Thursday, January 17, 2013

DAH MACAM TU PUN NAK TUNJUK...JANGAN MEMBAZIR DAN BUAT KERJA SIA-SIA

Berjuta warga kota terjejas banjir

Banjir besar mengakibatkan Jalan Sudirman, Jakarta yang sentiasa sesak dengan trafik tiba-tiba lumpuh akibat banjir semalam.


JAKARTA - Banjir yang menyebabkan lebih 19,000 orang hilang tempat tinggal dan meragut tiga nyawa di ibu kota Indonesia di sini semalam turut memaksa Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyingsingkan seluarnya.
Lebih 50 peratus kawasan di pusat bandar raya ini kini lumpuh selepas dibanjiri air bah berlumpur hingga ke paras pinggang.
Dalam pada itu lebih 100,000 buah rumah terjejas akibat banjir di kota metropolitan ini yang dihuni seramai 20 juta orang dan terkenal kerana kesesakan lalu lintas yang kronik.
Disebabkan keadaan yang teruk itu, Kerajaan Pentadbiran Ibu Kota Jakarta telah mengisytiharkan Darurat Banjir untuk kawasan Jakarta mulai semalam hingga 27 Januari.
Air bah juga menyebabkan ramai pemandu tersekat selama berjam-jam pada waktu pagi.
Penunggang-penunggang basikal pula terpaksa menolak kenderaan dua roda mereka dengan hanya hendal dan pelana basikal yang masih kelihatan.
Dalam bencana kali ini, Susilo dirakam menggulungkan kaki seluarnya hingga ke lutut ketika mengharungi air banjir di perkarangan Istana Presiden di sini.
Pekarangan istana berkenaan kini ditenggelami air sehingga paras buku lali.
"Jakarta kini dilanda banjir, saya berharap tidak akan ada terlalu ramai mangsa," kata Susilo kepada kumpulan jurugambar media.

Budak 11 tahun, kekasih hilang


TERATAI dan kekasihnya Muhamad Shahril dicari sebab menghilangkan diri daripada keluarga masing-masing sejak seminggu lalu.


HULU SELANGOR – Seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang dipercayai dilarikan kekasihnya ketika sedang menjamu selera bersama datuk dan neneknya di sebuah medan selera di pasar raya Tesco dekat Bukit Sentosa di sini Sabtu lalu masih belum lagi ditemui.
Teratai Kamilia Mohd. Hafiza, 11, dipercayai dilarikan oleh kekasihnya yang dikenali sebagai Muhamad Shahril Imran Muhd. Mudrika, 17, pada pukul 2.30 petang.
Mengikut maklumat keluarga mangsa, Teratai sebelum ini pernah menghilangkan diri selama sehari bersama lelaki sama tetapi pulang semula ke rumah selepas dipujuk oleh keluarganya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Zulkepli Bedin berkata, budak perempuan dan kekasihnya itu didakwa mengenali satu sama lain ketika bermain satu permainan atas talian kira-kira tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, menurut beliau, apabila hubungan mangsa dan kekasihnya yang tinggal di Kota Warisan, Sepang diketahui keluarga mangsa, keluarga budak perempuan itu melarang mangsa berjumpa kekasihnya itu.
Dalam tempoh perhubungan itu, kekasih Teratai didakwa pernah menghantar sebentuk cincin kepada mangsa dengan hasrat untuk mengikat tali pertunangan dan seterusnya menjalinkan hubungan yang lebih serius.

Pekerja stesen minyak bersubahat


INILAH kapal yang menunggu di persisiran perairan Pengerang untuk menghantar diesel ke sebuah kapal asing lain.


KOTA TINGGI – Kegiatan penyeludupan diesel yang didalangi dua jutawan yang diberkas di Pengerang di sini kelmarin terbongkar ekoran banyak aduan daripada pembeli diesel di sekitar Sungai Rengit yang mendakwa stesen-stesen minyak tersebut kerap tiada bekalan sejak pertengahan tahun lalu.
Satu sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berkata, ekoran aduan tersebut pihak berkuasa melakukan siasatan sehingga tertangkap dua lelaki itu yang rupa-rupanya bergerak aktif membeli minyak hampir di kebanyakan stesen minyak di kawasan Sungai Rengit untuk diseludup ke negara jiran.
“Dua jutawan penyeludup minyak itu mendapat bekalan yang banyak daripada yang sepatutnya dibeli oleh setiap pembeli selepas pekerja di stesen minyak tersebut didakwa disogok lima sen bagi setiap liter yang dijual oleh pekerja itu kepada sindiket tersebut,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini.
Kata sumber itu lagi, dengan sogokan kepada pekerja di stesen-stesen minyak terbabit, sindiket yang sudah bergerak hampir setahun itu dibenarkan membeli diesel subsidi sehingga beribu-ribu liter dalam satu-satu masa.

Angkut mercun guna lori curi


YAHAYA (tiga dari kiri) bersama beberapa anggota polis menunjukkan sebahagian daripada mercun yang dirampas di Pekan semalam.


PEKAN - Sebanyak 8,000 kilogram mercun bernilai lebih RM100,000 yang disembunyikan di dalam sebuah lori curi berjaya dirampas di Kilometer 16, Jalan Kuantan-Segamat di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Yahaya Othman berkata, mercun pelbagai jenis itu ditemui selepas penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengarahkan lori berkenaan memasuki stesen timbang dekat Paloh Hinai di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ujarnya, ketika itu pemandu dan kelindan lori tersebut mendakwa mereka membawa muatan ikan bilis.
"Bagaimanapun, semasa lori itu ditimbang, kelindan lori memberi alasan mahu ke tandas tetapi dia bertindak melarikan diri.
"Selepas diperiksa, lori tersebut didapati membawa muatan mercun dan pihak JPJ bertindak memaklumkan perkara itu kepada polis.
"Berikutan itu, pemandu berumur 23 tahun tersebut ditahan reman selama seminggu untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hakisan ancam rumah


WAHAB menunjukkan masalah hakisan di tebing sungai yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya di Rembau semalam.


REMBAU – Penduduk Kampung Bemban dekat sini bimbang memikirkan keselamatan diri dan keluarga ekoran rumah mereka diancam hakisan Sungai Bemban yang semakin serius.
Salah seorang penduduk, Wahab Rashid, 66, berkata, rumahnya hanya terletak kira-kira 20 meter dari tebing sungai berkenaan.
Katanya, hakisan yang bermula sejak November tahun lalu itu menyebabkan tanamannya pokok pisang dan limau musnah.
“Selepas beberapa kali saya membuat aduan, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri akhirnya membina benteng menggunakan buluh baru-baru ini.
“Bagaimanapun, masalah itu tidak selesai kerana benteng buluh itu tidak mampu menghalang aliran air sungai yang naik mendadak semasa musim hujan,” katanya di sini semalam.
Ujarnya, pegawai JPS memintanya bersabar kerana pada masa ini tiada peruntukan untuk membina benteng daripada simen.
“Berapa lama lagi saya mahu menunggu kerana hakisan itu semakin teruk dan saya bimbang akan menjejaskan rumah yang saya diami bersama tujuh ahli keluarga,” jelasnya.

Dua rakyat Malaysia jadi tebusan

GAMBAR fail menunjukkan kompleks
kemudahan gas yang menjadi lokasi sebuah kumpulan militan Islam menawan 41 warga asing di In Amenas, selatan Algeria.


ALGIERS, Algeria - Dua rakyat Malaysia merupakan antara 41 pekerja asing yang dijadikan tebusan oleh kumpulan militan Islam di sebuah kompleks kemudahan gas di In Amenas di gurun Sahara, selatan Algeria.
Dalam perkembangan terbaharu insiden tersebut semalam, seorang pegawai keselamatan Algeria berkata, sekurang-kurangnya 20 warga asing telah melarikan diri dari loji gas asli berkenaan yang terletak di gurun Sahara.
Media tempatan sebelum ini melaporkan sekumpulan militan Islam menjadikan puluhan pekerja loji gas tersebut sebagai tebusan.
Pegawai tersebut memberitahu, mereka yang berjaya melarikan diri termasuk rakyat Amerika Syarikat dan warga Eropah. Namun, beliau enggan mengulas lanjut.
Dalam kejadian kelmarin, sekumpulan militan menyerang kompleks gas itu yang terletak 1,300 kilometer dari sini dan menjadikan berpuluh-puluh pekerja asing sebagai tebusan.
Loji gas tersebut dikepung oleh tentera Algeria dengan situasi kini dalam keadaan tegang.
Menurut beberapa laporan, insiden tebusan itu adalah sebagai tindakan balas kerjasama Algeria dengan tentera Perancis yang campur tangan dalam konflik di Mali.
Dalam perkembangan terbaharu, beberapa militan Islam memberitahu, helikopter-helikopter tentera Algeria menyerang kompleks gas berkenaan dengan menyebabkan 35 tebusan warga asing dan 15 militan terbunuh.
Setakat ini, pemerintah Algeria enggan mengesahkan laporan tersebut.
Nasib rakyat Malaysia itu masih belum diketahui.
Kompleks gas tersebut dikendalikan oleh syarikat minyak BP dari Britain, Statoil milik Norway dan firma Algeria, Sonatrach. - Agensi

Shakira dedah bentuk badan


GAMBAR tidak bertarikh yang didedahkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan bentuk tubuh Shakira.


BARCELONA - Bintang pop Colombia, Shakira mendedahkan bentuk badannya yang hamil menerusi beberapa keping gambarnya yang didedahkan kelmarin.
Salah satu gambar tersebut menunjukkan penyanyi itu memakai gaun yang berwarna putih.
Bagaimanapun, salah satu gambar yang dikeluarkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu menunjukkan Shakira bergambar bersama kekasihnya, Gerard Pique.
Pique merupakan pemain kelab bola sepak Barcelona di Sepanyol.
Gambar berkenaan menunjukkan Shakira mendedahkan perutnya kerana dia hanya memakai bra dan kain di bawah paras pinggang.
Shakira, 35, dan Pique, 25, mula menjalin hubungan selepas pemain bola sepak tersebut muncul dalam klip video lagu rasmi Piala Dunia 2010 berjudul Waka Waka bersama penyanyi jelita itu.
Pasangan yang belum berkahwin itu mengesahkan hubungan mereka pada 29 Mac 2011 menerusi laman Twitter dan Facebook.
Mereka dijangka menimang cahaya mata pada awal tahun ini. - Agensi

Wanita terperangkap di celah ruang sempit


SEORANG wanita ditarik keluar oleh beberapa anggota bomba dari celah ruang sempit di Portland kelmarin.


PORTLAND - Seorang wanita terjatuh dari bumbung sebuah bangunan dan 'tersangkut' di ruang sempit yang terdapat di belakang dinding sebuah garaj parkir di sini kelmarin.
Wanita tersebut terperangkap selama empat jam.
Beberapa anggota bomba kemudian berjaya menyelamatkan wanita itu dengan menariknya keluar dari ruang tersebut selepas mereka membuat sebuah lubang di dinding garaj berkenaan.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Portland, Ron Rouse berkata, wanita berkenaan terjatuh ke celah ruang itu semasa dia berjalan di atas bumbung.
Seramai 22 anggota bomba terlibat dalam operasi menyelamat wanita berkenaan.
Menurut Rouse, wanita berkenaan memeluk beberapa anggota bomba selepas dia berjaya diselamatkan.
Dia berkata, wanita berkenaan kemudian dihantar ke sebuah hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan. - Agensi

'Bilik tidur angkasawan' berbentuk seperti belon


RUANG dalam bilik tidur itu.


LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Sebuah 'bilik tidur angkasawan' yang berbentuk seperti belon akan diuji di Stesen Angkasa Lepas Kebangsaan (ISS).
Bilik untuk para angkasawan itu dihasilkan sebuah syarikat swasta, Bigelow Aerospace.
Ia akan dilancarkan pada pertengahan tahun 2015.
Bilik tersebut sepanjang empat meter.
Syarikat itu telah melabur sebanyak AS$250 juta (RM753 juta) untuk menghasilkan bilik tersebut.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menjalin kerjasama dengan syarikat itu untuk menghasilkan bilik tidur tersebut. - Agensi

Pertunjukan pakaian diperbuat daripada coklat


SEORANG model wanita memakai pakaian yang diperbuat daripada coklat pada pertunjukan fesyen di Seoul semalam.


SEOUL - Beberapa model wanita memperagakan pakaian yang diperbuat daripada coklat di sini semalam.
Mereka memperagakan pakaian itu pada pertunjukan fesyen coklat yang diadakan selama empat hari. - Agensi

Bandar-bandar diselaputi permaidani putih



KEADAAN iklim di Asia Barat sememangnya mudah dijangka. Cuacanya terik pada musim panas dan dingin serta sesekali diselangi hujan lebat pada musim sejuk.
Bagaimanapun pada minggu lalu, iklim di rantau itu berubah mendadak. Hujan lebat berterusan selama beberapa hari disusuli salji tebal.
Fenomena yang disifatkan terburuk dalam tempoh dua dekad oleh pakar-pakar metereologi menyebabkan ribut salji dan banjir yang melumpuhkan beberapa bandar utama dari Semenanjung Gaza sehingga ke Istabul termasuk Syria yang terjejas teruk akibat konflik yang berlaku hampir dua tahun lalu.
Penduduk Syria tersepit dalam perang saudara antara puak pemberontak dan tentera yang setia dengan Presiden Bashar al-Assad, terpaksa membakar buku-buku dan perabot untuk memanaskan badan disebabkan
kekurangan bahan bakar seperti minyak dan elektrik.
Situasi itu bertambah meruncing bagi ribuan pelarian yang kini berlindung di negara-negara jiran seperti Lebanon dan Jordan serta lebih sejuta penduduknya yang terperangkap di negara itu.
Bagaimanapun, kejadian ribut salji disusuli banjir besar yang melanda tidak menghentikan pertempuran antara kedua-dua pihak. Kini lebih 60,000 nyawa terkorban.
Abu Othman, seorang aktivis puak penentang berkata, serangan darat masih berterusan biarpun cuaca buruk menyebabkan tentera Assad terpaksa menghentikan serangan udara buat sementara waktu.
"Keadaan semakin buruk sejak ribut melanda. Semua orang kesejukan, tiada apa yang boleh digunakan untuk memanaskan badan kami.
"Kekurangan bekalan makanan juga berlaku kerana hujan dan salji menyebabkan keadaan jalan raya sangat berbahaya," katanya sambil memberitahu suhu di Damsyik kini mencecah negatif enam darjah Celcius.
Di utara Syria, ribuan pelarian kini berlindung di dalam gua, kata Fadi Yasin, aktivis dari wilayah Idlib, kawasan tercetusnya protes aman sebelum bertukar kepada penentangan bersenjata.
Sebahagian daripada ribuan penduduk yang kehilangan rumah ekoran pertempuran itu telah berpindah ke Bandar Mati Syria iaitu kawasan penempatan lama era Byzantine, katanya.
Misi bantuan
"Mereka terpaksa menggunakan plastik dan surat khabar untuk menutup bahagian tingkap bangunan berkenaan serta tinggal di dalamnya biarpun menyedari ia sangat berbahaya terutama dalam keadaan ribut seperti sekarang ini.
"Ramai yang tidak mempunyai apa-apa untuk memanaskan badan, hanya segelintir yang bernasib baik," katanya.
Seorang aktivis dari Republik Chech, Michal Przedalcki daripada pertubuhan People In Need yang menjalankan misi bantuan di utara Syria, menjangkakan ramai pelarian tidak mampu bertahan dalam situasi berkenaan.

SALJI tebal menyelimuti Istanbul, Turki sekali gus menjejaskan 15 juta orang penduduk, melumpuhkan rutin harian dan trafik udara serta di darat.


"Kekurangan makanan sejak beberapa bulan lalu mendedahkan mereka terhadap penyakit, lebih-lebih lagi dalam cuaca sejuk yang ekstrem."
Di Lembah Bekaa, kem sementara yang menempatkan lebih 400 pelarian di Lebanon musnah selepas banjir dan ribut yang melanda kawasan itu.
"Ribut dan hujan sebelum ini menyebabkan banyak khemah rosak, kini salji tebal mula melanda Bekaa menyebabkan penduduk dan pelarian di sini sangat memerlukan bantuan," kata pegawai perhubungan luar Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) Cecile Fradot.
Penempatan baharu
Menurut Fradot, agensi bantuan itu kini giat memindahkan pelarian ke penempatan baharu. "Kami akan memindahkan setiap keluarga yang terjejas selepas khemah mereka dilanda banjir di utara. Situasi semakin buruk, ia merupakan permulaan musim sejuk di rantau ini," katanya.
Keadaan sama turut berlaku di kem Zaatari di Jordan, yang menempatkan lebih 30,000 pelarian Syria apabila mereka terpaksa menjadikan bangunan sekolah karavan pasang siap sebagai penempatan sementara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat lebih 600,000 pelarian memerlukan bantuan termasuk makanan, selimut dan pakaian.
Sekurang-kurangnya sebanyak AS$1.5 bilion dolar (RM4.5 bilion) diperlukan dalam tempoh enam bulan lagi bagi tujuan itu, menurut PBB.
Ribut salji turut menjejaskan seluruh Asia Barat. Beberapa bandar seperti Baitulmuqaddis, Ramallah, Amman dan Damsyik kini diselaputi salji tebal.
Ekoran itu, kebanyakan negara kini telah menghentikan sistem pengangkutan awam dan menutup sekolah-sekolah. Banyak perniagaan terpaksa ditutup kerana pekerja tidak boleh keluar bekerja.
"Kawasan pusat bandar kini kelihatan seperti hamparan permaidani putih," kata jurucakap bagi pihak berkuasa Baitulmuqaddis, Elisha Peleg kepada Jurusalem Post.
"Golongan warga emas di sini juga tidak mampu mengingati bila kali terakhir mereka berdepan dengan ribut salji," jelasnya.
Lebuh raya utama di Israel di luar Baitulmuqaddis telah ditutup, begitu juga kebanyakan laluan ke arah utara negara itu dan Bukit Golan.
Pihak berkuasa Palestin di Ramallah, Tebing Barat turut mengumumkan situasi darurat di seluruh negara.
Di Semenanjung Gaza, beberapa terowong yang menghubungkan wilayah itu dan Mesir ditutup akibat banjir.
Ketua pasukan bantuan di bandar Nablus, utara Tebing Barat, Ghassan Hamdan berkata, penduduk di wilayah itu bakal terjejas disebabkan kekurangan infrastruktur.
"Mereka tidak mampu berhadapan dengan cuaca ekstrem seperti ini. Banjir dan ribut menyebabkan banyak kemusnahan," katanya.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh akibat fenomena itu sehingga kini.
Di Lebanon, Pertubuhan Palang Merah melaporkan enam orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya manakala beberapa orang lagi dipercayai lemas dihanyutkan banjir. Seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan maut di Taalabaya, wilayah Bekaa, selepas kenderaanya terperangkap di dalam salji tebal. Sementara itu, di Ramallah pihak berkuasa Palestin melaporkan dua wanita mati lemas dihanyutkan arus deras. Mangsa dikenali sebagai Samah Kanan, 36, dan Hana Al Sarawi, 24, berasal dari Nablus.
Timbalan gabenor Ramallah, Annan Atirah berkata, air yang melimpah di atas jalan raya menyebabkan mangsa terperangkap di dalam kenderaan sebelum dihanyutkan air ketika cuba menyelamatkan diri. Seorang lagi mangsa, yang juga pemandu kenderaan berjaya diselamatkan, namun keadaannya kritikal. Di Mesir pula, usaha sedang dilakukan untuk mencari 10 nelayan yang dilaporkan hilang di Marsa Matruh selepas bot mereka dibadai ribut.

SALJI tebal tidak menghalang remaja ini untuk melakukan aktiviti di luar.


Agensi berita negara itu, Mena melaporkan jarak penglihatan yang terhad, angin kencang dan hujan lebat menyebabkan pihak berkuasa menutup beberapa pelabuhan termasuk di Alexandria dan Dakhila di mana ia turut menjejaskan operasi di Terusan Suez.
Sementara itu, di Turki, syarikat penerbangan Turki Arlines turut membatalkan ratusan penerbangan.
Banyak sekolah ditutup khususnya di bahagian utara negara itu termasuk Istanbul, selepas sebuah bas tergelincir di atas jalan raya licin yang mencederakan 30 penumpang.
Biarpun ia mengundang pelbagai bencana di sesetengah kawasan di Asia Barat, namun ada juga penduduk yang menganggap ribut salji sebagai satu peristiwa yang jarang berlaku dan kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya untuk bermain bola salji dan membina orang salji.

No comments:

Post a Comment