Thursday, January 17, 2013

PILIHLAH ISLAM AGAMA YANG BENAR...AGAMA YANG ALLAH TERIMA

18 wanita maut di Syria

SEORANG lelaki meraung kesedihan selepas ahli keluarganya terbunuh dalam satu serangan udara rejim Syria di Azaz, utara Aleppo, kelmarin.


DAMSYIK - Satu serangan udara di kawasan yang ditawan para penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad berhampiran bandar ini semalam telah mengakibatkan 13 orang wanita dan seorang kanak-kanak terbunuh, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Untuk Syria.
Pemerhati sama berkata, serangan turut berlaku di bandar Moadamiyat Al-Sham, barat daya Damsyik yang membunuh sekurang-kurangnya lapan orang kanak-kanak dan lima wanita.
"Semua kanak-kanak yang terbunuh daripada keluarga yang sama dan berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun," kata pengarah badan pemerhati berkenaan, Rami Abdel Rahman.
Pemerhati yang beribu pejabat di Britain itu berkata, lebih daripada 3,500 kanak-kanak dilaporkan terbunuh sejak konflik di Syria meletus pada Mac 2011.
Penentangan terhadap pentadbiran Bashar sehingga kini telah mengorbankan lebih 43,000 nyawa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula melaporkan lebih 60,000 orang terkorban. - AFP

Polis siasat The Straits Times


CALON parti pembangkang untuk kerusi Punggol Timur, Lee Li Lian (tengah) menjawab soalan wartawan media pada sidang media di Singapura semalam.


SINGAPURA - Polis menyatakan semalam ia kini menyiasat akhbar utama tempatan, The Straits Times kerana melanggar undang-undang berhubung kaji selidik yang dilakukan untuk kempen pilihan raya kecil di pulau ini.
Pilihan raya kecil pada 26 Januari ini adalah untuk kerusi yang ditinggalkan kosong oleh Speaker Parlimen, Michael Palmer. Palmer yang sudah beristeri meletak jawatan selepas mengakui mengadakan hubungan sulit.
Jabatan Pilihan Raya memberitahu bahawa satu artikel yang disiarkan dalam akhbar itu pada 10 Januari lalu selepas pengumuman tarikh pilihan raya bagi kerusi Punggol Timur kini disiasat oleh polis.
Akhbar tersebut mendedahkan siasatan berkenaan di laman webnya lewat kelmarin dan menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan polis.
Artikel bertarikh 10 Januari lalu itu menyiarkan laporan kaji selidik melibatkan 50 penduduk di kawasan pilihan raya kecil tersebut berhubung sokongan mereka kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pulau ini.
PAP sudah berkuasa di pulau ini sejak 1959.
"Ini bukan kaji selidik berskala penuh (sebenar) atau berbentuk saintifik," kata ketua editor akhbar berkenaan, Warren Fernandez ketika mengulas laporan tersebut semalam.
"Tajuk berita kami membesar-besarkan kepentingan maklumat yang dikumpulkan dengan mengklasifikasikannya sebagai satu kaji selidik. Kami memohon maaf atas kesilapan ini," tambahnya.
Akhbar The Straits Times merupakan akhbar utama gergasi media Asia, Singapore Press Holdings.
Di Singapura, adalah menjadi kesalahan untuk menyiarkan keputusan kaji selidik pengundi bermula dari tarikh pengumuman pilihan raya sehingga proses penggundian tamat
Mereka yang bersalah boleh didenda sehingga Sg$1,500 (RM3,624) atau dipenjara atau kedua-duanya sekali.
Pilihan raya kecil berkenaan bakal memberikan gambaran berhubung rakyat kurang dua tahun selepas PAP mengalami prestasi terburuknya pada pilihan raya Mei 2011 apabila undi untuk parti berkenaan merosot kepada 60 peratus.
PAP masih memiliki 81 daripada 87 kerusi di Parlimen tetapi parti itu dikritik hebat berhubung cara ia menangani isu imigresen dan perkhidmatan awan selain peningkatan kos sara hidup serta jurang pendapatan di negara kota ini. - AFP

Lubang besar di sawah padi


LUBANG besar yang terbentuk di sawah padi di China pada Sabtu lepas.


BEIJING - Pihak berkuasa China menyiasat kejadian 20 lubang besar yang terbentuk di sebuah kawasan sawah padi di negara berkenaan.
Setakat ini lebih 20 lubang misteri itu terbentuk di daerah Fukou, dalam wilayah Hunan sejak empat bulan lalu.
Menurut media tempatan, siasatan awal mendapati fenomena itu berpunca daripada industri perlombongan setempat yang menyebabkan sistem saliran bawah tanah di kawasan berkenaan musnah.
Keadaan itu membawa kepada tanah jerlus yang membentuk lubang-lubang besar tersebut. - REUTERS

Lebih 100 juta dijangka sertai festival agama terbesar


BERPULUH-PULUH ribu penganut Hindu berkumpul di sebuah padang di tebing Sungai Ganga sempena festival Kumbh Mela semalam.


INDIA - Berjuta-juta penganut Hindu beramai-ramai berkumpul di Sungai Ganga semalam untuk memulakan festival agama terbesar di dunia.
Dikenali sebagai Kumbh Mela, upacara berkenaan yang diadakan di bandar Allahabad itu disertai oleh 100 juta penganut agama Hindu.
Mereka akan berkumpul selama 55 hari untuk menyertai upacara mandi di Sungai Ganga bertujuan membersihkan dosa dan mendapatkan keberkatan.
Menurut Pegawai Maklumat Negeri, Ashok Kumar, seramai enam juta orang telah tiba di Kumbh Mela setakat pukul 2 petang semalam dengan 10 juta lagi dijangka tiba pada hari yang sama. - AFP

Hairuman tekad ubah nasib

HAIRUMAN sedang meneliti jadual orientasi yang akan dilaluinya selepas mendaftar di PLPP di Sungai Merab, Bangi semalam.


KAJANG – Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon yang mengalami kecederaan parah ketika mengait buah kelapa sawit di Kuala Selangor kira-kira dua tahun lalu kini berhasrat untuk merubah nasib dirinya apabila melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian (PLPP) Sungai Merab di sini semalam.
Dia yang sebelum ini terlantar di katil hospital kira-kira tujuh bulan bagi merawat bahagian badannya yang melecur teruk selain kedua-dua belah tangan serta kaki kanannya terpaksa dipotong akibat kejadian itu, mendaftar bersama 130 orang kelainan upaya (OKU) fizikal yang lain dalam bidang komputer di pusat latihan itu.
“Saya berhasrat untuk memperbaiki kehidupan pada masa depan dengan menuntut ilmu di sini.
“PLPP telah memberikan saya harapan untuk berdikari,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu PLPP di sini semalam.
Hairuman, 24, pemuda yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor itu pernah menggemparkan negara apabila dia mengalami kecederaan parah selepas terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Kuala Selangor pada 26 November 2010.

Api misteri bakar rumah


Dua jiran mencari barangan berharga daripada sisa kebakaran rumah Alias (kanan) di Kampung Beris Kijal Nenas dekat Kemaman semalam.


KEMAMAN - Sebuah rumah milik seorang peniaga makanan di Kampung Beris Nenas, Kijal dekat sini hangus terbakar tengah hari semalam dipercayai berpunca daripada kemunculan api misteri sejak Khamis lalu.
Pemiliknya, Alias Ahmad, 43, mendakwa, tragedi malang itu berlaku pada pukul 11.30 pagi apabila api misteri itu membakar hangus rumahnya dalam masa 15 minit.
Lebih mencetuskan misteri ialah api tersebut muncul secara tiba-tiba dari arah bilik air rumah peniaga makanan berkenaan.
"Api misteri itu merebak dan membakar keseluruhan rumah dengan begitu cepat sekali sehingga menyebabkan saya sekeluarga panik," katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menjelaskan lebih lanjut, Alias berkata, dia mula berasa tidak sedap hati apabila mendapati api misteri muncul pada pukul 5 pagi Khamis lalu dan membakar apron yang diletakkan di dapur.

Penampar bisa bekas suami


ARIFIN menunjukkan telinga kiri Aida Rohayu yang masih bernanah kesan ditampar bekas suaminya itu ketika ditemui di Pasir Puteh semalam.


PASIR PUTEH - Selepas turun naik mahkamah selama setahun, seorang wanita akhirnya mendapat pembelaan apabila Mahkamah Sesyen Pasir Mas semalam memerintahkan bekas suaminya membayar RM30,002 selepas didapati bersalah menampar jandanya itu hingga telinga kiri mangsa didakwa mengalami kecacatan kekal.
Hakim Irwan Suainbon mengarahkan Shakri Latif, 43, membayar denda tersebut kepada Aida Rohayu Mohamad, 39, selepas menilai pelbagai aspek di dalam tuntutan saman yang dikemukakan penjawat awam itu.
Aida Rohayu berkahwin dengan Shakri pada 14 Februari 1997 sebelum pasangan itu bercerai pada 16 September 2007. Sepanjang tempoh kira-kira 10 tahun itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata yang kini berusia 14 dan 15 tahun.
Wanita itu kini telah memulakan hidup baharu bersama suaminya, Arifin Abdullah, 38, yang dikahwini pada Februari 2009. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia dua tahun.

Lelaki kasanova penipu diberkas


ROSLEE menunjukkan jaket dan pelbagai peralatan yang dirampas daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor untuk memperdaya wanita-wanita bujang pada sidang akhbar di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Kekecewaan lebih 20 wanita bujang yang kerugian RM500,000 selepas diperdaya seorang lelaki kasanova sedikit terubat apabila suspek yang menyamar sebagai doktor di sebuah hospital swasta di sini diberkas setelah memasuki perangkap polis Jumaat lalu.
Suspek berusia 45 tahun yang menggunakan nama Dr. Shiva Nair; Dr. Ragunathan dan Keeran Raj ditangkap di rumahnya di Bukit Gambir di sini pada pukul 10 malam 4 Januari lalu selepas terpedaya dengan lakonan polis yang berkenalan dengannya menerusi laman sosial.
Difahamkan, suspek yang hidup mewah hasil penipuan sejak 2001 hingga mampu menyewa rumah teres berharga RM1,800 sebulan hanya memilih wanita India berusia antara 25 hingga 40 tahun sebagai mangsa. Suspek sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Kebanyakan mangsa pula bekerja sebagai guru, jururawat dan sektor perkilangan serta berstatus bujang. Mereka dipikat menerusi laman sosial Facebook dan Tagged.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik berkata, selepas berkenalan, suspek akan berpura-pura mencintai mangsa hingga sanggup bertemu dengan ahli keluarga wanita-wanita itu kononnya untuk menetapkan tarikh pertunangan atau perkahwinan.
Katanya, suspek kemudian akan memberi alasan menghadapi masalah kewangan untuk berkahwin dan meminta wanita-wanita tersebut membantunya dengan meminjamkan wang atau barang kemas bagi membuktikan cinta mereka.

Terpaksa tanggung hutang RM107,000


AI FAH (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuatnya kepada Michael (kanan) dan Leong di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang konduktor bas terpaksa menanggung hutang sebanyak RM107,000 selepas kad pengenalannya didakwa disalah guna oleh pihak tertentu untuk membuat pinjaman bank bagi membeli sebuah kereta dan kedai.
Lebih malang, dia turut diisytihar muflis oleh Jabatan Insolvensi pada 20 Jun tahun lalu ekoran hutang tersebut gagal dilunaskannya.
Wanita tersebut, Wong Ai Fah, 46, berkata, dia hanya menyedari perkara itu selepas dihubungi pihak bank mengenai hutang tersebut tiga tahun lalu.
"Pihak bank memaklumkan bahawa saya masih belum menjelaskan pinjaman pembelian kenderaan dan kedai yang masing-masing berjumlah RM12,000 dan RM45,000 serta hutang kad kredit sebanyak RM50,000.
"Saya memberi penjelasan bahawa saya tidak pernah membuat pinjaman dengan bank berkenaan namun tidak dilayan kerana kesemua pinjaman itu dibuat atas nama saya," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA di sini semalam.

Pemandu Sosilawati dipukul


Pathmanabhan bersama dua tertuduh lain diiringi polis di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam. Gambar kecil, Kamaruddin.


SHAH ALAM - Tertuduh keempat kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa N. Pathmanabhan mengarahkannya memegang pemandu jutawan kosmetik itu dari arah belakang selepas diberitahu lelaki itu hendak memukul bekas peguam tersebut.
R. Kathavarayan, 32, berkata, tindakannya memegang pemandu Sosilawati menyebabkan mereka bergelut hingga terjatuh atas kerusi dalam sebuah bilik karaoke di Ladang Gadong.
"Kemudian, tangan pemandu itu diikat guna tali pinggang sebelum dia disuruh duduk dan dipukul kira-kira tiga kali," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Hasshahari Johari Mawi yang dilantik mahkamah bagi menggantikan peguam Ravi Nekoo yang telah menarik diri daripada mewakilinya.
Kathavarayan, 32, diperintah membela diri bersama Pathmanabhan, 43, Thilaiyangan, 21, dan R.Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Padi diserang penyakit karak


TIGA pesawah mencabut pokok padi yang rosak diserang penyakit karak tangkai di Kampung Sidam Kanan, Padang Serai, Kulim semalam.


PADANG SERAI - Lebih 100 pesawah di Kampung Sidam Kanan dekat sini mengalami kerugian besar apabila tanaman padi musim ini tidak menjadi setelah diserang penyakit karak tangkai sejak tiga minggu lalu.
Ekoran itu, rata-rata petani mendakwa mengalami kerugian antara RM4,000 hingga RM7,000 bergantung kepada keluasan bendang yang mereka usahakan.
Seorang pesawah, Kames Awang, 57, berkata, dia terkejut apabila melihat hujung tangkai padi tidak mengeluarkan buah seperti biasa dan bertukar menjadi warna hitam.
"Sebelum ini, tangkai padi tidak jadi hitam dan apabila diperiksa di bahagian bawahnya, banyak hama kecil berwarna putih di situ," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dia berharap agar kakitangan Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang daerah Kulim melakukan sesuatu dan bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
Rakannya, Subhi Ahmad, 61, berkata, pihak berkaitan perlu bertindak cepat bagi memastikan penyakit tersebut tidak terus merebak.
"Apa yang mendukacitakan ialah pihak berkenaan sekadar datang melihat sahaja tanpa memberi sebarang nasihat tentang cara-cara untuk mengatasinya," ujarnya.

Penduduk minta bina pintu air


ARIFIN menunjukkan air yang melimpah masuk ke pembetung air di Kampung Pisau Raut, Pengkalan Kubor semalam.


TUMPAT – Penduduk di beberapa buah kampung berhampiran Sungai Golok di Pengkalan Kubor di sini merayu pihak berkuasa agar membina dua lagi pintu air bagi menyelesaikan masalah banjir lambat surut setiap kali musim tengkujuh melanda di kawasan itu.
Penduduk mendakwa, masalah itu berpunca daripada pembinaan jalan sejauh 30 kilometer yang menghubungkan Pengkalan Kubur dengan Rantau Panjang bagi kemudahan orang ramai di 20 buah kampung sejak tujuh tahun lalu.
Keadaan menjadi lebih kritikal setiap kali tibanya musim tengkujuh apabila sebuah pintu air yang merentasi jalan berkenaan ke Sungai Golok tidak mampu untuk menampung jumlah air yang banyak menyebabkan ia lambat surut.
Antara kampung yang terjejas setiap kali banjir melanda ialah Kampung Simpangan, Jejulok, Naga Ibu, Bendang Pak Yong, Derdap, Teluk Jering, Pisau Raut dan Kubang Sawa.

No comments:

Post a Comment