Wednesday, October 20, 2010

KISAH2 DUNIA BOLEH MENJADI IKTIBAR DAN PENGAJARAN...KITA SEMUA

Berdosa besar mohon bantuan daripada syaitan



KULAIJAYA: “Amalan menggunakan ilmu hitam termasuk dalam sembilan jenis dosa besar kerana memohon bantuan daripada syaitan,” kata Pegawai Fala’ Syarie, Jabatan Mufti Johor, Hanafiah Abdul Razak ketika mengulas kejadian dialami Ila.
Katanya, Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 102 yang bermaksud, Allah melarang keras penggunaan ilmu sihir kerana ia menggunakan syaitan dan termasuk dalam tujuh dosa besar.

Tegas Hanafiah, perbuatan menggunakan ilmu hitam bukan saja merosakkan tauhid, malah boleh mengakibatkan manusia terpesong daripada landasan agama yang sebenar.

“Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari, manusia yang menggunakan khidmat syaitan untuk memohon bantuan akan merasa kemaruk dan ketagih hingga sukar meninggalkan perbuatan itu.

“Kita dapat lihat dalam kes ini bagaimana seorang pengamal ilmu hitam berasa ketagih melakukan perbuatan terkutuk itu berulang kali tanpa mengira azab yang bakal diterima di akhirat kelak,” katanya.

Jelasnya, pintu taubat sentiasa terbuka kerana Allah sentiasa menerima taubat daripada hambanya yang ikhlas memohon pengampunan daripada-Nya

Rangka peniaga diculik lebih setahun ditemui



KAJANG: Misteri kehilangan seorang ahli perniagaan yang diculik beberapa lelaki di hadapan rumahnya lebih setahun lalu terjawab apabila mayatnya yang sudah tinggal tulang selepas dipercayai dibunuh kejam ditemui ditanam berhampiran sebuah tanah perkuburan Cina di Broga, Semenyih di sini semalam.
Mangsa, Ravi Shanker Ramasamy, 42, sebelum ini diculik sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Taman Mahkota Cheras, menyebabkan isteri dan adik mangsa membuat laporan polis selain berusaha menggunakan hebahan media untuk menjejaki mangsa.

Bagaimanapun, pelbagai usaha dilakukan termasuk menawarkan wang ganjaran sebanyak RM60,000 oleh adik mangsa terdapat individu yang mampu memberi maklumat berhubung kehilangan mangsa ternyata gagal membuahkan hasil.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, penemuan lokasi mayat mangsa ditanam adalah hasil pengakuan seorang suspek kes pembunuhan yang kemudian membawa polis ke tempat dia menanam mayat mangsa

“Suspek yang berusia lingkungan 30-an itu, membawa polis ke lokasi berdekatan dengan sebuah kawasan perkuburan Cina. Polis kemudian bertindak menggali kawasan yang ditunjukkan suspek dan satu rangka manusia yang masih ada sedikit cebisan tisu ditemui.

“Namun, tempoh mangsa disahkan mati dan berapa lama ditanam di situ masih belum dapat dipastikan lagi,” katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam

Menurutnya, suspek juga menunjukkan lokasi di mana sebuah kereta dibakar, dipercayai milik mangsa terbabit yang terletak kira-kira tiga kilometer dari tempat mayat mangsa ditanam.

Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi isteri mangsa bagaimanapun tidak membuahkan hasil apabila beliau enggan memberi sebarang komen berhubung penemuan mayat itu selain berharap penemuan rangka manusia berkenaan bukan milik suaminya.


Ibu Rozaliya dipatuk ular



KEMAMAN: Hasrat ibu kepada bakal pengantin, Rozaliya Mat Lazim, 20, yang hilang sejak seminggu lalu mencari anaknya di Kuantan tidak kesampaian apabila dipatuk ular berdekatan rumahnya di Bandar Cheneh Baru, kelmarin.
Sabariah Mansor, 42, dikejarkan ke Hospital Kemaman jam 10 malam selepas mengadu sakit dipatuk reptilia berbisa itu sebelum dimasukkan ke wad HK dan dibenarkan pulang semalam


Tunang nafi terbabit



KEMAMAN: Tunang Rozaliya Mat Lazim, 20, bakal pengantin yang hilang sejak 13 Oktober lalu, Mohd Helmi Mohd Noor, 24, menafikan andaian pihak tertentu mendakwa dia terbabit dengan kehilangan tunangnya itu.
Dia mendakwa baru tiba dari Johor, malam kelmarin, enggan mengulas mengenai kehilangan tunangnya itu atas nasihat keluarga dan menyerahkannya kepada polis menjalankan siasatan.

Katanya, pada hari kejadian, dia menerima satu SMS daripada Rozaliya pada jam 3.28 petang berbunyi ‘Awak cepat sikit. Masa nak g ambil duit ada dua orang macam ikut saya. Saya takut’.

“Sebelum kehilangannya, saya meninggalkan dia di kedai selepas membeli-belah kerana terpaksa pulang ke pejabat kerana ada urusan. Ketika itu saya masih bekerja dan jika ada yang beranggapan saya menyembunyikan Rozaliya, ia tidak benar sama sekali,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Petugas Felda Neram, di sini, semalam

Semalam, akhbar melaporkan ibu Rozaliya, Sabariah Mansor, 42, sebagai berkata, dia mengesyaki ada tidak kena dalam perhubungan anaknya dan Mohd Helmi.

Malah, wanita itu mendakwa Rozaliya pernah berhasrat memutuskan pertunangannya

Kedua-dua mereka mengikat pertunangan tahun lalu atas dasar cinta dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 12 November depan.

Bapa Mohd Helmi, Mohd Noor Juah, 53, turut menafikan anaknya membawa lari dan menyembunyikan Rozaliya.

“Anak saya bukan melarikan diri seperti didakwa sesetengah pihak, tetapi pulang ke kampung di Johor bertemu dengan keluarga.

“Ibu Rozaliya juga mendakwa anaknya dipercayai mengikut seorang lelaki bernama Amir menyebabkan Mohd Helmi mencari lelaki itu dikatakan tinggal di Batu Berendam, Melaka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Helmi yang berasal dari Kampung Sebatu Pagoh, Muar, dan bekerja di Bandar Cheneh Baru, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bersama keluarganya kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha berkata, polis merekodkan keterangan Mohd Helmi secara telus dan terperinci berikutan kes terbabit makin banyak menimbulkan keraguan.


Dibelasah teman lelaki adik di pasar raya



AMPANG: Teguran ikhlas seorang abang kepada adik perempuannya supaya tidak bermalam di rumah teman lelaki membawa padah apabila dia dibelasah teman lelaki adiknya itu yang juga sepupunya di pasar raya di Ampang, kelmarin.
Akibatnya, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa cedera di pipi dan leher.

Menurut sumber polis, mangsa berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan pada mulanya bertemu dengan adik perempuan dan teman lelakinya ketika dia bertugas di premis berkenaan.

“Sebaik bertemu, mangsa mengajak kedua-duanya keluar berbincang mengenai hubungan mereka dan menegur sikap adiknya yang sering bermalam di rumah teman lelakinya itu

“Secara kebetulan, teman lelaki adiknya itu sepupu mereka dan ini membuatkan mangsa tidak mahu kedua-duanya membuat perkara buruk kerana takut dipandang serong ahli keluarga,” katanya.

Menurutnya, sebaik menegur perbuatan kedua-dua mereka, dia secara tiba-tiba diserang sepupunya itu dan juga rakannya yang ketika itu berada di pasar raya berkenaan.

“Sepupunya itu dikatakan naik angin dan tidak dapat menerima nasihat yang diberikan sebelum mengajak rakannya menyerang dan membelasah mangsa.

“Mangsa yang tidak tahan ditumbuk dan dipukul melarikan diri masuk ke dalam pasar raya,” katanya.



ADAKAH ALLAH TAK PANDAI BUAT UNDANG2...ATAU MANUSIA DEGIL DAN SOMBONG BODOH....




Peragut baru keluar penjara tidak serik

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki yang baru sebulan keluar penjara atas kesalahan menyamun sebelum ini ternyata tidak pernah insaf apabila kembali melakukan perbuatan jenayah dengan meragut beg tangan seorang wanita, Ahad lalu.
Bagaimanapun, nasib sekali lagi tidak menyebelahinya apabila dia ditahan polis dalam tempoh 48 jam selepas melakukan kegiatan terkutuk itu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi Ahad lalu ketika seorang wanita berusia 39 tahun yang menunggang sebuah motosikal berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Melati, Dungun.

"Ketika berhenti di persimpangan berkenaan, tiba-tiba muncul sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki meragut beg tangan wanita berkenaan yang bekerja di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun


"Tersentak dengan insiden itu, wanita berkenaan cuba mengejar suspek namun gagal," katanya.

Beliau berkata, wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Dungun kira-kira sejam selepas kejadian

Katanya, dua hari kemudian, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Nibong Stesen, Bukit Catak, Dungun dan berjaya menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemui semula beg tangan wanita berkenaan bersama kad pengenalannya, bagaimanapun wang tunai RM200 dan telefon bimbitnya gagal ditemui.

"Lebih mengejutkan, siasatan ke atas lelaki berusia 24 tahun itu mendapati dia baru saja sebulan dibebaskan dari penjara atas kesalahan meragut," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment