749 orang sertai cabaran buru ular sawa
|
MIAMI, Florida – Seramai 749 orang menyertai cabaran memburu ular sawa Burma selama sebulan yang bermula kelmarin di Taman Negara Everglades Florida, Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa hidupan liar negeri Florida menawarkan wang tunai sebanyak AS$1,000 (RM3,020) kepada para peserta yang berjaya membunuh ular sawa yang paling panjang.
Wang tunai sebanyak AS$1,500 (RM4,530) ditawarkan kepada peserta yang berjaya membawa ular yang paling banyak.
Ramai peserta itu menghadiri latihan tentang cara untuk mengendalikan haiwan tersebut yang diadakan pada waktu pagi di Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Fort Lauderdale, Universiti Florida di Davie, dekat sini sebelum cabaran tersebut bermula.
Seorang peserta, Dan Keenan yang juga bertugas sebagai jurutera membawa pisau dan pistol sebagai persediaan untuk menangkap ular sawa Burma.
Ular itu boleh membesar sehingga enam meter panjang.
Pihak berkuasa hidupan liar tersebut berharap, bilangan ular sawa itu akan berkurangan bagi memulihara ekosistem di selatan Florida.
Beberapa saintis berkata, ular sawa itu hampir membunuh semua haiwan kecil seperti rakun di taman tersebut.
Lebih 1,800 ular gergasi telah ditangkap dan dibunuh di kawasan itu sejak tahun 2001 hingga 2011. – Agensi
Lagi Boeing 787 alami masalah
TOKYO - Sebuah pesawat syarikat Japan Airlines, Boeing 787 Dreamliner mengalami kebocoran minyak buat kali kedua semalam dalam tempoh kurang seminggu.
Menurut laporan berita Jiji Press, insiden tersebut berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di sini ketika pesawat itu sedang diperiksa oleh beberapa pekerja.
Pesawat tersebut diperiksa selepas ia mengalami masalah kebocoran minyak pada Selasa lalu di Boston, Amerika Syarikat (AS).
Pihak syarikat berkenaan tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen.
Pada Jumaat lalu, pihak penguat kuasa peraturan penerbangan di AS mengumumkan pemeriksaan keselamatan perlu dilakukan ke atas pesawat Boeing 787 Dreamliner selepas berlaku beberapa masalah melibatkan kapal terbang berkenaan.
Pada Isnin lalu, kebakaran berlaku di dalam kabin sebuah pesawat syarikat Japan Airlines selepas ia mendarat di Boston dari Jepun.
Syarikat Japan Airlines dan All Nippon Airways merupakan pelanggan penting syarikat Boeing kerana kedua-duanya membuat banyak tempahan pesawat tersebut. - Agensi.
Protes antigay di Vatican, Paris
PARIS - Ratusan ribu orang termasuk penganut agama Islam mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkahwinan gay di bandar raya ini semalam.
Protes itu diadakan bagi membantah tindakan Presiden Perancis, Francois Hollande untuk membenarkan perkahwinan gay.
Sebanyak 900 buah bas digunakan untuk membawa para penunjuk perasaan di lokasi tunjuk perasaan di sini.
Tunjuk perasaan tersebut dihadiri oleh pelbagai penganut agama termasuk Kristian.
"Kami mahu draf undang-undang perkahwinan gay itu ditarik balik," kata seorang penganjur penunjuk perasaan, Patricia Soullier.
Beliau membuat kenyataan itu kepada stesen televisyen BFM-TV sebelum menaiki sebuah kereta api bagi menghadiri tunjuk perasaan tersebut.
Sebelum ini, Menteri Kehakiman, Christiane Taubira menganggap undang-undang perkahwinan itu sebagai satu perubahan terhadap tamadun manusia.
Beberapa wanita yang tidak berbaju dengan mendedahkan payudara turut diadakan di Vatican yang merupakan tempat tinggal Ketua Gereja Kristian Katolik, Benedict XVI.
Bagaimanapun, beberapa anggota polis menangkap wanita-wanita tersebut.
Kumpulan wanita itu mengadakan tunjuk perasaan bagi menentang perkahwinan gay.
Mereka merupakan anggota pertubuhan pembela hak wanita yang dikenali sebagai FEMEN. - Agensi
JPJ Perak diarah sedia laporan
|
IPOH - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak diarah menyediakan laporan terperinci berhubung insiden sebuah kenderaan pacuan empat roda milik agensi itu yang rentung dibakar orang awam di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Ayer Tawar Jumaat lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, laporan tersebut perlu diserahkan kepada kementeriannya dalam tempoh seminggu.
“Pelbagai versi cerita telah keluar. Apa yang terjadi di Ayer Tawar terpulang kepada pihak polis untuk siasat.
“Saya tidak melindungi sesiapa pun dan yang paling baik tunggu polis beritahu apa sebenarnya berlaku,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau mengulas kejadian sebuah kenderaan pacuan empat roda JPJ yang remuk dan rentung angkara tindakan agresif orang awam yang berang selepas kenderaan itu didakwa menjadi punca kemalangan membabitkan lapan kenderaan lain.
Beberapa saksi mendakwa kenderaan Toyota Fortuner yang dinaiki tiga penguat kuasa JPJ dari arah Sitiawan itu secara tiba-tiba menyeberang pembahagi jalan untuk menahan sebuah lori membawa muatan kelapa sawit di laluan bertentangan.
Misteri ikan naga berterusan
BALIK PULAU – Empangan Teluk Bahang yang merupakan empangan tadahan air terbesar di Pulau Pinang kekal dengan misteri tersendiri yang semakin membimbangkan apabila ia dikatakan menjadi habitat ikan naga dan toman yang boleh mengancam keselamatan pengunjung terutama pemancing.
Beberapa penduduk mendakwa pernah melihat kedua-dua jenis ikan bersaiz gergasi di empangan tersebut yang kini sudah diwartakan sebagai kawasan larangan bagi kaki pancing.
Selain bahaya kedalaman empangan tersebut yang menjadi punca ia diwartakan sebagai kawasan larangan bagi orang awam, cerita dari mulut ke mulut mengenai kewujudan ikan toman di empangan tersebut turut memberikan kesan tersendiri.
Seorang penduduk, Rosnani Ahmad, 37, berkata, dia pernah diberitahu rakannya yang juga seorang kaki pancing tentang penemuan ikan besar di situ sejak beberapa tahun lalu.
Kata rakannya, kali terakhir dia pernah terlihat kelibat ikan naga dan ikan toman bersaiz sebesar pemeluk sewaktu dia mengunjungi empangan tersebut pada Oktober tahun lalu.
Tanggung rugi angkara khianat
GEORGE TOWN - Enam pemilik kereta rugi besar apabila kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta di aras tiga pangsapuri Taman Jade, Bukit Gambir di sini hangus disyaki angkara perbuatan khianat pihak tertentu semalam.
Kejadian pukul 5 pagi itu mengakibatkan Honda City, Perodua Myvi dan Proton Satria hangus sepenuhnya manakala Proton Wira, Proton Waja dan Proton Iswara mengalami kerosakan kecil. Jumlah kerugian dianggarkan lebih RM200,000.
Difahamkan, penjenayah menyasarkan kereta Honda City tersebut dengan menyimbah bahan bakar ke atasnya dahulu sebelum api merebak ke lima buah kenderaan lain yang diletak secara selari dan berdekatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, walaupun bomba mengambil masa beberapa minit untuk memadamkan api namun ia gagal menyelamatkan tiga buah kereta tersebut yang terbakar dalam tempoh singkat.
Tiru Awang Hitam tipu gadis
KUALA LUMPUR - Kes penipuan penghantaran barangan palsu yang sering didalangi warga Afrika kini dilakukan pula oleh lelaki tempatan. Perkara ini terbongkar apabila mendapati mereka meniru modus operandi Awang Hitam untuk memperdaya wang milik seorang guru Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) baru-baru ini.
Dalam kejadian September tahun lalu, wanita berusia 26 tahun tersebut kerugian RM2,000 selepas ditipu oleh seorang lelaki tempatan bergelar Shafik. Mereka berkenalan sebulan sebelum itu menerusi laman sembang Yahoo Messenger.
Modus operandi Shafik seakan-akan sama dengan taktik yang digunakan warga Afrika apabila berpura-pura bercinta dengan mangsa sambil mengeluarkan ayat-ayat manis sebelum memberitahu akan menghantar barangan berharga selepas memastikan wanita berkenaan telah termakan kata-katanya itu.
Antara kandungan barangan yang kononnya hendak dihantar melalui pos termasuk gajet, wangian dan barangan perhiasan wanita.
Beberapa hari kemudian, mangsa yang teruja dengan tawaran tersebut telah dihubungi oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat kurier memaklumkan yang dia dikehendaki membayar RM6,400 sebagai caj.
10,000 DVD tidak bertapis dirampas
KUANTAN - Sebanyak 10,000 keping cakera video digital (DVD) tidak bertapis bernilai lebih RM81,000 dirampas dalam serbuan di beberapa premis di sebuah pusat beli-belah di sini kelmarin.
Dalam Ops Cantas 2 yang dijalankan oleh Bahagian Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri itu mendapati, premis-premis terlibat masih berdegil menjual DVD berkenaan walaupun pernah diserbu sebelum ini.
Penyelaras Ops Cantas 2 yang juga Setiausaha Bahagian, Razak Drahman berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati premis terlibat menjual DVD pelbagai tajuk tanpa sijil perakuan B.
"Kita menahan lapan jurujual iaitu enam wanita dan dua lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang merupakan jurujual di premis berkenaan bagi membantu siasatan.
"Ini berikutan premis berkenaan pernah diserbu atas kesalahan sama pada tahun lalu tetapi masih berdegil dengan meneruskan perniagaan," katanya di sini.
Perketat kawalan keselamatan
BUKIT KAYU HITAM - Kawalan lebih ketat dan pagar berkawat perlu dipasang berhampiran kompleks bebas cukai di sini yang kerap dibolosi penyeludup dan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negara ini.
Pengerusi Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, walaupun kawasan itu telah dilengkapi dengan dua lapis pagar namun ia boleh dipotong oleh penyeludup.
“Laluan itu bukan sahaja dijadikan sebagai lorong tikus malah lorong gajah, apabila boleh dimasuki oleh lori treler.
“Selain itu, pembersihan di kawasan persekitaran pagar juga perlu sentiasa dilakukan bagi memudahkan pemerhatian dan kawalan dibuat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di beberapa lorong tikus di sini.
Sebelum ini, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mengesan 300 lorong tikus di sepanjang kira-kira lima kilometer pintu pagar sempadan negara yang digunakan PATI dan penyeludup untuk menyusup masuk ke negara ini.
No comments:
Post a Comment