Thursday, January 17, 2013

JANGAN KITA MENDAHULUI TAKDIR...ATAU PAK NUJUM...BANYAK PERKARA DALAM RASHIA ALLAH...

87 orang maut di universiti Syria


BEBERAPA kakitangan keselamatan dan orang awam meninjau kemusnahan di universiti itu kelmarin.



ALEPPO - Angka kematian akibat dua letupan kuat yang memusnahkan kampus sebuah universiti di sini meningkat kepada 87 orang, kata sebuah kumpulan pemerhati semalam sekali gus menjadikan serangan tersebut antara paling berdarah dalam konflik 22 bulan di Syria.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan letupan itu ketika para pelajar menduduki peperiksaan kelmarin dengan pemerintah dan pihak penentang kini saling menuding jari.
"Jumlah mangsa dalam letupan berkembar kelmarin meningkat kepada 87 orang," kata kumpulan Pemerhati Syria Untuk Hak Asasi Manusia.
"Angka kematian juga dijangka meningkat kepada 100 orang berikutan proses mengenal pasti cebisan badan manusia yang berkecai masih dilakukan," tambahnya.
Menurut kumpulan tersebut, sekitar 150 orang cedera dalam serangan itu dengan sebahagian mereka kini kritikal.
Universiti berkenaan terletak di kawasan yang dikuasai tentera rejim Presiden Bashar Al-Assad di sini, utara Syria.
Lokasi tersebut menjadi medan pertempuran sengit melibatkan kedua-dua belah pihak sejak musim panas tahun lalu apabila tentera Bashar melancarkan serangan besar-besaran untuk mengekang kemaraan pihak penentang.
Aktivis-aktivis penentang memberitahu, beberapa jet pejuang pemerintah membedil kampus tersebut tetapi seorang pegawai tentera berkata, letupan berkembar itu berpunca daripada peluru-peluru berpandu penentang yang tersasar daripada sasaran.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, lebih 60,000 orang dengan kebanyakan mereka orang awam terbunuh dalam konflik di Syria setakat ini.
Konflik di Syria berlaku sejak Mac 2011 selepas para penentang yang terdiri daripada penduduk tempatan bertempur dengan tentera Bashar bagi menuntut beliau meletakkan jawatan.
Bashar dituduh penduduk gagal membawa pembaharuan dalam demokrasi dan kebebasan bersuara. - Agensi

Boeing 787 dilarang terbang



BEBERAPA penumpang meninggalkan pesawat Boeing 787 Dreamliner milik syarikat All Nippon Airways di Lapangan Takamatsu, wilayah Kagawa semalam.



TOKYO - Semua pesawat Boeing 787 Dreamliner milik dua syarikat penerbangan utama Jepun dilarang berlepas untuk tujuan pemeriksaan keselamatan selepas sebuah pesawat itu terpaksa mendarat cemas di sebuah lapangan terbang di negara ini semalam dalam insiden terbaharu yang menimpa jet tersebut.
Kementerian Pengangkutan Jepun menyatakan, pihaknya menerima notis daripada All Nippon Airways (ANA) dan Japan Airlines bahawa semua pesawat 787 milik kedua-dua syarikat penerbangan itu tidak dibenarkan untuk melakukan penerbangan.
Kenyataan yang sama memberitahu, langkah tersebut dilaksanakan secara sukarela oleh ANA dan Japan Airlines.
Pihak ANA mengendalikan sebanyak 17 pesawat Boeing 787 Dreamliner manakala Japan Airlines pula mempunyai 17 pesawat berkenaan.
Pihak kementerian itu menyifatkan masalah pada pesawat Boeing 787 itu semalam sebagai insiden serius yang boleh membawa kepada kemalangan.
"Kami memohon maaf kerana menyebabkan para penumpang dan keluarga mereka berasa amat bimbang," kata Timbalan Presiden Eksekutif Kanan ANA, Osamu Shinobe.
Seorang penumpang lelaki berusia dalam lingkungan 60-an dikejarkan ke sebuah hospital akibat kecederaan kecil pada paha dalam pendaratan cemas tersebut.
Menurut ANA, sejumlah 128 penumpang lain dan enam kru penerbangan berkenaan tidak cedera dalam kejadian itu.
ANA menyatakan, mesej kokpit menunjukkan terdapat masalah bateri dengan bau terbakar dikesan di dalam kokpit dan kabin pesawat sekali gus memaksa Boeing 787 itu yang dalam penerbangan domestik mendarat di Lapangan Terbang Takamatsu, wilayah Kagawa, barat Jepun.
Pesawat tersebut sepatutnya mendarat di sebuah lapangan terbang di Tokyo selepas berlepas dari Lapangan Terbang Yamaguchi Abe di wilayah Yamaguchi.
Boeing sebelum ini meletakkan harapan tinggi pada pesawat itu.
Boeing 787 Dreamliner merupakan pesawat terbaharu dan paling canggih buatan firma berkenaan.
Beberapa pesawat berkenaan dibelenggu pelbagai masalah termasuk kebakaran bateri dan kebocoran minyak baru-baru ini.
Pihak ANA dan Japan Airlines merupakan pelanggan utama Dreamliner dan antara yang pertama menggunakan pesawat Dreamliner.
Sebelum ini, ANA membatalkan penerbangan domestik ke Tokyo pada 9 Januari lalu ekoran masalah brek sebuah pesawat Boeing 787.
Dua hari kemudian, dua kes dilaporkan berhubung kebocoran minyak pada pesawat berkenaan dan masalah rekahan pada tingkap kokpit. - Agensi

Restoran robot di Harbin, China



GAMBAR menunjukkan sebuah robot menghantar mangkuk berisi nasi kepada pelanggan.



HARBIN, China - Sebuah restoran di sini menggunakan 20 robot untuk melakukan pelbagai tugas termasuk memasak.
Terdapat robot yang menjadi penyambut tetamu dan pelayan.
Setiap robot boleh bekerja selama lima jam tanpa rehat.
Restoran tersebut menyediakan lebih 30 menu.
Ia dibuka sejak Jun tahun lalu. - Agensi

Wanita ditanduk badak selepas bergambar



BEYER (kanan) dan suaminya bergambar di depan dua ekor badak sumbu di Taman Semula Jadi Aloe Ridge dekat Johannesburg baru-baru ini.



JOHANNESBURG - Seorang wanita, Chantal Beyer ditanduk seekor badak sumbu selepas dia bergambar dengan suaminya, Sven Fouche di depan dua ekor haiwan itu baru-baru ini di Taman Semula Jadi Aloe Ridge dekat sini.
Sebelum gambar itu dirakamkan, seorang pemandu pelancong mengarahkan mereka berdiri di depan haiwan berkenaan.
Beyer yang berusia 24 tahun ditanduk dari arah belakang menyebabkan tulang rusuk dan parunya patah.
Dia kini dirawat di sebuah hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. - Agensi

Helikopter terhempas di London

LOKASI helikopter itu yang terhempas di pusat bandar raya London.


LONDON - Sebuah helikopter melanggar sebuah kren dan terhempas di sebatang jalan raya di pusat bandar raya ini semasa waktu puncak semalam dengan dua terbunuh serta sembilan orang lagi cedera, kata pihak berkuasa semalam.
Helikopter tersebut terhempas di selatan Sungai Thames berhampiran stesen kereta api bawah tanah di Vauxhall dekat bangunan agensi perisikan Britain, MI6.
Polis berkata, seorang mangsa mengalami kecederaan yang serius.
Perkhidmatan Ambulans London memberitahu, beberapa orang yang cedera ringan pula dirawat di sebuah hospital berdekatan.
Seorang pegawai polis, Neil Basu mengesahkan juruterbang helikopter itu mati termasuk seorang orang awam.
Mengulas nahas berkenaan, Kementerian Pertahanan menyatakan, helikopter berkenaan bukan milik tentera manakala kemalangan itu juga dipercayai bukan serangan pengganas.
Rakaman saluran berita Sky News menunjukkan bangkai helikopter itu sedang terbakar di atas jalan raya dengan kawasan sekitarnya dipenuhi asap hitam.
Beberapa saksi berkata, helikopter itu melanggar sebuah kren yang berada di atas bumbung bangunan penginapan setinggi 50 tingkat iaitu Menara Dermaga St. George.
Seorang pekerja di kawasan berdekatan, Allen Crosbie berkata, letupan yang berlaku menyebabkan dia dan beberapa orang lain yakin bahawa bandar raya ini sedang diserang.
"Saya 100 peratus yakin bahawa kejadian itu adalah serangan pengganas," kata lelaki tersebut.
"Terdapat serpihan bangkai helikopter dan asap hitam berkepul-kepul," tambahnya.
Punca nahas masih disiasat tetapi seorang pakar penerbangan, Chris Yates memberitahu, cuaca berkabus mungkin menjadi faktor kemalangan itu berlaku.
Pihak berkuasa juga akan memeriksa sama ada kren tersebut mempunyai lampu navigasi. - Agensi

Potensi anak menerusi cap jari





SETIAP kanak-kanak dikurniakan bakat semula jadi sejak kecil lagi. Hakikatnya, tidak ramai golongan ibu bapa menyedari potensi anak-anak mereka.
Perkara itu turut diakui seorang bapa, Muhammad Kamarul Md. Zin, 34, yang tidak menyedari bakat anak lelakinya, Muhammad Zafri, yang berusia enam tahun.
“Saya hairan dia begitu berani setiap kali membuat persembahan di khalayak ramai berbanding dengan rakan yang seusia dengannya,” ujarnya ketika ditemui pada kempen Kenali Potensi Si Manja di Damansara, Selangor.
Menurutnya, keberanian yang ditonjolkan oleh anaknya itu tidak dilihat beliau secara serius, namun selepas melalui analisis cap jari, dia diberitahu anaknya itu lebih menggunakan otak kiri daripada otak kanan.
“Saya agak terkejut dengan keputusan itu memandangkan saya melihat dirinya menunjukkan minat dalam subjek bahasa dan tidak sangka dia mempunyai kecenderungan dalam bidang Sains dan Matematik.
“Mujur, saya tergerak hati membawanya untuk menjalani ujian tersebut sekurang-kurangnya boleh mengetahui di mana letaknya potensi Zafri,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Ketua Pembangunan Bahagian Psikologi Universiti Maranatha Christian, Indonesia, Efnie Indrianie berkata, analisis cap jari merupakan satu kaedah inovatif yang merekod kesemua 10 cap jari kanak-kanak untuk mengenal pasti potensi bakat dan cara pembelajaran mereka.
Kaedah tersebut boleh membantu ibu bapa untuk mengetahui bakat yang ada pada anak mereka sekali gus boleh membimbing mereka mengikut rentak gaya anak tersebut.
Analisis itu menggambarkan corak otak yang telah terbina bagi seorang kanak-kanak sejak dalam kandungan.
Potensi kanak-kanak boleh dikesan dengan menganalisis setiap jari dengan menggunakan alat pengimbas dan ia akan memaparkan bentuk cap jari di dalam komputer yang menggunakan perisian khas untuk mengesan cap jari.


SEORANG kanak-kanak melakukan ujian cap jari yang dijalankan semasa kempen Kenali Potensi Si Manja oleh Ducth Lady.



Bertutur lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, langkah pemeriksaan itu akan dilakukan dengan mengambil cap ibu jari kiri ke kelingking kiri dan seterusnya pada sebelah kanan pula.
Kemudian, apabila cap jari diambil ia akan memaparkan bentuk iaitu lengkungan, simpulan dan lingkaran di monitor komputer.
Seterusnya, kesemua data cap jari yang diperoleh akan dimasukkan dalam sistem khas. Proses pengiraan akan dijalankan menerusi sistem itu.
“Proses yang mengambil masa sekitar 30 minit itu mampu mengenali perbezaan corak cap jari. Corak ini akan dapat dipadankan dengan susunan formasi saraf-saraf otak.
“Ia dapat mengenal pasti potensi seseorang kanak-kanak. Ini satu teknologi yang amat menarik kerana penemuan daripada kajian biometrik sebagai petunjuk sifat-sifat mental,” jelasnya lagi.
Begitupun, beliau menyarankan kepada golongan ibu bapa selepas mengetahui potensi anak-anak, mereka tidak membandingkan seorang anak dengan anak yang lain kerana setiap individu berbeza.
Sebaliknya, ibu bapa harus memberi sokongan moral agar mereka dapat mengembangkan potensi anak-anak serta mengatasi kelemahannya.
Ujian cap jari merupakan satu analisis saintifik dengan mengukur biometrik menerusi cap jari untuk mengenal pasti potensi seseorang individu.
Menyentuh mengenai ketepatan keputusan potensi itu, beliau memberitahu, kajian telah menunjukkan bahawa teknologi berkenaan mempunyai tahap ketepatan yang tinggi.
Terdahulu, satu tinjauan penelitian yang dijalankan di Indonesia oleh Makmal Psychobiometric (Spectrum Synergy Biometric) mendapati hampir 75 peratus kanak-kanak biasanya menunjukkan sifat-sifat yang selari dengan keputusan analisis cap jari.


MINAT dan kebolehan anak-anak dalam bidang Matematik dan Sains juga dapat dikenal pasti melalui ujian cap jari.



Sementara itu, 25 peratus lebih cenderung kepada pengaruh dan pendidikan dari alam sekitar dan budaya.
Pensyarah daripada Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr. Mastura Badzis berkata, pada minggu ke-13 kehamilan, cap jari mula terbentuk pada janin.
Pada minggu ke-19, kedutan terbentuk di dalam otak dan dapat dilihat pada setiap 10 cap jari mewakili bahagian berbeza pada otak kanak-kanak.
Tambah beliau, susunan saraf-saraf pada bahagian-bahagian otak itu dianggap mempunyai simetri dengan corak dan bentuk cap jari pada setiap jari.
“Jadi, ia boleh mengenali pola kebolehan dalam otak manusia berdasarkan pertumbuhan saraf dalam bahagian otak tersebut,” katanya.

2 diberkas cuba jual pistol tiruan


PISTOL tiruan yang dirampas daripada dua sahabat yang ditahan dalam sekatan jalan di USJ Isnin lalu.


PETALING JAYA - Cubaan sulung dua sahabat untuk mencari wang cara salah dengan menjual senjata api tiruan melalui internet gagal apabila mereka diberkas dalam sekatan jalan di USJ 20 dekat sini pada Isnin lalu.
Bersama kedua-dua lelaki itu, polis turut menemui tiga pucuk pistol tiruan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketika ditahan pada pukul 11.30 malam, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 23 dan 28 tahun menaiki kereta Perodua Myvi dan dalam perjalanan menghantar senjata berkenaan kepada pembeli.
Salah seorang suspek bekerja sebagai juruteknik komputer manakala seorang lagi suspek bekerja sebagai pembantu jurutera.
"Polis yang memeriksa kereta itu menemui tiga pucuk pistol tiruan, beberapa butir peluru bebola dan sepasang gari. Kesemua barangan itu disorok di bawah pelapik kaki tempat duduk belakang kereta suspek," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini semalam.

Nafi bunuh Sosilawati, 3 rakan


KHATAVARAYAN


SHAH ALAM - R. Kathavarayan yang merupakan tertuduh keempat kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, semalam mengaku kepada mahkamah bahawa dirinya tidak terlibat dalam pembunuhan yang berlaku di Ladang Gadong, Banting pada 31 Ogos 2010.
Kathavarayan, 33, turut bersetuju dengan peguam Manjeet Singh yang mewakili bekas peguam, N. Pathmanabhan bahawa tuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah salah dan tidak adil.
Tertuduh yang sedang disoal balas Manjeet sebelum itu ditanya sama ada semua keterangan yang diberikan kepada mahkamah bermula pada 3 Disember 2012 adalah bukti yang benar di mahkamah.
"Ya," jawab Kathavarayan tenang.
"Adakah semua ini laporan yang dibuat kepada polis (semasa ditahan)?" soal Manjeet sebelum bekas pekerja ladang itu membalas: "Saya ada beritahu polis sebahagian sahaja, bukan semua."

Geng samun kedai 24 jam tumpas


KHAIRI (kanan) melihat pelbagai barangan yang dirampas daripada dua lelaki yang dipercayai menyamun kedai serbaneka di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Pengusaha rangkaian kedai serbaneka, KK Mart dan 7-Eleven di sekitar ibu negara boleh menarik nafas lega selepas dua lelaki yang disyaki terlibat dengan 20 kes rompakan di premis-premis 24 jam itu diberkas polis di Pandan Perdana di sini Isnin lalu.
Penahanan dua suspek itu adalah hasil serbuan di dua lokasi berasingan di sini kira-kira pukul 4.30 pagi selepas sebuah kedai serbaneka KK Mart di Brickfields dirompak beberapa jam sebelum itu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, sejurus mendapat maklumat mengenai rompakan itu, pihaknya berjaya mengesan kedua-dua suspek warga tempatan itu di dua buah rumah yang terletak berhampiran antara satu sama lain.
“Kedua-dua suspek berusia 33 tahun itu sudah lama berkawan. Ketika serbuan, kedua-duanya sedang berehat dan tidak sempat melarikan diri.
“Kita berjaya merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan semasa melakukan rompakan di 20 premis kedai serbaneka sepanjang tahun lalu,” ujarnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.

Penjara sesak akibat tiada hukuman alternatif


KURANG menggunakan hukuman alternatif menyebabkan penjara di negara ini mengalami kesesakan banduan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Kurang menggunakan hukuman alternatif lain berbanding penjara dan skim banduan prabebas adalah antara punca penjara di Malaysia sesak.
Anggota Majlis Eksekutif Pusat Antarabangsa Undang-Undang dan Pengajian Perundangan (I-Cells), Prof. Dirk Van Zyl Smit (gambar kecil) berkata, kajian I-Cells mendapati daripada sejumlah 37,625 banduan pada 2011, seramai 12,338 orang adalah mereka yang menjalani hukuman penjara di bawah lima tahun.
"Bagi tempoh sama, seramai 6,927 banduan merupakan warga asing yang melakukan kesalahan imigresen atau jenayah ganas," katanya ketika membentang kertas kerja bertajuk The Malaysian Criminal Justice Audit: Preliminary Findings pada Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan dan Hak Asasi di sini semalam.

No comments:

Post a Comment