itu.

Katanya, suami wanita itu pula tidak berperikemanusiaan dan pentingkan diri kerana sanggup melepaskan bebanan hutang kepada isteri untuk mencari kebahagiaan dengan wanita lain.
“Memang bertuahlah lelaki memiliki isteri yang menawarkan diri untuk menanggung hutangnya, tetapi kesenangan suami cuma di dunia dan akhiratnya kosong kerana tidak ada pahala ibadah.

“Dia meninggalkan isteri yang berjuang dari bawah bersamanya tetapi akhirnya ditinggalkan dan mencari isteri lain, itu tindakan yang tak berperikemanusiaan dan sangat pentingkan diri,” katanya, semalam.

Rubiah berkata, tindakan isteri itu juga adalah betul kerana semua harta dan aset didaftarkan ke atas anak mereka dan dia hanya mahu melindungi anaknya daripada menjadi buruan along.
Harian Metro semalam melaporkan nasib wanita dikenali cuma dengan nama Salbiah yang sanggup berkawan dengan ceti haram kerana tidak mahu keselamatan suaminya yang berhutang lebih RM1 juta dengan along terancam.

Walaupun lelaki itu berkahwin lain, dia sanggup menanggung beban ditinggalkan suami kerana bimbangkan keselamatannya.

Mangsa pukul masih terlantar



BEDAH... Htong masih terlantar  di HTAA, Kuantan.
BEDAH... Htong masih terlantar di HTAA, Kuantan.
KUANTAN: Walaupun penyerangnya sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, Selasa lalu, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah, mangsa yang ‘digusti’ gara-gara lambat menghantar air suam masih terlantar dan menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Pelayan sebuah kopitiam di Jalan Tun Ismail 2, di sini, Htong Haw, 29, yang juga warga Myanmar, menjalani tiga pembedahan sejak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat cedera parah di abdomen iaitu pendarahan dalam perut, pecah limpa, pecah usus kecil dan luka pada hati.

Majikannya, Stanly Soon Suan Ning, 43, berkata, Haw dipindahkan ke wad biasa kelmarin selepas seminggu bertarung nyawa dan koma di ICU akibat kejadian itu.
“Keadaan dia masih lemah dan memerlukan alat bantuan pernafasan. Buat masa ini dia belum boleh bercakap,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Soon berkata, Haw boleh menggerakkan anggota badan, namun kecederaan dialami membuatkan dia hanya terlantar dan tidak mampu bercakap.

“Abang dia yang bekerja di Kuala Lumpur menjenguknya di sini dan sedih dengan kejadian itu. Saya turut bersimpati dengan apa yang berlaku,” katanya.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, 18 Oktober lalu, mangsa yang enam tahun bekerja di kopitiam itu ditumbuk bertubi-tubi dan kepalanya dihentak ke pasu pokok hiasan dipercayai hanya kerana terlewat menghantar air suam dipesan tertuduh.

Malah, tertuduh menghenyak tubuh mangsa ke tangga, menariknya ke seberang jalan lalu bertindak seperti ahli gusti dengan mengepit kepala mangsa di celah kangkangnya sebelum menghempas mangsa ke atas jalan di tempat letak kereta berdekatan.
Mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.

Salak mayat dalam but

Oleh SALMAN HAMAT
salman@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Misteri salakan luar biasa seekor anjing membawa kepada penemuan mayat seorang wanita di dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Taratai 33, Taman Johor Jaya, di sini, petang kelmarin.
Ia susulan gelagat pelik anjing terbabit yang tiba-tiba meluru ke arah sebuah kereta Perodua Kancil sebelum menyalak kuat ketika pemiliknya membawa haiwan itu berjalan, jam 5.45 petang.

Pelik dengan kelakuan anjingnya selain terhidu bau busuk dari kereta berkenaan menyebabkan dia menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.
Pihak berkuasa memanggil sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya untuk membantu mengeluarkan mayat mangsa berikutan but kereta itu berkunci.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat wanita itu dan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan awal menemui mayat wanita di dalam but.Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai berusia 30-an dan ketika ditemui, dia masih berpakaian lengkap.

“Pemeriksaan lanjut dijalankan tetapi kami tidak menemui butiran lanjut mengenai mangsa, namun kita percaya dia warga tempatan.
“Pemeriksaan polis menemui kesan tikaman di perut wanita itu,” katanya.

Roslan berkata, siasatan dijalankan mengikut pelbagai sudut untuk mengetahui punca dan motif sebenar kejadian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Selain mengesan identiti, kita menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit untuk mencari petunjuk.

“Berikutan itu, orang ramai yang ada maklumat diminta tampil membantu polis,” katanya.

Peras foto bogel

Oleh KALIDEVI MOGAN KUMARAPPA
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Luluh hati seorang ibu apabila bukan saja gagal menyelamatkan anak gadisnya daripada menjadi mangsa nafsu serakah teman lelaki zuriatnya, malah terpaksa menampung perbelanjaan anak dan lelaki itu sejak sembilan bulan lalu.
Difahamkan, anak mangsa berumur 19 tahun bukan saja dipaksa melayan nafsu lelaki itu, malah mengikutnya ke Pulau Pinang dengan bermodalkan gambar bogel remaja itu sebagai taruhan.

Mangsa yang berasal dari Perak dan mahu dikenali sebagai Shiela, 45, berkata, anaknya berkenalan dengan lelaki itu ketika melanjutkan pelajaran di utara tanah air selepas terjerat dengan ayat-ayat cinta bapa ayam terbabit.
“Anak saya terlanjur buat kali pertama sembilan bulan lalu dan kesempatan itu digunakan lelaki terbabit untuk merakam gambar bogelnya sebelum dijadikan modal bagi memaksa anak saya meneruskan hubungan terlarang itu.

“Anak saya pernah cuba bunuh diri beberapa kali akibat tekanan perasaan, namun berjaya diselamatkan dan apabila dia melarikan diri ke Perak, lelaki itu menjejakinya semula sebelum memaksa dia mengikutinya pulang ke Pulau Pinang,” katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, dia turut dipaksa menghantar wang perbelanjaan bagi mengelak anaknya dibelasah lelaki itu.
Katanya, akibat tidak mampu menahan penderaan fizikal dan seksual lelaki itu, dia dan anaknya berjaya melarikan diri ke ibu kota pada awal bulan ini, malangnya dapat dijejaki semula lelaki itu.

“Pada 25 Oktober lalu, lelaki itu memaksa anak saya mengikutnya semula dan apabila saya menghalang, saya turut dipukul.
“Bagi mencari penyelesaian untuk masalah ini, saya membuat laporan di Balai Polis Brickfields kelmarin dengan harapan lelaki itu ditahan dan anak saya dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Seorang maut kereta rempuh pokok



JASIN: Kegembiraan tiga beradik, termasuk sepasang kembar, pulang ke kampung bertemu keluarga sempena cuti hujung minggu berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dan seorang lagi parah selepas kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan, kelmarin.
Difahamkan, dalam kejadian jam 4.15 petang di Kilometer 179.1 Lebuhraya Utara-Selatan, ketiga-tiga beradik itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Segamat, Johor.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa dipandu mangsa, M Vijaiyadarshini, 28, yang bekerja di syarikat penyiaran swasta, hilang kawalan sebelum merempuh pokok di kiri jalan.
“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua yang lain, termasuk pasangan kembarnya, cedera,” katanya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin dan dibedah siasat malam semalam (kelmarin) sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Bertaubatlah ustaz!

Oleh HADZLAN HASSAN, SHAMRAN SARAHAN, YUSMIZAL DOLAH ALING, MUHAMMAD SAUFI HASSAN dan NURASYIKIN RAMLI
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Bertaubatlah... kembalilah ke pangkal jalan.” Itulah rayuan seorang bekas isteri kepada Mohd Razis Ismail, 30, yang didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Khamis lalu, atas tuduhan memalsukan dokumen dan bernikah tanpa kebenaran mahkamah.
Wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Sha, 36, berkata, sudah sampai masa Razis menginsafi perbuatannya menganiaya isteri dan bekas isterinya yang lain selama ini.

“Setidak-tidaknya fikirkan masa depan anak, jangan malukan mereka.
“Saya berharap dia ambil pengajaran dengan apa yang berlaku. Ramai yang marah dan tertipu dengan perbuatannya, jadi berubahlah,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

Sha pernah menjadi isteri Razis pada 2010, namun perkahwinan mereka dibatalkan mahkamah awal tahun ini kerana dinikahkan oleh jurunikah tidak bertauliah.

Berikutan pembubaran hubungan itu, anak pertama mereka dianggap anak luar nikah dan kini dibinkan ‘Abdullah’, malah nasib sama juga bakal menimpa bayi yang kini dalam kandungan Sha.
Buat masa ini, Sha hanya mahu memikirkan masa depan anaknya.

“Yang sudah tu sudahlah... saya tidak mahu memusuhi sesiapa. Lebih baik saya fikirkan soal anak, mereka lebih penting sekarang,” katanya.
Metro Ahad minggu lalu melaporkan, seorang lelaki menggunakan gelaran ‘ustaz’ disyaki memperdayakan sekurang-kurangnya 11 wanita untuk dijadikan isteri, selain memalsukan dokumen borang pernikahan dengan mengaku masih teruna.

Taktik licik lelaki itu terbongkar selepas beberapa wanita yang pernah menjadi isterinya mendedahkan dalam sebuah laman sosial

Terpaksa jumpa pakar kaunseling



ALOR SETAR: “Mental dan psikologi saya tertekan dengan apa yang berlaku sehingga terpaksa bertemu pakar kaunseling untuk menenangkan fikiran dan jiwa.
“Saya menasihatkan wanita lain supaya berhati-hati dengan lelaki sama ada berperwatakan alim atau sebaliknya,” kata Naimah Ismail (nama samaran), 24, yang mendakwa seorang daripada isteri Mohd Razis Ismail, 30.

Naimah berkata, dia bernikah dengan Razis pada Ogos lalu, di Kedah sebelum mendaftar cerai di negeri itu namun beberapa hari selepas itu Razis pula mendaftar perceraian di ibu negara. Tembelang lelaki itu bocor ketika mereka sibuk menguruskan persiapan kenduri di kampung apabila kakaknya secara tidak sengaja terjumpa gambar ‘ustaz’ itu dengan wanita lain dalam satu laman sosial.
Menurutnya, Razis berang selepas gambar itu ditunjukkan kepadanya, selain berdolak-dalik konon dia menjadi mangsa fitnah bagi memburukkan nama dan imejnya.

Katanya, lelaki itu kemudian terus membawanya pulang ke Kuala Lumpur konon merajuk sebelum menghantarnya pulang jam 5.30 pagi di rumahnya di Rawang sebelum menghilangkan diri.

“Ketika itu, saya masih dalam keadaan terpinga-pinga dan keliru. Apa salah saya hingga dia tergamak berbuat demikian sebelum saya akhirnya tersedar dia sebenarnya tidak jujur mengahwini saya, sebaliknya hanya mahu memperdayakan saya demi kepentingan dirinya.
“Beberapa hari kemudian, dia menyuruh saya pergi ke Kepong berjumpa dengannya pada waktu ditetapkan walaupun tahu saya tidak pernah ke sana.

“Selain itu, dia pernah mengajak saya bertemunya di Putrajaya, namun saya enggan kerana bimbangkan keselamatan.
“Dia pernah mengirim SMS mahu meminjam wang RM7,000 kerana mendakwa menghadapi masalah di mahkamah di Shah Alam, namun saya tidak menghiraukan permintaan itu.

“Mujur saya tidak termakan kata-katanya kerana jika tidak, tentu banyak wang dikebas,” katanya ketika ditemui di sini.

Naimah berkata, sejak kejadian itu, dia mengalami tekanan perasaan hingga mengganggu tugasnya sebagai kakitangan kerajaan.

‘Saya kenal suami saya’

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Isteri pengasas Restoran Sekinchan Ikan Bakar, Datuk Jamal Md Yunus, 42, Datin Nurhanizatul Shida Mat Hassan yakin suaminya tiada hubungan istimewa dengan pelakon Tasha Shilla.
“Sebenarnya, saya sudah penat menjawab tuduhan banyak pihak dan blog tertentu yang mengaitkan pelakon itu dengan suami saya. Saya lebih kenal suami saya!” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Sebelum ini, gosip mengaitkan pelakon filem Ratu The Movie dan pernah membintangi beberapa drama itu ada hubungan istimewa dengan ‘Datuk J’, bahkan sering dilihat berkereta mewah yang dikatakan pemberian ahli perniagaan berkenaan.
Nurhanizatul Shida yang mesra disapa Ekin, 28, turut terkena tempias apabila ramai menuding jari bahawa Datuk J adalah suaminya. Bagaimanapun, dia bertegas mengatakan, usahawan yang dikaitkan dengan pelakon berusia 24 tahun itu sebenarnya orang lain.

Dia bagaimanapun tidak menafikan pada awal gosip itu melanda, pernah tanya suami untuk mendapatkan kepastian walaupun tahu sepanjang selama lima tahun perkahwinan mereka, tidak pernah timbul masalah.

“Suami meminta saya bersabar dan tidak mudah percaya gosip mengaitkan dia dengan mana-mana wanita atau artis. Tidak dinafikan, hati isteri mana tidak cuak mendengar cerita itu pada mulanya.
“Untuk itu, saya selalu mencuri baca khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan di telefon bimbit suami untuk mencari bukti.

“Bagaimanapun, suami menyatakan kesibukan berniaga menyebabkan dia tidak ada masa untuk melayan cerita remeh-temeh dan meminta saya tidak cepat melenting dengan gosip itu,” katanya.
Ekin tidak menafikan dia dan suami rapat dengan Tasha dan keluarga pelakon itu, malah mereka pernah berkunjung ke restoran miliknya di Ampang Point.

Katanya, suaminya turut memiliki perniagaan kereta import iaitu IBM Automobiles serta memiliki rangkaian di United Kingdom (UK) dan mempunyai hubungan baik dengan beberapa artis terkenal tanah air.

Tambah pemilik Ekin Bridal yang beroperasi di Centrum Setiawangsa, Taman Setiawangsa, itu, rumah tangga mereka makin bahagia dengan kehadiran cahaya mata, Mohd Addyka yang baru berusia lima bulan.

Suami ditanam paras kepala



RAMTHA (JORDAN): Ditembak, disembelih, dibom, dipukul hingga mati dan dibunuh beramai-ramai. Begitulah seriusnya gambaran keadaan pergolakan di Syria.
Perang saudara yang meletus di antara puak pembebasan dan tentera rejim Bashar al-Assad sejak Mac lalu menyebabkan ratusan ribu terbunuh, manakala lebih sejuta warga Syria menjadi pelarian di Jordan. Jumlah itu meningkat saban hari.

Pengamatan wartawan Harian Metro selama lapan hari di bumi Jordan mendapati, setiap pelarian mempunyai kisah dan pengalaman ngeri masing-masing.
Malah, plot ceritanya hampir sama iaitu berkisarkan kekejaman dan penderitaan yang terpaksa ditanggung, namun antara yang menarik perhatian wartawan ialah kisah Asma, 43, berasal dari Dar’a, ketika lawatan Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang ditemani Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz untuk mengedarkan barang keperluan berupa makanan dan selimut serta tilam kepada 1,500 pelarian.

Asma yang mempunyai suami dan enam anak berusia antara 10 hingga 45 tahun kini tinggal sebatang kara selepas seluruh keluarganya dibunuh kejam tentera kerajaan, jam 11 pagi pada 6 Ramadan lalu.

Ketika diminta wartawan untuk berkongsi kisah derita itu, air mata Asma bercucuran laju mengenangkan nasib anak dan suaminya.
Asma mengambil masa lebih 10 minit untuk menenangkan emosi sebelum berkata, suami dan anaknya dibunuh tentera kerajaan selepas menemui sebuah buku ‘Ikhwanul Muslimin’ di depan rumahnya.

“Saya percaya buku itu dibuang seorang daripada puak pemisah yang melarikan diri daripada buruan tentera kerajaan,” katanya.
Ketika ditanya wartawan yang dibantu dua pelajar Malaysia di Jordan iaitu Zainal Abdullah dan Muhd Alimin Mohd Abiah bagaimana seluruh keluarganya dibunuh, Asma sekali lagi menangis teresak-esak sebelum berkata dengan kuat, “Jannah! Jannah! Jannah!” (Syurga! Syurga! Syurga!) “Saya yakin janji Allah bahawa orang teraniaya seperti keluarga saya akan masuk syurga. Anak dan suami kini menunggu saya di syurga,” katanya yang enggan mengulas bagaimana suaminya dibunuh kerana terlalu emosi.

Sikap Asma membuatkan wartawan percaya dia menyimpan kisah menarik untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia, membuatkan wartawan terus cuba meyakinkannya supaya bercerita.

Selepas mengambil masa 30 minit untuk menenangkan perasaan, Asma akhirnya membuka mulut.

Katannya, ketika kejadian dia berjalan ke sebuah kedai berhampiran rumah untuk membeli barangan dapur.

“Saya melihat sebuah kereta membawa enam hingga lapan anggota tentera berlegar-legar bagai memburu seseorang.

“Yakin suami dan anak saya tidak menyertai mana-mana kumpulan pembebasan, saya terus pergi ke kedai,” katanya sebelum mendengar bunyi puluhan das tembakan.

Curiga dengan keadaan itu, Asma berlari pulang ke rumah sebelum melihat suaminya dalam keadaan tertanam di tanah sehingga paras kepala dalam keadaan berlumuran darah.

“Malah, enam anak lelaki saya terbujur kaku di keliling bapa mereka. Ketika itu, saya juga ingin mati bersama mereka,” katanya.

Tambahnya, hanya Allah tahu keadaannya ketika itu dan dia dibawa menaiki sebuah kereta untuk berlindung di Jordan oleh jirannya selepas pengebumian enam anak dan suaminya.

Sebelum mengakhiri temubual itu, Asma meminta wartawan Harian Metro, Zainal dan Muhd Alimin supaya mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Syria.

Doa dibacakan Zainal membuatkan Asma terus menangis. Wartawan kemudian meninggalkan khemah diduduki Asma sebelum bergerak pulang ke pusat penginapan dengan perasaan bercampur-baur.

Seksa mahu cerai

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Dia dilayan umpama permaisuri ketika masih muda dan bergetah, tetapi sebaik usia menginjak senja, segala-galanya berubah apabila suami melayannya seperti hamba.
Suami Fatimah (bukan nama sebenar), 57, bukan saja tergamak berlaku curang dengan sepupunya, malah dia juga sering dipukul hingga cedera selain nafkah terhadap keluarga diabaikan.

Berikutan itu, kehidupan Fatimah dan empat anaknya yang masih bersekolah kini bergantung kepada ihsan adik-beradiknya selepas si suami tidak memberi nafkah sejak awal tahun ini.
Lebih merumitkan keadaan, hasrat wanita itu untuk berpisah secara baik tidak kesampaian apabila suami enggan melepaskannya hingga menyebabkan Fatimah mengambil keputusan menuntut fasakh.

Menurut Fatimah, semuanya bermula empat tahun lalu apabila suaminya yang juga ahli perniagaan mula buat perangai apabila sering keluar daerah dengan alasan urusan perniagaan.

“Selama 27 tahun hidup bersama, saya banyak berkorban untuk suami. Saya rela melepaskan jawatan dan gaji lumayan di sebuah syarikat swasta atas kemahuan suami.
“Namun, segala kepercayaan dan kasih musnah apabila terbaca SMS di telefon bimbitnya yang dihantar kepada seorang wanita menyatakan rasa rimas apabila pulang ke rumah setiap kali berdepan saya,” katanya.

Katanya, paling menyedihkan apabila suaminya sanggup berkasih dengan sepupu, selain sering dipukul hingga pernah menyebabkan kecederaan serius.
“Saya tahu hukum agama yang membolehkan lelaki berkahwin hingga empat, namun dengan syarat berkemampuan dan berlaku adil.

“Ini sudahlah tidak mampu, tetapi berlagak macam orang kaya. Perniagaan dia pasang surut dan tidak menentu. Kini saya hidup atas ihsan adik-beradik memandangkan saya tidak bekerja.

“Sejak awal tahun ini, suami tidak pernah memberi nafkah kepada anak, malah rumah yang kami duduki juga empat kali hendak dilelong bank,” katanya.

Kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku, Fatimah menuntut fasakh kerana suami enggan menceraikannya.

“Hingga kini sudah empat tahun saya melalui proses ini di mahkamah syariah yang tidak tahu bila akan tamat.

“Terus terang, proses ini memberi tekanan fizikal, mental dan emosi sering terganggu memikirkan masalah ini, apatah lagi saya tidak bekerja dan menyara empat anak yang masih bersekolah,” katanya.

No comments:

Post a Comment